Support My Blog

Sunday, September 10, 2017

NANAS 'SELANGOR SWEET' - WAK ROSLAN

NANAS 'SELANGOR SWEET' atau 'NANAS YANKEE' yang ditanam oleh Wak Roslan daripada Kampong Jenjarum, Banting, Selangor merupakan satu usaha tanaman yang cukup membanggakan. Nanas (Ananas comosus) yang ditanam seluas 3 ekar ini ditanam secara berintergrasi dengan kelapa sawit dan pisang. Wak Roslan yang berumur 58 tahun ini merupakan salah seorang daripada 16 orang petani dari kampong ini yang menanam nanas jenis Yankee semenjak 5 tahun dulu secara serius. Bagaimana pun kini beliau semakin mahir didalam penanaman nanas jenis Selangor Sweet (AC 6) dimana nanas ini telah berdaftar dengan Jabatan Pertanian pada 2013 dengan nama varieti YANKEE. Keseluruhan kawasan tanaman nanas di Kg Jenjarum sekitar 35 ekar dimana kebanyakannya ia ditanam dikawasan tanah gambut terutama dikawasan tanaman semula kelapa sawit. Ditanya kenapa Wak Roslan memilih dan menanam nanas Yankee ini adalah disebabkan dia sudah mempunyai anakbenih yang baik untuk ditanam semula dan mendapat bantuan daripada LPNM dalam Skim Bantuan Tanaman Nanas Intergrasi. Beliau telah mendapat insentif bayaran setiap anakbenih yang ditanam dengan kos sebanyak 15 sen sepokok selain daripada bantuan baja dan input lain. Teknologi penanaman nanas yankee ini juga lebih mudah berbanding dengan tanaman jenis baru MD2 yang beliau pernah cuba menanamnya beberapa baris. Katanya nanas Yankee merupakan jenis nanas yang tahan lasak dan amat jarang diserang masaalah penyakit. Kini beliau selalu akan menghabiskan waktu pagi hari selama 2-3 jam sehari dalam kebun nanas yang disewa diatas tanah jiran yang menanam kelapa sawit dengan bayaran RM360 setahun. Artikel petang Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kejayaan Wak Roslan didalam beliau menanam nans Yankee untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.


Nanas Yankee atau Selangor Sweet kini merupakan varieti nanas yang sangat popular di Negeri Selangor. Buahnya yang besar dan banyak sulur anak ini mudah dijaga dan sentiasa mendapat permintaan yang tinggi dikalangan para pengguna dan pemborong di Lembah Kelang. Nenas ini mempunyai pokok yang besar dan tinggi sehingga 1 meter jika dijaga dengan baik dan mampu menghasilkan buah yang purata beratnya 1.4 kg sebiji (Sila lihat foto disebelah).  Lazimnya semasa memetik hasil nanas yankee, semua sulur udara atau sulur tangkai (aerial suckers) ini sudah besar dan sesuai dijadikan anak benih pada penanaman berikutnya. Buah Nanas Yankee akan matang dalam masa 12 bulan dan sedia untuk dituai. Biasanya Wak Roslan akan menggunakan baja NPK 15:15:15 diperingkat pokok nanas vegetatif dan baja NPK 12:12:17:2 TE untuk pembajaan bagi penghasilan buah. Selain itu Wak Roslan akan membaja dengan Urea yang dibeli daripada kedai pertanian untuk menjadikan pokoknya subur dan berbuah lebih cepat. Penggunaan baja semburan daun juga dijalankan kerana ia akan mengasilkan buah gred A yang banyak dan buahnya menjadi lebih manis. Jarak penanaman dilakukan 2 kaki x 3 kaki dengan kepadatan sekitar 7,000 - 8,000 pokok seekar kerana ada pokok sawit dan pisang. Beliau menanam nanas dilorong kelapa sawit dan menjaga pokok kelapa sawit milik tuan tanah tersebut. Pokok nanas yang matang lazimnya dihormon menggunakan Karbide. Penggunaan hormon jenis Ethephon dan Pil ANAA tidak berkesan kepada nanas varieti ini. Program atau jadual menghormon diselaraskan dengan jadual penuaian.


Penanaman nanas mampu memberikan pendapatan yang agak baik kepada Wak Roslan. Permintaan untuk nanas Yankee sentiasa tinggi dikalangan penguna sebab belum sempat buah masak telah bersusun pemborong dan pembeli yang ingin mendapatkannya. Harga ladang nanas AC6 di kampong ini adalah sekitar RM2.50 - RM3.50 sekilogram bergantung kepada musim dan juga kualiti buah. Bagaimana pun jika ia dijual runcit pada harga purata sekitar RM8.00 sebiji iaitu dipasaran Lembah Kelang. Apa yang penulis blog hendak kongsikan dengan pembaca adalah semasa membuat ''ujirasa'' nanas Yankee dikebun Wak Roslan ini. Beliau memetik 2 biji nanas yang telah masak dengan mana ada tanda sedikit kekuningan pada mata buah nanas ini dan memberikan aroma yang sederhana kuat. Nanas ini mempunyaii kulit nipis dan isi yang lembut serta berair. Apabila dikupas dan dibelah, penulis blog mengambil sepotong dan makan dengan penuh nikmat. Nanas ini sangat manis (anggaran penulis sekitar 16 darjah Brixs) daripada pangkal dan sekitar 14 darjah Brixs dibahagian atasnya. Warnanya putih kekuningan sedikit dan ada tompok-tompok putih menjadikan ia menarik (Sila lihat foto disebelah). Isi sungguh berair (juicy) dengan bahagian empulurnya (bahagian tengah buah nanas) juga sangat lembut dan mudah dikunyah begitu sahaja. Kulitnya yang nipis membuatkan nanas jenis ini kurang sesuai untuk penghantaran jauh kerana mudah rosak jika kurang teliti pengendaliannya.


Apa yang unik mengenai pokok nanas AC6 atau Yankee ini adalah kerana ada terdapat banyak sulur tangkai disekelilingnya. Dari apa yang Wak Rosln nyatakan purata jumlah anak sulur yang boleh didapati daripada sebiji atau sepokok nanas Yankee diantara 8 - 10 sulur. Sulur ini juga sangat besr berbanding dengan varieti nanas lain yang kecil sahaja. Lazimnya semasa menuai sulur ini akan dikumpulkan disatu lokasi dan dijaga untuk dijual atau ditanam semula (Sila anda lihat foto disebelah). Benih nanas dikampong ini dijual dengan harga ladang RM0.15 dan sekitar RM0.10 jika ambil sendiri dari kebun. Sulur nanas Yankee dari bahagian bawah iaitu Sulur Tanah amat kurang dan kadang-kadang tiada langsung. Jika diambil sulur ini untuk dijual maka Wak Roslan boleh juga mendapat pendapatan sekitar 75,000 benih seekar dengan anggaran pendapatan sekitar RM11,250 setiap musim. Kini bekalan benih sulur anas Yankee dari kebun Wak Roslan sudah banyak dan beliau bersedia menjualnya kepada orang luar dengan harga RM0.50 seunit jika benih tersebut dirawat, digred, diikat dan disusun. Beliau akan meneruskan usaha menanam nanas Yankee dan tidak berniat untuk menukar kepada varieti nanas lain kerana nanas Yankee mudah ditanam dan dijaga, kos benih yang murah, kurag berlaku serangan penyakit dan paling utama adala mendapat permintaan yang tinggi disekitar Selangor.


Penulis menuju seterusnya kerumah Wak Roslan untuk melihat lebih lanjut apa yang beliau buat. Rumah beliau dijadikan satu ''Homestay" yang selalunya akan mendapat pengunjung terutama dihujung minggu dan disewa oleh rombongan saudara pengantin. Terdapat beberapa bilik khusus yang telah disesuaikan dirumah beliau untuk tujuan ''Pakej Inap Desa' ini. Wak Roslan juga ada menanam beberapa jenis pokok buah-buahan disekeliling rumahnya seperti pokok rambutan, pokok mangga, jambu batu, sukun dan beberapa lagi. Apa yang menarik adalah usaha Wak Rsalan dbantu oleh keluarganya bagi membuat Tempe Tradisional. Tempe ini yang dibuat daripada Kacang Soya yang dibubuh ragi dijual dengan harga RM0.35 sekeping. Tempe beliau ini dibungkus menggunakan kertas minyak dan kertas suratkhabar lama diluarnya. Satu hari beliau akan menggunakan sebanyak 7-8 kilogram kacang soya dan mendapat sekitar 350 keping tempe. Tempe ini dipasarkan disekitar kampong dan kedai berhampiran. Jenis ragi yang digunakan adalah ragi tempatan dan beliau tidak menggunakan ragi dari Indonesia seperti mana pembuat tempe yang lain. Kegigihan Wak Roslan didalam sektor pertanian ini menjadi contoh yang baik dimana beliau telah mengusahakan tanaman nanas, membuat inap desa dan membuat tempe selain daripada mengerjakan kebun kelapa sawit miliknya yang mampu memberikan pendapatan baik kepada keluarga beliau. Selain dari sangat sihat kerana sentias berpeluh beliau yang ada seorang anak dan dua cucu ini sentiasa ceria. Semuga Wak Rolan akan terus gigih dalam usahanya. Wasallam!!!.


NAMA WAK ROSLAN... ORANG JAWA...
MENANAM NANAS... YANKEE SAHAJA....
NANAS DIJUAL...PENDAPATAN DIJANA...
AKTIVITI LAIN... CERIAKAN HIDUPNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 530, Hotel Dosett,
Purajaya, WP,
Malaysia.
(19 Zulhijjah 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...