KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, December 4, 2009

Buah Nadir Malaysia

Jenis Tanaman Buah Nadir dan juga Jenis Tanaman buah-buahan liar (Wild) merupakan sejenis tumbuhan liar yang tumbuh semulajadi dikawasan hutan atau kampong kita. Terdapat beratus-ratus jenis buah nadir yang telah dikaji dan dikenalpasti oleh Jabatan Pertanian semenjak dulu kala dan sebahagian buah-buahan tersebut telah didaftarkan. Melalui aktiviti penanaman dan pembiakbakaan, sebahagian buah nadir telah di tanam dan dikomersilkan sebagai buah-buahan yang mempunyai nilai ekonomi. Jenis Buah-buahan nadir yang boleh di komersilkan adalah seperti buah Pisang (Pisang berangan, Pisang Embun, Pisang Rastali, Pisang Tanduk, Pisang Masak Hijau, Pisang Kapok dsb), Jambu Air, Jambu Batu, Limau Manis, Limau Kasturi, Durian Klon, Manggis, Mesta, Papaya, Duku, Dokong , Belimbing Manis, Belimbing Buluh, Pulasan, Betik dan sebagainya. Pokok-pokok buah nadir merupakan jenis tumbuhan yang separuh liar dan mempunyai nilai estetika tersendiri. Tumbuhan ini ada yang boleh di komersilkan jika dibuat kajian dan pengurusan agronomi yang tepat. Pokok buah nadir biasanya tumbuh di pingiran hutan atau di kampung2 secara tersendiri tanpa ada pengurusan teknologi tersendiri. Antara buah nadir yang telah dimajukan ialah seperti Buah Jambu air merah, Pulasan, Rambutan Gading, Limau Purut, Belilbing Buluh, Mata kucing, Cermai Mini, Keluing, Buah Bidara, Jambu Bol, Salak Pondoh, Pisang Keling dan sebagainya. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa jenis tanaman buah nadir daripada pembacaan, pemerhatian dan temubual penulis dengan pemilik pokok.

Buah Asam Benda dan Abiu.

Buah Abiu dan Buah Apel.

Buah Isau dan Buah Kenit
Buah Kerian dan Buah Keriat.

Di Malaysia terdapat banyak jenis buah nadir yang telah dikenalpasti sesuai untuk dikomersilkan. Bagaimana pun terdapat banyak kajian lanjut yang perlu dibuat untuk mendapatkan teknologi penanaman buah nadir yang betul terutama didalam amalan agronomi penanaman. Sebagai contoh, buah kundang yang memang secara semulajadinya banyak yang masam perlu dibuat pemilihan varieti yang tepat untuk dibuat 'variety selection' sehingga boleh mendapat varieti buah kundang yang masam. Negara Thailand kini diantara negara yang berjaya memajukan buah nadir (Buah Kundang) sehingga mampu menghasilkan buah kundang yang manis dan diekspot semula ke Malaysia. Sejenis buah nadir yang kini mula mendapat perhatian petani dan penyelidik adalah buah Salak (Salacca zalacca). Kalau dahulu amat sukar kita hendak membeli buah salak dipasar, pada masa ini amat mudah kita membeli buah salak dengan kualiti yang premium dan harga yang murah. Beberapa jenis salak yang telah ditanam secara komersil seperti Salak Raja, Salak Pondoh dan Salak Bali. Foto dibawah menunjukkan buah salak pondoh yang masak ditanam di Tangkak, Johor dimana benih ini saya dapatkan daripada Jabatan Pertanian Negeri Terengganu pada tahun 2006.
  

Buah salak pondoh telah di komersilkan.

Buah-buah nadir yang ada di kawasan kampung ada yang sukar untuk dikomersilkan kerana sifat tumbuhan dan buahnya yang masam, masak tidak serentak, penghasilan terpengaruh cuaca dan saiz pokok yang terlalu tinggi dan besar. Saya dapati teknologi atau kaedah pembenihan buah nadir adalah agak sukar dan sering berlaku masaalah serangan penyakit dan perosak yang sukar dikawal. Pada masa ini belum banyak kajian dan memang diakui ada kesukaran untuk kita mendapatkan teknologi pengurusan. Contohnya buah tampoi yang masam dan sukar untuk mengutip hasil serta buah salak yang mempunyai duri dan kadar pendebungaan yang tersendiri (walau pun ada salak yang telah di komersilkan - salak pondoh). Banyak juga spesis buah nadir yang hanya sesuai untuk kawasan tertentu sahaja didalam hutan tetapi jika kita tanam secara komersil dikawasan kebun tidak mampu menghasilkan bunga atau buah.

Buah Namnam
Buah-buah nadir di Malaysia boleh di makan segar dan ada yang sesuai untuk di proses. Antara buah nadir yang boleh di makan segar ialah Pulasan, Buah Lemba, Mata Kucing, Tampoi, Temponek dan lain2 lagi. Buah nadir yang perlu di proses dulu ialah seperti Keluing, Nam-nam (Lihat foto sebelah), Betik monyet dan sebagainya. Jabatan Pertanian kini telah ada mempunyai koleksi buah-buahan nadir di Pusat-pusat Pertanian seperti di Pusat Pertanian Sekayu (Besut, Terengganu), Pusat Pertanian Tenom (Sabah), Pusat Pertanian Semenggok (Sarawak) dan Pusat Pertanian Serdang (Selangor) serta Stesyen Pertanian Herba, Batu Gajah (Perak). Ada syarikat dan individu yang sangat berminat dengan buah-buah nadir dan mereka mempunyai kawasan tersendiri menanam atau menyimpan pokok nadir.

Buah Tampoi
Kegunaan pokok buah nadir adalah untuk dijadikan sebagaai sumber benih dan boleh dikacukan dalam pembiakbakaan selain dari untuk tujuan "Gene Bank" bagi negara. Kajian lanjut perlu dibuat untuk menggunakan pokok buah nadir sebagai sumber bahan-bahan perubatan dan kosmetik selain daripada untuk tujuan makanan. Beberapa negara telah mengumpulkan janaplasma buah nadir yang ada di Malaysia sebagai koleksi untuk tujuan pembangunan masa akan datang. Program pembangunan dalam menyimpan dan memelihara koleksi buah nadir serta bidang penyelidikan perlu digiatkan. Kerajaan perlu memperkukuhkan satu undang-undang untuk melindungi buah nadir tempatan seperti CITES dan sebagainya dengan lebih berkesan. Buah nadir adalah sangat signifikan keujudannya pada masa akan datang. Wasallam!

BUAH NADIR...BANYAK SPESISNYA....
PERLU DISIMPAN...TINGGI NILAINYA...
KAJIAN LANJUT... PERLU DILAKSANA...
GENERASI MENDATANG..NIKMATINYA...

By,
M Anem
Room B-4-12,
Blok B, Best Western Priman Inland Sea Resort,
Port Dickson, Negeri sembilan,
Malaysia
(Kemaskini pada 21 Mei 2013)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...