Support My Blog

Tuesday, July 24, 2018

BUAH NAM-NAM

BUAH NAM-NAM (Cynometra cauliflora) merupakan sejenis buah yang dihasilkan oleh pokok Nam-nam daripada keluarga Leguminosae yang jarang dijumpai atau kurang dikenali oleh masyarakat kita. Penulis blog buat kali pertama terjumpa pokok buah Nam-nam ini atau juga dipanggil Buah Katak Puru ketika membuat lawatan kerja di Kg Orang Asli Peta di Mersing, Johor iaitu pada tahun 2001 dimana pada masa itu bertugas disana. Pada mulanya saya menyangka ia adalah buah dari Hutan Endau iaitu sejenis buah agak pelik kerana tidak pernah nampak. Apa pun seterusnya saya ada membuat pertanyaan kepada salah seorang penduduk disitu (En Lamson - terkini dimaklumkan dia sudah meninggal dunia) yang mana dia kata ia sejenis buah nadir. Pada masa itu saya masih kurang pakar dalam hal tanaman tidak seperti sekarang. Memang setelah dibuat semakan didapati bahawa buah tersebut adalah sebenarnya pokok katak puru atau pun pokok buah nam-nam yang dipercayai berasal daripada Asia Tenggara dan India. Pokok dan buah katak puru ini tergolong dalam kumpulan nadir kerana ianya semakin sukar untuk dijumpai. Pokok katak puru mempunyai ketinggian yang sederhana iaitu kira-kira 3 - 4 meter. Ia jenis tumbuhan yang membesar dengan kadar yang sangat perlahan. Untuk ia mencapai ketinggian 2 meter ia mengambil masa lebih kurang selama 20 tahun. Pokok ini berbunga dan berbuah sepanjang tahun terutama jika berada pada tanah tepi sungai yang subur. Bunganya akan keluar secara berjambak pada bahagian pangkal batang, batang dan dahan. Semasa peringkat muda atau bersaiz kecil, buahnya berwarna hijau gelap dan setelah masak ia menjadi warna hijau kekuningan. Apabila buah nam-nam masak lazimnya ia akan gugur sendiri diatas tanah dan bijinya yang baik akan bercambah. Daripada kajian ujirasa yang dijalankan didapati buah ini mempunyai rasa masam manis dan sesuai dimakan dengan cicah garam atau makan begitu sahaja. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai buah nam-nam yang tidak berapa cantik tetapi didakwa amat signifikan dalam mengenali buah tersebut sebegai sejenis buah nadir yang berpotensi untuk dikembangkan.


Penulis blog membuat penelitian lanjut mengenai tumbuhan ini. Dari segi marfologi didapati perdu atau pokok adalah kecil dengan ketinggian di antara 3-15 meter. Batang pokok berbonggol-bonggol dengan kulit batang yang halus berbintil-bintil dan warna kulit kecoklatan atau kelabu. Bentuk batang agak rapat dengan ranting yang berkelok zigzag. Daunnya adalaj jenis majmuk dengan mana sepasang anak daun dimana panjang tangkai 2-8 mm. Anak daun berbentuk lonjong sampai bentuk telur yang senget tidak sama berukuran sekitar  5.5-16.5 x 1.5-5.5 cm. Ia kelihatan seperti hampir tidak bertangkaiberwarna hijau tua yang agak berkilat. Daun muda berwarna putih atau merah jambu terang dimana ia tergantung melempai. Bentuk jambak bunga berupa tandan kecil dengan deretan daun pelindung dimana ada antara 4-5 tandan yang keluar pada bonjolan yang muncul di batang sehingga dekat ke tanah. Bunganya berukuran agak kecil-kecil dimana kelopaknya berwarna merah jambu pucat atau putih. Lazimnya ia akan terbahagi kepada 4 bahagian dengan kelopak bersaiz antara 2 - 4 mm mempunyai bentuk mahkota bentuk lanset. Bunga ini yang lazimnya ia berwarna putih sebanyak 5 helai  dengan panjangnya sekitar antara 3-4 mm. Buah nam-nam ini berdaging tebal yang berbentuk ginjal yang mana ia akan kerepot dan hujung tirus berukuran 3-9 x 2-6 x 1-4 cm. Lazimnya buah nam-nam dilihat akan bergantungan pada bahagian batang yang berwarna kulitnya adalah coklat bersisik ketika muda dan kehijauan atau kekuningan apabila masak (Sila lihat foto disebelah). Isinya mempunyai rasa masam sampai masam manis. Ia mempunyai biji sebiji sahaja yang juga berbentuk buah ginjal yang pipih berukuran sekitar  3-6 x 2-4 cm. Belum banyak penyelidikan dilakukan akan kegunaan buah dan biji nam-nam.


Walaupun nama dan bentuk luarannya tidak secantik buah-buahan yang lain, namun bagi mereka yang biasa merasai buah ini tentu membuatkan air liur terasa kecur. Buah ini memang sedap dicicah dengan sambal kicap, garam atau kuah rojak. Ada juga yang membuat sambal ikan dengan menumbuk ikan dan cili bersama-sama buah katak puru.  Memang sedap jika buah nam-nam ini dimakan bersama nasi yang masih panas. Malah, penulis blog pernah dihidangkan makanan ini ketika berkunjung kekampong tertentu. Ada dakwaan dimana bukan itu sahaja buah nam-nam itu kaya dengan vitamin C ini tetapi ia juga boleh dijadikan jus untuk diminum.  Buah nam-nam yang bersaiz di antara lima hingga enam sentimeter (cm) ini mempunyai rasa masam kelat ketika muda dan akan berubah menjadi masam manis apabila masak. Bijinya pula berbentuk leper. Selain dimakan segar, daun dan buah nam nam juga mempunyai khasiat perubatan.  Kebanyakan apa yang didengar penulis blog dimana orang-orang terdahulu mempercayai dengan memakan buah dan pucuk pokok ini dapat mengubati penyakit darah tinggi dan kencing manis.  Ada juga yang menjadikannya ramuan dalam ubat bagi merawat batu karang. Selain itu, daunnya juga boleh dikeringkan dan dijadikan seperti minuman teh. 


Pokok nam nam atau nama saintifiknya Cynometra cauliflora merupakan tumbuhan unik kerana berbunga dan berbuah di batang. Pokok yang dikatakan berasal dari Borneo ini mempunyai ketinggian di antara tiga hingga enam meter (m) sahaja. Pokok ini masih lagi ditemui di Semenanjung Malaysia terutama di kawasan Utara dan Pantai Timur. Pokoknya mudah tumbuh melalui kaedah tanaman biji ataupun tut. Ia memerlukan kawasan yang bersaliran baik dengan sinaran matahari yang cukup untuk tumbuh subur. Kepada mereka yang ingin menanamnya boleh mencari benihnya daripada buah nam-nam yang telah matang atau membeli anak benih yang ada dijual dinurseri (tidak banyak nurseri yang ada menyediakan benih nam-nam untuk jualan komersil). Pokok nam-nam boleh dilihat dibeberapa buah Pusat Pertanian Jabatan Pertanian atau pekebun individu diseluruh negara. Mungkin kajian lebih lanjut mengenai aspek agronomi, kualiti buah, kaedah peyimanan buah, aktiviti industri pemprosesan dan sebagainya boleh dimulakan. Siapa tahu pada masa akan datang buah-nam-nam akan jadi tanaman komerssil yang popular seperti tanaman pokok mengkudu, pokak duku dan dokong dan buah-buahan lain. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca blog "Anim Agro Technology" yang berumur lebih daripada  6 tahun menulis. Wasallam!.
Buah nam-nam dimakan dengan kicap.
BUAH MENGERUTU...NAM NAM DIA...
KULIT TEBAL...MASAM RASANYA...
SERING BERBUAH...HARGA BERAPA...
DAPAT INFO.... DAH BERMINAT PULA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Teluk, Bukit Beruang,
Melaka, Malaysia.
(25 Jamadilawal 1435H).
Published from:
Anggerik Hostel, Intan Bukit Kiara,
Kuala Lumpur, Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...