Support My Blog

Friday, October 29, 2021

PENGEMBANGAN PERTANIAN - INFO TERKINI

PERKHIDMATAN PENGEMBANGAN PERTANIAN
(Agriculture Extension Service) adalah sebagai salah satu kaedah menyalurkan maklumat dan teknologi kepada petani dan usahawan sejak berdekad yang lalu. Perkhidmatan ini yang diberikan oleh pihak kerajaan dan swasta memang tidak dinafikan telah dapat meningkatkan taraf hidup dan juga pendapatan penduduk khususnan pemain industri pertanian seperti petani, penternak, nelayan dan usahawan asas tani terutamanya mereka yang tinggal di luar bandar. Arahan kerajaan supaya sistem penyampaian kerajaan dipertingkat dan dikemaskan menjadikan perkhidmatan pengembangan semakin penting dan berperanan sebagai satu sistem yang unggul dalam pelaksanaan program dan aktiviti tersebut termasuk oleh Jabatan Pertanian. Langkah untuk usaha dalam memperkukuhkan dan memperkemaskan perkhidmatan pengembangan pertanian telah dilaksanakan dengan cara menstruktur semula peranan dan fungsi perkhidmatan pengembangan dan mewujudkan Bahagian Pengembangan, Perundingan, Pelaburan dan Industri Asas Tani (PPP&IAT) di Jabatan Pertanian Malaysia sejak ratusan tahun dahulu. Dalam pada itu di bawah bahagian ini diwujudkan Seksyen Pengembangan merupakan satu dari tiga seksyen baru yang ditubuhkan. Di peringkat Negeri pula, Jawatan Timbalan Pengarah Pengembangan ataupun “Chief Extension Officer (CEO)” diwujudkan yang berperanan sebagai ketua pegawai pengembangan. Sementara itu di peringkat Pejabat Pertanian Daerahdikenalpasti dimana pegawai Pertanian Daerah adalah bertanggungjawab didalam melaksanakan semua program pengembangan pertanian. Fungsi pengembangan pertanian  di semua peringkat perlu sentiasa diberi perhatian utama bagi mempastikan sistem penyampaian maklumat kepada semua pelanggan Jabatan Pertanian dan agensi lain akan terus dipertingkatkan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Dalam pada itu asas Pengembangan adalah menolong petani atau pelanggan untuk menolong diri mereka sendiri melalui proses pendidikan. Pengembangan Pertanian didefinisikan sebagai satu proses pendidikan tidak formal yang dijalankan secara bersistem untuk memberi khidmat dan menggalakkan penerimaan sesuatu teknik, teknologi dan maklumat-maklumat baru oleh sesuatu kumpulan atau individu tertentu selaras dengan keperluan dan kemampuan mereka bagi mencapai kemajuan sosio-ekonominya. Prinsip Pengembangan adalah mengajar individu untuk menolong diri mereka sendiri melalui proses pendidikan dan bukan membuat kerja untuk mereka. Kejayaan sesuatu aktiviti pengembangan banyak bergantung kepada initiatif pegawai pengembangan berikhtiar mencari jalan serta memahami keperluan pelanggan yang hendak dibantu, di samping mencadangkan alternatif penyelesaian yang bersesuaian. Artikel tengahari ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan dengan jelas apakah dia pengembangan pertanian terkini seperti juga dilaporkan oleg pakar-pakar akademik didalam media tempatan untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca semua.

Penulis blog merujuk kepada sebuah rencana menarik bertajuk '
Mantap ejen pengembangan bantu petani manfaat teknologi' hasil tulisan Prof Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad sebagai  Ketua Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan, Akademi Profesor Malaysia di Berita Harian. Pertanian dan makanan menjadi sektor nadi kepada rakyat, sama ada ketika pandemik covid-19 atau tidak. Ketika sektor lain seperti pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan terencat oleh pandemik, sektor makanan walaupun parah masih mampu menyediakan makanan kepada rakyat. Apakah Belanjawan 2021 mujarab menangani kegentingan dihadapi sektor pertanian dan makanan? Bagi menjawab soalan ini, kita serasikan dengan masalah dihadapi dan perbelanjaan yang diperuntukkan kerajaan. Permintaan ke atas makanan tidak terjejas dengan serius kerana ia keperluan asas kehidupan. Pada tahap awalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), permintaan ke atas makanan terputus sebentar, tetapi mula pulih apabila kelonggaran PKP dilaksanakan. Namun, apa yang terjejas ialah pemakanan pengguna berpendapatan rendah yang tidak mampu membeli makanan berkhasiat seperti susu, daging dan buah-buahan segar untuk anak dan orang berusia. Dari sudut ini, kerajaan menyediakan bantuan kewangan untuk membantu mereka. Namun begitu dari sudut penawaran, sektor ini dilanda pelbagai kesulitan dan juga kekangan. Pertama, masalah kekurangan buruh asing kerana ramai buruh asing ini telah kembali ke negara asal ketika PKP dilaksanakan. Mengikut Jabatan Statistik, sektor pertanian mengalami kekurangan buruh 22 peratus di bawah pandemik. Disebabkan penanaman komoditi makanan ialah intensif buruh atau banyak menggunakan tenaga kudrat seperti sawit, getah, sayur-sayuran dan tenusu, maka kekurangan buruh merendahkan produktiviti lantas pengeluaran. Tahun demi tahun petani berdepan kenaikan kos pengeluaran, tanpa putus, namun peningkatan hasil tidak serancak kos. Masakan tidak, semua input diimpot daripada baka ayam, lembu, benih sayur dan buah, baja serta racun, fid untuk ternakan, kacang soya, mesin dan peralatannya dan juga buruh. Maka, harga input ini menari bersama harga dunia, lantas kita turut 'mengimport' inflasi bersama barang ini. Namun dalam belanjawan, tiada peruntukan untuk mengurangkan beban ini melalui bantuan pengurangan kos pengeluaran.

Dalam pada itu pandemik covid-19 ialah fenomena global. Hampir semua negara berdepan masalah penguncupan ekonomi kerana kejatuhan permintaan apabila langkah mitigasi seperti perintah berkurung dilaksanakan. Gejala ini telah menjejaskan pengeluaran input pertanian seperti fid untuk ternakan, baja dan input pertanian yang lain. Penternak ayam dan itik kini mengalami masalah untuk mendapatkan fid untuk ternakan mereka lantas menggunakan betik dan sagu untuk ternakan mereka. Risiko harga tidak pernah terbendung oleh petani. Ketika harga getah atau sawit merudum, petani kita kehilangan punca, termasuk peneroka FELDA. Agensi atau korporat induk mereka seperti FELDA dan FGV mewah dengan keuntungan berjuta-juta akan tetapi penurunan harga hanya 20 peratus sudah cukup untuk memiskinkan mereka dan merencatkan dalam penanaman seterusnya. Kerajaan sudah melupuskan hutang peneroka FELDA dan memberi insentif pengeluaran kepada pekebun kecil getah. Masalah sebegini memerlukan penyelesaian jangka masa panjang. Antaranya meningkatkan kapasiti produktif dan tabung dibiayai petani sendiri. Antara model boleh difikirkan ialah dana penstabilan dan bayaran kurangan, iaitu waktu harga tinggi, sebahagian kecil keuntungan disimpan dalam tabung dana untuk musim tengkujuh atau harga turun. Petani tahu akan kepentingan kepelbagaian kebun atau ladang dan sawah untuk meminimumkan risiko harga. Namun, mereka berdepan pelbagai rintangan untuk mempelbagaikan tanaman, seperti kekurangan modal, tiada sokongan khidmat nasihat, masalah pemasaran dan risiko pengeluaran. Antara faktor menyebabkan kesangsian mereka ialah ketiadaan model kepelbagaian tanaman untuk dicontohi.
Bagi mempelbagaikan tanaman, insentif dan bantuan disediakan untuk membolehkan petani mempelbagaikan tanaman. Juga, dana perlu disediakan untuk beberapa projek perintis atau eksperimen perlu dilaksanakan untuk rujukan petani. Ini membabitkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pengembangan. Teknologi melonjak tinggi seperti pelaksana mata wang kripto, kecerdasan buatan (AS), rantaian bekalan menggunakan block chain atau sokongan internet benda (IoT), tetapi semua ini tidak sampai kepada petani kecuali WhatsApp, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan internet. Antara faktornya adalah kelemahan teknologi dan petani, iaitu ejen pengembangan. Berdasarkan maklumat daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), kebanyakan mereka memiliki diploma atau sijil sahaja. Tidak menghairankan petani kita ketinggalan jauh. Keluhan pegawai pengembangan menyatakan mereka tidak diberi ganjaran dan elaun sengsara cukup untuk mereka menjelajahi petani di kawasan pedalaman. Ganjaran kecil melemahkan motivasi dan kecekapan fungsi mereka. Kalangan Pegawai pengembangan ialah barisan hadapan pertanian untuk menyampaikan teknologi moden kepada petani, tetapi ketika ini terpinggir kerana tidak diberikan insentif kewangan dan peruntukan latihan mencukupi. Tahniah kerajaan memperuntukkan RM60 juta kepada Agrobank untuk Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Sangat tepat sekali, tetapi jika kemahiran pegawai pengembangan tidak ditingkatkan, usaha ini tidak bermakna. Semua kekangan terbabit memerangkap petani dalam kemiskinan tahun demi tahun. Sejumlah 90 peratus petani tergolong dalam B40 dan 75 peratus pekebun kecil getah menerima pendapatan kurang RM2,750 sebulan.  Peneroka FELDA masih berhutang kesan tadbir urus tidak jujur agensi dan korporat induk. Pemain hiliran seperti pengilang, pedagang, beberapa korporat induk meraih keuntungan yang lumayan. Dalam kata ringkas agihan keuntungan tidak setara antara peserta rantaian bekalan pertanian. Belanjawan 2021 mengenal pasti beberapa penekanan bijak untuk menggalakkan pertanian komuniti, organik dan bandar serta beberapa insentif pengeluaran, pembangunan infrastruktur dan pelbagai lagi. Namun, belanjawan itu akan lebih mantap dan lengkap jika kekurangan kritikal terbabit dirangkumi. 

Portal berita sama melaporkan 'Ejen pengembangan tani sokong jaminan makanan' tulisan Prof Dr Anjas Asmara Samsudin 
iaitu Timbalan Dekan, Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia UPM menarik dirujuk. Beliau nyatakan iaitu COVID-19 menyebabkan ekonomi negara sedikit tempang. Kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mengekang penularan wabak itu, beberapa sektor ekonomi terpaksa menghentikan sementara operasi. Tidak terkecuali, sektor pertanian dengan usahawan tani golongan terbesar yang terkesan akibat sukar mendapatkan bekalan bahan pertanian dan memasarkan hasil pertanian kepada umum. Natijahnya, sedikit sebanyak menjejaskan pembentukan Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 untuk mentransformasi dan memodenkan industri agromakanan supaya memberi sumbangan lebih signifikan kepada ekonomi serta melahirkan usahawan tani berpendapatan tinggi. Berdasarkan rekod Jabatan Statistik Malaysia, penghasilan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun lalu, sebanyak 4.3 peratus dan sektor pertanian menyumbang 6.6 peratus daripada keseluruhannya. Sektor pertanian terbahagi dua bahagian, iaitu tanaman komoditi (kelapa sawit dan getah) dan makanan. Sumbangan terbesar sektor ini datang daripada tanaman komoditi dengan nilai tambah RM24.5 bilion. Bagaimanapun, sektor makanan tidak boleh dianggap remeh kerana peranannya dalam menjamin kecukupan dan keselamatan makanan negara sangat penting. Di negara ini, majoriti usahawan tani menyumbang pengeluaran makanan ialah kluster pekebun kecil dan sederhana. Walaupun hasil pengeluaran berskala kecil, kluster ini memainkan peranan amat penting dalam menyumbang kecukupan rantaian bekalan makanan negara. Kesan COVID-19 menyebabkan sebilangan besar mereka hilang punca pendapatan akibat kelumpuhan sokongan rantaian produksi dan pemasaran ekoran PKP. Walaupun kemudian ada kelonggaran diberikan untuk sektor ini beroperasi, sebilangan besar pekerja dan usahawan tani tidak mahu mengambil risiko bekerja seperti biasa. Di sini peranan ejen pengembangan pertanian amat penting dalam membantu kluster ini bangkit kembali menjalankan aktiviti pertanian selepas COVID-19 berakhir. 

Kerjasama pintar ejen pengembangan pertanian daripada pelbagai agensi mampu memberi impak menyuntik kembali keyakinan dan semangat usahawan tani terus bertani (Sila lihat foto disebelah).  Bantuan pemindahan ilmu perlu terus disampaikan secara lebih proaktif dan konsisten, mengambil kira Revolusi Industri 4.0 dalam membantu usahawan tani meningkatkan hasil dan pemasaran produk pertanian. Ejen pengembangan pertanian perlu dilengkapi pemikiran berinovasi dan mempunyai atribut keusahawanan supaya situasi dialami usahawan tani dapat difahami lebih mendalam. Contohnya, bagaimana mendapatkan hasil pertanian tinggi melalui penggunaan ruang terhad. Peranan pakar dan ejen pengembangan pertanian perlu dinamik dan tidak jumud kepada konsep penyampaian konvensional seperti kursus, ceramah, penggunaan audio visual dan bahan cetak.  Teknologi komunikasi terkini seperti platform interaktif, berciri konvergen, digital berangkai dan bercapaian global, seharusnya dapat dimanfaatkan sebaik mungkin agar penyaluran maklumat kepada kelompok sasaran lebih pantas, tuntas serta jitu. Melalui platform itu, ejen pengembangan pertanian dapat mendedahkan usahawan tani bagaimana mempromosikan hasil pertanian lebih baik yang dapat mengurangkan kebergantungan orang tengah. Contohnya, terdapat reformasi perniagaan melalui jualan produk pertanian secara dalam talian diwujudkan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT). Ikan segar dan produk hasil perikanan dijual meliputi beberapa kawasan di Lembah Klang, Putrajaya, Shah Alam dan Klang. Langkah proaktif NEKMAT itu, wajar dipuji atas usaha membantu ahlinya menempuhi saat sukar ketika COVID-19. Konsep yang sama boleh diguna pakai ejen pengembangan pertanian setempat untuk merangka platform yang membantu jualan pertanian usahawan tani setempat. Kini, reformasi perniagaan berkonsep e-dagang berjaya menjadi antara aliran utama perdagangan negara. Ia membantu peniaga kecil dan sederhana memasarkan hasil keluaran kepada pengguna secara langsung. Pemindahan ilmu sebegini perlu diberikan kepada usahawan tani, tidak tertumpu mengenai tanah dan baja semata-mata supaya rantaian bekalan konvensional dapat diubah melalui pemasaran hasil pertanian secara terus kepada pengguna tanpa orang tengah. Seterusnya dalam usaha meningkatkan pendapatan lebih baik dan terjamin. Ejen pengembangan pertanian juga perlu cakna insentif seperti diumumkan Perdana Menteri. Maklumat ini perlu disalurkan dengan tepat kepada usahawan tani, terutama di kawasan luar bandar agar tiada tertinggal daripada Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Semuga artikel ini memberi info berguna kepada ssemu apembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
PENGEMBANGAN PERTANIAN... APA DIA...
PENYAMPAIAN TEKNOLOGI...  PENTING DIA...
CARANYA BERUBAH... PANDEMIK DI DUNIA...
KECUKUPAN MAKANAN... MASIH UTAMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomsit and Extension Agent,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandaraya Melaka Bersejarah,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(21 Rabiulawal 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...