Support My Blog

Wednesday, January 25, 2023

CIRI VARIETI NANGKA KOMESIAL DI MALAYSIA

TANAMAN NANGKA
(Artocarpus heterophyllus) di Malaysia kini semakin popular begitu juga dengan kedapatan buah nangka segar untuk dinikmati.  Buah nangka merupakan salah satu komoditi utama di Malaysia yang mencatatkan kadar sara diri (SSR) sebanyak 110.7% dengan kadar kebergantungan import (IDR) yang rendah iaitu 0.2% mengikut rekod Jabatan Pertanian. Ketersediaan pasaran dan permintaan semasa kini menjadikan penanaman nangka antara pilihan tanaman berdaya saing dimana beberapa projek seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan Projek Kelompok Nangka Komersial kini ada yang sudah menjadi ikon penanaman nangka. Penglibatan beberapa pengusaha swasta menanam nangka juga semakin kelihatan. Kawasan penanaman nangka di Malaysia berjumlah seluas 5,089 hektar pada tahun 2022 dengan jumlah pengeluaran sebanyak 41,252 metrik tan (Sumber: Booklet ststistik keluasan Tanaman Makanan, Jabatan Pertanian Malaysia 2022). Negeri yang kini luas menanam nangka adalah Pahang (1,880 ha) diikuti oleh Johor (679 ha) dan Negeri Sembilan (615 ha). Bagaimana pun dari segi pengeluaran dilaporkan Negeri Sembilan adalah paling banyak mengeluarkan hasil nangka sebanyak 11,514 metrik tan pada tahun 2022. Penulis blog merujuk jabatan dimana bermula dari tahun 2000 sehingga tahun 2016 dilaporkan dimana purata jumlah pengeluaran nangka domestik sahaja dilaporkan sebanyak 20,664 tan metrik manakala selebihnya adalah untuk pasaran eksport iaitu 542 tan metrik dan jumlah ini terus meningkat. Kebanyakan buah nangka Malaysia ini sudah dieksport ke Singapura dan Hong Kong selain ianya sudah pun mula menembusi pasaran Eropah dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan pasaran Eropah. Pada penulis blog mendapati dimana buah nangka selain mempunyai saiz buah paling besar berbanding dengan buah dari tanaman lain ia juga mempunyai ciri istimewa dari segi kandungan getah dan aroma atau bau yang tersendiri sekali gus membezakannya dengan buah lain seperti buah cempedak. Buah nangka kini banyak digunakan untuk tujuan makan segar selain daripada pemprosesan minima dan produk-produk hiliran lain. Saya ada banyak menulis mengenai tanaman buah nangka dalam blog ini yang boleh dibaca dengan pautan-pautan berkaitan. Artikel pada tengahari ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis menganai beberapa ciri varieti nangka komersial di Malaysia untuk dijadikan bahan rujukkan semua.

Jabatan Pertanian merupakan pihak yang telah lama mengenalpasti akan 'Klon-klon Nangka' di Malaysia yang kemudiannya disenaraikan sebagai 'Varieti Nangka' didalam Senarai Pendaftaran Varieti Tanaman Malaysia. Dalam penulisan saya sudah menyenaraikan 16 varieti nangka yang sudah didaftarkan di Malaysia seperti artikel yang boleh dibaca dengan pautan berikut (Sila Klik Disini). Artikel ini ditulis pada tahun 2014 dimana ada kemungkinan varieti baru yang telah dan dalam proses pendaftaran sehingga 2023 (9 tahun berlalu). Apa pun aktiviti pengenalan varieti nangka Malaysia mula sejak tahun 1930-an apabila tanaman nangka telah mula diperkenalkan di Malaysia oleh Jabatan Pertanian. Varieti J2 yang berasal dari Perak merupakan antara klon nangka terawal didaftarkan pada tahun 1939 dan kini kurang dikenali. Penulis blog dapati ada dua lagi klon nangka yang diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian iaitu klon J27 dan J28 yang popular sehingga kini. Kedua-dua varieti ini berasal dari Selangor dan berkualiti dari segi ketebalan ulas, kemanisan, warna yang menarik (oren hingga kuning keemasan) serta mempunyai saiz buah yang medium. Sekitar tahun 1970-an beberapa klon nangka iaitu klon J29, J30 dan J31. Varieti J29 dan J30 adalah berasal dari Selangor didaftarkan. Kemudian varieti J31 pula merupakan klon nangka pertama dari Negeri Sembilan dan turut dikenali sebagai nangka NS1. Ketiga-tiga varieti ini mempunyai ciri ulas yang tebal dan manis selain tekstur isi yang pejal. Klon J29 dan J31 selain mempunyai aroma buah yang kuat, ulas juga didapati berbentuk bulat dan berwarna kuning kemerahan atau jingga. Klon J29 boleh dibezakan melalui buahnya yang berbentuk globular serta bahu buah yang berlekuk berbanding dengan bentuk buah J31 yang berbentuk oblong dan bahu menirus. Ciri khas lain J29 adalah kandungan jeraminya yang sedikit manakala J31 pula memiliki jerami buah yang berwarna putih. Malah kandungan getah klon nangka J31 juga adalah sangat banyak. Kedua-dua klon ini didapati sering ditanam oleh kebanyakan petani pada masa dahulu kerana buahnya yang berkualiti serta penanamannya adalah sangat disyorkan. Pengesyoran varieti nangka komersial.

Jabatan Pertanian kemudian berjaya mendaftarkan varieti nangka J33 (varieti Tekam Yellow) berasal dari Felda Sungai Tekam, Pahang yang mana penulis blog terlibat terus semasa proses pendaftarannya. Varieti Tekam Yellow mempunyai ulas yang berwarna kuning terang. dan rasa manis serta lebih tahan lama kesegarannya selepas dituai. Nangka Tekam Yellow paling luas ianya ditanam di projek TKPM terutama di TKPM Lanchang, Temerloh di Pahang.  Varieti Nangka Mastura (J37) pula merupakan satu-satunya didakwa sebagai nangka hibrid pertama di Malaysia yang terhasil melalui kacukan antara klon CJ1 dan CJ6 dari kajian oleh pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM). Beberapa varieti nangka telah disyorkan untuk ditanam komersil di Malaysia kerana ia berpotensi untuk ditanam dan mempunyai nilai komersial dari segi kualiti dan penerimaan pasaran pengguna. Pengesyiran nangka oleh Jabatan Pertanian ini adalah berasaskan banyak pencirian termasuk ciri kuantitatif, amalan agronomi, penerimaan pengguna, ketahanan kepada musuh dan penyakit, anggaran untung-rugi, ketersediaan anakbenih, sesuai untuk tujuan pemprosesan dan sebagainya. Beberapa penyelidikan telah dilakukan untuk mendapatkan pakej amalan teknologi dalam pengurusan tanaman nangka kini sudah sedia untuk dirujuk oleh petani. Tanaman nangka yang berlainan varieti akan menghasilkan buah yang mempynuai beberapa ciri kualiti buah seperti bilangan ulas, bilangan ulas kesep, tebal ulas, berat kulit dan jerami serta berat empulur dalam kalangan varieti nangka komersial yang ditanam. Ciri kuantitatif terhadap tanaman nangka dan buahnya melibatkan sifat fenotipik yang boleh diukur dari segi ekonomi dan juga disebut sebagai ciri metrik. Setiap varieti nangka penulis blog dapati memang jelas mempunyai keunikan ciri tersendiri sekali gus memudahkannya varieti nangka ini mudah dikenali serta dibezakan antara satu sama lain.

Maklumat mengenai pencirian nangka komersil di Malaysia kini adalah penting dan berguna sebagai panduan atau sumber rujukan utama kepada banyak pihak. Paling utama aadalah petani yang perlu mengenali akan pencirian varieti nangka yang hendak ditanam kerana semuanya adalah berbeza. Penulis blog juga sudah mengenali banyak varieti nangka semasa membuat tinjauan teknologi dilapangan terutama di projek TKPM diseluruh negara khususnya di Pahang semasa menjadi Pengarah Pertanian Pahang. DIlihat secara dekat memang ada terdapat perbezaan yang ketara bagi ciri-ciri kualiti buah nangka semasa lawatan dibuat (Sila lihat foto disebelah). Bagaimana pun semenjak varieti Tekan Yellow disyorkan oleh Jabatan Pertanian ia merupakan varieti paling banyak ditanam di seluruh negara khususnya di Pahang. Pusat Pertanian Bukit Goh di Kuantan, Pahang diantara pusat pengeluaran benih Jabatan Pertanian nangka Tekam Yellow (J33) yang terbanyak sehingga mencecah lebih 50,000 pokok setahun sekitar  RMK-9 dan RMK-10. Kini kerja pengeluaran anakbenih nangka termasuk Tekam Yellow sudah banyak dilakukan oleh nurseri swasta dan mana-mana petani kini digalakkan untuk mempastikan anakbenih nangka yang hendak dibeli sudah pun mempunyai persijilan SPBT (Sijil Pengesahan Bahan Tanaman) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Dari segi penyelidikan dimana dengan adanya k
epelbagaian beberapa varieti nangka komersial ini adalah memperkayakan sumber genetik negara bagi tujuan pembangunan baka varieti baru.  Kewujudan varieti nangka yang pelbagai ini juga dapat memberi pilihan kepada petani, pengguna dan produk hiliran semasa pasaran. Pada penulis blog mendapati dimana industri nangka ketika negara masih didominasi kepada varieti J33 kerana ciri kualiti buah unggul dari segi rasa, tekstur, bentuk buah dan saiznya yang optimum. Bagaimana pun kadar kebergantungan negara kepada satu jenis varieti sahaja (J33) yang semakin dominan agak dikhuatiri kerana ia boleh melumpuhkan industri tanaman nangka negara seandainya berlaku krisis serangan penyakit secara drastik dan berskala besar terhadap varieti tersebut.

Pada penulis blog 'Tidak kenal maka tak cinta' dengan beberapa varieti nangka komersil di Malaysia. Dibawah ini penulis blog ringkaskan beberapa varieti nangka untuk dikenali secara cepat dan tepat:

(1) Nangka Mantin (J32)
Buah nangka Mantin adalah berbentuk oblong dengan berat purata buah 18.4 kg sebiji. Ia mempunyai pangkal buah yang berlekuk dan ciri duri buah adalah sederhana panjang. Ulas atau isinya berwarna kuning kemerahan atau jingga dengan nilai purata kemanisan 13.9 °Brix. nangka Mantin mempunyai ciri ulas tebal dan tekstur pejal dengan sedikit jerami.

(2) Nangka Tekam Yellow (J33)
Buah nangka varieti ini berbentuk oblong dengan ukuran berat purata buah 13.0 kg sebiji. Dilihat dimana pada pangkal buah ada kelihatan 'berlekuk' dan duri buahnya adalah agak panjang serta rapat. Ulas berwarna kuning dengan ciri purata kemanisan 25.3 °Brix. Isinya mempunyai tekstur ulas sangat rangup dan ulas tidak berair. Penulis blog paling suka makan varieti Tekan Yellow dan selalu membelinya.

(3) Nangka Hong/Golden Jackfruit (J34)
Buah nangka ini selalunya berbentuk eliptik dengan berat purata buah 20.6 kg sebiji. Mempunyai ciri pangkal buah bergelung dan juga duri buah adalah panjang tetapi jarak. Ulas berwarna kuning kemerahan atau jingga dengan nilai purata kemanisan 20.9 °Brix serta ia mempunyai ulas tebal dan tekstur rangup.

(4) Nangka Mastura/CJ-USM 2000 (J37)
Buah nangka Mastura adalah berbentuk oblong dengan berat purata buah 25.7 kg sebiji. Dari segi ciri pangkal buah adalah berbonjol dengan ciri duri buah pendek serta jarak. Ulas bagi nangka mastura adalah berwarna golden dengan nilai purata kemanisan 14.7 °Brix. Pada buah ini ia mempunyai ulas tebal dan tekstur pejal tetapi agar berait dengan cepat dan menjadi lembik.

(5) Nangka CJ6 atau Crystal Jackfruit (J36)
Bagi buah nangka CJ6 ia adalah berbentuk eliptik dengan  berat purata buah 16.7 kg sebiji. Pada bahagian pangkal buah bergelung dimana duri buah pendek dan rapat. Ulasnya juga berwarna golden dengan nilai purata kemanisan 18.0 °Brix. Nangka ini mempunyai ciri ulas tebal dan tekstur pejal.

(6) Nangka Subang A/Lao Zhang (J38)
Ia adalah antara varieti terbari dudaftarkan di Malaysia. Buahnya adalah berbentuk oblong dengan berat purata buah 9.5 kg sebiji. Pada pangkal buah berlekuk dan duri buah pendek serta jarak. Ulas berwarna kuning dengan nilai purata kemanisan 18.3 °Brix. Ia mempunyai ciri ulas tebal dan tekstur pejal.

(7) Nangka Subang B/Chap Boy (J39)
Buah nangka J39 pula selalunya dilihat berbentuk oblong dengan berat purata buah 11.8 kg sebiji. Pada pangkal buah berlekuk dan duri buah pendek serta jarak. Ulasnya dilihat berwarna kuning dengan purata kemanisan 20.2 °Brix. Dalam pada itu ciri ulas tebal dan tekstur pejal.

(8) Nangka CJ3/Crystal Jackfruit (J40) 
Bagi nangka varietu J40 ia adalah mempunyau buah berbentuk oblong dengan berat purata buah 15.1 kg sebiji. Diperiksa bahagian pangkal buah bergelung dan duri buah sederhana pendek. Ulasnya berwarna kuning dengan nilai purata kemanisan 20.4 °Brix. Buah ini mempunyai ciri ulas tebal dan tekstur lembut.

Semuga tulisan mengenai ciri beberapa varieti nangka komersil di Malaysia ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
MENANAM NANGKA... VARIETI APA....
TEKAM TELLOW (J33)... BANYAKNYA...
DI PROJEK TKPM...SASARAN UTAMA...
KENALI VARIETI... ADA FAEDAHNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(3 Rejab 1444H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...