Support My Blog

Thursday, October 14, 2021

VARIETI PADI MRQ104 - APA HEBATNYA

VARIETI PADI MRQ 104
merupakan varieti padi wangi baharu MARDI yang dihasilkan menggunakan kaedah kacukan diallel antara varieti MRQ 89 dan MRQ 50. Pembangunan varieti ini telah bermula pada musim utama 2009/2010 melalui proses kacukan antara dua induk terpilih diikuti dengan pemilihan pedigri dan penilaian hasil di MARDI Seberang Perai. Genotip-genotip yang berpotensi daripada penilaian hasil dimajukan ke penilaian multilokasi dan penentusahan setempat di jelapang padi utama sehinggalah genotip terbaik dikenal pasti iaitu MRQ 104. Varieti ini matang sekitar 115 - 122 hari, pokok yang rendah (108 cm) dan berat 1,000 biji sekitar 20 g. Beras MRQ 104 didakwa boleh dikategorikan sebagai beras yang panjang dan tirus, kandungan amilosanya sederhana (23.5%) dan perolehan beras kepala melebihi 80%. Keunikan MRQ 104 terletak pada tekstur nasi yang sederhana lembut, seroi dan ciri aroma yang sederhana kuat. Tambahan pula, MRQ 104 menunjukkan kerintangan yang baik terhadap penyakit karah dan julat hasil 3.0 - 5.4 t/ha pada penilaian penentusahan setempat. Analisis model AMMI menunjukkan varieti padi MRQ 104 adalah stabil dan disyorkan penanamannya di kebanyakan kawasan jelapang terutamanya kawasan subur dan sederhana subur. Diakwa dimana varieti padi MRQ 104 telah dihasilkan MARDI menggunakan kaedah kacukan diallel antara varieti MRQ 89 dan MRQ 50. Keistimewaan varieti ini adalah rintang terhadap penyakit karah, aroma wangi yang sederhana kuat dan ciri kualiti beras serta cita rasa nasi yang hampir setanding dengan varieti Basmati. Secara amnya, hasil tuaian adalah hampir setara dengan varieti MRQ 76, stabil dan kurang dipengaruhi oleh faktor persekitaran dan boleh disyorkan untuk ditanam di kawasan subur dan sederhana subur. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya akan paparkan dan tulis semula info kejayaan MARDI mengenai varieti padi terbaharu iaitu MRQ 14 iaitu padi wangi dari laporan e-bulletin MARDI untuk dijadikan bahan rujukkan semua.

Dilaporkan dimana proses pembangunan varieti padi spesialti didorong oleh permintaan terhadap beras wangi import yang konsisten di mana jumlah import setiap tahun ialah 200,000 tan metrik dengan nilai melebihi RM1 bilion. Daripada jumlah import ini, sebanyak 30% ialah beras wangi. Pengeluaran beras wangi tempatan mula mendapat perhatian melalui projek NKEA Pertanian yang diperkenalkan pada tahun 2012 dan sekitar tahun 2017 - 2019 dimana keluasan penanaman varieti padi wangi MRQ 76 dianggarkan seluas 1,200 hektar.  Beberapa lokasi yang ada menanam padi wangi ini pernah penulis blog buat tinjauan adalah di Sawah Kesang, Tangkak, Johor dengan varieti padi MRQ76. Bagaimana pun dalam tinjauan semua selepas bersara pada 2020 didapati pesawah suda tidak menanam padi wangi ini atas pelbagai sebab. Salah satu adalah kerana tidak mendapat subsidi harga padi sewajarnya selain daripada jumlah penghasilan yang agak rendah berbanding dengan padi varieti popular yag biasa.  Kemudian MARDI telah mengisytihar varieti padi wangi MRQ 76 pada tahun 2012 yang mempunyai cita rasa nasi berbau wangi dan melekit serta setara dengan beras wangi import. Sebagai varieti alternatif dimana MARDI memperkenalkan satu varieti padi wangi baharu iaitu MRQ 104 yang matang sekitar 115 - 122 hari selepas tabur dan menunjukkan prestasi hasil sekitar 3.0 - 5.4 t/ha pada penilaian penentusahan setempat. Varieti ini juga rintang terhadap karah daun dan karah tangkai. Namun begitu, ia sederhana rentan terhadap hawar daun bakteria, hawar seludang, benah perang dan penyakit merah virus (PMV). Kualiti beras MRQ 104 adalah baik iaitu bentuk berasnya panjang dan tirus, beraroma serta kandungan amilosa yang sederhana. Tekstur nasi MRQ 104 sederhana lembut dan seroi dengan konsistensi gel sepanjang 28 mm. Dianggarkan pulangan mengilang sekitar 63% dan perolehan beras kepala sekitar 84%.

Proses pembaikbakaan MRQ 104 dihasilkan melalui kacukan antara varieti padi MRQ 89 dan MRQ 50 yang dilaksanakan pada musim utama 2009/2010 menggunakan kaedah kacukan diallel. Pemilihan populasi segregasi difokuskan kepada ciri morfologi pokok yang rendah, biji padi yang tirus dan wangi. Titisan seragam diperoleh pada musim utama 2013/2014 dan seterusnya dinilai pada ujian hasil awal (PYT) selama dua musim sebelum dimajukan ke penilaian penyesuaian setempat – multilokasi (adaptability trial) pada musim luar 2016 dan penentusahan setempat (LVT) pada musim luar 2018. Antara beberapa ciri-ciri MRQ104 adalah dinilai dari morfologi dan komponen hasil. Umur matang MRQ 104 ialah 115 - 122 hari selepas tabur (HLT) dan mengeluarkan tangkai (50% tangkai terbit) pada hari ke 80 - 85 HLT. Panjang tangkai sekitar 25 cm dengan peratus pengisian biji bernas per tangkai sekitar 90%. Namun, berat 1,000 biji hanya sekitar 20 gram dan ini adalah disebabkan oleh ciri fizikal biji padi yang panjang dan tirus . Morfologi pokok adalah yang sederhana tinggi dengan daun pengasuh yang separa tegak dimana ciri ini menampakkan ciri tangkai yang sedikit terbuka. Biji padi pula adalah panjang, tirus dan berwarna kekuningan. Bilangan anak berbeza mengikut kaedah penapakan di mana sistem tabur terus menghasilkan anak sekitar 5 - 7 anak manakala kaedah mencedung boleh menghasilkan 15 anak pokok. Tempoh pengisian biji dan masak dianggarkan selama 35 hari bermula daripada terbit tangkai.

Bagi setiap baka baru padi yang dibiakbaka faktor kerintangan penyakit dan perosak merupakan satu ciri penting selain daripada penghasilannya. Apabila penulis blog membaca info mengenai padi maka ciri ini sering saya teliti. Padi wangi varieti MRQ 104 didakwa adalah rintang terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai namun kerintangan terhadap penyakit dan perosak lain seperti hawar daun bakteria, hawar seludang, benah perang dan penyakit merah virus (PMV) adalah sederhana rentan. Insiden di lapangan dan ujian penanaman dijalankan pada musim luar 2018 menunjukkan penyakit karah tangkai, reput seludang, hawar daun bakteria, hawar bulir bakteria, hawar jalur bakteria dan bertih adalah bawah 2% (julat yang diterima) manakala penyakit hawar seludang dan bintik perang masing-masing menunjukkan insiden sebanyak 9.3% dan 13.2%. Oleh itu disyorkan beberapa langkah kawalan awal bagi kedua-dua penyakit ini perlu dilakukan dengan menggunakan racun kimia sebelum peringkat bunting dan merawat tanah dengan menggunakan kapur bagi mengawal serangan penyakit bintik perang. Pakej pembajaan bagi padi wangi juga mengambil kira faktor kualiti wangi dan ciri fizikal beras. Pakej baja yang disyorkan bagi musim luar ialah 104 kg N/ha: 60 kg P2O5/ha: 100 kg K2O/ha manakala untuk musim utama 115 kg N/ha disyorkan. Kadar pembahagian N ialah 15, 40 dan 45% iaitu masing-masing semasa peringkat tiga helai daun, beranak aktif dan pembentukan tangkai. Baja semburan yang mempunyai unsur mikro-nutrien boleh digunakan semasa peringkat terbit tangkai bagi membantu pengisian biji padi.

Dalam pada itu apa yang menarik dimana prestasi hasil padi seperti penghasilannya dipastikan. Dalam beberaa percubaan multilokasi yang telah dilaksanakan selama beberapa musim di lima lokasi terpilih yang merangkumi kawasan jelapang padi utama seperti Arau Perlis, Seberang Perai Pulau Pinang, Titi Serong Perak, Teratak Pulai Kelantan dan Mulong Kelantan dikajia prestasinya. Secara amnya didakwa dimana varieti padi wangi MRQ 104 menunjukkan purata hasil keseluruhan sekitar 4.41 t/ha berbanding dengan MRQ 74 yang dilaporkan sebayak 3.51 t/ha dan MRQ 76 didakwa sekitar 4.58 t/ha. Perbandingan purata hasil menggunakan ujian julat berganda Duncan menunjukkan perbezaan bererti antara MRQ 104 dan MRQ 74 di Arau, Titi Serong dan Teratak Pulai sahaja. MRQ 104 juga merekodkan purata hasil yang baik bagi lokasi Arau (5.14 t/ha), Teratak Pulai (4.90 t/ha) dan Mulong (4.64 t/ha). Secara amnya, purata hasil keseluruhan kawasan ialah 4.03 t/ha dan menunjukkan kelebihan hasil di kawasan luar jelapang seperti Machang. Kajian mengenai ciri pengilangan dan cita rasa nasi dijalankan. Kualiti padi dan beras MRQ 104 berbeza dengan MRQ 76 di mana MRQ 104 mempunyai ciri beras yang panjang dan tirus dengan nisbah panjang dan lebar beras ialah 4.01 mm, dengan pulangan mengilang sebanyak 63% dan perolehan beras kepala sebanyak 84%. Ia setanding dengan beras wangi import dari segi rupa bentuk beras akan tetapi nasi MRQ 104 tidak mempunyai ciri nasi memanjang seperti Basmati. Cita rasa nasi MRQ 104 adalah sederhana lembut, ringan, seroi, wangi dengan sedikit rasa manis yang berkait dengan kandungan amilosa sebanyak 23% dan konsistensi kegelatinan sepanjang 30 mm. Sukatan air yang bersesuaian ialah satu bahagian beras kepada 2.2 bahagian air dan dimasak lebih kurang 23 minit. Ciri lain yang turut dinilai ialah kandungan nutrisi (Jadual 3) dan nilai indeks glisemik. Merujuk kepada Malaysia Guide To Nutrition and Claims (2010), beras MRQ 104 boleh dijadikan sumber protein yang baik (7.9 gram), rendah lemak terutamanya lemak tepu, bebas daripada kolesterol dan natrium. Kajian awalan bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) turut mendapati beras MRQ 104 tergolong dalam kategori indeks glisemik yang rendah dengan bacaan GI = 31 ± 4.85 dan sesuai untuk diet harian bagi pesakit diabetik. Makanan dengan bacaan indeks glisemik yang rendah dapat menambah baik kawalan gula bagi pesakit diabetik dengan menurunkan serum lipid, meningkatkan kepekaan insulin dan menambah baik fungsi sel-B.

Dalam pada itu dilaporkan dimana anggaran faedah dan implikasi dalam  penanaman padi wangi di plot LVT menunjukkan bahawa hasil yang diperoleh pengusaha padi ialah 5.4 t/ha. Dengan harga jualan di peringkat pengilang adalah sebanyak RM1,500/tan, maka anggaran pendapatan kasar yang diperoleh adalah sebanyak RM6,642.00/ha dengan purata peratus potongan sebanyak 18%. Anggaran kos pengeluaran bagi pengusaha ‘padi-pemilik’ dengan subsidi menggunakan varieti padi wangi MARDI ialah RM3,301.52/ha dan bagi pengusaha ‘padi-penyewa’ pula ialah RM4,301.52/ha. Anggaran pendapatan bersih bagi setiap pengusaha ini secara purata masing-masing adalah sebanyak RM3,340.48/ha dan RM2,340.48/ha. Namun dianalisa juga dimana sekiranya tanpa mengambil kira bantuan subsidi yang diberikan kerajaan maka kos pengeluaran adalah lebih tinggi bagi setiap jenis petani iaitu masing-masing dinilai pada RM4,767.52/ha dan RM5,767.52/ha. Perkara ini pula akan memberi kesan secara langsung terhadap pendapatan bersih pengusaha. Didapati nilai nisbah faedah kos (BCR) menurun secara signifikan dengan nilai BCR bagi pengusaha ‘padi-pemilik’ ialah 2.01 (dengan subsidi) dan 1.39 (tanpa subsidi) manakala BCR bagi pengusaha ‘padi-penyewa’ pula ialah 1.54 (dengan subsidi) dan 1.15 (tanpa subsidi) seperti dalam Jadual 6. Anggaran pulangan dalam penanaman MRQ 104 oleh petani adalah berdasarkan harga pengilang bagi padi biasa. Sekiranya ambilan harga padi oleh pengilang adalah berdasarkan harga padi wangi iaitu sekitar RM1,800/tan dan ia dijangkakan pulangan pendapatan petani akan meningkat sebanyak 15 - 20% bergantung kepada peratus kadar potongan. Berdasarkan kepada anggaran pengiraan kos pengeluaran dan pulangan petani yang dilaksanakan maka penanaman MRQ 104 oleh petani adalah berdaya maju dan mampu memberi pulangan monetari yang berpadanan dengan kos yang dikeluarkan. Kepada pesawah yang berminat untuk menanam padi wangi MRQ104 perlulah mendapatkan benih daripada pihak MARDI atau pengedar yang mungkin ada serta belajar amalan teknologi pengurusannya. Kawasan yang sesuai sebaiknya dikenalpasti untuk mengelakan berlaku percampuran dengan padi biasa yang lain. Semuga Malaysia akan mampu menghasilkan padi wangi sendiri dimasa akan datang dengan lebih hebat dan produktif. Diharap artikel subuh ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
PADI WANGI MRQ104... DIBIAKBAKA...
HASILNYA TINGGI.. DIBANDING LAMA...
CEPAT BERHASIL... KUALITI DITERIMA...
INGIN MENANAM... BENIHHNYA MANA?...

By,
M Anem,
Senior Agronimist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(24 Safar 1443H),
Posted from
Room 1320, Hotel Amerin, 
Johor Bahru, Johor.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...