Support My Blog

Monday, August 10, 2026

PEGAGA DAN FAKTA PENTING (PART 2)

TANAMAN PEGAGA (Centella asiatica Linn) merupakan satu jenis tanaman herba yang berkhasiat dan amat mudah untuk ditanam dikawasan keliling rumah atau ditanam dengan secara komersil. Pegaga amat terkenal diserata dunia dengan beberapa gelaran seperti Pennywort (Inggeris), Pegaga (Melayu), Pegagan (Filipina), Buabok (Thai), Ching Chow Sui (Cina), Mandookaoarni (Sanskrit), Gotu cola (India) adalah tumbuhan daripada Famili Umbelliferae. Sebagai pengenalan, saya dapati setelah membuat banyak rujukkan merupakan tanaman yang berasal atau natif dari kawasan Asia dan juga Afrika Timur iaitu India, Sri Lanka dan Madagascar. Tumbuhan ini adalah sejenis herba menjalar yang biasanya dimakan sebagai ulam yang berkhasiat dimakan bersama nasi putih. Daun Pegaga ini memang ia terkenal di Malaysia dan Asia Tenggara dimana daunnya yang berwarna hijau dan selalunya ia berbentuk seakan kipas atau ginjal dilaporkan kaya dengan pelbagai khasiat perubatan tradisional termasuk membantu melancarkan peredaran darah dan menyokong kesihatan otak sesiapa yang rjun memakannya. Apa pun bagi penulis blog dimana tumbuhan ini adalah asalnya dari jenis tumbuhan yang tumbuh meliar di kawasan lembap yang berdekatan dengan air di persisiran sungai dan tali air. Kebanyakan jenis atau spesies pegaga lazimnya ia boleh tumbuh di kawasan terbuka. Namun begitu ada laporan menyatakan jika terdapat juga yang spesies pegaga yang memerlukan lindungan yang sederhana. Pegaga biasanya tumbuh menjalar di atas tanah dan selalunya akan mengeluarkan akar pada setiap ruas batang dan akan keluarkan stolon berakar da berdaun untuk membiak di kawasan sekelilingnya. Daunnya berbentuk otak atau ginjal dengan bahagian tepi daun bersifat licin atau bergerigi mengikut jenis atau varietinya. Bunganya dalam jambak 3 - 4 kuntum dengan kelopak berwarna putih atau merah jambu. Buahnya berbentuk pipih berukuran di sekitar 3 mm dan ia akan kelihatan seperti biji cili. Harga pasaran bagi daun pegaga segar di Malaysia biasanya sekitar RM3.00 hingga RM5.00 untuk satu pek atau ikat (anggaran pek berat adalah sekitar 75g hingga 200g). Bagaimana pun untuk belian pukal di pasaran borong atau pasar raya dimana harganya sekitar RM45.00 sekilo dimana harga ulam daun egaga ini ia juga mungkin berbeza mengikut kawasan, kualiti dan premis jualan dimana kini mudah di beli secara online sahaja. Penulis membeli dari Shopee dua polibeg rumpun pegaga dengan harga RM38 untuk di tanam di rumah dan kini sudah menjadi 7 pasu yang subur. Artikel pada subuh Selasa ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai fakta penting ulam pegaga untuk di baca dan dijadikan sebagai bahan rujukkan semua.


Terdapat beberapa laporan kajian mengenai tanaman pegaga telah dibuat oleh saintis termasuk di Malaysia mengenai khasiat pegaga. Tanaman ini merupakan sejenis tanaman renek yang mempunyai daun berwarna hijau dan dikatakan sangat mudah menyerap air dan bahan galian. Kajian menunjukkan jika pegaga ditanam dikawasan yang tercemar (terutama dengan logam berat) akan menyerap bahan tersebut dan tidak sesuai untuk dimakan. Pegaga mudah ditanam diatas tanah atau pun di dalam pasu atau kontena dikeliling rumah. Kaedah penanamannya juga mudah iaitu dengan benih keratan batang. Kajian mengenai kandungan pegaga yang di jalankan oleh beberapa penyelidik mendapati setiap 100 gram pegaga mengandungi 87.7% air, 2.0% protin, 6.7% Karbohiderat, 0.2% lemak dan 1.6% Serat. Zat lain yang terdapat dalam pegaga seperti Vitamin A (0.4 mg), Vitamin B1 (0.09 mg), Vitamin B2 (0.19 mg), Vitamin B3 (0.2 mg) dan Vitamin C (1.6 mg) setiap 100 gm pegaga. Pegaga juga kaya dengan bahan galian seperti Kalsium (171.0 mg), Ferus atau Zat Besi (5.6 mg), Sodium (21.0 mg), Pottasium (391.0 mg) dan Posforus (32.0 mg). Pegaga juga mengandungi komponen zat Pectin yang sangat penting dalam sistem imunisasi badan manusia. Terdapat 4 jenis asid penting dalam jus pegaga iaitu Asid Asitik, Asid Medekasic, Asid Mendekasida dan Asid Terunasid yang perlu untuk kesihatan badan manusia. 
Pegaga Segar dimakan segar sebagai ulam dan juga kini telah ujud industri memproses pegaga untuk dijadikan makanan kesihatan. Kandungan Pectin dalam pegaga telah dibuat kajian klinikal sememangnya terbukti meningkatkann imunisasi badan dan menyebabkab awet muda. Pegaga di proses untuk dijadikan Teh Pegaga, Jus Pegaga, Pil Pegaga, Komestik Pegaga dan sebagainya di Malaysia. Jika di kaji ianya akan banyak lagi produk baru yang boleh di cipta atau diinovasikan serta berpotensi dipasarkan dipasaran domestik dan global.


Pegaga merupakan tanaman yang mana bahagian Daun, Akar, Tangkai Daun, Batang dan Bunga boleh digunakan. Semasa saya bertugas di Johor, Sarawak dan Pahang dahulu sering ada melawat kebun tanaman pegaga yang mampan di sekitar kawasan sayuran komersil dan secara hobi yang menghasilkan pegaga untuk pasaran segar dan juga di proses. Kalangan pengusha lokan menanam tanaman ulaman ini ada menanam beberapa jenis ulaman lain dan menjual pegaga segar ke lokasi bandar dan dieksport ke Singapura dengan kuantiti yang agak banyak setiap minggu. Jenis Pegaga yang di tanam adalah dari varieti Pegaga Cina, Pegaga Daun Lebar, Pegaga Renek dan sedikit Pegaga Gajah. Koleksi sumber benih yang ditanam mereka asalnya diperolehi dari beberapa punca yang ada menanam termasuk dari Stesyen Pertanian dan ada yang mula menanam secara hobi dengan membeli benih secara on-line sahaja. Tumbuhan herba juga dipanggil 'Centella Herba' kerana ianya memiliki kandungan unsur seperti jenis asiaticoside, thankuniside, isothankuniside, madecassoside, brahmoside, brahmic acid, brahminoside, madasiatic acid, meso-inositol, centelloside, carotenoids, hydrocotylin, vellarine, tanin serta garam mineral seperti kalium, natrium, magnesium, kalsium dan besi. Tumbuhan ini juga mengandungi glikosida triterpenoida yang disebut asiaticoside merupakan antilepra dan penyembuh luka yang sangat luar biasa. Zat vellarine yang ada memberikan rasa pahit. Bagaimana pun saya rasa pahit pada pegaga jauh kurang dari pahit pada pokok Pakawali atai Bakawali. Selain itu kajian saintifik melalui banyak rujukan di website juga mendapati Pegaga juga mengandungi banyak sebatian kimia dan bioaktiviti yang terbukti mengandungi ciri-ciri antibakteria, antipasma, antiinflamasi, hipotensif dan insektisid.


Peranan tumbuhan Pegaga dalam bidang perubatan tradisional juga dikaitkan dengan agen anti alergi, anti kanser, anti disenteri, peransang pembuangan urin, hipotensif, stimulan, tonik, menyejukkan badan, mengeluarkan batu karang, penawar kencing berdarah, kusta, gonorea,luka, kudis, dan sakit kerongkong. Pegaga juga anti-infeksi, antiracun, penurun panas, melawaskan pembuangan air kencing, antilepra dan anti sifilis. Kajian klinikal dan saintifik masih diperkukuhkan mengenai khasiat pegaga dalam perubatan. Pegaga dapat mengurangkan tekanan darah tinggi, mencegah nyanyuk, melambatkan proses penuaan dan menolong badan dari bahan toksid. Kebelakangan ini pegaga banyak digunakan di barat sebagai tonik saraf untuk merehatkan dan menambahkan ingatan. Di India bagaimanapun ia juga banyak digunakan untuk mengatasi masalah kulit. Khasiat lain yang dikaitkan dengan tumbuhan pegaga juga ada digunakan untuk mengatasi masalah seperti kemurungan yang mungkin disebabkan oleh masalah fizikal. Kajian terbaru menunjukkan pegaga menunjukkan kesan positif terhadap sistem pengaliran darah dengan menguatkan salur darah dan kapilari. Ia telah menunjukkan kesan yang memberangsangkan bila digunakan untuk merawat kejang kaki, bengkak kaki dan masalah kaki terasa berat dan kebas. Daun pegaga berfungsi sebagai astrigensia dan tonikum. Pegaga juga digunakan untuk revitalisasi tubuh dan otak yang lemah serta untuk kesuburan wanita.


Walau pun sudah banyak di katakan ulam pegaga itu berkhasiat akan tetapi perlu tahu juga akan ancaman apabila memakan ulam pegaga secara berlebihan. Beberapa kajian menyatakan dimana ia boleh membebankan fungsi hati iaitu ia akan menyebabkan masalah gastrik dan akan merendahkan tekanan darah secara mendadak. Dilaporkan ancaman perta,a adalah dikalangan para pesakit Buah Pinggang Kronik (CKD) juga berisiko tinggi kerana pegaga mengandungi potassium tinggi yang boleh memudaratkan kesihatan. Apa pun 
Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD) ialah keadaan di mana buah pinggang rosak secara beransur-ansur dan hilang keupayaan untuk menapis sisa serta lebihan cecair daripada darah. Dua punca utamanya ialah kencing manis dan darah tinggi. Gejala utama dimana pada peringkat awal (Tahap 1-3) dimana penyakit ini biasanya tidak menunjukkan sebarang tanda sebab ia dikenali sebagai 'pembunuh senyap. Apabila kerosakan menjadi teruk, gejala mungkin termasuk maka pesakit akan kerap membuang air kecil (terutamanya pada waktu malam) atau sebaliknya. Simptom lain seperti akan berlaku bengkak pada bahagian kaki, buku lali atau tangan dan badan akan terlalu letih dan lemah setya air kencing berbuih atau berdarah. Dalam pada itu tanda lain termasuk keadaan kulit kering, gatal atau kehitaman dan boleh terjadi kes sesak nafas atau loya. Pengambilan secara santai sebagai ulam harian adalah selamat akan tetapi semua harus berhati-hati dengan perkara Masaalah Hati sebab pihak seperti Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati berpunca pengambilan pegaga konsisten dalam tempoh melebihi 6 bulan boleh mengakibatkan kesan sampingan pada hati. Ada beberapa fakta penting mengenai pegaga dan kesihatan hati dimana Sifat Antioksidan didalam pegaga memang ia kaya dengan antioksidan yang boleh membantu mengurangkan keradangan. Kajian menunjukkan penggunaan konsisten jangka masa panjang mungkin membebankan fungsi hati dimana kadar dos selamat dengan mengambil secara sederhana (contohnya sebagai ulam sekali-sekala) agar jumlah ini ia selamat bagi individu yang sihat. Ada juga ancaman seperti  Interaksi Ubat dimana ulam pegaga mungkin bertindak balas dengan ubat tidur, antidepresan atau ubat kencing manis dan kolesterol. Ada di laporkan juga ancaman kepada kes kehamilan dan penyusuan kepada ibu-ibu dimana aspek keselamatan pegaga tidak disahkan untuk wanita hamil atau menyusukan anak dijadikan makanan rutin.  Artikel ini ditulis didalam empat (4) segmen iaitu Part 1, Part 2, Part 3 dan Part 4 yang sesuai agar ianya dapat di baca kesemuanya. Semuga tulisan artikel ini memberi info berguna kepada semua para pembaca blog anim agro technology kali ini...Wasallam!!!...
TANAM PEGAGA ... MUDAH SAHAJA...
ULAM BERKHASIAT...MURAH PULA...
BEBERAPA JENIS...PILIH YANG MANA...
BACA ARTIKEL...DAPAT FAKTANYA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Balai Panjang Murni,
Bandar Melaka,
Melaka,
Malaysia.
(28 Muharam 1448H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...