Support My Blog

Sunday, December 20, 2020

GUNA MIKRONUTRIEN KAWAL 'PAPAYA DIEBACK' (Pt 1)

TANAMAN BETIK (Carica papaya) adalah merupakan sejenis tanaman buah tidak bermusim yang popular di Malaysia. Saya ada menulis lebih 35 artikel mengenai tanaman betik didalam blog ini dimana ia boleh dicapai dengan pautan beikut (Sila klik disini), (Sila klik disini), (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan berpuluh lagi yang sesuai dibaca. Teknologi bagi tanaman betik sentiasa berubah kerana sejarah di Malaysia menunjukkan dimana petani menanam betik untuk pasaran domestik dan eksport. Penanaman pokok betik di Malaysia direkodkan seluas 3,267 hektar pada tahun 2018 dengan pengeluaran sebanyak 88,840 metrik tan dimana paling luas berada di Johor (1,498 ha) diikuti dengan Pahang (522 ha) dan Perak (277 ha) dimana kebanyakannya adalah Betik Sekaki walau pun Betik Batu Arang, Betik Subang dan Betik Eksotika masih ada ditanam (Sumber: Booklet Keluasan Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia 2018). Bagaimana pun kes serangan Penyakit Papaya Dieback pada pokok betik telah menyebabkan industri ini terjejas teruk sekitar tahun 2000 hingga kini walau pun kawalan baru sahaja disyorkan. Pelbagai kaedah kawalan diperkenalkan dan dijalankan oleh penanam dan ia kini kebanyakannya adalah sudah pulih. Salah satu yang disyorkan adalah dengan penggunaan bahan mikronutrien terpilih sebagai langkah alternatif yang agak berkesan bagi pengurusan penyakit mati rosot betik. Pada penulis blog memang industri betik negara telah terjejas teruk berikutan serangan penyakit mati rosot dimana ia perlu terus dikawal. Kerosakan yang disebabkan oleh penyakit mati rosot ini menyebabkan kerugian hasil sehingga 100%. Penyakit ini mula dilaporkan pada tahun 2003 di Batu Pahat, Johor dan ia kemudian telah merebak ke kawasan penanaman betik komersil di beberapa negeri lain seperti Perak, Melaka, Selangor, N. Sembilan, Kedah dan Pahang. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis artikel ke 6,127 mengenai kaedah menggunakan mikronutrien didalam mengawal penyakit mati rosot betik (papaya dieback) untuk dijadikan bahan rujukkan semua.

Memang kini petani ramai yang telah faham dimana penyakit mati rosot betik telah pun diisytiharkan sebagai Penyakit dibawah Akta Makhluk Perosak Berbahaya bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976. Sekiranya anak benih atau pokok betik menunjukkan tanda-tanda penyakit mati rosot maka ianya perlu dimusnahkan dengan segera. Tujuannya adalah untuk menghapuskan perumah bakteria dan ianya akan menghalang jangkitan dari ladang ke ladang yang lain. Mengikut Seksyen 11, Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dimana petani yang menanam betik yang enggan memusnahkan tanaman betik yang diserang oleh penyakit mati rosot dianggap melakukan satu kesalahan dan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000. Penyebab yang dikenalpasti bagi penyakit mati rosot betik di Malaysia ialah Erwinia mallotivora. Penyelidikan di jalankan pakar MARDI dimana koloni bakteria ini jernih (hyaline) di atas medium Luria Bertani (LB) dengan kadar pertumbuhan yang perlahan manakala di atas medium King’s B. Didapati dimana koloni bakteria ini berwarna krim keputihan selepas 2 - 3 hari dihidupkan. Penyakit mati rosot ini menyerang semua bahagian pokok betik termasuk pucuk, daun, pelepah daun, batang dan buah betik. Terdapat juga ada tanda-tanda yang jelas di bahagian tanaman betik yang diserang oleh penyakit mati rosot ini seperti tanda lecuh basah (water-soaked) dan nekrotik kehitaman di bahagian antara pucuk daun serta pelepah dimana lama kelamaan pucuk itu mereput dan terkulai. Simptom nekrotik kehitaman dapat dilihat di sepanjang urat daun, manakala pada buah betik terdapat tompok-tompok hitam pada kulit buah. Bagaimana pun petani yang baru melihat mungkin perlu bertanya kepada pakar pertanian untuk mengenali akan simptom serangan penyakit ini agar ada kepastian.

Teknik Pembajaan Mikronutrien Terpilih merupakan satu langkah alternatif bagi mengurangkan jangkitan penyakit mati rosot betik. Ia dilaporkan memberi kesan positif terhadap kerintangan tanaman terhadap jangkitan penyakit. Penggunaan baja makro ataupun makronutrien sahaja seperti nitrogen (N), fosforus (P) dan kalium (K) pada tanaman betik mungkin sudah tidak lagi sesuai disebabkan oleh proses larut lesap dimana berlaku aliran permukaan dan penggunaan tanah secara berterusan. Penggunaan baja makro dan juga baja mikronutrien terpilih secara berkesan dilihat antara langkah terbaik pengawalan penyakit ini kerana setiap tanaman betik mempunyai sistem pertahanan semula jadinya yang tersendiri. Namun kebolehan itu adalah terhad. Penggunaan mikronutrien terpilih dilaporkan dapat mengurangkan kejadian penyakit, memanjangkan tempoh hayat tanaman yang dijangkiti serta melambatkan proses jangkitan penyakit. Terdapat beberapa mikronutrien yang terlibat dalam mekanisme pertahanan semula jadi tanaman iaitu Kuprum (Cu), Boron (B) dan Manganese (Mn). Mikronutrien terpilih ini dilaporkan terlibat dalam proses lignifikasi yang bertindak sebagai dinding pertahanan secara mekanikal semula jadi tanaman pokok betik dimana ia akan seterusnya merangsang penghasilan enzim pertahanan semula jadi tanaman. Kajian dijalankan dimana ia bertujuan untuk menguji keberkesanan penggunaan mikronutrien bagi mengawal penyakit mati rosot betik telah dijalankan. Kajian penggunaan baja makro tanpa dan dengan mikronutrien terpilih iaitu kuprum (Cu), boron (B) dan mangan (Mn) telah dijalankan di MARDI, Serdang. Biji benih betik Eksotika II direndam semalaman dan biji benih yang terapung akan diasingkan untuk dibuang manakala biji benih yang tenggelam diambil untuk disemai. Biji benih disemai di dalam bekas percambahan bersaiz 35 cm lebar dan 57 cm panjang. Medium semaian yang disyorkan ialah peat moss.

Pemerhatian dilakukan dimana pada hari ke-12 sehingga hari ke-14 dilihat pada anak benih dipindahkan ke dalam polibeg bersaiz 30’ x 30’. Anak benih yang dipilih untuk dipindahkan adalah sekata dari segi ketinggian dan juga pertumbuhan. Jenis Medium yang digunakan di dalam polibeg ialah campuran peat moss dan pasir. Anak pokok di dalam polibeg diletakkan di bawah struktur lindungan 50% cahaya. Siraman dilakukan menggunakan sistem pancuran berdebu atau siraman menggunakan penyiram tiga kali seminggu. Selepas 30 hari dipindahkan ke dalam polibeg dimana pemberian baja tunggal iaitu baja urea (N), baja Triple Superphosphate (P) dan Muriate of Potash (K) diberikan berdasarkan kadar pembajaan yang disyorkan pada bulan pertama, kedua dan ketiga. Pemberian baja tunggal N, P dan K berserta tambahan baja mikro iaitu Cu, B dan Mn secara kombinasi dan tunggal diberikan pada bulan pertama, kedua dan ketiga mengikut kadar yang disyorkan. Pokok betik yang diberikan baja makro sahaja iaitu N, P dan K dalam bentuk baja tunggal dijadikan sebagai rawatan kawalan. Penilaian telah dijalankan terhadap kandungan lignin betik dengan menggunakan kaedah Asid Detergent Lignin dan Keterukan Penyakit (Disease Severity). Artikel ini ditulis dalam 2 segmen iaitu Part 1 dan Part 2 yang perlu dibaca bersama. Semuga tulisan ini mampu memberikan info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!..
MENANAM BETIK... PELBAGAI JENISNYA...
PENYAKIT MATI ROSOT... SANGAT BAHAYA...
PEMBAJAAN MIKRONUTRIEN... KAWALNYA...
BACA SENDIRI... KEMUDIAN AMALKANNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11F, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(5 Muharram 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...