Support My Blog

Wednesday, January 12, 2022

USAHAWAN CENDAWAN BERJAYA (Part 3)

TANAMAN CENDAWAN
(mushroom) merupakan salah satu tanaman potensi yang boleh menjana pendapatan baik di Malaysia. Pengeluaran cendawan di negara kita kini menjadi satu industri dimana terdapat lebih daripada 800 pengusaha cendawan dengan tanah kecil-kecilan dan sebanyak 82% adalah berstatus kecil. Kajian oleh penulis blog berdasarkan kepada laporan pemantauan yang dilakukan pihak Jabatan Paertanian mendapati 66% jenis cendawan yang diusahakan adalah Cendawan Tiram Kelabu (Pleorotus pulminarous) atau dahulu namanya adalah Pleurotus cajor-saju yang telah disahkan penukaran nama ini melalui ujian makmal di Universiti Malaya. Saya terlibat aktif dengan pembangunan industri cendawan semasa bertugas di Daerah Muar, Johor selama 5 tahun mulai tahun 2006 hingga 2010 melibatkan projek khas Pembangunan Pertanian Pagoh. Foto diatas adalah tinjuan teknologi pengisian media secara moden di C&C Mushroom di Gersik, Johor menggunakan mesin yang canggih. Pada masa ini kapasiti pengeluaran cendawan di Malaysia sekitar 30.5 metrik tan sehari (30,500 kg sehari) dengan pengeluaran di sekitar Selangor sebanyak 12.8 mt sehari atau 42% daripada jumlah pengeluaran dalam negara. Ini kerana kawasan pasaran cendawan paling besar terletak disekitar Lembah Kelang dan Kuala Lumpur. Cendawan adalah produk yang mudah rosak (Perishable fresh produce) dimana jaeak memainkan peranan penting dalam menentukan kualiti cendawan. Merujuk kepada laporan daripada FAO menyatakan kadar permintaan bagi cendawan adalah sebanyak 16 - 17 juta metrik tan setahun (Dibaca sebagai 16,000,000 - 17,000,000 kg setahun) dengan negara China menguasa 65% pengeluaran, EU (22%), USA (5%) dan Indonesia (1%). Negara utama yang direkodkan sebagai pengguna cendawan didunia adalah seperti USA (30%), German (15%), Perancis (11%), Itali (11%), UK (11%), Kanada (10%) dan lain-lain negara. China kini merupakan negara paling maju dalam industri cendawan sama ada dalam bentuk pengeluaran cendawan segar dan juga cendawan kering. Malaysia juga mengimpot banyak cendawan daripada negara China setiap tahun untuk menampong jumlah kadar permintaan yang terus tinggi setiap tahun. Sebut sahaja makanan cendawan, kita amat mudah membelinya daripada pasaraya terutamanya cendawan kering daripada negara China. Makanan berasaskan bahan cendawan dihidangkan setiap hari oleh mereka yang lebih pentingkan kesihatan dan mempunyai kemampuan membeli. Artikel pagi Jumaat ini dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai usahawan industri cendawan di Malaysia seperti dilaporkan oleh media tempatan untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan pembaca semua.

Di Sarawak daripada portal berita lokal suarasarawak.my dengan tajuk 'Tanam cendawan hasilkan pendapatan lumayan' sesuai dikongsikan. Bagi usahawan Mohd Zakaria Jamsari (36 tahun) berbakti 
kepada tanah di Kg Mang, Kota Samarahan pastinya akan mendapat ganjaran dimana dia mempunyai minat tinggi ke atas pertanian sehingga beliau membuka Rumah Cendawan Tiram Kelabu sejak dua tahun lalu (Sila lihat foto disebelah). Dia yang turut mesra dengan panggilan 'Zack' mula berjinak-jinak tanaman cendawan dengan hanya membeli 10 bongkah tanaman dimana dia kemudian belajar cara lanjutan dalam menjaga cendawan dengan menonton video di Youtube. Dia cuba mengusahakan tanaman Cendawan Tiramnya dan kini mampu menjana pendapatan lebih kurang RM1,000 sebulan. Walau pun sibuk bekerja di syarikat swasta tetapi dia akan sentiasa konsisten dengan aktiviti hariannya mengendalikan tanaman cendawan tersebut. Setiap hujung minggu dia akan bangun awal pagi dan mandi sebelum melakukan proses dalam melembapkan lantai rumah cendawan ini termasuk proses penuaian turut dilakukan setelah cendawan mula bercambah diikuti proses pembungkusan dan terus dihantar kepada pelanggan. Kini dia mendapat nasihat rakannya ke kursus yang disediakan di MARDI dan Jabatan Pertanian dan mula membuka mata potensi keuntungan cendawan tersebut. Kini slepas dua tahun mengusahakan tanaman ini, permintaan memang tinggi khasnya dalam kalangan suri rumah sebagai pelanggan tetap. Cendawan sangat sensitif dengan bau persekitarannya kerana tumbuhan menyerap bau dan tidak digalakkan sesiapa sahaja menggunakan pewangi badan atau melakukan pembakaran terbuka. Dakwanya dia perlu mandi terlebih dahulu tidak kira pada awal pagi atau selepas pulang bekerja kerana cendawan mudah terjejas sekiranya menyerap bau bukan semula jadi. Cabaran Semasa PKP cukup terkesan dengan Covid-19 kerana banyak kilang kayu ditutup dan tiada bekalan mentah untuk pembuatan bongkah yang baharu. Kini pengeluaran cendawan memang teruk semasa PKP kerana kita tahu had maksimum pertumbuhan untuk satu bongkah pada tujuh hingga enam kali pengeluaran. Akhir-akhir ini dimana keadaan sudah kembali beransur pulih apabila kilang kembali dibuka, dan semua keperluan untuk membuat bongkah ini dapat diperoleh daripada pembekal. Dakwanya kalangan orang ramai kehilangan kerja sebab PKP boleh cuba menjana pendapatan dengan menceburkan diri dalam penanaman cendawan sebagai pendapatan sampingan.  Meskipun menyedari penyakit bongkah cendawan adalah cabaran utama tetapi kita mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya komited dan tidak putus asa. Zack yakin permintaan pasaran terhadap cendawan pada masa hadapan juga meningkat kerana pelbagai produk berkaitan cendawan seperti kerepek cendawan dan cendawan goreng dihasilkan.

U
nik apabila portal Bernama melaporkan berita 'Cendawan Volvariella Jana Pendapatan RM5,000' dimana hanya berbekalkan iltizam yang tinggi, seorang siswazah Pengajian Media dari Universiti Malaya tekad untuk berkecimpung dalam projek tanaman cendawan Volvariella sehingga mampu mencapai pendapatan RM4,500 sebulan. Bagi Sarah Hussain (32 tahun) dari Kg Bukit Murai, Mukim Padang Pusing, Pndang, Kedah dimana dia mengusahakan tanaman tersebut secara perkongsian bersama abangnya iaitu Omar (51tahun) dan sepupunya Khairul Azmi (26 tahun) di kebun getah seluas kira-kira 0.4 hektar milik keluarganya (Sila lihat foto disebelah). Melalui bimbingan dan bantuan Jabatan Pertanian daerah berupa tandan kelapa sawit yang dijadikan medium tanaman dan anak benih dimana dia tekad mengikuti kursus tanaman yang diadakan Jabatan. Dakwanya sebanyak 32 batas cendawan disediakan dengan setiap batas dapat menghasilkan kira-kira lima hingga tujuh kilogram cendawan selepas 10 hari benih ditabur. Cendawan Volvariella atau biasanya juga dipanggil cendawan jerami diperkenalkan kepada pekebun kecil sebagai tanaman alternatif bagi menambah pendapatan mereka. Sebelum ini dia ada menanam menggunakan jerami padi sebagai medium tanaman namun kini lebih mudah apabila tandan sawit yang hanya perlu diperap digunakan sebelum disusun untuk dijadikan batas penanaman. Sarah berkata setiap bulan mereka mampu mengutip kira-kira 300 hingga 400 kilogram cendawan Volvariella dengan anggaran pendapatan kasar sekitar RM4,500 hingga RM5,000 sebulan (sekali pusingan tanaman). Sambutan terhadap cendawan Volvariella amat menggalakkan dan mendapat permintaan yang tinggi daripada masyarakat setempat serta pengusaha restoran. Cendawan ini dilaporkan mempunyai khasiat yang tinggi dan boleh dijadikan hidangan untuk keluarga serta produk hiliran lain seperti produk kecantikan serta dijadikan serunding. Kini kebun cendawannya turut menjadi projek perintis bagi daerah Pendang dan pusat rujukan kepada mereka yang ingin mendapat khidmat nasihat mengenai tanaman cendawan jenis itu.

Bernama juga ada dirujuk melaporkan berita dimana 'Cendawan tiram beri pendapatan lumayan buat suami isteri di Ketereh' boleh dicontohi golongan anakmuda. Berita dari Kota Bahru, ini menyatakan dimana pengalaman sebagai pengusaha cendawan tiram kelabu dan putih mendorong Noriha Ahmad (49 tahun) dan suaminya Mohd Saupi Hassan (55 tahun) meneroka peluang baharu sebagai pembekal bongkah cendawan. Mereka berjaya melakukan proses membungkus adunan serbuk kayu dengan bahan lain ke dalam plastik ketika ditemui pemberita di Kampung Chengal, Ketereh (Sila lihat foto disebelah). Percubaan itu nyata berbaloi apabila mereka membekalkan hampir 9,000 bongkah cendawan sebulan kepada Koperasi Usahawan Cendawan Kelantan Bhd (KOKULAC) dan pengusaha baharu cendawan di sekitar Kelantan. Mereka mula mengusahakan cendawan tiram pada 2016 dimana tiga tahun kemudian (2019) barulah mereka mengambil langkah menjimatkan kos pengeluaran dengan mula memproses bahan media cendawan atau bongkah cendawan sendiri sebanyak 300 bongkah sehari.
Bongkah cendawan yang dihasilkan ini diperbuat daripada habuk kayu getah, dedak padi dan kapur pertanian seterusnya digaul sebati menggunakan mesin pengisar. Dakwanya selepas siap digaul, bahan tadi dimasukkan ke dalam plastik seterusnya bongkah tersebut dikukus selama enam jam di dalam tong dram. Kemudian selepas siap dikukus, bongkah cendawan disejukkan selama 24 jam, sebelum disimpan di dalam bilik yang dilengkapi alat penyaman udara untuk menjalani proses memasukkan benih cendawan untuk tujuan pemeraman dan pengeluaran hasil. Seunit bongkah dijual pada harga RM1.60 dan setiap bongkah hanya boleh digunakan dalam tempoh tiga atau empat bulan sahaja. Selepas itu ia perlu digantikan dengan bongkah yang baharu. Mereka kini mampu tersenyum lebar apabila berjaya menjana pendapatan memberangsangkan sebagai pengusaha dan juga pembekal bongkah cendawan. Untuk cendawan kini mereka sudah mampu menuai kira-kira 30 - 40 kilogram cendawan sehari dan menjual pada harga RM10 sekilogram. Cendawan yang dituai dijual di Pasar Borong Wakaf Che Yeh, Kota Bahru. Bagi memastikan cendawan dapat memberi hasil maksimum serta berkualiti, suhu di dalam rumah tanaman ini perlu berada dalam keadaan yang lembap dan saya menggunakan sistem 'Rumah Cendawan Pintar' (iMistroom) hasil ciptaan teknologi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, selain persekitarannya juga perlu sentiasa bersih. 
Artikel ini dibahagikan kepada 4 segmen iaitu Part 1, Part 2, Part 3 dan Part 4 yang disyorkan dibaca bersama. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
TANAMAN CENDAWAN... SATU USAHA...
PERLU BELAJAR... JIKA HENDAK MULA...
MEDIA LAPOR... KINI RAMAI BERJAYA...
HASIL LUMAYAN... SAMPAI LIMA ANGKA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(25 Jamadilawal 1433H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...