KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, March 4, 2015

POKOK RUMBIA - APA POTENSINYA

POKOK RUMBIA (Metroxylon sagu) atau dipanggil sebagai pokok Sagu adalah sejenis pokok palma yang terdapat di hutan Indonesia, Malaysia dan Papua New Guinea serta beberapa negara Asia Tenggara lain. Tumbuhan ini boleh dilibatkan kepada semua pokok dalam kumpulan Metroxylon yang kebanyakannya tumbuh liar dikawasan lembap. Dulu tumbuhan ini tidak dikisahkan sehingga ianya dilihat sebagai ada nilai ekonomi untuk ditanam dan diproes. Kajian marfologi tumbuhan ini mendapati terdapat kelainan pada rumbia iaitu jenis yang berduri dan tanpa duri. Pokok Rumbia adalah tumbuhan yang hidup di merata hutan pedalaman hutan hujan tropika. Pokok Rumbia selain ditebang untuk mendapatkan sagunya, bahagian daunnya juga boleh dijadikan atap. Indonesia merupakan antara negara yang banyak mempunyai pokok rumbia dan dikomersilkan sehingga menghasilkan produk sagu yang digunakan untuk keperluan domestik dan ekspot. Di Malaysia negeri Sarawak merupakan antara yang banyak mempunyai tanaman rembia dan dikomersilkan. Pokok rumbia boleh ditanam untuk tujuan penghasilan sagu secara besar-besaran. Tempoh ia matang bergantung kepada kesuburan tanah. Lazimnya secara purata tanaman pokok rumbia boleh dituai apabila telah pun menjangkau umur 12-13 tahun di tanah mineral dan 15-18 tahun di tanah gambut. Pokok rumbia matang yang telah ditebang perlu diproses secepat mungkin bagi mengelakkan kemerosotan kandungan kanji dimana ia biasanya tidak melebihi 2 hari selepas ditebang. Hasilnya adalah tepung sagu rumbia boleh digunakan untuk memproses serbuk perasa (MSG), sirap glukosa, alkohol, makanan bayi, gum gula-gula, tekstil, kertas, pelekat, gam, bahan pembeku, plastik dan lain-lain. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai apakah potensi tanaman rumbia di negara kita berdasarkan beberapa rujukan dan pengalaman bertugas di Jabatan Pertanian Sarawak sekitar tahun 1995 -1998.

Pokok Rumbia mempunyai batang yang bersaiz besar dan tegap dengan tumbuh menegak sehingga mencapai ketinggian antara 10–12 meter. Batangnya dilihat mempunyai isi yang lembut dan mengandungi kandungan kanji yang tinggi. Pokok Rumbia juga merupakan sumber makanan asasi bagi beberapa kaum peribumi di Sabah dan Sarawak sejak dahulu seperti suku kaum Bisaya, Penan, Kelabit dan Melanau. Pokok Rumbia mempunyai banyak pelepah berbentuk pinnate 6-8 meter panjang yang mula-mula tegak kemudian perlahan-lahan melengkung ke bawah. Pokok Rumbia mengeluarkan jambak bunga yang menghasilkan banyak bunga jenis dwiseks dan kemudian akan mengeluarkan biji-biji sagu. Bunga adalah jenis ‘protandrous’ di mana bunga jantan akan menjadi matang dahulu daripada bunga betina. Ini bagi memastikan pendebungaan kacuk (cross pollination) akan berlaku. Musim berbunga akan mengambil masa dua tahun di mana selepas ini pokok Rumbia akan mati. Sagu yang dihasilkan daripada batang rumbia (mulong) atau Metroxylon sagu mempunyai potensi yang semakin tinggi dalam industri makanan dan ubat-ubatan.

Secara tradisional bahan tanaman yang digunakan ialah sulur. Sulur rumbia yang disemai dan dijadikan anak benih perlu diambil daripada pokok induk. Kerja untuk mendapatkan sulur, penyediaan tapak semaian dan pemilihan sulur yang berkualiti menimbulkan beberapa masalah kepada pengusaha. Tapak semaian sulur memerlukan kolam atau sungai dan rakit untuk pembesaran sulur, sebelum dipilih dan dipindahkan ke ladang. Kaedah ini mempunyai kelemahan kerana kejayaan sekitar 60% sahaja. Peranan nurseri rakit ini, lebih kepada pemuliharaan pertumbuhan pokok dan merawat kerosakan sulur. Proses ini biasanya mengambil masa kira-kira 12 bulan sebelum sulur dipindahkan ke ladang. Terdapat kaedah lain untuk menampung keperluan bahan tanaman iaitu penggunaan biji benih, jika bekalan biji rumbia banyak. 

Pemilihan Biji Rumbia untuk dijadikan benih yang berkualiti diberi keutamaan. Bagi memastikan peratus percambahan yang tinggi, aspek kualiti biji benih hendaklah diberi keutamaan. Buah rumbia yang hendak dijadikan biji benih mestilah dipilih daripada pokok induk yang matang (berumur kira-kira 12 tahun) dimana cara untuk mendapatkan buahnya, cara biasa adalah dengan menebang pokok induk. Walau bagaimanapun, teknik mengait (menjolok) tandan buah dengan galah atau mengutip buah matang yang gugur lebih digalakkan untuk kerja mengumpul buah ini (Sila lihat foto disebelah). Buah rumbia hendaklah dipilih dengan mencucuk paku ke dalam buah. Amalan demikian dilakukan untuk mengetahui keadaan biji di dalamnya. Biji yang keras lebih baik sebagai biji benih. Sebelum disemai, buah tersebut hendaklah dijemur di bawah cahaya matahari untuk menanggalkan kulit luarnya. Teknik penjemuran ini dibuat dengan meletakkan buah tersebut di atas tanah atau di atas lapisan habuk sabut kelapa. Pengurusan benih di tapak semaian boleh dilakukan dengan 2 kaedah penyediaan tapak semaian yang sesuai. Kaedah tersebut adalah dengan gunakan Jenis Tapak semaian pasir sahaja atau Jenis Tapak semaian dengan campuran tanah gambut, kapur dan baja akar.

Pengurusan pada Tapak Semaian khas diperlukan untuk memudahkan kerja mengalih anak benih ke dalam polibeg. Biji rumbia yang dipilih ditabur berbaris dan tersusun di dalam kotak semaian dan ditutup dengan menaburkan lapisan pasir yang nipis di atasnya. Dalam masa 2-3 minggu kemudian, bintik kemerah-merahan akan keluar daripada biji benih tersebut dan proses pengeluaran akar dan tunas pun bermula. Anak benih yang berumur kira-kira 1 bulan di tapak semaian (tinggi 6 cm) sesuai untuk dipindahkan ke dalam polibeg berukuran 15 cm x 22 cm. Campuran tanah yang diisi ke dalam polibeg terdiri daripada 3 bahagian tanah, 2 bahagian bahan organik dan 1 bahagian pasir. Selepas itu, anak benih diletakkan di bawah lindungan 75% cahaya untuk mengalakkan pertumbuhan dan untuk pembesaran pokok. Amalan agronomi seperti pembajaan NPK, semburan baja daun dan racun serangga dan kulat hendaklah dilakukan. Beberapa kelebihan semaian biji benih adalah dapat meningkatkan kualiti (bahan tanaman yang lebih seragam) dan kuantiti pengeluaran bahan tanaman. Pengeluaran bahan tanaman dapat dilakukan secara sistematik dan komersial dan menjimatkan kos dan masa. Berbanding dengan kaedah tradisional yang menggunakan sulur, pembiakan melalui biji benih lebih mudah kerana hanya memerlukan biji benih, tanah, polibeg dan nurseri. Ia juga mudah diuruskan berbanding dengan kaedah sulur yang memerlukan kawasan nursari yang mempunyai punca air seperti kolam dan rakit. Walau bagaimanapun penggunaan biji benih ialah langkah sementara sahaja semasa menunggu bahan tanaman terpilih yang dibiakkan secara tampang. Penanaman benih diladang dilakukan dengan jarak yang sesuai apabila benih cukup matang. Wasallam!.

AMAT KURANG...TANAM RUMBIA...
HANYA SARAWAK... YANG ADA...
POKOK DITEBANG...DIAMBIL ISINYA...
TEPONG SAGU... ITU HASILNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 606, Promenade Hotel,
Lorong 4, Api-api Centre,
Kota Kinabalu , Sabah,
Malaysia.
(7 RabiulAwal 1436H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...