Support My Blog

Friday, February 10, 2012

HIDROPONIK NFT

TEKNOLOGI HIDROPONIK ada berbagai jenis daripada Teknologi Hidroponik Takung, Teknologi Hidroponik Gantung (Aeroponic), Teknologi Hidroponik Auto-Pot,  Hidroponik 'Wick Feeding Technique', Hidroponik 'Deep Water Culture -DWC', Hidroponik 'Flood and Drain' serta pelbagai lagi dan yang terkini Teknologi Hidroponik 'Nutrient Flow Techniques'. Mungkin tidak ramai diantara kita kenal akan teknologi ini yang banyak digunakan di kawasan Tanah Tinggi Cameroon Highland terutama untuk tanaman tomato, Salad dan beberapa jenis sayuran bernilai tinggi yang lain. Saya berpengalaman mempelajari dan sempat membuat pemerhatian teknologi ini di Kawasan Pengeluaran Sayuran Komersil di Cameroon Highland beberapa kali. Artikel kali ini saya berkongsi maklumat mengenai Teknologi Hidroponik 'Nutrient Film Technique - NFT' untuk bacaan semua bagi menambah ilmu pengetahuan. 


Sistem Hidroponik NFT merupakan satu sistem yang sangat Efektif dan produktif diantara beberapa sistem hidroponik yang digunakan. Kita di Malaysia telah diperkenalkan dengan Sistem Hidroponik Takung semenjak awal taahun 1980'an dimana Jabatan Pertanian telah memperkenalkan sistem tersebut menggunakan teknologi takung dengan tray polystyrene yang mempunyai 8 - 12 lubang penanaman dan pakej pembajaan hidroponik yang cukup mudah. Kebanyakan hidroponik takung adalah untuk hobi sahaja tetapi terdapat beberapa usahawan yang telah mengkomersilkan sistem hidroponik takung di Melaka dulu. Teknologi Hidroponik NFT agak lebih kompleks sedikit bagi mereka yang baru mengenali pertanian cara hidroponik. Rajah disebelah menunjukkan konsep mengenai Hidroponik NFT dimana air baja daripada tong simpanan akan dipam naik kedalam palung yang diletak diatas para secara senget agar air baja mengalir turun kebahagian palung yang agak rendah. Lapisan air yang mengalir pada paras air 1-3 mm dalam palung (Lapisan air baja nipis - NFT) dan jika ada lebihan yang tidak diambil oleh akar tumbuhan akan masuk semula kedalam takung simpanan.


Pengaliran air tersebut dikira sangat cekap untuk diserap oleh akar tumbuhan kerana pergerakan lapisan air nipis yang perlahan dan kadar aliran yang tetap (constant water thin film flow). Lebihan air yang tidak diserap akan turun dan masuk semula kedalam takungan air simpanan baja dan boleh dipam semula kedalam sistem palung dan proses ini berterusan. Komponen Hidroponik NFT adalah Tong Simpanan Air Baja (Saiz isipadu bergantung kepada kuantiti lubang tanaman), Pam Air (Submesible Pump dan Pam Air), Sesalur (PVC atau Polypipe atau HDPE), Takung atau Palung Penanaman, Sistem Para atau Rak yang boleh ubahsuai (Tinggi sebelah), Penutup Palung berlubang untuk Penanaman (Growing Tray), Media Tanaman dan juga mangkuk tanaman (Net Pots).


Pemasangan Sistem Hidroponik NFT perlu di sesuaikan dibawak Sistem Struktur Pelindung Hujan (SPH) untuk mengelakan gangguan air hujan yang akan menyebabkan sistem ini kurang cekap kerana air hujan cairkan larutan baja dan menyebabkan serangan kulat.  Saiz struktur SPH juga disesuaikan dengan jumlah penanaman yang hendak dibuat sama ada kecil atau besar. Adalah lebih baik jika dipasang jaring keliling SPH untuk dijadikan Struktur Kalis Serangga (SKS) bagi mengurangkan gangguan serangan serangga perosak dan tidak perlu menggunakan sebarang semburan racun serangga terutama untuk tanaman saayuran daun seperti Salad, Lettuce dan sebagainya. Sistem Hidroponik NFT memeng tidak sesuai dipasang dikawasan terbuka tanpa pelindung hujan dinegara kita Malaysia.


Pastikan kita mendapatkan khidmat pemasangan dari mereka yang pakar dalam cara pemasangan sistem Hidroponik NFT kerana kalau tidak ada kemahiran memasang sistem ini, maka akan berlaku kebocoran pada takung atau tiub sesalur yang mengakibatkan kehilangan air baja. Kepakaran untuk mempastikan sistem pam air yang ada untuk membenarkan hanya 1-3 mm air yang mengalir dan darjah kecerunan palung takung juga perlu tepat. Keperluan bekalan tenaga letrik adalah sangat kritikal untuk sistem Hidroponik NFT sebab jika letrik gagal terganggu maka pam air tidak mampu mengepam air naik kedalam takung. Jika pam air baja tidak berfungsi dalam masa lama terutama pada waktu siang hari maka akan menyebabkan pokok terencat, layu malahan boleh menjadikan tanaman akan mati. Oleh itu bagi kawasan pengeluaran sistem hidroponik komersil perlu ada genset letrik tambahan sebagai 'back-up power'. 


Sistem Hidroponik NFT adalah sangat cekap dan effisien untuk mendapatkan hasil yang optima. Hanya bahagian hujung akar yang aktif akan menyentuh lapisan air baja didalam palung dan bahagian batang pokok, daun dan buah akan disokong menggunakan sistem gantung dengan kawat atau tali terus kepada struktur SPH. Bagi penanaman Tomato dan Cili Benggala kaedah ini memang sangat sesuai selain daripada kaedah sistem fertigasi konvensional. Lazimnya di kawasan Cameroon Highland sistem Hidroponik NFT digunakan untuk menanam sayuran daun tyerutamanya jjenis Salad dan Sayuran Daun lain yang bernilai tinggi. Penyelenggaraan sistem ini perlu dijalankan setiap kali menuai hasil dengan membersihkan palung dan takung menggunakan air bersih terutama daripada lumut (algae) yang akan menganggu pengaliran air jika tidak dibersihkan. Ada yang menyembur cat kepada takung dan palung untuk elakan karat dan kebocoran (Jika ada) dan mempastikan ianya lebih tahan lama.


Pada keseluruhannya sistem Hidroponik NFT adalah mudah, murah dan sangat efisien untuk digunakan. Paling penting adalah usahawan perlu ada ilmu dan kemahiran untuk menguruskan sistem ini terutama dalam mengawal bancuhan air baja, penyediaan tapak semaian (dalam kes tanaman salad) dan juga masa yang mencukupii untuk menjaga sistem ini. Sistem ini merupakan kaedah yang telah lama digunakan dinegara maju untuk penghasilan sayuran yang bersih, berkualiti dan pendapatan yang lumayan terutama untuk beberapa jenis sayuran bernilai tinggi. Sampai masanya kaedah ini diperluaskan dinegara kita untuk menjamin bekalan makanan yang selamat dimakan dan mencukupi. Wasallam...


By,
M Anem
Cameroon Highland,
Pahang, Malaysia

(18 RabiulAwal 1433H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...