Support My Blog

Tuesday, February 14, 2017

KEREPIK DURIAN - CARA MEMBUATNYA

KEREPIK DURIAN (Durian Chips) merupakan satu produk berasaskan durian yang boleh dikomersilkan di negara kita. Durian (Durio zibethinus) merupakan sejenis buah tropika yang luas ditanam di negara kita sekitar 110,000 hektar yang direkodkan pada tahun 2016. Kawasan utama pengeluaran durian adalah di Raub, Pahang, Sekitar Batu Kurau di Perak dan di Daerah Muar / Ledang di Johor yang dikelanpasti sebagai kluster pembangunan tanaman durian oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Beberapa varieti durian yang kini sudah semakin popular adalah seperti Varieti Musang King atau Durian Raja Kunyit (D197), Durian Ochee, D24, Durian Merah dan beberapa lagi. Kebanyakan buah durian dimakan segar atau pun diproses untuk dijadikan tempoyak, durian crepe, ais krim durian, durian sejuk beku dan sebagainya. Saya ada menulis banyak rencana mengenai durian dalam blog anim agro technology.  Durian varieti D197 atau Musang King kini merupakan antara varieti yang paling popular dikalangan peminat makan durian (kerana rupanya ada manusia yang tidak langsung makan durian). Ia dijual dengan harga antara RM30 - RM45.00 sekilogram pada masa puncak tahun 2016 malahan mencecah kepada RM70.00 pada bulan Disember 2016 (musim sudah melawas). Promosi durian Musang King yang dijalankan amat berjaya dilakukan dan ia kini mencapai standard untuk dieksport keluar negara. Lebih ramai petani yang melakukan cantuman dewasa durian kampong atau dari varieti lain kepada varieti Musang King. Setidak-tidaknya pun mereka akan menanam durian dengan membeli benih durian musang king yang telah jadi 'Advanced Planting Material' atau singkatannya APM sahaja. Bagaimana pun rencana petang Ahad ini dalam "Anim Agro Technology" saya terus menulis mengenai produk kerepek durian dan bagaimana proses untuk membuatnya. Beberapa kali penulis hadir kursus membuat kerepek biji durian di beberapa lokasi.


Buah durian seperti namanya memang mempunyai beberapa komponen iaitu Kulit Durian, Isi Durian dan Biji Durian. Biasanya semasa makan durian semua bijinya dan kulitnya akan dikumpulkan dan kemudian dibuang dalam tong sampah dirumah. Penulis bagaimana pun lazimnya akan kumpulkan semua biji durian dan kemudian ianya direbus dengan bubuh sedikit garam sehingga 20 minit. Apabila sejuk ia amat enak dimakan dimana isinya yang berwarna putih berasa lemak dan amat mengenyangkan. Biji durian juga sering dikumpulkan dan disemai untuk dijadikan anak benih sebagai pokok penanti (root stock). Pokok penanti ini setelah cukup umur akan dicantum dengan matatunas durian daripada varieti yang disyorkan. Benih ini akan ditanam diladang apabila cukup umur.  Memang amat jarang dibincangkan bagaimana bijii durian ini boleh diproses seperti dijadikan Kerepek Biji Durian. Sebenarnya biji durian tertentu seperti buah durian dari varieti Munthong, Chanee dan Kanyou di Thailand yang gred rendah sering diproses menjadi Kerepek Biji Durian dan dijual dimerata-rata tempat terutama dikawasan tumpuan pelancong. Di lapangan terbang Bangkok banyk produk kerepek biji durian dijual dalam pembungkusan menarik dan harga juga memang lumayan.


Membuat kerepek biji durian telah penulis beberapa kali membuat kursus semasa bertugas di Muar, Johor. Kursus ini diadakan di Tangkak dimana disana terdapat banyak biji durian yang dikumpulkan didalam pusar pertanian dan juga penjual durian di sekitar daerah tersebut dahulu. Biji-biji yang ada akan dikutip dan dibersihkan dari kotoran sama ada untuk dijadikan anakbenih penanti bagi proses pengeluaran biji benih atau dipilih sesuai untuk dibuat kerepek. Biji yang besar, tidak terlalu tua dan tidak cacat dipilih dan dibuang kulit luarnya (berwarna coklat) dibasuh dengan bersih dan ditoskan (Sila lihat foto disebelah). Biji durian ini kemudian perlu direndam dalam air bersih selama 10 jam (semalaman) untuk melembutkan isinya. Kemudian ia dibersihkan sekali lagi baki kulitnya yang masih melekat dengan pisau atau 'peeler'. Sebaiknya biji durian ini ditoskan dan dijemur sehingga kering selepas direndam untuk elakkan ia berlendir dan menyukarkan pemotongan. Bersihkan biji durian tersebut dan kumpulkan untuk dibawa ke meja kera bagi tujuan menghiris nipis menjadi kerepek.


Lazimnya kerja-kerja pemotongan atau penghirisan biji durian dilakukan dengan menggunakan pisau tajam atau peeler. Kerja ini dipanggil 'menyagat' dengan tujuan untuk mendapatkan kepingan nipis yang sesuai untuk digoreng kelak. Pemotongan menggunakan alat sagat kena berhati-hati untuk dapatkan hirisan yang sekata dan elok. Sebaiknya ketebalan hirisan sekitar 2-3 mm kerana jika terlalu nipis akan hilang rasa kerepek durian manakala jika terlalu tebal akan kurang cirinya sebagai kerepek (Sila lihat foto disebelah). Hirisan kepingan biji durian ini sebaiknya terus diproses untuk penggorengan. Elakkan menyimpan hirisan ini terlalu lama kerana ia akan rosak disebabkan 'masuk angin' dan hasil kerepek kurang berkualiti. Bagi tujuan iti sebaiknya kerja-kerja menyagat dilakukan dengan tempat penggorengan kerepek biji durian.


Kerja menggoreng kerepek biji durian amat kritikal dilakukan kerana ia akan dapat menentukan kualiti kerepek ini. Sediakan kuali sesuai dengan diisi dengan minyak masak yang baharu untuk penggorengan. Minyak terpakai memang tidak boleh digunakan kerana ia akan menjejaskan warna kerepek biji durian yang digoreng. Sebaiknya api pemanasan menggunakan dapor gas yang mana api boleh dikawal untuk menentukan suhu tidak terlalu panas atau kurang panas. Masukan hirisan biji durian tersebut kedalam minyak panas dan kacau sehingga bertukar warna kekuningan sekepas disagat (Sila lihat foto disebelah). Sentiasa mengacau gorengan ini agar ia masak sekata atau seragam sehingga sesuai untuk diangkat dan ditoskan minyaknya. Kena sentiasa lihat dimana apabila warna asal biji durian tersebut daripada warna putih bertukar kekuningan masa sesuai diangkat dan toskan. Kemudian bagi menambahkan lagi keenakkan kerepek biji durian ini boleh bubuh sedikit garam dan ratakan. Kalau tanpa garam maka rasa kerepek biji durian ini tawar sahaja. Ada juga yang menambah perasa seperti kari, sambal dan gula untuk mengubah rasa kerepek biji durian ini. Ia sesuai dimakan terus atau dimasukkan dam plastik pembungkusan dan kemudian dijual dipasaran dengan label yang menarik. Walau pun kerepek durian ini masih kurang popular di Malaysia berbanding dengan negara jiran tetapi dengan membaca rencana dalam anim agro technology kali ini diharap anda boleh mencubanya. Wasallam!!!.

KEREPEK BIJI DURIAN... APA DIA...
BIJI DIKUMPUL... DIPROSES PULA...
DIGORENG PANAS... BUBUH PERASA...
DIBUNGKUS... JUADAH ISTIMEWA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Tangkak,
Jalan Bekoh, Tangkak,
Johor, Malaysia.
(15 JamadilAwal 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...