KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, April 30, 2016

PAHANG BEE PARK - SATU TINJAUAN

PAHANG BEE PARK (Taman Lebah Pahang) merupakan satu lokasi untuk menternak lebah, melatih usahawan muda dan lokasi lawatan penternakan Lebah Madu yang dimajukan di Pahang. Pak Nawi yang menjadi pengasas kepada Pahang Bee Park (PBP) adalah seorang aktivis dan kini merupakan usahawan didalam penternakan lebah madu sejak sekian lama. Beliau berjaya untuk membangunkan kawasan di Sungai Miang, Daerah Pekan, Pahang sebagai satu apiari untuk penternakan jenis Lebah Import (Apis mellifera). Pada masa tinjauan penulis ke apiari ini terdapat sekitar 500 haif berkoloni yang aktif dengan mendapatkan sumber makanan disekitarnya iaitu pokok akasia (Acacia mangium). Terdapat juga 12 orang belia yang berminat menjalankan kursus penternakan lebah madu secara intensif. Pada masa ini ramai dikalangan usahawan muda yang berminat menternak Lebah Madu dan Kelulut kerana ia berpotensi untuk memberikan pendapatan yang baik jika dilakukan dengan sistematik, lokasi sesuai dan mempunyai bekalan sumber makanan dikawasan sesuai terutama dihutan akasia. Dari segi teorinya penternakan Lebah Madu boleh dilakukan dengan menternak Lebah Import (Apis mellifera), Lebah Keran (Apis cerana) dan terkini yang menarik minat ramai adalah penternakan Kelulut (Trigona spp). Lebah Tualang (Apis dorsata) bagaimana pun tidak boleh diternak kerana ia spesis liar dihutan yang mempunyai habitat tersendiri. Madu Lebah tualang bagaimana pun merupakan antara madu yang bernilai tinggi. Sejarah tentang penternakan lebah madu di Malaysia bermula dengan agresif bermula semanjak tahun 1980'an dengan galakkan daripada Jabatan Pertanian menggunakan lebah keran. Penulis telah terlibat dengan teknologi penternakan lebah madu semenjak tahun 1982. Lebah keran apa yang dilaporkan bagaimana pun kurang memberikan hasil madu dengan baik berbanding dengan Lebah Import. Kini semakin kurang usahawan yang menternak lebah keran berbanding dengan ternakan kelulut. Bagaimana pun Pahang Bee Park hanya menternak lebah import yang didakwa mampu menghasilkan 10 kg madu setiap bulan bagi satu haif yang aktif dikawsan hutan akasia. Hasil madu penternakan lebah import ini dikawasan dusun buah-buahan dan kelapa pula berpotensi sekitar 3-5 kg satu haif sahaja (kalau diuruskan dengan baik). Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai aktiviti dan teknologi penternakan lebah import oleh Pahang Bee Park (PBP) sekadar untuk dikongsi bersama pembaca berdasarkan lawatan, temubual dan taklimat diberikan oleh Pak Nawi. Penulis berharap PBP akan lebih maju dengan konsep baru penternakan lebah madu di Malaysia.

Persekitaran kawasan taman lebah ini merupakan kawasan tanah gambut yang mana disekelilingnya terdapat banyak hutan ditumbuhi dengan pokok akasia. Anda boleh membaca tulisan saya mengenai pokok akasia (Sila klik disini) dan juga (Sila klik disini). Kawasan ini sangat sesuai untuk dijadikan penternakan lebah dan kelulut kerana mempunyai sumber makanan yang banyak. Ada beberapa inovasi yang telah dilakukan PBP seperti inovasi tiang kotak mudahalih yang di buat dari aluminium yang ringan, kukuh dan juga murah serta tahan lasak. Inovasi lain seperti rekabentuk haif buatan tempatan, formulasi makanan tambahan, bumbung daripada atap nipah, konsep latihan baru dan sebagainya. Kotak Haif Lebah Import dahulu memang diimport daripada negara China dimana kini harganya mencecah RM300 satu unit akibat meningkatnya kos mengimport dan kesan penurunan ringgit. Bagaimana pun haif baru yang dibuat kini kurang sedikit dari RM200 satu unit dibuat oleh warga tempatan. PBP juga telah membina pelindung haif iaitu struktur setinggi 8 kaki dengan bumbung daripada atap nipah yang memberikan suhu sesuai (tidak panas) untuk kotak lebah disusun dibawahnya (Sila lihat foto disebelah). Suhu diluar bangunan atap ini sangat panas dan ini merupakan satu pilihan tepat dilakukan untuk melindungi. Haif lebah disusun mengikut susunan dimana pintu masuk adalah utara-selatan bagi mengelakkan sinaran matahari.


PBP merupakan salah satu daripada 10 pengusaha lebah yang dijadikan anak angkat oleh bahagian PTIF Jabatan Pertanian Malaysia untuk menerima Ratu Lebah Import daripada Australia. PBP telah menerima sebanyak 30 ratu lebah dibawa masuk daripada negara Australia bagi meningkatkan ketulinan generasi lebah import tersebut. Kali terakhir Jabatan Pertanian membawa masuk ratu lebah F1 daripada Australia adalah pada tahun 1996. Penulis merupakan pencentus dan pelaksana dalam proses mengimport ratu lebah ini semasa bertugas di PTIF Putrajaya tahun 2014-2015. Kini dalam masa 3 bulan ratu lebah import F1 ini diternak didalam 30 haif berjaya dalam adaptasi dengan koloni lebah sedia ada yang diasingkan kedudukannya dengan haif koloni lain bagi menjamin proses pembiakan akan tidak terganggu. Semua koloni dan proses pembentyukkan ratu baru dilakukan oleh Pak Nawi dibantu oleh anaknya Taufik yang juga dikatakan pakar didalam membuat ratu lebah baru. Ketulinan ratu lebah yang baru akan menguatkan koloni lebah import (Apis mellifera) dan akhirnya keseluruhan ratu lebah yang telah lama akan dapat digantikan secara berperingkat. Pak Nawi mengucapkan ribuan terimakasih kepada Jabatan Pertanian yang memilih beliau sebagai penerima ratu lebah import dengan bilangan banyak pada hujung tahun 2015. Beliau berharap program bekalan ratu lebah import baru ini akan diteruskan pada masa akan datang.


Memeriksa koloni lebah import di PBP, penulis amat berpuashati dengan pengurusan yang dijalankan. Keaktifan koloni lebah dipantau setiap masa dengan memeriksa bilangan lebah yang keluar dan masuk haif terutama diwaktu pagi ketika banyak nektar dikeluarkan oleh pokok akasia. Menurut anaknya Taufik, lebih 80% koloni lebah adalah pada tahap CERGAS dan sesuai untuk menghasilkan madu dan ratu baru. Musim panas berpanjangan dari bulan Januari (hampir 4 bulan) membolehkan lebah memungut manisan nektar dari pokok akasia dan dikumpulkan menjadi madu. Oleh itu bagi mempastikan koloni lebah selesa, pihak PBP meletakkan beberapa bekas air bersih diletakkan disekitar koloni untuk memudahkan lebah mengambil air dimusim panas. Bekas yang diisi air ini diisi dengan bahan kayu dan batu untuk memudahkan lebah merayap minum dan air ini sentiasa diganti. Penulis dapati beratus-ratus ekor lebah pekerja mengerumuni bekas air disediakan dan ia merupakan satu aspek pengurusan lebah dimusim panas yang selalu dilupakan oleh ramai penternak lebah. Selain ini PBP telah mempunyai formula khas memberikan makanan tambahan yang dicipta oleh syarikat ini. Makanan tambahan ini akan diberikan mengikut kesesuaian seperti untuk menghasilkan ratu lebah, memecahkan koloni dan juga ketika musim hujan berpanjangan. Ia diletakkan didalam bingkai dan lebah akan mengerumuni mengambil makanan tambahan ini (Sila lihat foto disebelah). Pemberian makanan tambahan memjadikan koloni lebah akan lebih aktif dan bertenaga. Pemeriksaan juga mendapati kadar serangan musuh seperti semut, tabuan, burung dan sebagainya dikawasan PBP adalah terkawal. Ini kerana sanitasi dan sistem keselamatan dikawasan projek dijaga dengan baik.


Dalam penerangan yang diberikan oleh Pak Nawi, setiap haif di PBP Sg Miang ini mampu menghasilkan sebanyak sehingga 10 kg madu dalam masa sebulan dari hutan akasia. Penulis dapati jumlah ini memang boleh dicapai dikawasan hutan akasia dimusim panas berpanjangan seperti ketika artikel ini ditulis. Setiap bingkai yang penuh madu mempunyai sekitar 0.8 - 1.5 kg madu yang dituai mengikut pusingan bagi setiap koloni yang aktif. Oleh kerana kawasan sumber makanan di PBP ini adalah majoriti pokok akasia, maka madu yang dihasilkan adalah agak seragam dari segi warna, rasa, kandungan air dan kualitinya. Bingkai yang penuh madu akan dibawa ke pusat memproses madu untuk ia dipotong lapisan penutup madu dengan pisau tajam sebelum dimasukkan kedalam pengempar madu (Honey extractor) bagi mengeluarkan madunya. Cara lain mengeluarkan madu dengan membawa alat pengempar madu ini yang mudah di angkat kelokasi haif (Sila lihat foto disebelah). Bagaimana pun jumlah madu yang dituai ini berbeza-beza kuantitinya diantara 3 kg (Bagi koloni baru) sehingga 6 kg satu haif (Koloni agak lama) dan ianya hanya dikawasan hutan akasia sahaja. Kalau pengusaha lain yang menternak dikawasan Hutan Gelam (Melaluca cajeputi) mungkin formula yang sama mengenai potensi pengeluaran madu boleh digunakan. Apa pun penulis mendapati mereka yang menternak lebah Apis mellifera dikawasan dusun buah-buahan atau dikawasan tanaman kelapa mencapai hanya sekitar 4-5 kg satu haif. Kiraan hasil madu dalam cashflow bagaimana pun cuma 10 bulan sahaja dalam setahun kerana pada bulan November - Disember lazimnya hasil madu tidak dituai kerana ia adalah musim hujan dan kurang aktif. 


Madu yang dikeluarkan oleh syarikat PBP ini adalah dijamin tulin dengan label atau jenama ACACIA ROYAL HONEY iaitu ianya dijamin sebagai Madu Asli. Setelah diproses mengikut prosedur GMP, madu asli ini akan dibotolkan dalam 3 saiz dimana ia menggunakan botol kaca terang yang mana madu didalamnya boleh dilihat dengan jelas (Sila lihat foto disebelah). Saiz botol yang paling banyak permintaan adalah yang mengandungi 700 ml madu asli dijual dengan harga ladang RM80.00 sebotol dan harga runcit mencecah RM100.00 sebotol. Sehingga artikel ini ditulis permintaan untuk madu asli dari PBP ini terus meningkat dengan pasaran utama adalah disekitar Lembah Kelang. PBP juga mengeluarkan botol madu lebah asli dengan harga RM50.00 sebotol dan RM25.00 sebotol. PBP juga menghasilkan madu lebah yang dipekatkan (10% mc) yang dieksport kenegara-negara Timur Tengah dengan harga ditawarkan RM1,000 sebotol. PBP mempunyai alat dan kepakaran untuk menurunkan kadar kandungan air madu tulin daripada sekitar 18-20% kepada 10% untuk tujuan ini. Potensi pasaran madu pekat ini amat tinggi dinegara tersebut dan sebaiknya dipromosikan kepada usahawan lebah lain. Pada penulis, sahabat Pak Nawi merupakan seorang usahawan yang gigih dalam industri penternakan lebah madu walau pun mengalami banyak cabaran pada masa lalu dan juga akan datang. Syabas kepada PBP yang teribat dalam usaha murni ini. Wasallam!.

PAHANG BEE PARK... ADA DIMANA...
DAERAH PEKAN... HUTAN AKASIA...
MEMBERI LATIHAN...ORANG MUDA..
PERLU GIGIH...TERUSKAN USAHA...

By,
M Anem,
Senior Apiarist,
Taman Lebah Pahang,
Sungaiu Miang, Pekan,
Pahang, Malaysia.
(24 April 2016)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...