Support My Blog

Tuesday, February 7, 2012

TANAMAN KELAPA DI MALAYSIA

KELAPA (Cocos nucifera) merupakan satu jenis tanaman atau  aktiviti pertanian yang dilaksanakan oleh ramai petani tradisional di Malaysia semenjak berkurun dahulu. Sejarah tanaman kelapa bermula kebanyakannya untuk kegunaan sendiri dimana kawasan utama penanaman adalah dikawasan persisir pantai dan sebagai tanaman keling rumah. Pada masa ini terdapat seluas 110,000 hektar kawasan tanaman kelapa di Malaysia (Perangkaan Jabatan Pertanian 2011) dengan pengeluaran sebanyak 527,422 metrik tan kelapa. Keluasan ini adalah berkurangan jika dibandingkan dengan keluasan tanaman kelapa pada tahun 2005 seluas 121,011 hektar, tahun 2007 (119,701 ha) dan menurun lagi kepada tahun 2009 (100,362 hektar). Penurunan luas kawasan penanaman kelapa kerana ramai petani tradisional telah menukarkan tanaman kelapa kepada tanaman kelapa sawit. Beberapa estet swasta yang dulu menanam kelapa seperti di Perak, Melaka dan Johor juga telah menukar tanaman kelapa kepada kelapa sawit. Artikel pagi ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai status industri tanaman kelapa di Malaysia berdasarkan laporan dan pengalaman penulis.


Laporan Jabatan Pertanian menunjukkan, nilai hasil pengeluaran kelapa biji tidak menentu dimana pada tahun 2005 iaitu sebanyak RM 268.4 juta , tahun 2007 (RM 276.8 juta) dan pada tahun 2009 (RM 263.8 juta). Anggaran nilai pengeluaran kelapa di Malaysia pada tahun 2012 adalah sebanyak RM 272.6 juta dimana kebanyakannya untuk kegunaan domestik (Hanya sebahagian kecil kelapa segar yang diekspot keluar negara).  Sektor pekebun kecil merupakan kumpulan penanam dan pengeluar kelapa utama di Malaysia dimana seluas 107,890 hektar (iaitu sebanyak 98%) dan hanya seluas 2,110 hektar (Hanya 2%) sahaja diusahakan oleh estet swasta pada tahun 2010. Dari segi pengeluaran kelapa pula sebanyak 507,666 metrik tan kelapa dihasilkan oleh pekebun kecil dan hanya 19,957 metrik tan dikeluarkan oleh estet swasta. Carta rasmi daripada laporan Jabatan Pertanian pula menunjukkan penurunan pengeluaran kelapa sangat ketara pada tahun 2009 dimana hanya 379,251 metrik tan kelapa sahaja dihasilkan (berkurangan sebanyak 29% dari tahun 2010). Kekurangan tersebut diatasi dengan kerajaan mengimpot kelapa segar dari Indonesia terutama untuk kegunaan kilang memproses santan.


Kawasan utama penanaman dan pengeluaran kelapa adalah di Negeri Selangor (129,878 hektar) diikuti dengan Negeri Johor (79,469 ha), Sabah (69,318 ha), Sarawak (868,474 ha) dan Perak (58,854 ha) serta Kelantan (40,275 ha). Kawasan tumpuan tanaman kelapa di Semenanjung adalah di Sabak Bernam, Batu Pahat, Bagan Datok dimana kebanyakannya adalah tanah pamah liat atau gambut dikawasan tepi laut. Negeri-negeri lain menanam kelapa dengan keluasan kurang dari 20,000 hektar. Negeri yang paling kecil kawasan penanaman kelapa adalah Negeri Perlis iaitu cuma 1,119 hektar sahaja. Jabatan Pertanian dahulu mempunyai program khas untuk pembangunan kelapa yang dipanggil sebagai Rancangan Pembangunan Semula Kawasan Kelapa (RPSKK) pada tahun 1970'an sehingga di tamatkan pada pertengahan 1980'an. Program ini telah berjaya meningkatkan pembangunan kawasan kelapa dengan agressif dengan menggantikan varieti baru dan sistem penanaman kelapa kepada yang tersusun.  Pada masa sekarang kerajaan memulihkan kawasan kelapa dengan menggantikan pokok kelapa jenis Malaysian Tall dengan varieti baru iaitu jenis Kelapa MATAG.


Jenis Kelapa MATAG didapati lebih berhasil tinggi dengan potensi kapasiti penghasilan sehingga 40,000 biji setahun dengan pengurusan yang baik seperti dihasilkan oleh Estet United Plantation di Teluk Intan, Perak. Kalau petani dapat separuh daripada jumlah tersebut pun sudah memadai dan menguntungkan. Program penanaman semula kelapa tua dengan kelapa MATAG kini akan dilaksanakan dengan projek intergrasi dimana difahamkan penanaman kelapa akan diselingkan dengan tanaman kontan seperti nenas, pisang dan juga program ternakan seperti kambing dan ayam untuk cepat mendapatkan hasil. Isu utama program penanaman kelapa MATAG sekarang adalah kekurangan benih kelapa MATAG yang hanya dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia dan United Plantation Estate Bhd sahaja. Harga benih kelapa MATAG sepokok kini telah dijual pada harga RM 22.00 satu pokok berbanding dengan cuma RM 6.50 ketika diperkenalkan dahulu (sekitar awal tahun 1990'an)


Bekalan dan permintaan kelapa di Malaysia terus meningkat setiap tahun dengan bertambahnya penduduk terutama di musim-musim perayaan utama oleh umat Islam di Malaysia. Kelapa merupakan tanaman pelbagai guna dimana daripada batang, buah dan daunnya mempunyai nilai untuk dipasarkan cumanya pulangannya agak rendah berbanding dengan tanaman lain seperti Kelapa Sawit, Getah dan Tanaman Sayuran. Terdapat hanya beberapa petani aktif di Batu Pahat, Selangor dan Perak yang mendakwa mempunyai pendapatan dari hasil kelapa setanding dengan kelapa sawit dan getah setelah mengusahakan tanaman jenis Kelapa MATAG. Kajian saya mendapati Harga Kelapa di Kupas Gred Besar sekitar RM 75.00 setiap 100 biji diladang dan RM 100.00 setiap 100 biji  pada Harga Borong pada tahun 2010. Harga jualan runcit pula sekitar RM 1.40 sebiji.  Bagi kategori Kelapa di kupas gred sedang pula dijual harga runcit RM 1.20 sebiji dan Kelapa dikupas gred Kecil dijual harga runcit sebanyak RM 0.96 sebiji.  Harga kelapa dikupas tidak bergred pula dijual pada harga ladang sebanyak RM 45.00/100 biji dan harga runcit pada RM 1.20 sebiji. Harga Kelapa Muda (khususnya untuk minuman air kelapa) dijual pada Harga Ladang RM 90.00/100 biji dan harga Borong RM 130.00/100 biji serta jualan harga runct sebanyak RM 2.06 sebiji. 


Industri tanaman kelapa di Malaysia masih relevan dengan permintaan produk kelapa yang terus meningkat. Jadi jangan pandang sepi kepentingan penanaman kelapa dan rintihan petani yang mengusahakan tanaman kelapa. Banyak usaha perlu dijalankan bagi mempastikan industri tanaman kelapa akan terud dijaga jangan sampai nanti Malaysia akan menjadi 'net importer' buah kelapa sedangkan kita mempunyai tanah, kepakaran dan teknologi yang mencukupi untuk pembangunan sektor ini. Sikap petani yang suka menukarkan tanaman kelapa (Cocos nucifera) kepada tanaman Kelapa Sawit (Elaeis guineensis) perlu dilihat implikasinya pada masa akan datang. Walau pun kini banyak santan proses yang diimpot dari negera jiran (khususnya dari Indonesia) dengan jenama seperti KARA, industri pemprosesan produk kelapa tempatan perlu terus diberi perhatian. Semuga catitan di pagi ini (cuti Thaipusam) akan memberikan informasi berguna kepada anda semya!


POKOK KELAPA...POKOKNYA DAH TINGGI.....
BUAH DAH KURANG...BILA HENDAK DIGANTI...
NAK CARI SANTAN...MEMANG HENDAK YANG ORI...
INDUSTRI KELAPA..PERLU DI MAJUKAN LAGI....


Related articles:
1. Coconut (Klik disini)
2. Benih Kelapa Matag (Klik disini)
3. Air kelapa Muda (Klik disini)
4. Air Nira (Klik disini)
5. Gula Melaka (Klik disini)
6. Lebah Keran (Klik disini)


By,
M Anem
Pct 11, Putrajaya,
Malaysia
(15 RabiulAwal 1433H)       

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...