Support My Blog

Wednesday, June 20, 2012

VARIETI PADI DI MALAYSIA 1

MALAYSIA mempunyai banyak verieti padi yang di tanam semenjak dahulu kala oleh datok dan moyang kita. Daripada maklumat yang saya cari dari Jabatan Pertanian Malaysia pada masa ini terdapat sebanyak 35 varieti padi yang telah didaftarkan kepada 'National Listing' yang boleh dijadikan bahan rujukan berguna kepada kita. Malaysia menanam padi seluas 673,500 hektar pada tahun 2010 dengan melibatkan seramai 172,000 pesawah dan menghasilkan sebanyak 2.4 juta metrik tan. Keluasan ini pada dasarnya mampu untuk membekalkan makanan dalam negara sebanyak 70% kadar kecukupan (Self Sufficient Level - SSL) dalam negara. Pihak penyelidik dan saintis tempatan dengan kerjasama antarabangsa telah menghasilkan banyak varieti padi dalam negara semenjak dulu secara berperingkat-peringkat. Dulu banyak varieti tempatan yang ditanam selama 6 bulan untuk satu musim tetapi varieti baru terkini cuma perlukan sekitar 110 hari sahaja. Artikel malam ini saya menulis mengenai beberapa varieti padi yang saya rujuk dari 'National Listing' atau ringkasnya 'NL'.


10 Varieti paling awal dalam senarai NL adalah 1. Varieti Malinja yang diistihar pada tahun 1964 diikuti dengan 2. Varieti Mahsuri (1965), 3. Varieti Ria (1966), 4. Varieti Bahagia (1968), 5. Varieti Murni (1972), 6. Varieti Masria-P (1972), 7. Varieti Jaya (1973) , 8. Varieti Sri Malaysia 1 (1974)  , 9. Varieti Sri Malaysia 2 (1974) dan 10. Varieti Pulut Malaysia 1 (1974). Kebanyakan varieti diatas sudah tidak ditanam secara komersil lagi oleh pesawah dan hanya digunakan untuk tujuan pembiakbakaan sahaja. Bank Benih mungkin masih menyimpan germplasm dan benih vaieti tersebut dilokasi yang selamat. Saya dapati hanya varieti Pulut Malaysia 1 yang masih ditanam di sekitar Bukit Rambai, Melaka oleh beberapa petani secara kecil-kecilan (itu pun perlukan pengesahan daripada pihak tertentu mengenai varieti ini - sila baca artikel berkaitan - Klik disini).


Varieti Padi dari 11-20 yang telah didaftarkan ddalam NL adalah jenis padi yang popular dalam hujung tahun 1970'an hingga awal tahun 1980'an. Varieti tersebut adalah 11. Varieti Setanjung dengan kod daftar MR1 yang telah diistiharkan pada tahun 1979. Seterusnya adalah 12. Varieti Sekencang (MR7) diistiharkan pada 1979, 13. Varieti Sekembang (MR10) diistiharkan pada 1979, 14. Varieti Kadaria (MR27) diistiharkan pada tahun 1981. Padi varieti Kadaria (MR27) ini merupakan varieti yang sangat popular semasa saya mula bertugas yang ditanam dengan meluas diseluruh negara selama beberapa tahun. Saya mula bekerja dalam sektor pertanian pada Jun 1982 dan padi ini merupakan varieti yang saya terlibat terus dalam pengeluaran benih padi sah melalui Ladang Benih Padi Sah di Melaka dahulu (Kira-kira pun dah hampir 30 tahun dulu!). Kini saya tidak dengar lagi varieti Kadaria atau MR27 ditanam secara komersil. Padi seterusnya adalah 15. Varieti Pulut Siding (MR 47) yang diistiharkan pada tahun 1981. Pulut ini masih ada ditanam dibeberapa lokasi secara kecil-kecilan untuk kegunaan domestik yang memerlukan masa 135 - 143 hari untuk dituai.
BERSAMBUNG!


VARIETI PADI .... BANYAK JUMLAHNYA....
DULU POPULAR ... DITANAM LUASNYA...
KINI TIDAK ADA .... KENAPA AGAKNYA....
TANYA PAKAR .... ADA JAWAPANNYA...


By,
M Anem
Bilik Enggang, Aras 9,
Sunway Putra Hotel,
100, Jalan Putra,
Kuala Lumpur,
Malaysia 
(30 Rejab 1433)
Hadir APEC Food Security Workshop

Tuesday, June 19, 2012

TEKNOLOGI HIJAU . . . APA DIA?

Ramai diantara kita dengar perkataan 'TEKNOLOGI HIJAU' tetapi mungkin tidak ramai yang faham akan maknanya, program dan projek-projek yang berkaitan dengannya. Didalam saya mencari maklumat mengenai Teknologi Hijau, saya jumpa beberapa perkara yang berkaitan teknologi hijau berkaitan dengan bidang pertanian. Di Malaysia telah ujud rupanya 'Dasar Teknologi Hijau Negara' didalam website Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia (KeTTHA).  Dasar yang dilancarkan itu berasaskan kepada empat tonggak iaitu tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Teknologi Hijau didefinasikan sebagai 'Merujuk pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memulihara alam sekitar dan sumber semulajadi dan meminimumkan atau mengurangkan negatif daripada aktiviti manusia'. Dari aspek tenaga, teknolgi hijau akan mencari kaedah untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pada masa yang sama mempromosikan kecekapan guna tenaga. Dari aspek alam sekitar, kesan kepada alam sekitar dapat diminimumkan dan dipelihara. Dari aspek ekonomi, teknologi hijau meningkatkan pembangunan ekonomi Negara. Dari segi sosial pula, kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan. Dari segi pertanian apakah yang kita perlu tahu mengenai Teknologi Hijau?

Apa dia Nanoteknologi ?
Teknologi hijau juga merujuk kepada produk, peralatan atau sistem yang memenuhi kriteria seperti meminimumkan penurunan kualiti persekitaran seperti penurunan pembebasan gas Rumah Hijau (GHG) sehingga ketahap yang terendah atau sifar. Ini akan menjimatkan tenaga dan sumber asli dan menggalakkan sumber yang boleh diperbaharui. Teknologi Hijau juga merujuk kepada kemahiran penggunaan sains alam sekitar untuk memelihara sumber alam semulajadi serta mengawal kesan negatif aktiviti manusia. Pembangunan mampan adalah teras kepada teknologi alam sekitar yang bermaksud penyelesaian perlu mengambilkira aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar. Isu penting dalam teknologi hijau termasuk pembangunan bahan bakar alternatif atau sumber tenaga yang boleh diperbaharui. Pemilihan bahan dan lokasi bangunan juga terlibat dalam teknologi hijauyang mana ianya juga melibatkan teknologi manipulasi pada skala nanometer. 'Nanoteknologi' hijau adalah aplikasi teknologi hijau dalam bidang nanoteknologi.

Teknologi Hijau dalam pertanian ialah satu sistem atau cara pengeluaran hasil tanaman yang tidak menggunakan bahan kimia sintetik seperti baja kimia dan racun perosak. Ini mungkin yang kita kena tahu. Ini kerana ianya melibatkan penggunaan bahan-bahan semulajadi sebagai sumber nutrien tanaman seperti Pengkomposan Sisa Ladang dan Sisa Ternakan. Perkara ini merupakan asas dan ianya penting bagi memastikan isu-isu penggunaan baja kimia sintetik dan racun perosak yang semakin meningkat dari hari ke hari dapat dikurangkan ke tahap yang optimum. Walau pun konsep ini bertentangan dengan peningkatan hasil tanaman dengan penggunaan teknologi baja dan racun kimia tetapi ianya mesti di fikirkan. Saya berpendapat jika sekiranya tidak ditangani, ia boleh menimbulkan masalah keatas kesihatan manusia dan kestabilan alam sekitar dalam jangkamasa pendek apa lagi jangkamasa panjang.

Apa yang saya hendak katakan adalah di negara kita iaitu Malaysia, memeng telah terdapat pelbagai teknologi berkaitan dengan pertanian hijau yang telah dilaksanakan seperti Teknologi Natural Farming, Kyusei Farming, Perladangan Lestari, Perladangan Aternatif dan Perladangan Biodinamik. Dua jenis teknologi yang banyak diamalkan hari ini ialah Teknologi Natural Farming dan Kyusei Farming. Saya telah berkursus mengenai Teknologi Kyusei Farming di Saraburi, Thailand selama 1 minggu pada tahun 2006. Negeri Johor diantara negeri yang aktif didalam menjalankan aktiviti dan aplikasi Kyusei Farming dan Natural Farming masa kini. Walau bagaimanapun pelbagai teknologi dan kaedah yang berbeza beza tetapi matlamat bagi semua teknologi ini adalah sama iaitu menjaga dan memelihara alam sekitar serta menjamin pengeluaran makanan yang selamat dan sihat.

Bagi memastikan teknologi pertanian hijau ini berkembang dengan baik, Jabatan Pertanian telah mengambil pelbagai pendekatan dengan memperkenalkan pelbagai teknologi pertanian hijau yang telah melalui perubahan dan panyesuaian teknologi mengikut keadaan di malaysia bagi membantu dan menarik minat petani mengikut keadaan di Malaysia. Selain itu, teknologi vermikompos menggunakan makroorganisma seperti cacing dalam menjalankan proses penguraian bahan organan untuk dijadikan baja organik. Disamping itu pihak jabatan pertanian juga memperkenalkan teknologi penghasilan baja cecair daripada sisa tanaman dan ikan seperti FAA (Fish Amino Acid), FPJ (Fermented Plant Juice), FFJ (Fermented Fruit Juice), Kompos dan Iain-Iain. Kesemua produk ini bertindak sebagai baja dan pelengkap untuk kesuburan pokok. Kita perlu faham dahulu teknologi hijau untuk dilaksanakan disemua peringkat !


TEKNOLOGI HIJAU... GREEN TECHNOLOGY NAMANYA...
KURANGKAN KIMIA ... BAJA ORGANIK GANTINYA...
GERAKAN BERTERUSAN ... BARU ADA KESANNYA...
PERANAN MASYARAKAT ... PENGHAYATAN CARANYA...

By,
M Anem
9th Floor, Sunway Putra Hotel,
100, Jalan Putra,
Kuala Lumpur,
Malaysia
(29 Rejab 1433H)
Updsated 10.11.2012

Monday, June 18, 2012

KHASIAT BUAH NONA

BUAH NONA (Annona squamosa) atau BUAH NONA SERIKAYA merupakan buah tropika yang kurang popular di Malaysia tetapi ianya mudah dikenali kerana bentuk buahnya dan namanya. Nama botani buah Nona adalah Annona squamosa dari Keluarga Annonaceae.  Nama lain atau synonim bagi buah ini adalah seperti Annona reticulata sementara di negara jiran Indonesia buah ini dipanggil sebagai Mulwo, Binoa atau Manowa. Beberapa rujukan yang saya buat menyatakan bahawa buah ini dipercayai berasal secara semulajadi dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Pada masa ini buah nona telah pun diusahakan dibanyak negara termasuk kawasan Aia Tenggara dan seluruh kawasan tropika. Saya kenal akan buah ini kerana terdapat beberapa pokok yang ditanam di kawasan rumah di Muar dulu dan di Stesyen Pertanian Tangkak, Ledang, Johor. Buah ini juga boleh didapati dijual di pasar Chow Kit setiap masa dan dimakan segar oleh mereka yang menggemarinya. Artikel petang ini saya menulis tajuk khasiat dan cara penanaman buah anona untuk tatapan bersama.

Pokoknya kecil lebih kurang 4.5 meter hingga 6 meter dan pokok ini perlu dicantas mengikut kaedah disyorkan untuk mengawal ketinggiannya. Pokok nona mempunyai batang berkayu yang kuat dan daun berwarna hijau serta banyak cabang. Apa yang unik mengenai buah nona adalah bentuk buahnya yang berbonggol dan mempunyai banyak biji dan boleh didapati di sepanjang tahun (tidak bermusim). Saya dapati buah nona boleh dibiakkan dengan menggunakan biji benih. Buah Nona Serikaya ini juga boleh dibiak dengan cantuman tunas tetapi kualiti dan hasil buahnya didapati agak kurang memuaskan. Buah nona yang mentah berwarna hijau dan akan bertukar kepada kekuningan atau kemerahan setelah hampir masak mengikuit varieti dan pengurusan. Lazimnya buah Nona Serikaya boleh dimakan begitu saja apabila masak.

Terdapat pelbagai jenis atau varieti buah Nona yang kita boleh jumpa di negara kita tetapi belum ada rekod yang didafftarkan dengan Jabatan Pertanian secara rasmi. Pemerhatian saya mendapati di antara varieti yang saya pernah jumpa adalah buah yang mempunyai kulit bewarna hijau, hijau-kuning dan hijau- merah. Kajian mengenai khasiat permakanan pula mendapati bahawa buah ini setanding dengan buah epal juga mempunyai banyak bahan berkhasiat seperti protein, vitamin C, Kalsium dan Fosforus. Khasiat yang dinyatakan dalam beberapa rujukkan mendapati bahawa buah nona mengandungi bahan-bahan penting dalam menghasilkan sel darah merah (erytrocyte) dimana  ianya membina tulang dan gigi yang kuat serta membantu pertumbuhan kanak-kanak. Daunnya pokok buah nona juga berguna dimana ianya boleh dijadikan penawar bagi merawat bengkak bernanah, merawat luka daripada dikerumuni lalat, rawatan penyakit cirit-birit dan masaalah radang usus (najis berdarah).


Pemerhatian saya mendapati yang Buah Nona memang sedap dimakan serta mudah pula untuk menanamnya. Lazimnya kita hanya perlu hanya menaburkan bijinya didalam polibeg semaian dan biarkan ianya bercambah sebelum dialihkan keladang. Pokok ini hanya perlukan sedikit pembajaan dan pengawasan sahaja berbanding dengan pokok buah-buahan yang lain. Ramai rakan-rakan menyatakan pokok akan menghasilkan buah dalam tempoh tiga tahun. Pokok ini tidak banyak masaalah serangan serangga perosak atau penyakit. Penggunaan baja organik dan baja kimia membantu meningkatkan pembentukkan daun dan buah. Selamat mencuba!

KHASIAT NONA... MEMANG BERGUNA...
MUDAH DITANAM ... DIMANA-MANA...
TABUR BIJINYA... ALIHKAN SEGERA...
BUAHNYA KELUAR...KITA NIKMATINYA...

By,
M Anem
Sunway Putra Hotel,
Kuala Lumpur,
Malaysia
(28 Rejab 1433H)

Sunday, June 17, 2012

PERANGKAP FEROMON SERANGGA

APAKAH PERANGKAP FEROMON SERANGGA?
Ramai mungkin tidak tahu akan penggunaan perangkap feromon seranggan (Pheromone insect traP dalam bidang pertanian. Kaedah ini digunakan didalam Kawalan Perosak Bersepadu Tanaman (Intergrated Pest Management - IPM) untuk membuat tinjauan populasi serangga perosak yang hadir dalam kawasan kebun kita.  Tinjauan ladang perlu dijalankan setiap masa atau mengikut jadual ditetapkan bagi menentukan bilangan populasi serangga sampai kepada tahap merbahaya (Treshold level) yang perlukan kawalan. Kaedah kawalan meliputi pelbagai cara sama ada kaedah Racun Kimia, Kawalan Biologi, Kawalan Mekanikal, Kawalan Praktis Agronomi dan sebagainya. Salah satu cara membuat perangkap serangga yang praktikal adalah dengan menggunakan PERANGKAP FEROMON iaitu bahan kimia khas yang diletakkan pada bekas khas dan akan menarik beberapa jenis serangga untuk hadir kekawasan feromon. Artikel petang Ahad ini saya menulis maklumat mengenai perangkap feromon serangga perosak untuk pengetahuan bersama.


FEROMON (Pheromone) adalah cecair khas yang dihasilkan oleh bahagian organ serangga yang akan menarik serangga berlainan jantina untuk tujuan mengawan dan sebagainya. (Pheromones are substances that in small amounts attract insects to the emitter. Pheromones are natural substances that are produced by special glands in the abdomen of insects and it attracts the opposite gender of the same species).  Dalam teknologi terkini bahan feromon boleh dihasilkan di makmal dan mudah dibeli dipasaran serta mudah di pasangkan di kawasan kebun. Paling mudah di perolehi adalah feromon seperti Methyl Eugenol yang digunakan untuk menarik Lalat Buah (Bactocera spp atau Daucus spp) jantan datang kedalam perangkap yang kita pasang.  Methyl Eugenol di sapu pada kapas dan dimasukkan kedalam bekas plastik botol air yang dibuat lubang disekelilingnya. Lalat Buah Jantan akan menghidu bau feromon tersebut dalam jarak beberapa jauh (tidak dapat dipastikan jarak kekuatan feromon ini) bergantung kepada angin dan keadaan pokok disekeliling (lapang atau semak).  Serangga ini berupaya masuk kedalam botol tetapi agak sukar untuk keluar kerana bau dalam plastik sehingga ianya mati. Bau feromon ini tahan untuk beberapa hari dan perlu di tujar semula.


Serangga yang disasarkan untuk di perangkap menggunakan bahan feromon yang berlainan. Jika kita hendak memerangkap beberapa jenis serangga bebeza boleh di letakkan dikawasan kebun dengan jarak antara 150 - 300 kaki diantaranya dengan menggunakan feromon dan bentuk bekas yang berlainan.  Walau pun terdapat serangga bukan sasaran yang hadir dalam bekas perangkap kita, bilangannya adalah sedikit berbanding dengan serangga sasaran khusus bergantung kepada jenis feromon yang digunakan.  Bilangan perangkap feromon juga berbeza jumlahnya bergantung kepada peringkat tanaman, keadaan cuaca, persekitaran dan sebagainya. Contohnya dikawasan kebun tanaman tomato boleh dipasang sebanyak 7 perangkap sehektar untuk menangkap kupu-kupu diperingkat sebelum pembentukkan buah. Bilangan ini di kurangkan ketika peringkat buah telah masak atau ketika pokok belum berbuah. 


Beberapa perkara penting dalam mengendalikan pemasangan perangkap feromon perlu kita patuhi agar ianya berkesan dan tidak mendatangkan ancaman. Pertama sekali pastikan hanya feromon yang betul dan tulin dibeli dripada pembekal yang dilesenkan. Terdapat beberapa feromon yang telah lupus (expired date) dijual dikedai kimia dan masih dijual. Beli feromon khusus untuk setiap jenis serangga yang hendak diperangkap. Kita perlu tahu akan bahan feromon tersebut dengan mempelajarinya. Beritahu jiran tetangga kebun bersebelahan yang kita akan memasang perangkap feromon. Bahan feromon perlu ditukar setiap 2 minggu atau satu bulan sekali. Gunakan sarung tangan baru setiap kali menukar perangkap feromon. Periksa bekas perangkap sama ada masih bolh digunakan, rosak, jatuh akibat ribut, penoh dengan serangga dan mengandungi air. Periksa bekas tersebut dan jika boleh diguna semula perlu di bersihkan dahulu. Pastikan pemasangan di lokasi yang strategik dan tidak membahayakan kepada orang lain, digantung dikawasan yang mudah dilihat dan sesuai dengan kanopi pokok. Pemeriksaan perangkap feromons sebaiknya dijalankan sekerap mungkin untuk mendapatkan data dan maklumat selain daripada pemantauan keujudan serangga perosak dalam kawasan kebun. Selamat Mencuba menggunakan Perangkap Feromon Serangga!


PERANGKAP FEROMON..MUDAH DIGUNA...
BAHAN FEROMON ... SENANG DAPATNYA...
MENARIK SERANGGA... DI MANA-MANA....
POPULASI SERIUS.... KAWALAN BERMULA....


By,
M Anim
Presint 11, Putrajaya,
Malaysia
(27 Rejab 1433H)

Saturday, June 16, 2012

KATEGORI BENIH


BANK BENIH (Seed Bank) adalah satu tempat dimana semua benih berbagai jenis tumbuhan agar dapat dipergunakan pada masa yang akan datang dan ianya merupakan satu tempat sebagai sumber genetik untuk kepentingan Penyimpanan (Conservation). Keujudn bank benih sangat penting bagi setiap negara seperti Malaysia yan mempunyai beribu-ribu jenis tumbuhan dan macam2 jenis pokok hutan yang mana ianya memang memiliki peranan yang sangat penting dalam pengembangan (expansion) dan pelestarian (sustainability) janaplasma (Germplasm) tumbuhan di dunia. Bank benih terdiri dari bank benih di dalam Stesyen-stesyen Pertanian, Dalam Makmal, Dalam Aboretum dan juga didalam hutan semulajadi yang tersimpan di dalam atau di atas permukaan tanah. Negara kita menyediakan peraturan khusus dalam penyimpanan benih mengikut peraturan antarabangsa yang ada. Bank Benih akan mempastikan kesinambungan baka asas untuk proses pembiakbakaan tumbuhan (Plant Breeding) berterusan bagi mendapatkan varieti tanaman yang superior. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai ciri-ciri beberapa jenis benih yang menentukan kaedah penyimpanan yang sesuai didalam Bank Benih.


1. JENIS BENIH TANAMAN
 Terdapat dua kategori jenis benih tanaman yang dijumpai iaitu Jenis benih yang bersifat ortodoks dan rekalsitran. BENIH ORTODOKS merupakan jenis benih yang tidak mati walaupun dikeringkan sampai kadar air yang relatif sangat rendah (sangat kering) dengan cara pengeringan cepat. Benih jenis ini juga tidak mudah mati walau pun benih tersebut disimpan dalam keadaan suhu yang relatif rendah (Dalam Peti Sejuk atau Suhu Beku). Sebagai contoh saya katakan benih yang bersifat Ortodoks antara lain adalah benih tanaman Acacia mangium Wild (Pokok Akasia), Dalbergia latifolia Roxb (Sonobrit), Eucalyptus urophylla S.T (Ampupu), Eucalyptus deglupta Blume (Leda), Gmelina arborea Linn (gmelina), Paraserianthes falcataria Folsberg (sengon), Pinus mercusii dan Santalum album (Kayu Cendana). 

BENIH REKALSITRAN pula adalah jenis benih yang akan mati kalau kadar airnya diturunkan sebelum mencapai tahap kering dan tidak tahan di tempat yang bersuhu rendah atau suhu sejukbeku. Diantara contoh benih ini adalah Agathis lorantifolia Salisb (Dammar), Diosypros celebica Back (eboni) , Hevea brasiliensis Aublet (Kayu Getah), Macadamia hildenbrandii Steen (makadame) dan juga jenis Shore compressa, Shorea.

2. BENIH DORMAN
Benih mempunyai sati ciri Dorman bermakna satu keadaan benih rehat dan tidak mudah bercambah walau pun diberikan faktur sekelilinh sesuai. Benih ini tidak boleh bercambah pada satu jangkawaktu atau keadaan yang tertentu. Bagaimana pun domansi ini boleh di sesuaikan dengan beberapa kaedah rawatan biji benih. Diantara faktor yang menyebabkan keadaan 'Seed dormancy' adalah seperti kulit benih tidak tembus air, kulit terlalu keras, sehingga secara mekanis sulit ditembus oleh embrio, benih yang impermeable terhadap gas oksigen, embrio belum terbentuk sempurna pada saat benih telah masak dan juga ketidaksediaan benih secara semulajadi untuk bercambah. Terdapat beberapa cara atau teknik yang dipakai untuk memecahkan dormansi ini antara lain adalah mengikis testa, menggosok, membuat lubang, menggunakan bahan kimia iaitu dengan merendam benih dalam larutan Asid sulfat, Asid nitrat (pekat), Asid hidroklorid atau asid lain yang disyorkan oleh Saintis.

Kaedah lain rawatan benih ialah dengan menggunakan bahan seperti regulator tumbuhan (Contohnya: Citokinin, Auxin dan Giberallin) atau dengan merendamkan di dalam air panas atau pun cara rawatan suhu tertentu atau dengan pancaran cahaya. Benih dorman sebagai contoh Benih Pokok Merbau (Instia palembanica) yang benihnya diliputi oleh kulit keras dan tebal dan tidak dapat menyerap air. Lazimya saya dapati yang benih merbau yang matang mempunyai kelembaban pada kadar kurang dari 10% dimana dalam keadaan ini maka benih tersebut dapat bertahan selama 3 tahun tanpa rawatan. Perlu diketahui oleh kita bahawa benih tidak dorman juga tidak selalu menguntungkan disebabkan benih tersebut cepat mati. Keadaan ini memang menyusahkan semasa kerja-kerja pemindahan untuk dibawa ke tempat lain yang relatif memerlukan waktu yang agak panjang. Contoh benih yang tidak dorman adalah Pokok Merawan (Hopea odorata) dan Pokok Kayu Kuku (Pericopsis spp). Diharap artikel ini dapat menambah lagi ilmu pengetahuan kita dalam bidang teknologi benih tanaman melalui Anim Agro Technology. SELAMAT MEMBACA!.


BENIH ORTODOK... BANYAK JENISNYA...
TAHAN DISIMPAN ... LAMA GUNANYA...
BENIH REKALTRIKAN...SUKAR JAGANYA...
BANK BENIH ... PENTING PERANANNYA...


By,
M Anem
Senior Agronomist,
Taman Botani Putrajaya,
Presint 15,
Putrajaya,
Malaysia
(26 Rejab 1433H)
Kemaskini artikel pada 1 Januari 2015

Friday, June 15, 2012

BAHAYA RACUN PEROSAK

Racun Makhluk Perosak (PESTICIDE) adalah bahan yang digunakan untuk memusnah dan mengawal serangga atau tumbuhan perosak. Contoh racun makhluk perosak ialah racun paraquat, organofosfat, organoklorin, glifosat dan karbamat dan banyak lagi yang dijual untuk kegunaan petanian dan domestik. Racun makhluk perosak berguna untuk mengawal makhluk perosak dan meningkatkan penghasilan pertanian tetapi ia juga berbahaya kepada manusia. Di rumah sering kita gunakan racun makhluk perosak untuk menyembur serangga seperti Nyamuk, Lalat dan Lipas juga tergolong dalam jenis racun serangga kelas III atau Kelas IV. Siapa kata racun tersebut tidak erbahaya kepada kesihatan kita!....  Semua jenis racun kebanyakannya adalah mengandungi bahan yang boleh merbahayakan manusia jika  tdak digunakan dengan sempurna. Artikel hari Jumaat ini saya menulis mengenai Bahaya Racun Perosak untuk tatapan anda semua.

Bagaimana keracunan boleh berlaku?
Seseorang boleh terdedah kepada keracunan racun makhluk perosak melalui 3 cara iaitu yang pertama dengan keadaan dimana kita tertelan makanan atau minuman yang dicemari racun makhluk perosak, melalui sentuhan kulit dengan racun makhluk perosak dan dengan cara terhidu racun makhluk perosak.

Siapakah mereka yang berisiko?
Mereka yang berisiko adalah orang yang terlibat dengan penggunaan racun perosak terdiri daripada Petani dan Pekerja ladang atau Pekerja Estet yang membuat semburan. Golongan ini sering menghadapi risiko terhadap kesan toksik semasa membancuh, menyembur, mencuci tong, menyimpan racun dan berjalan dikawasan yang baru disembur racun. Pengalaman saya semasa bertugas di estet Pamol di Kluang dulu melihat bagaimana pekerja ladang tidak mematuhi peraturan keselamatan menggunakan racun menyebabkan ada yang mempunyai sakit kulit. Kumpulan lain adalah mereka yang berkerja dalam kilang atau pekerja kilang racun makhluk perosak juga terdedah kepada risiko keracunan.

Gejala Terkena Racun
Mungkin ramai diantara kita yang kurang tahu akan simptom atau tanda-tanda kita terkena racun perosak. Pendedahan kepada racun makhluk perosak boleh menyebabkan kecederaan kepada badan dan anggota serta organ badan tanpa disedari. Diantara tanda atau gejala terkena racun iaitu kesan serta-merta seperti sakit kepala, loya, berpeluh, kulit merengsa dan malah pada tahap yang serius boleh menyababkan kes-kes kematian. Kita juga mungkin terdedah untuk kesan jangka masa panjang seperti tangan mengeletar, kelupaan, kurang daya ingatan, kurang daya tumpuan, kekuningan mata serta keletihan. Jenis racun sistemik memang mempunyai kesan jangkapanjang yang kita tidak sedar. Awasi dan buat pemeriksaan doktor sekiranya kita menggunakan racun dan ada simptom diatas dengan segera.

Komplikasi yang paling teruk boleh terjadi akibat keracunan ini?
Kita perlu faham yang racun perosak mampu menyebabkan kerosakan pada organ dalaman dalam jangkamasa pendek atau jangkamasa panjang. Daripada kes-kes yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dilaporkan bahawa terdapat kes-kes krosakan kekal fungsi ginjal (buah pinggang), hati, paru-paru dan saraf serta kemandulan dan kematian akibat terdedah kepada racun. Kematian dengan meminum racun untuk tujuan bunuh diri bagaimana pun tidak termasuk didalam kes yang kita bincangkan.

Rawatan Terkena Racun
Adakah anda tahu bagaimana langkah-langkah rawatan jika terkena racun ? Paling penting di peringkat awal dimana rawatan kecemasan perlu diberi serta merta untuk menyelamatkan nyawa mangsa. Jika ada kes maka dengan segera bawa mangsa terlibat ke tempat yang selamat yang mempunyai pengudaraan yang baik seperti kawasan lapang atau kawasan tidak tercemar dengan racun. Ingat jangan pula kita yang terkena akibat menolong mangsa. Kemudian kita tanggalkan pakaian yang tercemar dan jangan cuba memaksa pesakit untuk muntah. Bersihkan bahagian tubuh atau anggota yang tercemar dengan racun makhluk perosak dengan menggunakan air yang banyak selama 15-20 minit. Hantarkan mangsa terlibat ke hospital dengan segera. Jangan lupa untuk membawa bekas racun yang terlibat ke hospital bersama pesakit. Ini memudahkan doktor untuk mengenalpasti jenis racun yang terkena untuk memudahkan pemberian ubat atau anti-dot yang sesuai. 

Mencegah Kejadian Keracunan?
Kita boleh mencegah kejadian keracunan Racun Makhluk Perosak dengan mengambil langkah awal pencegahan. Pertama sekali pastikan anda tahu jenis racun makhluk perosak yang digunakan dengan membaca label dan Kelas Racun Tersebut. Racun Kelas 1 adalah sangat merbahaya berbanding dengan racun kelas IV dan Kelas V. Pastikan racun yang digunakan adalah racun berdaftar dengan LPRMP dan jangan gunakan 'racun haram'. Kita perlu patuhi setiap arahan pengendalian racun makhluk perosak yang dibekalkan oleh pengeluar setiap masa yang ditulis pada label dan peraturan keselamatan. Ketika menggunakan kita perlu mengmalkan teknik pengendalian yang selamat dan betul. Labelkan bekas racun makhluk perosak dengan betul sebelum menyimpanan dan baki racun yang tidak habis digunakan. Dalam setor penyimpanan perlu disimpan racun makhluk perosak di tempat yang berkunci dan berasingan dari barang-barang lain. Jangan pindahkan racun makhluk perosak ke dalam bekas lain; gunakan bekas yang asal sahaja.  Jangan gunakan semula bekas racun makhluk perosak yang telah kosong. Lupuskan semua bekas racun makhluk perosak yang kosong dengan menanam dalam tanah yang sesuai atau hantar kepada pihak tertentu yang dilantik. Gunakan alat pelindung diri yang sesuai dengan cara yang betul.

Apakah amalan pengendalian yang selamat?
Langkah keselamatan menggunakan racun ada di berikan oleh pegawai teknikal dan penjual racun. Paling asas adalah dimana kita perlu memakai pakaian dan peralatan pelindung diri yang sesuai  untuk menjalankan aktiviti meracun. Kita perlu sentiasa menggunakan sarung tangan semasa membancuh racun makhluk perosak. AWAS! Jangan makan, minum atau merokok semasa mengendalikan racun. Ini merupakan pantang kerana siapa tahu akan berkalu kemalangan akibat pencemaran racun terhadap makanan tersebut. Sering diingatkan agar kerja-kerja penyemburan racun makhluk perosak mestilah menurut arah angin. Ini elakkan racun terkena badan kita. Basuh bahagian badan yang terdedah SEGERA dan mandi selepas setiap kali mengendalikan racun.

Pakaian sesuai dan selamat ketika meracun
Perkara ini sering diwar-warkan dalam banyak massmedia dan risalah keselamatan pengendalian racun perosak. Ramai petani di luar bandar yang kurang sensitif tentang perkara ini dan diambel ' enteng' sahaja. Mereka tidak pedulikan pakaian yang digunakan. Pastikan kita memekai Baju berlengan panjang dan seluar panjang, memakai Topi, Apron plastik, Kasut atau But keselamatan, Sarung tangan getah, Topeng muka dan Kacamata pelindung mata. Ramai pengguna kata pakaian ini kurang selesa kerana panas, berat dan leceh. Mana lebih penting?. Keselesaan atau risiko terkena racun?.

RISIKO RACUN.... AMAT MERBAHAYA....
KALAU TERKENA... MENGANCAM NYAWA...
BACA LABEL... PASTIKAN CARA GUNANYA...
PERIKSA SELALU...DOKTOR PASTIKANNYA...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
TKPM Sg Blankan, Sg Pelek,
Sepang, Selangor.
Malaysia
(25 Rejab 1433H) 

Thursday, June 14, 2012

KHASIAT DOKONG ANAK

Dokong Anak (Phyllanthus Niruri atau P. amarus) adalah sejenis tumbuhan herba yang kita mudah jumpa dikawasan belukar, kawasan kebun atau di serata hutan di Malaysia iaitu kawasan beriklim hujan basah di Asia dan Amerika Selatan. Maklumat daripada beberapa rujukkan mendapati yang tumbuhan Dukung Anak ini merupakan salah satu daripada penawar herba paling berguna dan serba mujarab untuk melegakan sakit. Ianya didakwa membantu tubuh melawan demam sejuk dan selsema dan menghapuskan batu karang (batu buah pinggang dan batu hempedu) serta mempercepat penyembuhan daripada hepatitis dan sakit kuning. Herba ini kini digunakan untuk mengatasi beberapa masalah yang sukar dirawati dengan kaedah perubatan moden. Dukung Anak boleh tumbuh hingga mencapai 40 sm tinggi dan mudah dikenali daripada lenggainya yang kecil dan meninggi sepanjang sisi bawah daunnya. Ramai petani dan pekebun kecil di Malaysia yang kenal tumbuhan ini sebagai rumpai. Ini kerana ia mudah tumbuh dan ia dapati muncul dicelah-celah pokok berpasu sebagai tetamu tidak diundang di sekitar
halaman rumah mereka. Artikel petang khamis ini saya terpanggil menulis mengenai khasiat Dokong Anak untuk pengetahuan dan bacaan ringan.



Diantara khasiat Dokong Anak adalah kesannya terhadap masaalah hati dan ada yang kata ianya sebagai 'Agen Perlindung Hati'. Herba in lazimnya digunakan untuk merawat sakit kuning dan hepatitis. Di China dan India, kajian untuk menilai kesan pelindungnya terhadap hati dibuat dengan mengenakan haiwan makmal kepada toksin hati (bahan yang meracuni hati) seperti alkohol dan parasetamol. Kesan pelindung telah terbukti. Keputusan ini menyerupai kesan pelindung hati yang terhasil oleh sejenis herba tempatan lain, iaitu Hempedu Bumi (Andrographis paniculata). Kajian mengenai kesan kepada masaalah Anti-Hepatitis B dijalankan sekitar tahun 1980-an. Para penyelidik dan pengamal perubatan herba amat gembira dengan hasil kajian dimana ujian yang berjaya terhadap herba ini dalam menentang virus Hepatitis B. Kajian juga mendapati virus ini menyebabkan sejenis jangkitan beransur-ansur yang dikaitkan dengan barah hati dan dianggarkan dihidapi oleh sekitar 300 hingga 500 juta orang di seluruh dunia.


Para Saintis masih sedang mencari-cari suatu rawatan yang mampu melumpuhkan virus ini dan mencegahnya daripada merebak. Ada beberapa kajian terhadap tumbuhan Dokong Anak oleh saintis yang telah menunjukkan kesan antivirus  memberangsangkan dalam menentang Hepatitis B. Kajian selanjutnya menghasilkan keputusan yang agak bertentangan tanpa sebarang perubahan dilihat. Perbezaan-perbezaan ini mungkin di sebabkan oleh kelainan aras kandungan bahan aktif dalam contoh-contoh yang digunakan. Dalam semua ujian ini, para penyelidik juga tidak mendapati sebarang kesan sampingan atau tindak balas negatif dan merumuskan bahawa herba ini selamat dan tidak toksik. Ia boleh digunakan atau bersama dengan herba lain dengan selamat. Dokong Anak sekurang-kurangnya menawarkan satu rawatan alternatif yang berpotensi untuk merawat Hepatitis B dari kajian yang telah dibuat.


Kajian khasiat Dokong Anak terhadap masaallah Batu Karang (Batu Buah Pinggang dan Batu Hempedu) telaah dijalankan beberapa lama. Dukung Anak merupakan penawar yang digunakan dengan paling meluas untuk merawat masalah batu karang sama ada masaalah batu buah pinggang atau batu hempedu. Ada sesetengah masyarakat tempatan dibeberapa negara mengggelarkan tumbuhan ini sebagai “Penghancur Batu”. Pati atau larutan dari Phyllanthus Niruri telah menunjukkan kesan perencat tidak berkait kepekatan yang kuat dan berkesan terhadap pembentukan hablur Calcium Oxalate (ketulan bahan bina yang menghasilkan kebanyakan batu buah pinggang). Ini boleh menjelaskan penggunaannya dalam kaedah perubatan tradisional untuk mencegah 2 pembentukan batu buah pinggang. Herba ini dipercayai memiliki sifat-sifat unik sebagai 'bahan antikejang' dan 'pengendur otot' khusus bagi saluran kencing dan saluran hempedu dimana mengikut jangkaan para penyelidik ianya memudahkan penyingkiran batu buah pinggang dan batu pundi-pundi kencing dan batu hempedu.


Keistimewaan khasiat lain seperti tindakannya sebagai agen Antivirus yang berkesan. Penyelidikan terbaru terhadap dokong anak menunjukkan bahawa aktiviti antivirusnya merangkumi ‘virus kurang imun manusia’ (human immuno- deficiency virus) atau HIV. Adalah diketahui umum yang virus HIV menyebabkan penyakit AIDS. Kini banyak produk yang digunakan oleh para pengamal perubatan herba dan kesihatan alamiah di serata dunia dalam pelbagai rumusan untuk masalah-masalah tersebut di atas. Herba ini digunakan secara paling meluas untuk menjaga kesihatan yang boleh didapati didalam pelbagai bentuk sama ada dalam bentuk pil, serbuk, larutan dan sebagainya. Kepada mereka yang belum kenal akan tumbuhan Dokong Anak boleh membuka laman website yang menulis banyak mengenai ciri-ciri marfologi, kaedah penanaman dan penuaian hasil serta cara memproses untuk menghasilkan produk yang berguna. Penanaman pokok dokong anak di negara kita masih diperingkat awal dimana belum ramai yang berani mencuba kerana takut akan masaalah pemasaran yang belum pasti terjamin. Selamat menanam Dokong Anak untuk kegunaan sendiri di rumah!

KHASIAT DOKONG ANAK... AGAK PASTI....
MUDAH DITANAM... MACAM POKOK SAKTI...
BENIH DI KUTIP... BAHAGIAN POKOK INI...
SELEPAS DI PROSES ... PRODUK BERKUALITI...



By,
M Anem
Ulu Yam, Selangor,
Malaysia.
Musim Durian dan Manggis...Fresh!
(24 Rejab 1433)

Wednesday, June 13, 2012

Kecukupan Makanan

KECUKUPAN MAKANAN (Food Security) merupakan satu perkara penting yang di bincangkan dalam banyak forum-forum antarabangsa dan tempatan. Malaysia mempunyai beberapa strategi dalam mempastikan kecukupan makanan untuk rakyatnya seramai 28.25 juta pada 2011 dengan kaedah yang disusun rapi melalui beberapa Kementerian dan Jabatan Perlaksana. Makanan utama penduduk di Malaysia adalah Nasi yang dimakan setiap hari dengan sebahagian dihasilkan didalam negara dan sebahagian lagi di impot. Keluasan penanaman padi di Malaysia sekitar 675,000 hektar setahun dan menghasilkan sebanyak 2.548 juta metrik tan padi atau sebanyak 1.642 juta metrik tan beras yang bernilai RM 1.911 billion. Bagaimana pun negara kita masih mengimpot sebanyak 570,000 metrik tan beras daripada beberapa negara jiran untuk memenuhi keperluan bahan makanan ini.


Berapa banyak kadar pengambilan makanan oleh penduduk Malaysia agaknya?. Saya telah membuat sedikit carian maklumat dan di mana pada tahun 2010 kadar perkapita penggunaan Beras sebanyak 79.5 kg seorang setahun. Maksudnya setiap orang rakyat Malaysia akan makan sebanyak purata hampir 80 kg beras setahun dan cuba kira sendiri berapa rumpun pokok padi diperlukan untuk menghasilkan 80 kg beras. Purata penghasilan beras negara sekitar 3,600 kg sehektar, maknaya senang kira satu hektar sawah padi di negara kita mampu memberi bekalan beras kepada 48 orang sahaja setahun. Mengikut teori mudah, kita makan nasi pada waktu makan tengahari dan makan malam serta kadang-kadang wada saraapan pagi (3 kali sehari). Ini amat ketara dikalangan masyarakat luar bandar dimana mereka menjalankan aktiviti yang aktif di kebun, nelayan, pekerja kilang dan sebagainya.


Kadar perkapita untuk bahan makanan lain di Malaysia adalah Sayur sebanyak 54.7 kg seorang setahun, Buah-buahan (93.0 kg/org/tahun), Daging Lembu dll (5.6 kg/ orang /tahun), Daging Ayam (35 kg/ orang/ tahun), Telur (295 bibi/ orang/ tahun - banyak betul orang Malaysia makan telur ayam!) , Ikan (45.4 kg / orang / tahun) dan Susu (47.5 liter/ orang/ tahun). Kadar kecukupan makanan di negara kita belum pernah kedengaran kes-kes KEBULURAN akibat tidak cukup bekalan makanan. Malaysia masih pada tahap SELAMAT dari segi bekalan makanan sama ada yang dihasilkan sendiri atau pun diimpot dari luar. Penghasilan bahan makanan di negara kita stabil kerana mempunyai tanah yang subur, cuaca panas sepanjang tahun, kemudahan infrastruktur yang baik, teknologi pertanian yang maju dan pengeluar hasil tanaman yang kuat kerja. Harga bahan makanan masih stabil dan terkawal walau pun terdapat kenaikan harga pada waktu-waktu tertentu disebabkan oleh beberapa faktur seperti musim tengkujuh, musim perayaan, serangan wabak penyakit dan kenaikan kos bahan input pertanian.   


MAKANAN RUJI ...BERAS ANTARANYA...
NASI LEMAK.. MEMANG RAMAI SUKANYA...
HARGA MENINGKAT... APA SEBABNYA...
KOS PENGELUARAN... MUNGKIN PUNCANYA...


By,
M Anem
Ulu Chuchuh, Sg Pelek,
Sepang, Selangor,
Malaysia.
(24 Rejab 1433H) 

Tuesday, June 12, 2012

INDUSTRI UBIKAYU DUNIA

INDUSTRI TANAMAN UBI KAYU DUNIA merupakan satu jenis tanaman untuk mendapatkan ubi dan digunakan sebagai makanan asas, produk proses serta terkini untuk 'biofuel'. Ubi Kayu atau juga dipanggil sebagai 'Casava' atau 'Tapoica' mempunyai nama botani sebagai Manihot esculenta yang juga mempunyai nama sinonim sebagai Manihot utilisma dan Manihot aipi dari keluarga Euphobiaceae. Laporan oleh FAO menunjukkan pengeluaran ubi kayu dunia pada tahun 2011 adalah sebanyak 209.746 juta metrik tan yang bernilai USD 20.132 billion. Negara pengeluar utama ubi kayu dunia adalah Nigeria (18% atau 37.5 juta mt) diikuti dengan Brazil (11.61% atau 24.35 juta mt),  Indonesia (11.4% atau 23.9 juta mt), Thailand (10.5% atau 22.0 juta mt) dan kelima adalah Congo (7.2% atau 14 juta mt).  Lain-lain negara yang banyak menanam ubi kayu mengikut turutan yang di laporkan oleh FAO adalah Angola, Ghana, Vietnam. India dan Mozambiq. Malaysia hanya menanam seluas 2,400 hektar ubikayu pada tahun 2011 dengan jumlah pengeluaran sebanyak 38,700 metrik tan sahaja. Artikel malam ini saya menulis tajuk mengenai industri ubikayu selepas pulang dari melawat TKPM Ulu Chuhchun dan TKPM Ulu Blankan, Sepang, Selangor yang banyak menanam ubikayu dan keledek.


Ubi Kayu adalah tanaman umbisi renek yang mempunyai ubi untuk pelbagai kegunaan seperti makanan, di proses dan dijadikan biodiesel. Ubi Kayu sesuai tumbuh di kawasan beriklim tropika dan separa tropika. Tanaman ini menjadi makanan ruji di beberapa negara Afrika seperti di Nigeria, Congo, Ghana dan sebagainya. Ubi kayu mengandungi zat pemakanan yang tinggi dengan Kabohideraat, Kalsium, Vitamin B dan Vitamin D. Kandungan bahan mineral bergantung kepada umur pokok, pengurusan tanaman, varieti ubi kayu yang ditanam serta lokalilit penanaman. Di Afrika dan kawasan Gurun Sahara lazimnya ubi kayu ditanam oleh pekebun-pekebun kecil untuk kegunaan sendiri dan lebihannya dijual kepada orang lain.  Ubi kayu boleh tumbuh dalam pelbagai jenis tanah termasuk tanah yang kurang subur dan tanah bermasaalah serta tidak memerlukan kos penjagaan dan buruh yang tinggi. Umbisi yang terletak dalam tanah mampu menyelamatkan penduduk tempatan walau pun berlaku peperangan saudara kerana sukar untuk memusnahkan ubikayu yang ada dalam tanah.  Ubi kayu juga selalu ditanam secara intergrasi atau bercampur dengan tanaman lain seperti kacang tanah, jagung, kacang soya, keladi, kelapa, kelapa sawit dan sebagainya. Penuaian ubi kayu dibuat antara 6 bulan selepas di tanam sehingga pokok berumur 3 tahun.


Ubi kayu yang dijadikan makaanan ruji juga berguna dalam sektor industri seperti penghasilan kanji, pemanis (sweetener), Papan Lapis, Gam, pproduk biodegradable (pinggan, mangkuk, bekas makanan dsb), Perasa Monosodium Glutamate (Ajinomoto, Ajishio), kertan, komestik dan ubat-ubatan. Ubi kayu kuga boleh diproses menjadi arak atau alcohol dan pelet makanan haiwan ternakan. Di Malaysia ubi kayu banyak diproses untuk dijadikan kerepek ubi kayu yang mempunyai permintaan yang tinggi di musim Hari Raya Aidulfitri. Kaedah penanaman ubi kayu tidak banyak berubah sejak dulu kala iaitu menggunakan keratan batang dari varieti yang terpilih. Bagaimana pun untuk aktiviti pembiakbakaan para penyelidik perlu mendapatkan biji untuk kajian. Keratan ubi kayu dari pokok ubi yang bari dituai perlu segera ditanam kerana dikawasan panas di Afrika ianya mudah kering selepas 3 hari dicabut.  Apa yang pembaca perlu tahu adalah kandungan unsur CYANIDE dalam ubi kayu yang merupakan Toksik kepada manusia dan haiwan jika di ambil berlebihan atau diproses tidak mengikut peraturan. Oleh itu ubi kayu perlu di proses dulu seperti dii rebus, di goreng, di kukus, di jemur di tapaikan bagi mengurangkan kandungan bahan Cyanide.


UBI KAYU...CASAVA DAN TAPIOCA....
NAMA SAMA....PELBAGAI NAMA...
ADA CYANIDE ...AMAT TOKSIKNYA...
DI AFRIKA ... JADI MAKANAN UTAMA...


By,
M Anem
TKPM Sg Blankan, Ulu Chuchuh,
Sepang , Selangor,
Malaysia
(29 Rejab 1433H)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...