KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, March 13, 2015

MEE REBUS HJ WAHID

MEE REBUS HAJI WAHID merupakan sejenis hidangan mee rebus yang amat popular berasal daripada Johor Bahru, Johor. Penulis mula 'rasa' menu mee rebus Hj Wahid ini sekitar hujung tahun 1980'an di gerai yang menjual mee ini disebelah KOMTAR Jalan Ah Fook, Johor Bahru. Ia adalah resepi asli mee rebus ini yang sungguh enak dan setanding dengan Mee Bandung Muar. Mee ini agak unik kerana rasanya yang lemak manis, pedas, ada tepung rangup dan juga dicampur masam macam rasa cuka. Kini kita boleh menikmati mee rebus Hj Wahid ini dibanyak lokasi lain terutama di sekitar Johor Bahru, Lembah Kelang dan juga Putrajaya dengan harga berpatutan. Walau pun pada pendapat penulis dari segi rasa memang agak tidak sama dengan yang dijual di Johor Bahru tetapi ia mampu bagi menghilangkan kempunan peminat mee rebus ini. Kalau pada awal-awal populariti mee ini dahulu (1980'an) harga mee ini cuma RM1.50 sepinggan sahaja tetapi kini di Putrajaya ia dijual dengan harga RM5.00 sepinggan (Biasa) dan RM5.50 sepinggan (Special). Kita bagaimana pun boleh membuatnya sendiri untuk dimakan ahli keluarga atau pun untuk menjamu para hadirin yang dijemput semasa kenduri atau membuat rumah terbuka. Hidangan ini simpel dan mudah disediakan dan memerlukan kos yang juga tidak banyak. Ia dimakan oleh semua golongan masyarakat daripada kanak-kanak, remaja, dewasa dan orang tua yang sudah kurang bilangan giginya. Ia juga sesuai dimakan pada waktu tengahari, petang dan malam hari walau  pun agak jarang dihidangkan pada sarapan pagi. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu resepi membuat mee rebus Hj Wahid yang dikatakan enak dan diminati terutama oleh lidah dari negeri selatan tanah air ini macam penulis blog.

Resipi Mee Rebus Hj Wahid memang boleh disediakan sendiri jika seseorang memang pandai memasak dan tahu kemahiran yang baik bagi menghasilkan mee rebun Hj Wahid Berkualiti. Banyak restoren yang pernah penulis kunjungi tetapi memang ada perbezaan rasa walau pun menggunakan jenama yang sama (Sila lihat foto salah satu outlet Mee Rebus Hj Wahid di Plaza Angsana JB).  Antara bahan-bahan asas membuat mee ini adalah 2 kilo mee kuning yang perlu dicelur, 1/2 kilo daging yang dihiris halus atau pun daging tetel. Mee ini juga menggunakan sebanyak 4 biji keledek yang akan direbus dan dikisar halus. Seterusnya bahan diguna adalah 1 cawan tauchu yang perlu dicuci dan dikisar halus. Bahan lain adalah 3 ulas bawang putih juga dikisar, 3 biji bawang merah yang dikisar, 1 inci halia yang dikisar, 1/2 cawan udang kering yang dikisar dan juga 3 batang serai perlu dititik. Bahan lain adalah 1 inci lengkuas yang dititik, 5 sudu makan rempah kari daging serta bahan perisa seperti garam, gula dan serbuk perasa secukup rasa. Gunakan minyak untuk menumis. Sebaiknya semua bahan-bahan ini adalah masih segar dan berkualiti dengan ada mesin pengisar (drinder) yang sesuai.

Antara keistimewaan mee rebus Hj Wahid adalah tentang tepong rangup yang diletakkan diatas mee rebu yang dihidangkan. Ia adalah sejenis tepung rangup yang telah digoreng untuk menambah kelazatan mee ini (Sila lihat foto disebelah). Bagi meyediakan tepong rangup ini bahan yang diperlukan 1/2 cawan udang kering yang dikisar, 80 gm tepung gandum, ¼ sudu teh serbuk kunyit, Garam secukup rasa, Air secukupnya dan juga minyak untuk menggoreng. Cara-cara untuk Tepung Udang Kering ini mudah sahaja iaitu dengan mencampurkan kesemua bahan-bahan tersebut dan gaul rata. Cara menggoreng ada teknik sedikit dimana bancuhan tepung direnjis pada minyak dan goreng adunan sehingga garing sebelum cukup masak dan diangkat serta toskan. Bagi mendapatkan kualiti terbaik adalah disyorkan gunakan minyak kena banyak untuk menggoreng tepung ini. Sementara itu bolen disediakan bahan-bahan untuk tujuan hiasan terdiri daripada tahu yang digoreng (dipotong kecil), daun sup yang dimayang, Bawang goreng, Telur rebus (atau telur pindang yang dibelah dua), Lada hijau yang dipotong bulat, Taugeh yang dicelur dalam air panas dan juga limau kasturi dibelah dua untuk menambah kemasaman.

Cara Menyediakan Kuah Mee Rebus Hj Wahid adalah penentu bagi kelazatan mee ini. Cara-cara untuk Kuah dengan memanaskan minyak dalam periuk dan kemudian dimasukkan serai dan lengkuas yang telah dititik. Kemudian tumis bawang putih, bawang merah, halia dan udang kering yang telah dikisar hingga naik bau. Masukkan rempah kari kacau rata dimana kemudian masukkan tauchu dan keledek yang telah dikisar bersama dengan daging. (selalu tauchu dan keledek yang dikisar kita letakkan air untuk senang dikisar) jadi tak payah tambah air takut kuahnya tak pekat. Masukkan garam, gula dan serbuk perasa. Cara untuk menghidang mee Haji Wahid bermula dengan mengambil secubit mee kuning yang telah dicelur bersama taugeh. Tuangkan kuahnya dan kemudian hiaskan dengan tahu goreng, daun sup, bawang goreng, telur rebus, lada hijau, limau kasturi dan tak lupa juga taburan tepung udang kering. Hidangan ini boleh dimakan ketika suam panas untuk keenakan sebenar. Mee Rebus Haji Wahid yang telah sejuk agak kurang enak. Wasallam!.


MEE REBUS... HJ WAHID NAMA...
RASA ENAK... MURAH HARGA...
KINI... ADA BANYAK 'OUTLET'NYA...
ORANG JOHOR...PALING SUKANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Putrajaya,
Malaysia.
(8 JamadilAwal 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...