Support My Blog

Tuesday, August 25, 2020

CENDAWAN KUKUR GUNA BEG MEDIUM

CENDAWAN KUKUR (Schizophyllum commune) adalah sejenis cendawan yang mempunyai tudung bergelombang dan tidak mempunyai tangkai (batang). Keunikan namanya terletak pada rupa bentuk tudung bergerigi yang menyerupai alat pengkukur kelapa. Pelbagai nama juga telah diberikan kepada cendawan ini seperti cendawan sisir, cendawan sikat dan cendawan kerang. Masyarakat Melayu khususnya mereka yang tinggal di Negeri Sembilan amat gemarkan cendawan kukur terutamanya dalam masakan lemak cili api. Saya ada menulis beberapa artikel mengenai cendawan kukur dalam blog ini untuk dibaca (Sila klik disini), (Sila klik disini)(Sila klik disini) dan banyak lagi. Sekarang penulis blog dapati ada lonjakan permintaan domestik terhadap cendawan termasuk cendawan kukur dan ini juga telah menyebabkan pelbagai jenis cendawan membanjiri pasaran. Paling popular adalah cendawan Tiram Kelabu (Pleurotus pulminarius) yang segar dipasaran. Peningkatan kesedaran awam mengenai khasiat cendawan dilaporkan memang turut membantu mempromosikan cendawan. Jenis cendawan yang lazim terdapat di pasar besar ialah cendawan tiram kelabu, cendawan tiram putih, cendawan tiram raja, cendawan telinga kera, cendawan butang, cendawan jarum emas, cendawan shitake dan sebagainya. Kebanjiran banyak jenis cendawan di pasaran telah menyebabkan penggemar merevolusikan penghasilan produk makanan berasaskan cendawan. Pelbagai jenis produk makanan diperkenalkan, antaranya ialah bergedel cendawan, serunding cendawan, burger cendawan, keropok lekor cendawan, cucur cendawan dan sebagainya. Pengamal makanan vegetarian menjadikan cendawan sebagai satu bahan asas untuk jenis masakan menggantikan protein. Inovasi produk cendawan turut mencakupi penghasilan pelbagai jenis makanan ringan dengan pelbagai jenis perisa sama ada pedas, masam, BBQ dan bawang putih tanpa menjejaskan khasiatnya. Ramai kini yang tidak mengenali cendawan kukur terutamanya generasi muda kerana cendawan ini sukar diperoleh dan hanya boleh didapati pada musim hujan sahaja. Perkara ini menjadi satu kerugian kepada masyarakat kerana cendawan kukur merupakan identiti biodiversiti cendawan yang terdapat di Malaysia selain cendawan busut dan cendawan susu harimau. Cendawan kukur juga mempunyai pelbagai khasiat dan zat serta kebaikan dari segi kesihatan terutamanya membantu dalam meningkatkan imunisasi. Justeru, cendawan kukur mempunyai potensi untuk dikomersialkan supaya lebih dikenali dan diminati penggemar cendawan. Cendawan kukur mempunyai bentuk kecil dan memutih. Hanya kelopaknya berkembang di sekitar celah-celah bahagian rongga batang kayu getah tumbang. Melalui penyelidikan dan pembangunan, kelestarian cendawan kukur dapat dikekalkan serta dikomersialkan untuk memenuhi permintaan pasaran domestik. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai teknologi menggunakan beg khas untuk menanam cendawan kukur bagi menggantikan kayu getah reput secara alaminya.

Pada penulis blog yang banyak menulis mengenai cendawan mendapati industri ini dijangka akan terus berkembang dengan kadar permintaan yang terus meningkat. Kini ada pelbagai inovasi masakan telah dicipta seperti popia cermin cendawan kukur dan sup krim cendawan kukur. Penyediaan beg medium untuk ianya digunakan dalam pertumbuhan cendawan kukur yang mana ia mengandungi bahan asas seperti habuk kayu getah, dedak dan kapur pertanian sesuai dilakukan (Sila lihat foto disebelah). Sebaiknya kadar campuran disyorkan adalah  dengan nisbah 100 : 50 : 1 mengikut berat. Campuran ini mesti dimasukkan ke dalam mesin pengaduk (mixer) atau digaul secara manual. Air perlu disiram secukupnya untuk memperoleh 65 - 70% lembapan. Air adalah mencukupi jika campuran tidak berderai apabila dikepal atau digenggam. Peratusan lembapan mempengaruhi pertumbuhan miselium cendawan. Pengisian beg medium dilakukan dengan mencampurkan dan memasukkan media ke dalam beg polipropilena (polypropylene) sama ada dengan kaedah menggunakan mesin pengisi (filler) atau secara manual. Campuran dimampatkan dengan menghentak beg secara perlahan. Pada penulis blog sering melihat dimana ada pelbagai jenis saiz beg polipropilena boleh digunakan bergantung kepada pengusaha.

Apa pun saiz beg plastik yang disyorkan adalah berukuran 9 cm x 25 cm. Selepas dipadatkan kemudian bahagian atas beg disarungkan dengan tengkuk (neck) dan ditutup dengan menggunakan sama ada kapas atau span. Pengukusan beg medium yang telah siap perlu dikukus dengan menggunakan alat pengukus (steamer) untuk tujuan membasmi mikroflora yang terdapat pada campuran bahan asas supaya tidak merosakkan beg medium dan tidak akan merencatkan pertumbuhan miselium cendawan. Suhu pengukusan ditentukan pada 90 ° C selama 6 - 8 jam dan diukur dengan menggunakan jangkasuhu. Namun begitu, jangkamasa pengukusan boleh disesuaikan dengan suhu. Sebaik sahaja pengukusan selesai, beg medium dikeluarkan dan disejukkan kepada suhu bilik di dalam bilik suntik benih. Bilik suntik benih hendaklah dibersih dan dibasmi kuman sebelum suntikan benih dimulakan. Penyuntikan benih Beg benih cendawan kukur diramas untuk meleraikan bijirin supaya suntikan mudah untuk dilakukan. Lapkan beg benih cendawan kukur dengan 75% etanol dan dikeringkan dengan menggunakan tisu. Benih cendawan kukur dimasukkan ke dalam beg medium yang telah siap dikukus. Pastikan penutup dan habuk kayu di dalam beg medium tidak dicemari kotoran semasa proses penyuntikan benih. Sekiranya benih cendawan kukur diperoleh dalam bentuk botol, pencungkil digunakan untuk meleraikan bijiran. Pencungkil dipanaskan dengan menggunakan api dan disejukkan sebelum cungkilan benih dilakukan untuk memastikan tiada pencemaran berpunca daripada pencungkil yang digunakan.

Proses pengeraman beg cendawan dilakukan di dalam rumah cendawan. Sebelum digunakan, rumah cendawan hendaklah dibersihkan terlebih dahulu dengan menggunakan kapur (gipsum) dan 10% klorox yang disembur pada rak dan lantai rumah cendawan. Rak dan lantai rumah cendawan dibiarkan kering sepenuhnya sebelum pemindahan beg cendawan dilakukan. Kaedah yang sama juga digunakan jika sistem gantungan beg cendawan digunakan di dalam rumah cendawan. Beg cendawan yang siap disuntik disusun secara menegak di dalam rumah cendawan. Jika ketiadaan rak, beg cendawan boleh diletakkan di lantai bilik suntikan. Beg cendawan diperam selama 30 - 35 hari pada suhu 28 - 30. Fasa pertumbuhan cendawan Sebaik sahaja beg cendawan matang (miselium memenuhi beg cendawan) (Gambar 8), beg akan ditoreh sebanyak 5 torehan secara menegak (Gambar 9) untuk memberi ruang pertumbuhan/pengeluaran cendawan berlaku. Beg cendawan yang telah ditoreh, akan digantung atau diletakkan kembali di atas rak. Hasil dipungut selepas 7-10 hari torehan dilakukan. Selepas tuaian pertama, beg cendawan direhatkan selama 12-14 hari sebelum tuaian kedua dilakukan. Setiap beg cendawan boleh menghasilkan lebih kurang 40-50 g cendawan kukur setiap kali tuaian. Pengendalian lepas tuai cendawan kukur Selepas dituai sebaiknya cendawan kukur boleh dikeringkan supaya dapat disimpan dengan lebih lama lagi. Kaedah pengeringan cendawan kukur boleh dilakukan sama ada dengan menggunakan sinaran matahari atau menggunakan oven pengering. Namun begitu, adalah digalakkan untuk menggunakan oven pengering bagi mengekalkan kebersihan dan tahap kekeringan cendawan kukur supaya konsisten. Untuk mengekalkan tahap kekeringan, cendawan kukur dibungkus dengan menggunakan plastik lut sinar. Gel silika jenis gred makanan (food grade) dimasukkan ke dalam bungkusan untuk memastikan kandungan udara di dalam beg adalah kering dan secara tidak langsung dapat meningkatkan jangka hayat cendawan kukur. Cendawan kukur kering perlu direndam terlebih dahulu untuk melembutkannya sebelum digunakan dalam sebarang jenis masakan. Tiada pengurangan cita rasa antara cendawan kukur segar dengan cendawan kukur kering.

Kawalan perosak dan penyakit adalah perlu dilakukan kerana sering pengusaha cendawan kecewa apabila gagal mengawal perosak dan penyakit. Perkara ini adalah disebabkan oleh serangan serangga perosak dan haiwan kecil. Bakteria, kulat dan virus juga tidak terkecuali sebagai penyumbang dalam kerosakan beg cendawan dan juga cendawan. Pengendalian rumah cendawan yang baik dan bersih dapat menghindarkan serangan serangga perosak. Antara kaedah yang boleh dilakukan antaranya adalah menyembur bahan Methyl bromide dengan sukatan yang betul untuk kawal serangan hama. Semburan dengan racun serangga khusus untuk mengawal serangan anai-anai dengan bahan seperti cypermethrin, permethrin atau chloropyrifos. Petani ini boleh juga menyembur racun serangga berbahan aktif seperti kelthane atau malathion untuk serangan labah-labah sebelum bongkah dimasukkan ke dalam rumah cendawan. Cendawan juga turut diserang beberapa penyakit lain dimana ini akan merosakkannya. Antara simptom cendawan diserang penyakit adalah seperti cendawan berlendir, busuk, berlubang dan sebagainya. Kehadiran mikroorganisma atau agen penyebab penyakit adalah disebabkan oleh proses pensterilan tidak dilakukan dengan betul. Penggunaan pembasmi kuman 0.5% formalin, 70% klorox atau 10% alkohol amat digalakkan ketika mengendalikan pensterilan. Penggunaan racun kulat seperti Benlate, Bavitsin, WP atau Bravo 500 boleh mengelak daripada serangan kulat terjadi. Aspek kebersihan pekerja turut dititikberatkan supaya dapat mengurangkan atau mengelakkan daripada cendawan diserang penyakit.

Pada penulis blog selalu melihat dimana dikalangan masyarakat Melayu amat sinonim dengan cendawan kukur kerana sering kali digunakan dalam masak lemak cili api. Inovasi produk baru berasaskan cendawan telah menyebabkan peningkatan permintaan terhadap cendawan kukur. Teknologi penanaman cendawan kukur menggunakan beg medium telah menjadikan cendawan kukur sebagai sayuran tanpa musim yang boleh diperoleh setiap masa. Kaedah penanaman yang tidak banyak beza daripada penanaman cendawan tiram kelabu membuatkan pengusaha cendawan dapat mempelbagaikan penanaman cendawan. Secara tidak langsung dapat menambahkan pendapatan sampingan. Namun begitu, cendawan kukur tidak digalakkan untuk ditanam bersama cendawan tiram kelabu di kawasan yang sama untuk mengelakkan penguasaan cendawan kukur terhadap cendawan tiram kelabu. Melalui pengenalan teknologi penanaman cendawan kukur ini, diharap dapat mewarnai industri cendawan tempatan Penjanaan teknologi penanaman cendawan kukur dilihat dapat mempelbagaikan aktiviti pengusaha cendawan tempatan yang banyak bertumpu kepada penanaman cendawan tiram kelabu. Penggunaan kaedah yang hampir sama dengan penanaman cendawan tiram kelabu memudahkan pengusaha cendawan untuk beralih ke penanaman cendawan kukur. Malahan harga sekilo cendawan kukur boleh menjangkau RM35 - RM50 berbanding dengan cendawan tiram kelabu sekitar RM10 -RM12/kg. Namun begitu, pengusaha cendawan tempatan harus mempunyai kemahiran pemasaran yang strategik untuk membolehkan pasaran cendawan berdaya saing. Justeru, teknologi penanaman cendawan kukur yang diperkenalkan dapat mempelbagai pasaran cendawan di peringkat domestik. Sejajar dengan saranan kerajaan iaitu Dasar AgroMakanan Negara untuk meningkatkan ekonomi negara. Penulis blog memang amat suka makan masakan cendawan kukur sama ada masak lemak atau Masak Semur. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kal ini. Wasallam!!!..
MENANAM CENDAWAN... BAGAIMANA...
CENDAWAN KUKUR... SUKAR DAPATNYA...
GUNAKAN BEG MEDIA... MUDAH DIJAGA...
HARGA MAHAL...DI MAKAN IA ENAKNYA..

By,
M Anem,
Senior Agronoomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(4 Muharram 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...