Support My Blog

Friday, August 7, 2020

PENYAKIT LAYU PISANG - SEBAB APA? (Part 1)

PENYAKIT LAYU PISANG DI MALAYSIA adakah ianya berpunca daripada serangan Penyakit Moko atau Penyakit Darah Pisang (BDB) atau penyakit lain?. Penulis blog dapati sehingga artikel ini ditulis pun masih banyak lagi kecelaruan dikalangan saintis, agen pengembangan pertanian apa lagi dikalangan pengusaha tanaman pisang dan petani kecil. Dari rekod menunjukkan tanaman pisang ialah tanaman buah-buahan popular yang ditanam di Malaysia untuk pasaran domestik dan eksport. Keluasan penanaman pisang direkod sebagai kedua tertinggi dengan keluasan antara 27,454 ha sehingga seluas 33,495 ha setahun mengikut statistik Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) dari tahun 2009 - 2013 dengan pengeluaran masing-masing dianggarkan antara 279,762 sehingga sebanyak 357,745 t/tahun. Pada tahun 2018 dilaporan seluas 35,156 hektar dengan pengeluaran hasil sebanyak 376,690 metrik tan (Sumber: Booklet Statistik Tanaman Buah-buahan, Jabatan Pertanian Malaysia 2018). Di Malaysia ada laporan menyatakan dimana kedua-dua kumpulan pisang ditanam adalah untuk ‘makan segar’ dan ‘untuk proses’ ditanam hampir di seluruh negeri. Data diatas juga penulis blog dapati keluasan penanaman dan hasil pisang telah meningkat apabila penyakit layu dan moko telah dapat dibendung dengan beberapa kaedah dalam tempoh agak lama (2018 - 2006 = 12 tahun berlalu). Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis semula kajian oleh pusat penyelidikan MARDI, pemerhatian oleh Jabatan Pertanian dan laporan oleh UPM mengenai penyakit pisang untuk bahan rujukkan anda semua.

Antara jenis-jenis pisang dalam kumpulan ‘untuk proses’ yang ditanam ialah pisang Nangka, Nipah, Tanduk, Raja Lang dan Awak manakala pisang dalam kumpulan ‘makan segar’ pula ialah pisang Berangan, Cavendish, Rastali dan Mas. Pada masa ini hampir 50% daripada keluasan semua tanaman pisang di negara ini ditanam dengan pisang Berangan dan Cavendish. Sejak serangan penyakit layu bakteria mula menyerang tanaman pisang pada tahun 2007 di Johor (Ia dikenalpasti pada tahun 2006 di Johor) kemudian dilaporkan hampir 60.7% kawasan pisang dilaporkan dijangkiti dengan penyakit ini. Semasa mula ianya dikesan oleh Jabatan Pertanian dilaporkan dimana penyakit layu bakteria ini dikenali sebagai Penyakit Moko dengan agen penyebabnya ialah Ralstonia solanacearum. Kajian2 lanjut mengenai pengenalpastian yang dijalankan ke atas penyakit ini mendapati penyakit layu bakteria pada pisang di negara ini bukan disebabkan oleh penyakit Moko akan tetapi disebabkan oleh Penyakit Darah pada pisang yang mana ian adlah disebabkan oleh Blood Disease Bacterium (BDB). Apa pun di kalangan ramai mereka lebih mengenalinya dengan simptom penyakit Moko sahaja kerana itulah yang dinyatakan oleh agen pengembangan. Penulisan saya pun banyak mengenai serangan penyakit Moko pisang.

Mengenai latar belakang asal usul akan Penyakit BDB pertama kali dilaporkan pada tahun 1906 di Kepulauan Saleiran, Sulawesi, Indonesia. Jangkitan bakteria ini dilaporkan menjadi serius pada tahun 1916 sehingga kawasan tanaman tersebut terpaksa ditinggalkan kosong. Pada awal tahun 1920 dilaporkan dimana penyakit ini mula tersebar ke Selatan Sulawesi pula dan menjangkiti kultivar pisang Kepok (Kita panggil Pisang Kapok - sama seperti pisang Nipah) iaitu jenis pisang tempatan dan juga beberapa spesies pisang liar. Ketika itu dilaporkan jenis bakteria ini dikenali sebagai Pseudomonas celebensis dan kemudian dikenal pasti sebagai spesies Xanthomonas spp. Laporan terkini pula telah mengesahkan bahawa patogen ini merupakan salah satu strain dalam kompleks spesies iaitu  Ralstonia solanacearum akan tetapi berbeza jenis fitotip (Phytotypes) berbanding dengan patogen penyebab penyakit Moko. Simptom penyakit ini kelihatan seakan-akan simptom penyakit Moko akan tetapi didapati perumahnya terhad pada tanaman pisang sahaja dan tidak menyerang tanaman lain seperti tanaman dari keluarga Solanaceae yang boleh diserang oleh penyakit Moko. Penyakit yang pada awalnya terhad pada beberapa daerah di Indonesia kini dilaporkan telah tersebar ke kawasan lain. Di Malaysia ada laporan awal dimana penyakit ini telah tersebar di negeri Johor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Sarawak. Jabatan Pertanian sentiasa melaporkan akan kehadiran penyakit ini dengan sistematik dan berusaha mengawalnya melalui satu Jawatankuasa Khas di Bahagian Biosekuriti Tumbuhan.

Apa pun semua perlu tahu apakah dia simptom penyakit Penyakit Darah Pisang atau pun Blood Disease Banana (BDB) menunjukkan simptom yang sama dengan penyakit Moko. Simptomnya adalah layu yang bermula dari pucuk apabila daun-daun muda akan menunjukkan simptom daunnya kekuningan dan pucat, bergulung, nekrotik dan mengering. Akhirnya pada sulur akan menjadi layu dan mati dan buah pisang yang diserang pada peringkat awal tumbesaran akan terencat, masak awal dan reput. Walaupun buah yang dihasilkan kelihatan normal di bahagian luar, tetapi apabila dipotong isinya kelihatan membusuk, berwarna kuning kemerahan dan mereput. Tangkai buah pula berubah warna, bunga jantan iaitu jantung pisang menjadi busuk, berair dan rosak. Tisu vaskular akan kelihatan membusuk kehitaman dan apabila batang pokok dipotong secara merentas, terdapat jalur-jalur merah keperangan dikesan pada tisu vaskular (Sila  lihat foto disebelah). Sekiranya direndam di dalam air, batang pokok pisang yang dijangkiti akan mengeluarkan cecair putih atau ooze yang kelihatan seperti susu (Foto dalam Part 2). Pokok yang diserang itu akhirnya akan layu dan mati. Sebaran penyakit ini boleh berlaku pada pisang yang ditanam di kawasan yang sumber tanah dan airnya tercemar dengan bakteria ini. Jangkitan ini juga boleh berlaku melalui alat atau jentera pertanian dan melalui serangga yang hinggap pada bunga jantan yang telah dijangkiti penyakit yang kemudian hinggap pula pada bunga tanaman pisang yang lain. Semuga artikel ini boleh menjadi bahan rujukan semua pembaca blog anim agro technology yang saintifik sekali penulisannya. Artikel ini ada dua bahagian iaitu Part 1 dan Part 2 untuk dibaca bersama. Terimakasih kepada pihak MARDI, Jabatan Pertanian dan rakan penulis blog yang berkongsi maklumat. Wasallam!!...
PENYAKIT MOKO... BDB KELIRUNYA....
APABILA MENYERANG...SIMPTOM SAMA....
RUPANYA STRAIN LAIN... SUDAH JUMPA...
BACA AARTIKEL... SUDAH FAHAM SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist Expert,
Room 221, Hotek Leged Inn,
Jalan Long Jaafar, Taiping,
Perak, Malaysia.
(!8 Zulhijjah 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...