Support My Blog

Friday, January 13, 2023

DARI MANA SUMBER NEKTAR

SUMBER NEKTAR 
daripada bunga tumbuh-tumbuhan merupakan punca utama bagi banyak serangga termasuk lebah madu (Apis spp) dan juga Kelulut (Trigona spp). Terdapat banyak jenis bunga tumbuhan yang mempunyai marfologi berbeza dan pelbagai fungsi berlainan akan tetapi kebanyakannya adalah untuk proses pendebungaan bagi tujuan pembiakan atau menghasilkan benih. Terdapat bunga dari tumbuhan yang mempunyai warna kuat menarik, ada yang mengeluarkan aroma (bau) kuat dan ada yang ianya mengeluarkan manisan (nektar) untuk menarik serangga datang mengunjungi. Serangga ini akan menjalan tugas untuk menjalankan proses pendebungaan secara semulajadi. Serangga pendebunga ini termasuk jenis serangga yang merayap atau terbang. Serangga jenis terbang termasuk lebah madu yang peranannya dalam pendebungaan tanaman sangat cekap dan signifikan. 
NEKTAR (Nectar) adalah cecair manisan yang dihasilkan oleh bunga, daun, petiol daun atau buah-buahan tertentu yang manis dan sering diambil oleh haiwan lain sebagai sumber makanan. Nektar adalah dihasilkan pada kebanyakan bunga daripada Nectaris iaitu sejenis organ di bawah petal bunga yang mengeluarkan cecair manisan tersebut pada pangkal dalam bunga. Ramai diantara kita yang panggil nektar sebagai 'Madu Bunga' kerana rasa manis tetapi sebenarnya ia akhirnya akan menjadi Madu Lebah selepas melalui beberapa proses alam semulajadi. Terdapat juga jenis nektar yang dihasilkan bukan pada bunga tetapi pada pangkal daun atau tangkai daun seperti pada Daun Getah Muda (Hevea brazilliensis) dan dari Daun Pokok Prunus africana. Nektar adalah sumber makanan yang penting kepada beberapa jenis haiwan seperti Lebah Madu (Honey Bees), Kupu-kupu (Moths) ,Rama-rama (Butterfly), Burung Madu (Hummingbirds), Kelawar (Bats) dan juga sesetengah Semut (Ants). Artikel subuh ini saya menulis dalam ''Anim Agro Technology'' mengenai apa itu nektar dan asas kepentingannya bagi lebah madu dan kelulut serta serangga lain untuk jadi bahan rujukkan anda berdasarkan kepada ilmu pengetahuan, pengalaman dan rujukkan yang penulis blog telah kumpulkan.

Sering penulis blog apabila kemana-mana ditanya soalan seperti 'Lebah Madu dan Lebah Kelulut Makan Apa Ye?' dan dengan senyum akan menjawabnya dengan konfiden.  Ini kerana penulis blog telah memberikan ceramah ternakan lebah madu dan ternakan kelulut kepada beribu peserta kurusu diseluruh negara dam membuat tinjauan teknologi kebanyak pengusaha ternakan lebah madu dan kelulut. Paling win apabila menjadi pegawai kanan yang terlibat dengan program pembangunan indusrtri berpotensi termasuk komoditi cendawan, lebah madu, kelulut di Ibupejabat Kabatan Pertanian Putrajaya sebagai Timbalan Ketua Pengarah masa itu. Apa pun lebah madu dan kelulut akan menghasilkan madu yang sangat istimewa jika kita membekalkan mereka makanan daripada sumber tumbuh-tumbuhan dan bunga yang lebih bersesuaian dengan keperluan mereka. Walaupun lebah madu dan kelulut mengutip semua madu daripada bunga-bungaan sebagai makanan yang ada di sekitar koloni mereka, kita hendaklah sentiasa memastikan bekalan tersebut tidak terputus akibat musim berbunga tanam-tanaman. Pada penulis blog adalah jelas sekali jika tiada panduan dariapada aspek ini kemungkinan untuk anda galagal dalam ternakan serta penghasilan madu yang berkualiti amat tinggi sekali. Dalam pada itu makanan untuk ternakan lebah dan kelulut memang perlukan pengetahuan oleh penternak. Penulis blog mendapati ada beberapa pokok yang menjadi sumber makanan terbaik untuk ternakan lebah madu dan kelulut dan dikenalpasti memberikan hasil madu lebah yang sangat baik. Antara ciri-ciri pokok-pokok ini menjadi sumber diet lebah madu dan kelulut yang bagus ialah kerana saiz, bentuk bunga berkelompok dan juga kebolehan untuk berbunga sepanjang tahun. Ini memberi bekalan sumber diet kepada koloni lebah kelulut anda sepanjang tahun. Memang penulis blog kenalpasti dimana terdapat beberapa tumbuhan yang baik untuk digunakan. Tumbuhan tersebut adalah Pokok Akasia,  Pokok Belimbing Madu dan juga Pokok Gelam. Penulis blog pernah memberikan khidmat nasihat kepada peserta sebelum projek dijalankan dengan membuat kajian kesesuaian terlebih dahulu termasuklah makanan koloni ternakan. Ini kerana keperluan kajian sumber ini amat penting sebelum mana-mana projek ternakan lebah kelulut dilaksanakan. Sumber nektar juga banyak daripada pokok 
Bunga Air Mata Pengantin (Honolulu Crepe), Pokok Bunga Biden Pilosa, Pokok Ulam Raja, Pokok Selasih (Basil) dan juga Pokok Bunga Pukul 8 atau Bunga Lidah Kuching (Tunera sabulata).

Nektar memang penting dalam kitaran alam semulajadi kerana banyak jenis hidupan yang bergantung kepadanya untuk hidup sebagai sumber makanan. Selain daripada lebah madu, saya dapati Rama-rama, semut, Kelulut dan sebagainya serta banyak serangga pemangsa lain (Pests Predator) yang mengambil nektar sebagai sumber makanan. Rajah sebelah menunjukkan lokasi dimana 'nektaris' yang menghasilkan cecair nektar yang terletak pada pangkal petal. Dari segi sains, nektari terletak pada 'perianth' iaitu dibahagian paling pangkal struktur bunga agar agen pendebunga (Lebah, Rama-rama, Kupu-kupu dsb) akan menyentuk bahagian pistil yang akan membawa debunga kepada bunga lain dalam proses PENDEBUNGAAN BERSILANG (Cross pollination). Pendebungaan bersilang pada kebanyakan tumbuhan lazimnya menghasilkan buah yang baik dan berkualiti seperti pada tanaman durian, belimbing dan sebagainya. Bagaimana serangga tahu ada nektar pada bunga?. Pemerhatian yang penulis blog lakukan pada bunga Rumput Israel (Asystasia gigantica) mendapati dimana lebah madu, kelulut atau serangga suka akan selalu mendatangi bunga ini untuk menghisap nektar dan debunga akan melekat pada badannya (Sila lihat foto disebelah). Bunga yang mengandungi nektar lazimnya mengeluarkan Aroma atau bau-bauan yang kuat atau mempunyai Warna Terang (Putih, Kuning, Merah, Ungu dsb) yang akan menarik serangga untuk datang. Mata serangga akan nampak beberapa garisan yang berpusat pada dasar bunga yang menunjukkan dimana lokasi nektar tersebut. Lebah Madu dan haiwan terbang akan masuk kedasar bunga dan menghisap nektar menggunakan mulutnya atau akan terus masuk kedalam bahagian perut sedangkan Rama-rama akan menggunakan 'belalai panjang' untuk menyedut nektar pada dasar bunga.

Nektar yang dihasilkan oleh bunga juga dikenakpasti merupakan satu hasil yang amat berfaedah kepada kestabilan alam sekitar. Lebah Madu jenis Lebah Import (Apis mellifera), Lebah Keran (Apis cerana), Lebah Tualang (Apis dorsata), Tebuan (Vespa tropica), Lebah Kelulut (Trigona spp) dan beberapa serangga lain dihasilkan dengan proses yang sama. Nektar pada bunga dan daun lazimnya mengandungi air yang tinggi diantara 60 -70% dan disedut oleh lebah. Ia kemudian akan disalurkan kepada lebah pekerja lain dan berlaku proses penurunan kandungan air secara berperingkat sehingga kandungan air menurun kepada sekitar 20% sahaja. Kemudian lebah pekerja dalam koloni lebah akan menyimpan madu tersebut didalam lubang simpanan madu (Bagi lebah) atau Kantung Madu (Bagi Kelulut) dan menuutupnya apabila penoh (Sila lihat foto disebelah). Madu Asli yang dikumpulkan daripada nektar tumbuhan melalui proses yang unik untuk disediakan oleh lebah madu dan kelulut. Pelbagai jenis bunga tumbuhan yang dikunjungi oleh beribu-ribu lebah pekerja dan Kelulut Pekerja menyebabkan banyak jenis bahan berkhasiat yang dihasilkan didalam madu lebah. Sumber makanan nektar dan debunga (pollen) yang dibawa balik oleh lebah akan menentukan warna, aroma, bau, khasiat dan keunikan ciri madu lebah dihasilkan. Semuga anda mendapat info berguna daripada bloh Anim Agro Technology kali ini. Sekian dan selamat membaca!.Wasallam...
SUMBER NEKTAR.. DARI MANA...
TUMBUHAN KHUSUS...APA DIA...
PASTIKAN TANAM...LEBAH SUKA...
POKOK DIJAGA...SIHAT SENTIASA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(16 Jamadilakhir 1444H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...