PAKU RAWAN (Limnocharis flava) merupakan sejenis tumbuhan yang biasa dijumpai tumbuh meliar daripada kawasan tanah berpaya atau sawah padi daripada keluarga Limnochariraceae. Tumbuhan ini juga penulis blog kenali dengan nama lain seperti Keladi Senduk, keladi merawan, paku rawan, keloyok, lagung (Iban), centongan (Jawa), Sesenduk, Kelor (Sabah), Selimpat, Kemelin (Perak), Kelayau, Keladi itik, Keladi layar, Genjer (Indonesia), Kelayar (Negeri Sembilan), Kelayo atau juga dipanggil Samsir (Sarawak). Dalam bahasa Inggeris pula dia panggil sebagai Yellow burrhead leaf atau Yellow velvetleaf dimana secara saintifiknya merupakan tumbuhan jenis ulam akuatik yang mana ia biasanya terdapat di hutan dan kawasan paya Asia Tenggara. Penulis blog yang telah memakannya sejak kecil dahulu mendapati tumbuhan ini memang ada tumbuh dikawasan berpaya dikampong dimana ia dipetik untuk dijadikan sayur tumis pedas cili api dimakan dengan nasi putih panas ditepi sawah padi memang enak sekali. Kini jika ada yang menanam atau mempunyai tanaman ini jika tidak ada bahan kimia berkemungkinan in masih dianggap sebagai Produk Organik dan selamat dimakan. Dikawasan jelapang padi seperti di MADA dan IADA lain kewujudan paku rawan ini lebih dianggap sebagai ''rumpai'' dalam sawah padi dan taliair dimana ia perlu dimusnahkan kerana menganggu pertumbuhan padi dan juga pengaliran air dalam taliair. Pertumbuhannya juga cepat membiak jika tidak dikawal daripada peringkat awal sehingga menjadi masaalah kepada pihak tertentu. Apa pun ada beberapa spesis paku rawan yang dilaporkan terdapat di Malaysia atau diseluruh dunia. Artikel Subuh Khamis ini dalam blog popular ''Anim Agro Technology'' saya paparkan info tentang paku rawan untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.
Tumbuhan akuatik paku rawan ini atau Keladi Merawan ini adalah setinggi sekitar 40 - 50 cm yang mana dalam keadaan semulajadi ia muncul diantara rumpai (Sila lihat foto disebelah). Ia mempunyai daun yang berbentuk tiga segi dengan batangnya adalah berongga ditengahnya dan juga ada yang berkabus ("glabrous"). Keseluruhan tumbuhan paku rawan ini adalah berwarna hijau terang yang mudah dikenali dari jauh didalam paya. Biasanya dilihat dimana bahagian jambak bunganya memiliki bentuk tersediri yang akan menghasilkan bunga kuning yang berkelopak tiga dimana jika dibuat keratan rentas ia berukuran 1.5 cm. Buahnya pula lazimnya akan berbentuk spherical. Dalam pada itu sungguhpun didapati ia bukan dari jenis bukan tumbuhan terapung (seperti kiambang) akan tetapi biasanya benih paku rawan akan disebarkan secara di bawa arus air. Paku Rawan ini lazimnya suka tumbuh di kawasan air tawar bertakung air yang cetek atau pun di kawasan berpaya. Ia juga kadang kala menceroboh sawah padi dan boleh membentuk kelompok rumpai dikawasan tropika. Kawalan dengan cara manual dengan mencabut gunakan tangan atau tajak dan juga kawalan kimia dengan menggunakan racun rumpai sesuai dengan jenis tumbuhan akuatik ini. Walau pun dikatakan jenis rumpai akan tetapi orang kampung sering memetik pucuk muda paku rawan dan dijadikan sayuran popular seperti Kerabu Paku Rawan, Paku Rawan Macam Pedas Cili Api, Tumis Paku Rawan, Masakan Bening Paku Rawan dan sebagainya.
Kebanyakkan sayur atau ulaman paku rawan ini tidak ditanam sebaliknya ia tumbuh liar dikawasan yang juga banyaknya terdapat di tali-tali air atau di kawasan sawah padi. Pucuk muda paku rawan yang sesuai akan dipetik dengan mennggunakan pisau tajam dan dibasuh sebelum diikat dan dijual dipasar atau dimasak sendiri. Bagaimana pula cara hendak memakan paku rawan?. Cara asasnya mudah sahaja dimana sebaiknya ia direbus atau dicelur dulu dengan air panas dahulu. Kemudian jika hendak dimakan sebagai ulaman maka bolehlah dicicah sambal belacan dan dimakan bersama nasi putih bersama keluarga. Pada penulis blog paku rawan ini memang sesuai sangat kepada yang suka makan makanan jenis ulam-ulaman. Jika hendak membeli di pasar tani atau pasar malam (dikawasan tertentu di Malaysia ada dijual) maka harganya pun amat murah sahaja sekitar RM1.00 - RM2.00 satu ikat bergantung kepada saiz ikatan. Sebaiknya ia dimasak terus atau boleh juga disimpan didalam peti sejuk untuk satu jangka waktu yang tidak lama. Dalam penulis blog membuat rujukkan dilaporkan paku rawan ini merupakan tumbuhan yang juga ada dijadikan tanaman hiasan atau pun tanaman landskap di beberapa buah negara. Ia juga ada di tanam dalam kawasan taman-taman riadah, rumah-rumah kediaman sendiri, bangunan pejabat, sekolah dan lain-lain lokasi sesuai.
Manakala di beberapa negara lain Asia Tenggara pula paku rawan ini memang digunakan sebagai sumber makanan. Sebagai contoh penulis blog dapati di Pulau Jawa tanaman ini dijadikan sayuran yang sangat diminati ramai dimana ia juga biasanya ditanam di sawah . Daun muda, batang dan gugusan bunganya didapati memang biasa ada dijual di pasaran. Sementara itu di Vietnam pula paku rawan ini ada tumbuh semulajadi di banyak kawasan berair dan digunakan sebagai sayuran sebagai makanan sangat popular di Delta Mekong. Dikenali sebagai ''Keo neo'' atau ''Cu neo'' ia juga memang sering dikumpulkan oleh wanita etnik Vietnam (Kinh) dan dijual di pasaran tempatan dan juga oleh penjual sayur di perahu. Daun muda dan pucuk tanaman direbus atau dimasak dalam campuran sup. Sayur ini mengandungi tahap relatif yang tinggi Ca, Fe dan karoten, unsur mineral yang cukup sering dijadikan sayuran diet bagi wanita di negara-negara berpendapatan rendah. Dalam negara berpenduduk padat seperti di Bangladesh tumbuhan ini banyak tumbuh dinegara mereka dan ia selalu dikumpulkan untuk dimasak oleh eurirumah dimana dijadikan makanan yang popular. Sementara itu kawasan di Sumatera agak berlainan ceritanya apabila tumbuhan paku rawan ini dilaporkan ada digunakan sebagai makanan ternakan babi atau ternakan haiwan lain atau dijadikan baja hijau tanaman dikawasan sawah sbagai baja murah yang organik.
Dalam banyak resepi makanan yang berasaskan paku rawan penulis blog paling suka dengan Kerabu Paku Rawan (Sila lihat foto disebelah). Mencari bahan dan menyediakannya juga mudah dimana setelah membaca artikel ini saya percaya ramai yang boleh membuatnya sendiri. Bahan-bahan asas yang diperlukan untuk menyediakan kerabu paku rawan ini adalah secekak atau pun seikat pucuk paku rawan segar, 1 labu bawang besar, 1 cawan santan pekat atau susu rendah lemak, 2 batang serai, 5 biji cili padi, 4 sudu besar kerisik, Garam secukup rasa dan bagi menambah keenakan anda sila sediakan sebanyak 500 gram kerang yang direbus dan kemudian dikeluarkan isinya. Cara menyediakan dan juga cara memasaknya dengan mula-mula pucuk paku rawan dipotong-potong kecil dan kemudian dimasuukan didalam b=bekas periuk untuk direbus sekejap dan diangkat kemudian ditoskan. Dalam pada itu bawang besar dan serai dihiris kasar dan disimpan dalam bekas. Bagi kerang yan telah direbus perlu ambil isinya dan diasingkan. Dalam pada itu seterusnya bawang, serai, cili padi, santan dan garam dimasukkan dalam mesin pengisar dan dikisar sehingga sesuai dan jangan halus lumat. Akhirnya sediakan satu bekas berukuran sesuai dimana didalam bekas ini akan dicampurkan bahan pucuk paku rawan, kerang dan bahan ramuan kisar serta dimasukkan kerisik dan gaul hingga rata. Kerabu Paku Rawan ini perlu dimakan sebaik sahaja disediakan kerana jika sudah lama dan sejuk rasanya akan sedikit berubah. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
TUMBUHAN PAKU RAWAN.. APA DIA?..
TUMBUH MELIAR... DIKAWASAN PAYA...
DIKUTIP DAN DIMASAK.. ENAKNYA DIA...
MEMBACA ARTIKEL.. TERIKASIH SEMUA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putraja,
Malaysia.
(21 Syawal 1440H).
Jam 3.45 pagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.