Support My Blog

Thursday, February 16, 2012

FERTIGASI GANTUNG

FERTIGASI GANTUNG adalah satu sistem tanaman fertigasi yang pernah dijalankan oleh seorang pengusaha di kebun sayuran di TKPM Pulau Manis, Kuantan, Pahang iaitu En Ramli Edrus dan plot pemerhatian Jabatan Pertanian di beberapa Stesyen Petanian di Pahang sebagai satu cara yang telah menerima pengiktirafan dalam pengamalan teknologi oleh Jabatan Pertanian.  Terdapat banyak sistem fertigasi yang saya tulis sebelum ini dijalankan oleh petani bergantung kepada kesesuaian teknologi, modal asas, jenis tanaman, kaedah pengurusan (Terbuka atau di bawah Struktur Pelindung Hujan) dan juga pasaran hasil. Setiap sistem mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing bagi mengatasi masaalah lokaliti. Penanaman sayuran konvensional dikawasan terbuka merupakan satu cara penanaman yang palig banyak diamalkan di negara kita dengan pengguanan batas tanaman, penutup plastik silvershine, penggunaan sistem 'para trellis' dan sebagainya. Teknologi Fertigasi Gantung akan menambahkan lagi teknologi fertigasi sebagai satu alternatif kepada usahawan dan petani yang ingin mencubanya.


Penanaman sayuran dikawasan kebun terbuka memang sentiasa terdedah kepada risiko kerosakan tanaman akibat faktur cuaca, serangan perosak dan penyakit dan juga kesuburan tanah yang tidak menentu. Tanah subur dinegara kita kebanyakannya telah diambil oleh penjajah dahulu untuk penanaman tanaman industri seperti getah dan kelapa sawit dengan luas melalui pengurusan Estet Swasta. Tanah disekitar kampong yang kurang subur seperti tanah gambut, tanah liat, tanah bekas lombong, tanah bris, tanah asid sulfat boleh dimajukan untuk tanaman sayuran tetapi hasilnya marginal dan memerlukan kos yang agak tinggi. Kos sebanyak purata RM 6,000 - RM 7,000 diperlukan setiap hektar bagi tujuan pemulihan tanah untuk lebih subur dan sesuai untuk penanaman sayur.  Kaedah Fertigasi Gantung boleh digunakan sebagai satu alternatif teknologi yang boleh dilaksanakan dikawasan seperti ini.  Keadaan banjir kilat dan 'soil borne disease' serta kos kawalan rumpai yang agak tinggi juga menjadi satu masaalah didalam penanaman sayuran.


Fertigasi Gantung Terbuka (Hanging Open Fertigation) merupakan satu kaedah menanam dengan menggunakan bekas (Polibeg) yang digantung pada sistem para terus dan tidak diletakan diatas tanah seperti biasa diamalkan. Sistem ini sesuai untuk tanaman sayuran buah seperti Timun (Cucumis sativus), Kacang Panjang (Vigna sinensis), Petola (Luffa acutagula) dan Terung Panjang (Solanum melongena). Pemerhatian menunjukkan kaedah ini dapat mempercepatkan pengeluaran hasil 1 (satu) minggu lebih cepat daripada cara penanaman konvensional dan didapati jangkahayat tumbuhan dapat dipanjangkan sehingga 7-10 hari lebih lama. Bagi keluasan 0.4 hektar (1 ekar) keperluan bahan fertigasi gantung adalah Tiang Kayu (1,10 batang), Polibeg 14"x16" (4,235 keping), Dawai kasar 8G 3.5mm (4,441 meter), Dawai Kasar 10G 2.8 mm (5,551m), Tali Nylon 2m (85 gulong), Media cocoapeat (847 beg), Dulang semaian (41 unit), Peat moss (3 beg), PE Tubing 13mm (2,220 meter), Mini Tubing (2,118 meter), Nipper+Arrow dripper (4,235 biji), Benih Tanaman (0.6 kg),Baja Fertigasi 20 set (A+B) dan pam air 2 hp (1 buah).


Sistem Para dipasang dengan kukuh untuk menggantung polibeg dan sistem pengairan menggunakan PE Tubing. Setiap polibeg yang telah diisikan denga media tanaman akan digantung menggunakan kawat duri dan semai benih tanaman didalam dulang semaian dengan media peat moss. Anakbenih akan tumbuh dan menjalar pada dawai trellis yang telah disediakan seperti gambar disebelah. Baja larutan fertigasi (Baja fertigasi A+B) dipam masuk melalui PE Tubing yang dipasang bersambungan antara polibeg dan mempunyai nipper setiap pokok. Kekerapan pembekalan air baja fertigasi mengikut kadar yang disyorkan. Cara-cara pembajaan perlu disesuaikan diantara musim panas dengan musim hujan. Tunas yang baru keluar perlu diajar untuk menjalar diatas para dawai yang disediakan.  Penuaian mudah dijalankan kerana hasil dapat dilihat dengan mudah dan senang untuk mengutipnya. Bahan kimia seperti racun boleh dijalankan bersama air baja mengikut kesesuaian dan keadaan disesuatu lokasi.


Secara amnya saya dapati bahawa sistem ini dapat meningkatkan pulangan pendapatan lebih baik disebabkan oleh peningkatan hasil melalui penggunaan baja yang lebih efisien atau cekap, jangkahayat ekonomik tanaman lebih lama, kurang risiko kerosakan tanaman akibat banjir kilat, kurang risiko diserang penyakit dari 'soil borne' dan nampak macam 'cara teknologi moden'. Kawasan tanaman timun seluas 0.4 hektar mampu memberikan hasil sebanyak 21,175 kg dengan pendapatan kasar sebanyak RM 21,175 dengan jualan timun pada harga ladang RM1.00 sekilogram. Kos bagi sistem fertigasi gantung adalah sekitar RM 6,144.00 dan ini memberikan keuntungan bersih sebanyak RM 15,030.00 (0.4 hektar). Sebagai perbandingan berdasarkan Buku  Anggaran Kos Pengeluaran dan Pendapatan Tanaman Timun yang direkodkan oleh Jabatan Pertanian, penanaman timun secara konvensional diatas tanah hanya memberikan pendapatan bersih sebanyak RM 4,358.00 (0.4 hektar). Pemerhatian ini menunjukkan pendapatan bersih hampir 3.4 kali ganda diperolehi oleh petani dan perlu digalakan lagi.  maklumat diatas adalah berdasarkan kertaskerja yang dibentangkan dalam Seminar Teknikal Jabatan Pertanian 2009 yang dibentangkan pada tahun 2009 di Kementerian Pertanian Putrajaya. Selamat mencuba!


FERTIGASI GANTUNG...PELIK BUNYINYA...
MACAM SUSAH BUAT...BELUM MENCUBANYA...
HASIL MENINGKAT...KURANG RISIKONYA...
HENDAK TAHU LANUT..BANYAK TANYA...


Related articles:
1. Cucumber atau Timun (Klik disini)
2. Hidroponik NFT (Klik disini)
3. Hidroponik (Klik disini)
4. Melon (Klik disini)
5. Hujan (Klik disini)


By,
M Anem
Kuantan, Pahang, 
Malaysia.
(23 Rabiulawal 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...