Support My Blog

Tuesday, December 15, 2020

ESTET DURIAN - APA TEKNOLOGINYA

ESTET DURIAN (Durio zibhethinus) kini telah mula di jadikan satu pendekatan terbaru yang melibatkan kawasan tanah yang luas dimana ia perlu menggunakan amalan teknologi amalan agronomi ubahsuai (modified agronomic practices). Beberapa syarikat perladangan tempatan telah mula mengalih arah untuk menanam pokok durian secara perladangan dengan varieti durian premium seperti varieti Musang King (D197), Duri Hitam (D200), Tekka (D160), Udang Merah (D175), D24 dan sebagainya. Bagaimana pun penulis blog dapati penanaman durian secara meluas ini hanya popular setelah Malaysia mendapat luang pasaran durian segar kebebrapa negara seperti ke China, USA dan Australia. Dari rekod menunjukkan dimana Thailand merupakan negara pengeksport utama buah durian segar didunia dengan menguasai 96% jumlah pasaran durian di China. Thailand merupakan pengeksport buah durian segar ke negara  China  yang terbesar didunia dengan sebanyak USD544 juta  (THB16.7 billion) meningkat 82.3% dari tahun sebelumnya iaitu 2018. Selain itu negara tersebut juga mengeksport duiran sejukbeku dan durian proses ke China berjumlah USD46.9 juta (THB1.4 billion) dengan kadar pertumbuhan 41.6% setahun pada tahun 2019. Data daripada China menyatakan dimana sebanyak 98.9% durian yang diimport datangnya daripada Thailand (Sumber: Bangkok Post). Orang China memang bangsa yang sangat suka makan durian kerana ia memberikan tenaga dan kepanasan kepada tubuh badan selain daripada cogankata 'makan durian ada ong'. Eksport durian dari Thailand ini diikuti ke negara Vietnam berjumlah sebanyak USD267 (THB 8.16 billion) menunjukkan kehebatan promosi dan pemasaran durian dari negara gajah putih ini. Ketiga Thailand mengeksport durian sejukbeku ke USA  dengan jumlah sebanyak USD 6.6 juta (THB201 juta) pada tahun sama. Akhbar Bangkok Post menyatakan eksport buah durian merupakan 44% daripada jumlah ekport buah-buahan dari negara tersebut. Penanaman durian di Thailand masih berasaskan kepada pekebun kecil akan tetapi mempunyai sistem pemasaran yang sangat ideal untuk mengeksport durian. Di Malaysia apabila ada beberapa buah syarikat perladangan durian ini di laksanakan maka dijangkakan potensi untuk meningkatkan pengeluaran durian berkualiti akan terserlah. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan satu perkara perlaksanaan estet durian yang dilakukan oleh beberapa syarikat perladangan secara 'estste management' sebagai bahan bacaan dan rujukkan semua. 

Penanaman durian di Malaysia sejak zaman dahulu banyak dilakukan oleh pekebun kecil dan saiz sederhana dengan secara dusun campuran atau monokrop. Kawasan dusun tradisional menyumbang peratus besar didalam menentukan jumlah keluasan tanaman durian.  Tanaman durian adalah antara tanaman buah bermusim yang luas diusahakan di Malaysia dimana pada tahun 2018 seluas 72,464 hektar ditanam dengan anggaran pengeluaran sebanyak 251,950  metrik tan  (Sumber: Laporan Kelasan Tanaman Buah-buahan, Jabatan Pertanian Malaysia 2019). Negeri utama penanaman pokok durian adalah Pahang (18,293 hektar) dan ia diikuti dengan Johor dengan keluasan 15,630 hektar (Johor adalah pengeluar terbanyak hasil tuaian durian sebanyak 52,562 metik tan pada tahun sama) dan ketiga adalah di Sarawak (10,431 hektar). Pasaran durian dahulu banyak tertumpu kepada pasaran domestik dan eksport kebanyakannya hanya ke Singapura sahaja. Bagaimana pun apabila pasaran eksport ke China telah dibuka menyebabkan harga pasaran durian premium telah meningkat naik dengan permintaan tinggi di luar negara khususnya China. Durian Musang King sebagai durian premium kini menjadi pilihan pekebun kecil dan estet swasta kerana jaminan harga pasaran yang lebih tinggi iaitu berdasarkan kepada kualiti buah. Tidak banyak ada syarikat perladangan seperti Sime Darby, Boustead Plantation, Kulim Berhad Plantation serta lain-lain lagi yang 'berani' untuk membuang tanaman getah dan kelapa sawit dan digantikan dengan tanaman durian. Ini kerana pokok durian hanya akan berbuah untuk beberapa bulan sajaha mengikut musim buah sedangkan penghasilan getah dan sawit sepanjang tahun. Musim utama penghasilan buah durian di Malaysia dai Julai - Oktober setiap tahun mengikut kalendar. Harga buah durian pula lazimnya akan 'jatuh' apabila berlaku lambakkan buah durian terutama hasil durian kampung yang banyak dan perkara ini beraku lazimnya 2-3 tahun sekali.

Semenjak beberapa tahun kebelakanagan ini apabila protokol pengeksportan durian (Musang King) dimenteraikan ke China, didapati harga durian tersebut telah meningkat dengan baik. Malahan harga durian Musang King tempatan pernah mencecah sehingga lebih dari RM80 sekilogram direkodkan di Pahang pada tahun 2017 (Semasa saya bertugas Pengarah Pertanian Pahang). Tinjauan penulis blog di Raub, Pahang pada Julai 2019 mendapati harga durian Musang King pada harga purata RM35 - RM40 sekilogram mengikut gred. Ini menjadikan beberapa usahawan mulai mengintai potensi penanaman durian premium serious. Ada pekebun yang menebang kelapa sawit berumur 8 - 12 tahun (mula berbuah banyak) dan telah mula menggantikannya dengan durian seperti Musang King di Daerah Raub, Bentong dan sekitarnya semasa tinjauan kebun dilakukan. Kalangan pemilik dusun durian lama juga ramai yang melakukan program 'cantuman dewasa' pada pokok lama dengan durian premium dimana ia merupakan salah satu program yang berjaya. Jabatan Pertanian telah memberikan peruntukkan lebih RM10 juta dalam RMK ke 10 didalam pembangunan durian kepada pekebun kecil dibeberapa kawasan tumpuan durian sedia ada seperti di Batu Kurau, Raub, Bentong, Tangkak dan beberapa lokasi lain. Program pembangunan durian premium ini menyasarkan pengeluaran durian premium berkualiti dengan program tanaman baru, cantuman dewasa dan pemulihan dusun. Impak program ini akan mula dilihat pada RMK ke 11 dan RMK ke 12 apabila kebanyakan pokok durian premium akan berhasil.

Dalam pada itu beberapa estet perladangan kelapa sawit telah mula menukar sebahagian kawasan tanaman sawit dan getah mereka dengan tanaman lain seperti durian, nanas, kelapa dan tanaman makanan iaitu tanaman penting yang diistiharkan sebagai Sumber Kekayaan Baru Negara (SKB). Mereka mendapatkan khidmat sokongan teknikal daripada pihak kerajaan seperti MAFI dan Jabatan Pertanian dalam beberapa aspek seperti bekalan benih berkualiti dan tulin, amalan agronomi tanman dan juga aspek lain didalam usaha untuk membangunkan tanaman makanan. Pemilihan tanaman durian hanya melibat beberapa estet sahaja seperti di Pahang, Johor, Kedah dan Perak. Pemilihan kawasan estet untuk penanaman durian ini dipilih dari tanah yang bercerun, tidak banjir dan tanah yang subur. Ia kemudian dibajak dan di bina perparitan, disediakan kolam takungan air, dipasang dengan sistem pengairan titis, infra jalanladang dan akhirnya sediakan barisan tanaman durian (Sila lihat foto disebelah). Penanaman durian memerlukan sistem pengairan yang cukup kerana anakpokok durian mudah mati dimusim kemarau. Bagi tanah bekas sawit atau getah dilakukan 'rawatan tanah' dahulu kerna ada risiko serangan penyakit akar. Bagi mempastikan pokok dari varieti tulin maka benih yang telah mendapat pengesahan sijil SPBT (Skim Pengesahan Bahan Tanaman) sahaja akan ditanam. 


A
spek penting yang dilakukan didalam estet duian adalah anak pokok akan ditanam diatas 'busut' atau 'mounting' dalam barisan tanaman.Teknik ini sesuai dilakukan bagi mengurangkan risiko pokok mati akibat terendam didalam lubang tanaman terutama apada muism hujan. Dari tinjauan penulis blog di Ladang Claire, Chaah, Segamat, Johor ketinggian busut tersebut setinggi 6 kaki (SIla lihat foto disebelah). Tinjauan penulis blog ada lihat dibeberapa kebun durian lain mendapati anak pokok durian akan mati selepas hujan lebat beberapa jam (terutama akar rambut) akibat terendam. Busut ini juga dilaporkan akan mengurangkan risiko tersebut akan tetapi pastikan disekeliling busut tersebut ada rumpu yang tumbuh gunanya untuk elakkan tanah menjadi kering dimusim panas. Menurut kajian busut ini akan menurun apabila pokok durian matang separas dengan paras tanah kelak. Busut diatur mengikut jarak tanaman durian yang disyorkan iaitu 9 meter X 9 meter dengan kepadatan tanam 110 pokok sehektar. Jabatan Pertanian menganggarkan potensi hasil akan datang dengan kepadatan tersebut adalah sekitar 19,000 - 20,000 metrik tan sehektar. Bagaimana pun apa yang mesti dilakukan adalah penanaman beberapa pokok varieti durian yang berlainan (bercampur) untuk penghasilan yang maksima. Ini kerana waktu pendebungaan durian yang berlainan daripada beberapa varieti dengan 'cross pollination' oleh agen-agen pendebungaan sangat penting difikirkan. Kadar percampuran ini ada ditulis didalam artikel tulisan saya sebelum ini.

Dalam menyediakan tanaman durian yang baik, selain daripada membina busut tinggi ini penulis blog dapati setiap pokok durian dipasang dengan jaring hitam. Tiang besi setinggi 5 kaki dipasang keliling dengan jaring hitam  atau terbuka satu pintu yang menghadap matahari naik (Sila lihat foto disebelah). Bagi anakbenih durian yang masih kecil bahagian atasnya juga ditutup rapat. Bagaimana pun apabila pucuk anak durian sudah agak tinggi maka jaring dibahagian atas akan dibuka. Ruang yang dibuka diperingkat awal penanaman adalah untuk membolehkan pekerja dapat memeriksa bahawa air yang dipam melalui sistem pengairan titis dibekalkan. Peranan jaring hitam ini sangat penting untuk memberikan perlindungan anakbenih durian daripada kena panas dan kawalan kelembapan dipersekitaran pokok. Teknologi memasang penutup jaring hitam, membina busut setinggi 6 kaki, memasang sistem pengairan titis dan tidak menggunakan racun kimia (weedicide) membolehkan peratus kejayaan penanaman durian cara baru ini sangat berjaya. Apa pun teknologi penanaman durian cara membuat busut, memasang jaring hitam, mengawal rumpai dengan trekter dan power ripper agak mahal sehektar berbanding dengan cara petani biasa menanam durian.


Rumput akan dibiarkan tumbuh dan hanya di kawal dengan kaedah manual sahaja. Ini kerana penggunaan racun rumpai akan menyebabkan pokok durian terbantut dan akhirnya akan ada yang mati. Akar pokok durian yang aktif selalunya berada pada bahagian pemukaan atas tanah. Jika racun rumpai digunakan maka akar ini akan rosak dan menjejaskan pertumbuhan. Keadaan akan menjadi lebih parah jika menggunakan racun rumpai jenis Sistemik. Pokok durian yang terkena racun sistem ini akan menderita akibat racun ini dan mudah serangan perosak dan penyakit kemudiannya untuk berlaku. Oleh it beberapa estet durian akan menggunagan 'rotor slasher' yang ditarik trekter dilorang barisan tanaman bagi mengawal rumpai mengikut jadual. Bagi mengawal rumpai pada busut pula lazimnya menggunakan 'Bush-cutter' dalam memotong rumput
(Sila anda lihat foto disebelah). Dua perkara penting yang perlu diingatkan kepada pekerja pemotong rumput adalah JANGAN terpotong batang pokok durian dan paip pengairan titis. Pembajaan dengan baja organik dan baja NPK serta penggunaan gel dijalankan mengikut jadual pembajaan. Setiap pokok durian ini perlu direkodkan semua amalan agronmi yang dilakukan mengikut sistem MyGAP.  Ini perlu dilakukan untuk proses akreditasi persijilan MyGAP kerapa semua durian yang hendak dieksort semestinya hasil dari ladang yang ada sijil MyGAP. Diharap dengan beberapa syarikat swasta membuat ladang durian ini akan menjadikan Malaysia sebagao salah satu pengeluar buag durian premium di dunia disatu masa akan datang kelak. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!....

MENANAM DURIAN... RAMAI MINATNYA...
ESTET DURIAN... SUDAH PUN DI MULA...
AGRONOMI BERBEZA...BAGAIMANA CARA...
MEMBACA ARTIKEL... BARU DAPAT IDEA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Bandaraya Melaka,
Melaka,
Malaysia,
(16 RabiulAkhir 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...