KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, April 19, 2016

POKOK KURMA DAN RPW

POKOK KURMA dan RPW kini menjadi tajuk hangat dikalangan ramai orang kerana ia merupakan perkara yang penulis fikir semua orang kena tahu. Kenapa penulis berkata demikian?. Ini tidak lain tidak bukan adalah kerana ada beberapa syarikat swasta beroperasi untuk menjual benih pokok kurma secara pakej kepada orang ramai dimana ia didakwa disokong oleh beberapa pihak tertentu termasuk Jabatan Pertanian. Syarikat ini menawarkan tanaman pokok kurma untuk ditanam secara komersil dan mendakwa ia mendatangkan keuntungan besar apabila pokok kurma tersebut berhasil setelah 3 - 4 tahun ditanam. Pokok Kurma (Phoenix dactylifera) merupakan sejenis tumbuhan daripada keluarga Arecaceae yang ditanam dibeberapa negara sebagai tanaman komersil dari kawasan sekitar Timur Tengah dan negara beriklim panas dan kering. Buah kurma merupakan buah yang berkhasiat dan menjadi produk eksport yang besar dari Mesir dan beberapa negara lain keseluruh dunia.Tanaman yang natif dari kawasan panas dan padang pasir ini telah diperkenalkan ke Malaysia tidak berapa lama dahulu sebagai tanaman hiasan dikawasan perbandaran seperti ditepi jalan, ditengah-tengah bulatan (round about) atau ditanam dilokasi strategik premis bangunan. Pokoknya yang rendang, daunnya yang menghijau serta kurang masaalah aspek penyelenggaraan menyebabkan pokok dari keluarga Arecaceae (Dulu dikenali sebagai Pokok Palmae) ini ditanam sebagai tanaman hiasan atau landskap. Penulis yang berasal dari Daerah Muar sudah biasa dengan beberapa pokok kurma di bulatan Jalan Bakri Muar yang selalu berbuah bila tiba musimnya tetapi kini pokok tersebut telah ditebang untuk pembengunan kawasan tersebut. Semenjak tahun 2010 dan dalam tahun 2014 telah menjadi viral bagaimana banyak pokok kurma di Kelantan telah berbuah dengan banyak menarik minat ramai orang untuk menanamnya. Beberapa pokok kurma di Bulatan Majlis Bandar Kota Baru telah menghasil buah kurma dengan baik dan menjadi daya tarikan kepada orang ramai dan pelancong. Bagaimana pun pada 2016 telah diistiharkan oleh Jabatan Pertanian bahawa pokok kurma merupakan perumah yang sangat sesuai untuk Kumbang Jalur Merah (Red Palm Weevil) yang menjadi perosak digazetkan untuk dimusnahkan. Peruntukkan sebanyak RM4 juta telah diumumkan oleh kerajaan untuk memerangi RPW ini yang telah merosakkan banyak tumbuhan Arecaceae lain termasuk pokok kelapa (Cocos nucifera) dan ia juga berkemungkinan menyerang pokok kelapa sawit dimasa akan datang. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai aktiviti penanaman pokok kurma yang menyebabkan ia menjadi perumah (host) kepada serangan RPW. Artikel ini hasil daripada tinjauan penulis di Kg Wakaf, Kelantan, temubual penulis dengan petani dan  merujuk kepada laporan Jabatan Pertanian.


Tanaman pokok kurma menjadi tumpuan semenjak dahulu lagi di Malaysia walau pun dari segi cuaca dan iklim ia kurang sesuai untuk dikomersilkan untuk mendapatkan buah. Pokok kurma yang diimport lazimnya diseludup melalui laluan tidak sah dan sesuai untuk ditanam sebagai tanaman hiasan sahaja. Saya ada menulis dalam beberapa artikel mengenai tanaman kurma sebelum ini (Sila klik disini) dan (Sila klik disini).  Tumbuhan kurma sesuai tumbuh di kawasan yang mempunyai iklim yang panas serta kering dalam waktu cukup panjang untuk pengeluaran bunga serta proses pendebungaan dan pembentukkan buah. Ianya perlukan suhu melehihi 30 darjah selsius atau lebih tinggi lagi. Kajian mendapati pokok kurma juga tahan pada suhu sejuk walau pun jatuh atau kurang dari 0 darjah selsius. Pokok kurma sesuai hidup dalam pelbagai jenis tanah walau pun sangat beralkali asalkan kering dan 'aerated' dan tidak sesuai dikawasan lembab. Pokok kurma komersil diluar negara akan berbuah selepas 4 - 7 tahun selepas ditanam diladang. Cepat atau lambat pokok berbuah bergantung kepada kaedah penjagaan, keujudan bekalan air pokok, penjagaan dan varieti yang ditanam. Lazimnya pokok akan dituai hasilnya secara komersil selama7-10 tahun sebelum pokok jadi terlalu tinggi dan dibuat penanaman semula. Pokok yang tinggi selalunya sukar untuk membuat proses pendebungaan dan pengutipan hasil kelak. Pokok kurma dewasa mampu menghasilkan sebanyak 80 - 120 kg buah sepokok satu musim walau pun proses menuai tidak serentak (berperingkat2). Bagaimana pun tanaman pokok kurma ditempat saya lawati (Foto asal diatas sekali telah habis mati dilaporkan pada tahun 2015 - Foto disebelah) akibat serangan RPW.


Pada masa ini ada sepokok kurma sahaja yang masih ujud di kampong tersebut sebagai bukti (Sila lihat foto disebelah). Semua pokok kurma ynag dahulu cantik, berbunga dan didakwa berbuah telah musnah dalam masa singkat akibat serangan oleh RPW. Kumbang ini disahkan amat suka menyerang pokok kurma diperingkat vegetatif dan lebih aktif semasa peringkat reproduktif. Apabila pokok kurma telah habis musnah diserang RPW aka kumbang ini terlah disahkan berpindah dan seterusnya menyerang pokok kelapa. Beberapa pokok kelapa disekeliling kawasan projek kurma telah tiada pucuk dan seakan tinggal batang kelapa atau 'tunggul' sahaja. Walau pun ada beberapa syarikat membuat promosi dan kempen untuk menanam pokok kurma tetapi aktiviti ini amat perlu diawasi pihak berwajib. Ini kerana pokok kurma adalah sumber makanan yang amat disukai oleh RPW. Petani dan orang ramai perlu mengetahui akan perosak RPW dan kemungkinan mudharat jika berlaku serangan RPW. Adalah tidak digalakkan untuk menanam pokok kurma dalam negara sama ada untuk tanaman komersil atau tanaman hiasan semasa artikel ini ditulis. Kemasukkan benih pokok kurma dari negara jiran perlu dikawal kerana ia didakwa membawa sekali RPW didalam pokok tersebut (Sila lihat foto dibawah). Walau pun kini pembelian benih kurma ini khusus untuk nurseri sahaja tetapi maklumat ini sering dimanipulasi. Jika ada sebarang pokok kurma dewasa yang anda jumpa dan ada tanda serangan RPW sebaiknya melaporkan kepada Jabatan Pertanian Malaysia. Semuga artikel subun ini memberi info yang berguna kepada anda. Wasallam!


POKOK HIASAN... IA ADALAH KURMA...
BENIH DIIMPORT ... SELUDUP PUN ADA...
MENJADI PERUMAH... RPW MERBAHAYA...
PERLU DIKAWAL... DENGAN SEGERA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Warisan Pertanian,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(25 JamadilAkhir 1437H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...