KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, May 24, 2017

POTENSI DURIAN PREMIUM - PASARAN DUNIA

MALAYSIA adalah salah satu negara di Asia Tenggara yang mempunyai tanaman durian (Durio zibethinus) yang agak luas untuk pasaran domestik dan eksport. Tanaman buah durian juga merupakan jenis buah bermusim paling luas diusahakan iaitu 100,615 hektar (Sumber: Laporan statistik tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia 2015). Kawasan utama didalam pengeluaran buah durian di Malaysia adalah di Pahang (Daerah Raub dan Bentong), Perak (Batu Kurau) dan Johor (Muar dan Tangkak) serta beberapa negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak. Pasaran eksport buah durian daripada Semenanjung Malaysia secara tradisi adalah ke negara jiran Singapura. Selain itu beberapa negara yang kini disasarkan untuk pasaran eksport baru termasuk negara China, Jepun dan sebagainya. Terdapat banyak varieti durian yang ditanam di Malaysia daripada varieti durian kampong yang mutunya pelbagai kepada varieti durian cantum yang mempunyai kualiti untuk eksport. Antara varieti durian yang dikatakan sebagai 'Durian premium' dimana ia mendapat sambutan pada masa ini ialah Musang King (D197), Bukit Merah (D24), IOI (D168), Udang Merah atau Ang Aae (D175) dan Ochi atau Duri Hitam (D200). Pada penulis blog yang menulis banyak artikel mengenai durian dalam blog anim agro mendapati petani telah mula menukar pokok durian kampong atau dari varieti yang kurang berkualiti kepada varieti yang disenaraikan diatas. Pada masa artikel ini ditulis didapati durian premium Malaysia seperti Musang King bukan sahaja digemari oleh peminat tempatan bahkan pelancong asing terutamanya dari China. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai potensi durian premium untuk pasaran eksport antarabangsa dan mampu menjana pendapatan kepada petani dan negara.

Durian Musang King ini mempunyai potensi eksport yang sangat luas keluar negara terutamanya selepas pihak Jabatan Pertanian mendapat laluan pasaran pada tahun 2011 untuk pengeksportan durian dalam bentuk ulas sejuk beku (frozen pulp) ke China. Pada masa ini selain ke negara China, durian sejuk beku juga berjaya menembusi pasaran Australia, New Zealand dan Taiwan. Pada penulis yang juga suka akan keenakkan durian varieti Musang King mendapati ia mempunyai kualiti premium yang memenuhi keperluan pasaran antarabangsa (Sila lihat foto Musang King disebelah). Kini bagi pengeksportan durian segar diberitakan dimana Malaysia juga mendapat laluan pasaran ke Jepun dan Korea. Jumlah eksport ke China dijangka meningkat kerana penggunaan durian bukan setakat dimakan segar tetapi telah dipelbagaikan bagi tujuan untuk memenuhi kehendak pasaran mereka. Selain durian sejuk beku kini pasaran untuk pes durian juga telah boleh dihantar kenegara tersebut. Bagaimana pun bagi durian sejuk beku, kebiasaannya ia dimakan segar dan dijadikan pes durian untuk pelbagai produk seperti piza, kuih bulan, aiskrim, tart kastard dan pencuci mulut. Salah sebuah syarikat pengimport, pemborong dan peruncit di Shanghai iaitu Royal Durian melaporkan, mereka mengimport durian sejuk beku dari Malaysia kali pertama pada tahun 2010. Selepas tahun 2013, ia menyaksikan pertumbuhan jualan yang konsisten sebanyak 30 peratus setiap tahun.

Sebenarnya fenomena durian Musang King yang mana semakin mendapat tempat di hati pengguna menyebabkan permintaannya tinggi dan memberi kesan kepada harga ladang durian sejak akhir-akhir ini. Harga mencecah antara RM50 sehingga RM100 sekilogram berbanding hanya sekitar RM40 sekilogram tahun lalu. Akhbar KOSMO baru-baru ini juga menyatakan harga durian musang king yang mencecah lebih RM100 sekilogram ini dikatakan sebagai 'Mencekik Darah' yang penulis blog tulis (Sila klik disini). Potensi hasil durian Musang King ialah 90 hingga 130 biji sepokok atau 150 kilogram (kg) hingga 170kg sepokok dan bagi ladang seluas 1 hektar boleh memperoleh sehingga 110 pokok bagi jarak tanaman 9 meter (m) x 9m. Harga sebiji durian Musang King di Hong Kong boleh mencecah sehingga RM800 kini membolehkan ia mendapat pasaran yang baik. Sebelum ini pun ada dilaporkan dimana durian dari Malaysia dihantar ke China melalui Thailand, Laos dan beberapa negara lain. Pada penulis blog jika dahulu ramai petani sering mengeluh kerana harga buah durian yang tidak setimpal dengan usaha tetapi kini tanaman durian khususnya durian premium seperti Musang King boleh menjana sumber pendapatan yang tinggi kepada para pengusaha dan negara. Ramai pemilik kebun daurian varieti lain kini telah menukar kepada tanaman durian varieti musang king. Ada juga pekebun kelapa sawit yang menebang tanaman mereka dan menggantikannya dengan durian varieti musang king di daerah Raub, Jerantut dan Bentong di Pahang.

Kenaikan harga durian Musang King kini benar-benar mempengaruhi harga durian tersebut dipasaran domestik dan juga pasaran antarabangsa. Kini orang ramai atau petani perlu merebut peluang ini iaitu bagi yang mempunyai kawasan tanah yang masih tidak diusahakan atau mempunyai kawasan lapang bolehlah menanam durian premium seperti Musang King. Kepada pengusaha durian yang telah menanam pokok durian tetapi bukan daripada jenis premium disyorkan agar mereka boleh memilih teknik cantuman dewasa (Mature budding). Saya ada menulis mengani teknologi ini dalam beberapa rencana sebelum ini (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Teknik ini biasanya akan menggunakan pokok penanti daripada pokok durian sedia ada di ladang tetapi yang dewasa, matang dan berbuah. Kemudian bahagian sion atau mata tunas durian klon boleh dicantumkan pada pokok durian yang telah dewasa itu. Teknik ini membolehkan tempoh berbuah disingkatkan antara empat hingga lima tahun berbanding kaedah cantuman anak pokok (kahwin) yang mana perlu menunggu lebih daripada jangka masa tersebut. Justeru penulis mengesyorkan agar penanam durian boleh menukar tanaman mereka yang tidak ekonomik kepada durian varieti Musang King. Potensi durian premium untuk pasaran eksport dan antarabangsa memang cerah dimasa hadapan dengan ujudnya persetujuan diantara Malaysia dan China mengenai protokol pengeksportan durian dan nenas yang dicapai semasa lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pserdna Menteri Malaysia di Beijing pada 13 Mei 2017. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!!!...
DURIAN PREMIUM... DIBERIKAN NAMA...
MUSANG KING... VARIETI TERNAMA...
PASARAN DOMESTIK... MAHAL DIJANGKA...
DIESKPORT PULA... MENJAMIN HARGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Lembah Benom, Kg Sg Chalit,
Raub, Pahang,
Malaysia.
(13 Syaaban 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...