Support My Blog

Wednesday, December 23, 2020

KARTEL DAGING - JADI ISU PANAS

BERITA KARTEL DAGING yang dipaparkan oleh banyak media massa di Malaysia pada hujung Disember 2020 ini telah menjadi topik hangat yang berlaku semasa rakyat menghadapi musim banjir di pantai timur. Pagi ini pada 23 Disember 2020 di MHI TV3 wartawan NST yang membongkar isu kartel daging diwawancara dengan TV3 mengenai isu ini dan beberapa pakar makanan halal membincangkan perkara sama. Isu ini mendapat reaksi orangramai dan pengguna di Malaysia kerana ianya melibatkan makanan yang sering diambil sebagai makanan utama sumber protin dan ia selalu dimakan dalam bentuk pelbagai hidangan seperti kari daging, sate daging, steak daging, daging masak kicap, papprik daging serta menjadi ramuan dalam banyak lagi makanan. Berita ini dilaporkan didalam akhbar utama dalam bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris serta bahasa lain dengan terperinci sehinggakan ia telah mengejutkan ramai orang. Bagaimana pun reaksi pelbagai pihak yang terligat dengan isu ini cepat mengambil pelbagai tindakan sebagai tindakbalas. Malaysia merupakan negara yang masih bergantung kepada pengimportan daging (red meat) kerana kekurangan bekalan tempatan. Laporan daripada MAFI dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DOV) kekurangan lembu pedaging dan haiwan ruminan yang lain masih belum mencukupi uuntuk menampun keperluan daging negara. Dinyatakan dimana jumlah kuota yang tinggi diberikan kepada beberapa syarikat pengimport daging melalui kebenaran mengimport daging atau mudahnya selalu dipanggil sebagai 'AP' yang dikawal oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). Selain dari kawalan mengimport daging yang perlukan AP ini adalah komoditi Kelapa Tua Biji, Sayur Kobis Bulat dan Biji Kopi (kini telah tidak perlukan AP lagi). Alternatif mengimport daging lembu sejukbeku merupakan satu pilihan yang telah dilakukan semenjak berpuluh tahun di Malaysia bagi menampung keperluan daging tempatan. Kalangan orang biasa mereka sejak dulu lebih kenal dengan ungkapan 'Daging Beku India' yang murah dan mampu beli walau pun banyak isu berkait dengan kualiti daging beku tersebut.  Artikel petang Selasa ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis beberapa laporan media tempatan mengenai isu kartel daging yang menjadi 'panas' dalam musim banjir di negara kita untuk dijadikan bahan renungan dan peringatan.

Akhbar Haria Metro melaporkan dengan artikel bertajuk 'Gantung AP syarikat babit kartel daging halal palsu - MAFI" menarik dibaca. Berita dari Serdang ini laporkan dimana Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tidak akan teragak-agak menggantung pemberian permit import syarikat (AP) yang terbabit dengan kartel daging halal palsu. Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ada berkata, pihak berkuasa harus menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera terhadap pihak yang telah lama bersekongkol dengan kartel berkenaan supaya isu sama tidak berulang lagi. Beliau berkata, tangkapan mesti disegerakan kerana menyifatkan isu kartel daging halal palsu tidak wajar berlaku di negara ini kerana perlu menerusi banyak pihak antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). "Ya (gantung AP), kalau dibuktikan keterlibatan mereka. Sudah tentu tindakan akan diambil. "Terserah kepada pihak berkuasa relevan untuk membuat tangkapan mengenai isu ini kerana ini merupakan satu isu yang tidak sepatutnya berlaku. "Jadi pihak yang berwajib harus mengambil tindakan bagi membendung masalah ini yang tidak seharusnya berlaku. Ini kerana banyak agensi kerajaan terbabit tentu sekali seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan sebagainya harus sama membendung masalah ini supaya tidak lagi berulang," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Majlis Persidangan Pertanian Digital Kebangsaan di ibu pejabat MARDI hari ini. Mengulas lanjut dakwaan pembabitan anggota penguatkuasa daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan gerakan kartel itu, Ronald mengakui tidak tahu mengenai hal itu. Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa sesiapa sahaja dari agensi atau pihak ada kaitan dengan kementerian yang bersekongkol dengan kartel terbabit akan berdepan tindakan. Mengulas lanjut isu sama, Ronald berkata berdasarkan siasatan awal mendapati daging yang terkandung dalam konsainmen adalah untuk transhipment (pemunggahan). Katanya ia boleh diturun, dibuka dan dijual di pasaran negara. "Ia bukan semestinya untuk negara ini tetapi untuk transit di Malaysia dan diekseport ke negara lain. Yang itu untuk dihantar keluar tetapi offload (diturunkan) di negara kita," katanya. Tambahnya lagi, MAFI mengawal pemberian lesen import daging dan keratan ayam yang diluluskan kementeriannya untuk kegunaan domestik. Mengenai kilang atau loji pengeksport ayam dan daging di luar negara, beliau menjelaskan MAFI bersama JAKIM biasanya ada menjalankan audit dan pengawasan secara berskala dari segi SOP Sijil Halal.

Berita Harian dengan tajuk 'Kartel daging import, SPRM siasat pegawai agensi penguat kuasa' laporkan dimana pihak  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang membuka kertas siasatan berhubung isu penyeludupan daging import yang didakwa dikuasai kartel. Kertas siasatan itu dibuka SPRM Johor mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009. Difahamkan dimana SPRM juga akan bekerjasama dengan beberapa agensi terlibat penguatkuasaan antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Satu sumber menjelaskan, fokus siasatan yang akan dilakukan SPRM adalah mengenai isu pemalsuan borang Kastam 1, iaitu membabitkan pengisytiharan barangan import. "SPRM juga akan menyiasat perkara berkaitan amalan rasuah dalam kalangan agensi yang bertanggungjawab.  "SPRM juga memandang serius perkara itu kerana ia telah membabitkan isu kepentingan rakyat khususnya umat Islam di negara ini. Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan siasatan itu. Beliau turut meminta semua pihak untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan terbabit. "Membincangkan isu ini di media massa akan menyukarkan siasatan kami dan sesiapa yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil untuk bekerjasama. Laporan BH hari ini mendedahkan dimana kartel mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui halal dan kualitinya dan ianya dipercayai 'membeli' beberapa kakitangan kerajaan termasuk pegawai agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara. Wang ringgit dan habuan berlibur dikatakan digunakan bagi merasuah pegawai terbabit sebagai dorongan dalam 'melepaskan' barangan yang diimport tanpa mengikut peraturan ke pasaran negara ini.

Akhbar Sinar Harian pula dengan artikel bertajuk
'Isu kartel daging haram: Buru, tangkap anggota agensi terlibat' menarik dibaca bersama. Berita dari Johor Bahru ini laporkan dimana anggota atau penguat kuasa agensi yang didapati bersekongkol dengan kartel pemalsuan logo halal terhadap daging import untuk dijual di pasaran Malaysia perlu diburu dan ditangkap. Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka tidak boleh terlepas kerana isu tersebut amat besar dan siasatan menyeluruh perlu dilakukan jika benar ada yang terlibat (Sila lihat foto disebelah). Beliau menegaskan, siasatan tersebut perlu supaya semua rantaian yang terlibat akan dikenakan hukuman termasuk mereka yang menyebabkan berlakunya ketirisan dalam agensi penguatkuasaan. "Isu terbaharu di Johor berkenaan kartel yang mencampuradukkan daging tidak halal, kalau ada penglibatan misalnya pegawai kastam atau Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) perlu diambil tindakan tegas. "Bayangkan benda yang haram dimakan umat Islam. Makanan yang haram dijual di pasaran dan kita orang Islam diberi makanan yang tidak disembelih," katanya menerusi Sinar Live bertajuk 'Biar Diancam, Saya Tidak Gentar!' yang bersiaran secara langsung dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahru. Pada 2 Disember 2020 akhbar Sinar Harian dalam laporan khasnya telah juga mendedahkan Maqis serta Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyerbu sebuah stor di Senai, Johor yang didapati meletakkan label halal terhadap daging yang diimport. Ayob Khan berkata pendedahan anggota, pegawai dan penguat kuasa dalam kegiatan itu atau bersekongkol dengan mana-mana kegiatan jenayah seperti pelacuran, perjudian, dadah dan penyeludupan manusia perlu dilakukan.  Menurutnya, ada pihak berpendapat keterlibatan mereka dalam kegiatan itu tidak perlu didedahkan kepada umum dan ditangani secara dalaman. "Ada yang kata jangan buka pekung di dada. Ini bukan isu pekung di dada. Ini fakta dan hakikat, kalau kita tidak akui macam mana kita nak tangani isu rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota kita. Kita perlu akui masalah ini. Beliau berkata, dalam menangani masalah tersebut pembersihan secara 'dalaman' perlu dilakukan terlebih dahulu bukan sahaja polis tetapi juga kastam, Maqis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan semua yang berkaitan.  Ujarnya, isu rasuah dalam kalangan anggota, pegawai atau penguat kuasa perlu ditangani dengan tuntas malah sehingga ke akar umbi selain menyifatkan rasuah kini adalah musuh nombor satu negara. "Bab rasuah ini kita nampak benda lain haram. Arak, babi itu semua haram tapi rasuah tak haram. Kalau kita bertuhankan duit manusia akan hilang kewarasan dan bila kita bertuhankan duit, kita akan sanggup gadaikan kedaulatan negara.

Artikel bertajuk '
Kartel cemari industri daging halal, ada pegawai ‘dibeli’ oleh HARAKAH DAILY juga ada melaporkan dimana di Kuala Lumpur Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) menggesa supaya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap isu daging yang tiada pengesahan halal tetapi dilabelkan sebagai halal, sepertimana dilaporkan dalam akhbar New Straits Times. Yang Dipertua PUM, Dato’ Al-Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir dakwa dimana pendedahan dibuat itu sangat mengejutkan dan turut mengecewakan umat Islam di Malaysia di atas tindakan kartel pegawai pelulus dan pegawai penguatkuasa yang bersekongkol dengan pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut. Sangat pedih kita perlu menghadapi isu ini kerana makanan halal adalah suatu perkara yang penting dan telah menjadi budaya dalam masyarakat kita untuk mencari yang halal. Bayangkan telah lebih 40 tahun mereka melakukan kerja ini, tanpa memikirkan kesan dan seakan tidak bimbang langsung terhadap agensi-agensi penguatkuasa yang ada di Malaysia.  “Secara realiti, peniaga-peniaga besar mahupun kecil dan sederhana, tidak kira Muslim atau non-Muslim, turut berusaha untuk mereka mendapatkan status pensijilan halal di mana ianya boleh meningkat kadar permintaan terhadap produk yang mendapat pensijilan halal tersebut.  “Negara kita juga boleh dikatakan saban tahun mengadakan ekspo halal bagi menarik minat peniaga untuk melakukan perniagaan berasaskan halal ini. Bahkan boleh dikatakan negara-negara di dunia turut membekalkan produk halal ke negara mereka walaupun mereka bukan dalam kalangan negara Islam. “Kesedaran terhadap produk halal telah tersebar ke seluruh dunia. Namun tindakan segelintir kartel ini telah mencemarkan industri halal. Ini termasuklah tindakan penguatkuasa yang bersekongkol dengan kartel ini. Oleh itu PUM katanya, menggesa agar pihak kerajaan melalui agensi seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ataupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan segera dan mendedahkan skandal besar yang sangat sensitif kepada umat Islam ini. “Siapa lagi yang dapat kita harapkan untuk melakukan siasatan menyeluruh ini. Jangan sampai adanya kempen boikot besar-besaran terhadap produk daging dilancarkan di Malaysia, di mana kesannya nanti akan melumpuhkan aktiviti ekonomi sebahagian rakyat kita. Teruskan siasat dan bawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan. Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee dalam pada itu berkata, pemegang Permit Import (AP) yang terbukti bersekongkol dengan kartel daging import haram akan dikenakan tindakan tegas termasuk digantung lesen. “Biar siasatan dibuat dahulu dan apabila ia selesai, tindakan selanjutnya akan diambil ini termasuk menggantung AP sekiranya terbukti bersalah. Maklum beliau, selain akan mengenal pasti pemegang AP yang terlibat berhubung dengan kartel daging import haram itu, siasatan juga turut dijalankan ke atas penjawat awam terlibat atas aktiviti persekongkolan. Dr Ronald ditemui media selepas Majlis merasmikan Persidangan Pertanian Digital Kebangsaan (DigAc) 2020 berkata isu penyeludupan daging import haram itu merupakan perkara yang serius dan perlu segera dibanteras. Beliau dalam pada itu menegaskan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa mengaudit daging dan ayam yang akan dibawa masuk ke negara ini bagi memastikan ia berstatus halal. Media hari ini melaporkan kartel mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui halal dan kualitinya, dipercayai ‘membeli’ beberapa kakitangan kerajaan termasuk pegawai agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara. Sebelum ini, sebuah gudang syarikat daging sejuk beku di Taman Perindustrian Senai, Johor diserbu pihak berkuasa hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan menyeludup daging sejuk beku.  

Akhbar dalam Berita Harian dengan artikel bertajuk 'Kes kartel daging: Syarikat terbabit akan diumum selepas proses pendakwaan selesai' melaporkan dimana kerajaan akan mengumumkan nama syarikat disyaki terbabit kartel daging dengan label halal yang palsu, selepas proses pendakwaan selesai nanti. Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata beliau difahamkan kes itu akan dibawa ke mahkamah pada minggu depan. Justeru buat masa ini, beliau berkata, nama syarikat terbabit tidak boleh didedahkan kepada umum bagi tujuan mengelakkan gangguan terhadap siasatan. Dinasihatkan supaya tidak mendedahkan dahulu nama syarikat itu kerana kes masih dalam siasatan. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat beberapa mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Menerong serta Kampung Paya Besar, di sini, semalam. Pada lawatan itu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu telah pun menyumbangkan selimut kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang ditempatkan di dua PPS berkenaan. Media sebelum ini melaporkan pembongkaran taktik kartel disyaki menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula dengan label serta cap palsu dan menjualnya dalam pasaran negara ini, hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor. Mengulas lanjut, Rosol berkata difahamkan setakat ini, hanya sebuah syarikat diambil tindakan berhubung kes berkenaan. Dalam perkembangan lain pula, beliau menjelaskan, isu kenaikan harga bawang dan cili dalam pasaran dijangka pulih dalam masa terdekat. Beliau sudah mendapat laporan bahawa harga bawang dari India meningkat. Berkemungkinan menjelang tahun 2021 masalah itu akan selesai namun bergantung pada keadaan di India yang sedang menghadapi bencana banjir. Mengenai kenaikan harga cili pula, Rosol menjelaskan, masalah itu dilaporkan berlaku setiap akhir tahun susulan banjir melanda beberapa kawasan, termasuk Cameron Highlands. Bagaimanapun harga cili dalam pasaran dijangka kembali stabil pada awal tahun depan.
Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Teliti semasa membeli daging import. Wasallam!...
DAGING BEKU... MEMANG DIGUNA...
PERLU AP IMPORT... KAWALANNYA...
ADA KARTEL... MENIPU KERJANYA...
SUDAH DIBONGKAR... BAGAIMANA...

By,
M Anem,
Senior Agronoomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.7 JamadilAwal 1442H)
(bersamaan 22 Disember 2020).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...