Support My Blog

Sunday, October 9, 2022

TANAMAN KELAPA - SATU PENILAIAN

TANAMAN KELAPA (Cocos nucifera) merupakan sejenis tanaman industri yang ke 4 terpenting selepas Kelapa Sawit, Getah dan Padi. Penanaman kelapa hibrid varieti MATAG mesti dilakukan untuk mengatasi kekurangan bekalan kelapa dalam negara. Kini program penanaman semula kelapa mendapat sambutan memberangsangkan menerusi cara memperkenalkan kelapa MATAG. Mungkin ramai dikalangan orang ramai khususnya pekebun kecil kelapa inginkan menanam kelapa varieti ini yang dikatakan mampu untuk menghasilkan sehingga 25,000 biji sehektar setahun. Merujuk dari statistik Jabatan Pertanian dilaporkan dimana keluasan tanaman kelapa berkurang setiap tahun daripada 105,659 hektar pada tahun 2010 kepada 87,550 hektar (2014) dan dijangka akan terus menurun menjadi 80,000 hektar menjelang tahun 2020. Penulis blog dapati pada tahun 2021 seluas 84,228 hektar kelapa di tanam di Malaysia dengan jumlah hasil sebanyak 566,596 metrik tan (Sumber: Booklet Statistik Keluasan Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia 2021). Pada masa ini sekitar 70% kawasan penanaman kelapa di Malaysia terdiri daripada varieti Malayan Tall (CN1) dan 20% adalah varieti Kelapa Matag (CN13, CN14 dan CN15) dan bakinya 10% dari kelapa pandan serta kelapa renek lain. Punca penurunan kawasan penanaman kelapa itu berlaku disebabkan oleh penukaran kepada tanaman lain seperti sayur-sayuran, kontan dan dijadikan kawasan perumahan serta masaalah kesukaran untuk mendapatkan benih kelapa MATAG. Jabatan Pertanian Malaysia melalui Program Pembangunan Kawasan Kelapa yang telah dilaksanakan sejak daripada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) itu dilaorkan semakin giat menjalankan program penanaman semula kelapa, pemulihan dan integrasi dengan tanaman lain. Dalam RMK ke 11 dilaoprkan sebanyak RM20 juta lagi diluluskan untuk pembangunan kawasan kelapa dan pengeluaran benih kelapa seperti dilaporkan dalam akhbar tempatan. Program ini adalah bagi memenuhi keperluan kelapa yang terus meningkat saban hari. Malaysia masih mengimport biji kelapa tua daripada negara jiran iaitu Indonesia dengan anggaran sebanyak 90-110 juta biji setahun. Kelapa import ini adalah khusus untuk kegunaan kilang memproses kelapa yang kini bilangannya sekitar sebanyak 20 - 27 buah kilang. Produk proses kelapa ini juga adalah untuk pasaran domestik dan juga pasaran eksport. Artikel malam ini sambil menonton Berita TV3 saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai catatan khas penulis mengenai industri kelapa di Malaysia (Nota*: Penulis juga adalah salah seorang pakar agronomi didalam industri tanaman kelapa dengan menulis lebih dari 300 artikel mengenai kelapa didalam blog)

Sepanjang RMK 11 dilaporkan program penanaman semula semakin mendapat sambutan yang memberangsangkan hasil penerimaan orang ramai sebagai kelapa yang berkualiti tinggi terutama kelapa MATAG.  Kelapa MATAG adalah sejenis kelapa hybrid yang dihasilkan melalui pendebungaan silang antara kelapa Malayan Red Dwarf (MRD) atau Malayan Yellow Dwarf (MYD) sebagai induk betina dengan kelapa Tagnanan Tall sebagai pokok induk jantan. Secara teknikal sebenarnya ada terdapat tiga jenis kelapa MATAG yang dihasilkan iaitu MATAG Hijau (CN13), MATAG Oren (CN14) dan MATAG Gold atau Keemasan (CN15) yang mana penulis blog terlibat langsung proses pendaftaran varieti ini dahulu. Ia bergantung kepada jenis pokok induk betina dan jantan yang digunakan semasa pendebungaan. Bagaimana pun ketiga-tiga varieti ini mempunyai ciri prestasi yang sama dari segi hasil, kaedah pengurusan dan juga cara amalan agronomi hanya warna buahnya sahaja yang berbeza. Jenis kelapa ini mempunyai ciri-ciri agronomi yang baik seperti pertumbuhan yang robust dan vigorous di ladang. Hanya benih kelapa MATAG Tulin sahaja yang disyorkan untuk penanamannya dikebun. Benih Kelapa MATAG ini boleh dibeli daripada Jabatan Pertanian Malaysia sahaja. Kalau ada penjual benih kelapa MATAG dari nurseri swasta atau pameran-pameran pertanian penulis pasti ia bukan tulia dan kemungkinan dari jenis F2 (Generasi kedua). Kelapa MATAG F2 diambil daripada pokok kelapa MATAG F1 yang benihnya tulin. Harga runcit benih kelapa MATAG di Jabatan Pertanian adalah sekitar RM5.00 sepokok pada tahun 2006 (daripada Ladang UP dan Stesyen Jabatan Pertanian) dan meningkat kepada RM15.00 dalam 10 tahun dahulu dan terakhir pada tahun 2022 dilaporkan meningkat kepada RM80.00 sepokok (dijual oleh pihak swasta yang diakui sah). Pengeluaran benih tulin Matag F1 dilaporkan tidak mencukupi berbanding dengan jumlah permintaan. 

Kelapa MATAG hasil daripada pemerhatian penulis blog mampu untuk mula berbunga pada tahun ketiga dan buah itu boleh dituai selepas setahun iaitu pada tahun keempat. Setiap bulan pokok kelapa MATAG akan menghasilkan satu mayang dan akan menjadi tandan buah jika berlaku proses pendebungaan sempurna. Ini bermakna dalam setahun setiap pokok kelapa dewasa yang subur akan menghasilkan 12 tandan buah kelapa. Bergantung kepada jumlah biji kelapa seandan, jumlah kutipan hasil kelapa boleh dikira dengan mudah. Penulis dapati pokok kelapa MATAG boleh mencapai ketinggian 15 meter dan mempunyai jangka hayat selama 30 tahun jika dijaga dengan baik. Purata pengeluaran buah kelapa MATAG dianggarkan sebanyak 140 biji sepokok setahun. Potensi hasil dengan densiti penanaman 180 pokok sehektar ialah sebanyak 25,000 biji sehektar setahun. Bilangan buah setandan adalah antara 10 hingga 22 biji. Dalam kes bekalan benih kelapa MATANG memang amat kritikal. Anak benih kelapa MATAG hanya dikeluarkan oleh dua buah Pusat Pertanian Jabatan Pertanian Malaysia iaitu Pusat Pertanian Pagoh, Johor dan Pusat Pertanian Lekir, Perak. Jabatan Pertanian Sarawak juga ada mengeluarkan sedikit d dan di Sabah juga mengeluarkan anak benih MATAG masing-masing di Pusat Penyelidikan Pertanian Tarat (Serian, Sarawak) dan Pusat Pengeluaran Benih Kelapa Menumbok serta Pusat Pertanian Kuala Penyu (Sabah). Pengeluaran benih MATAG oleh pihak swasta hanya dilaksanakan oleh pihak syarikat United Plantation Berhad (UPB) di Teluk Intan dan National Land Finance Coperative Society (NLFCS) di Sungai Siput, Perak. Terkini beberapa ladang swasta yang telah menerima persijilan daripada Jabatan Pertanian Malatsia termasuk Ladang PPNJ di Johor dan beberapa lagi.

Dilaporkan disepanjang tempoh RMK-11 (2016-2020), permintaan tahunan untuk anak benih kelapa MATAG dianggarkan sebanyak 150,000 anak benih dengan keluasan yang boleh dibangunkan adalah seluas 833 hektar (180 pokok sehektar). Daripada laporan Jabatan Pertanian yang saya rujuk dimana pada tahun 2012 juga Jabatan Pertanian Malaysia telah membangunkan kawasan ladang pokok induk betina (MRD/MRD) seluas 69 hektar di Pusat Pertanian Lekir dan dijangka dapat mengeluarkan anak benih pada tahun 2017. Dakwanya dengan adanya kawasan baharu itu maka permintaan pasaran untuk anak benih kelapa MATAG akan dapat dipenuhi iaitu sekitar pada tahun 2020 pengeluaran anak benih dianggarkan sebanyak 270,000 pokok. Bagaimana pun akibat pandemik Covi9-19 yang berlaku lebih dua tahun menyebabkan kerja-kerja amalan agronomi tidak dapat dijalankan dengan sempurna dan ianya dilaporkan menjejaskan pertumbuhan pertumbuhan pokok induk seterusnya menjejaskan program pengeluaran jadual anakbenih Matag di stesyen tersebut juga. Buat masa ini anak benih MATAG hanya boleh didapati di Pusat Pertanian Pagoh dan Pusat Pertanian Lekir dengan harga subsidi tetapi stok sedia ada adalah amat terhad untuk dijual kepada orang awam. Pihak swasta iaitu UPB dan NLFCS kini menjual anak benih kelapa MATAG dengan harga sekitar RM80 sepokok tetapi benih-benih yang dihasilkan itu akan kebanyakannya akan dibekalkan ke Jabatan Pertanian Malaysia bagi memenuhi permintaan untuk projek anjuran Jabatan Pertanian disemua negeri. Bagaimanapun dilaporkan pihak UPB tidak dapat membekalkan anak benih kelapa MATAG semenjak dari daripada tahun 2014 hingga 2016 kerana pihak UPB sendiri menggunakan anak benih itu untuk penanaman semula di estet mereka seluas 2,000 hektar berada di Teluk Intan, Perak.  Negara-negara pengeluar utama kelapa didunia seperti Filipina, India dan Indonesia hanya menggunakan jenis tempatan (sama dengan varieti Malayan Tall) untuk tujuan penanaman semula kerana kos untuk mengeluarkan benih kelapa hybrid adalah tinggi. Varieti Kelapa Tinggi ini walau pun lambat berhasil (6-8 tahun) dengan potensi hasil sederhana (12,000 - 15,000 biji sehektar) akan tetapi ia adalah varieti yang tahan lasak dan kurang kos operasi untuk pengeluaran.  Malaysia perlu menggunakan strategi baik untuk seterusnya menggalakkan penggunaan kelapa jenis hybrid yang boleh memberikan hasil yang tinggi untuk kekal bersaing walaupun dalam keluasan kecil. Oleh yang demikian kini Jabatan Pertanian Malaysia sentiasa terus memberikan tumpuan dalam mengeluar dan membangunkan tanaman kelapa jenis hybrid dan varieti kelapa premium lain bagi mempergiatkan lagi industri kelapa negara. Wasallam!.
INDUSTRI PENTING... TANAMAN KELAPA...
KELAPA MATAG... CARI BENIH SUKARNYA...
HASILNYA TINGGI... MESTI DIBERI BAJA...
TULIS ARTIKEL... INFO DI KEPALA SAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
United Plantation Estates,
Teluk Intan, Perak,
Malaysia.
(1 JamadilAkhir 1437H) dan Kemaskini pada 8 Rabiulawal 1444H
Beberapa kali membuat tinjauan di UP Plantation, Perak.
Posted from:
Room 501, Amerlald Hotel, Kg Punggai,
Sg Rengit, Pengerang, Kota Tinggi, Johor.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...