Support My Blog

Wednesday, September 20, 2017

RACUN MAHKHLUK PEROSAK - APA DIA?

RACUN MAKHLUK PEROSAK atau ringkasnya racun perosak ialah sebarang bahan atau sebatian bertujuan untuk mengawal, mencegah, memusnah, melemah, menghalau, melegakan atau mengurangkan jumlah makhluk perosak. Racun perosak mungkin terdapat dalam bentuk bahan kimia, agen biologi (seperti virus atau bakteria), anti-mikrob, bahan penyah-jangkit atau alatan digunakan terhadap apa-apa jenis makhluk perosak. Penulis blog mula mengenali makna racun makhluk perosak semasa dari zaman kanak-kanak lagi dengan masa itu menggunakan ubat nyamok lingkaran (coil) untuk menghalau nyamok. Dalam pada itu telah sebenarnya didefinasikan dimana 'Makhluk Perosak' adalah patogen yang menganggu manusia dan tumbuhan termasuklah serangga, patogen tumbuhan, rumpai, moluska, burung, mamalia, ikan, nematod, dan mikrob yang merosakkan benda. Apa yang penting ianya dikaitkan dengan aktiviti menyebarkan penyakit atau menjadi vektor untuk penyakit. Dalam dunia kini telah wujud pelbagai strain baru yang amat sukar dikawal akibat berlaku mutasi dalam strain patogen tersebut. Walaupun ada kebaikan dalam menggunakan racun perosak, ia tetap ada keburukannya seperti potensi keracunan terhadap manusia dan haiwan lain. Mengikut istilah daripada Konvensyen Stockholm Mengenai Pencemar Organik Berterusan dilaporkan dimana 9 daripada 12 bahan kimia organik yang berbahaya dan bersifat kekal (berterusan) ialah racun perosak. Racun perosak boleh dikategorikan kepada empat jenis racun kimia iaitu racun rumpai, racun kulat, racun serangga dan racun bakteria. Artikel pagi Ahad ini sambil berehat dirumah di Melaka saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai racun makhluk perosak dan perkara berkaitan dengannya.


Dari segi sejarah dan daripada rekod-rekod ternyata bahawa racun perosak telah lama digunakan iaitu sejak dari awal tamadun manusia lagi. Ketika itu bahan kimia yang digunakan adalah dalam bentuk ringkas. Misalnya dalam rekod sejarah Rom ada juga tercatat yang bahan Sulfur telah digunakan untuk mengawal serangga. Belerang juga telah digunakan sejak zaman Rom lagi untuk mengawal masaalah serangga perosak. Kini dengan perkembangan teknologi sekarang didapati jumlah racun perosak semakin bertambah dan bahan-bahan kimia ini jauh lebih kompleks. Dalam abad ke-9 dahulu dilaporkan dimana orang-orang Cina telah lama dengan menggunakan Garam Arsenik untuk tujuan asal mengawal serangga di dalam taman bunga diraja. Dalam tahun 1690 pula dilaporkan dimana bahan Ekstrak Daun Tembakau digunakan sebagai racun serangga sentuhan (Sila lihat foto disebelah). Pada awal abad ke-19 pula dilaporkan bahan Piretrum dan Rotenon pula telah diketahui boleh mengawal pelbagai spesies serangga. Manakala pada tahun 1883 dilaporkan dimana Saintis Millardet telah menjumpai sejenis campuran Bordeaux Mixture sebagai racun kulat tertama untuk kawal serangan kulat pada tanaman anggur dengan berkesan. Selepas itu hasil penemuan racun perosak yang baru telah semakin meningkat. Racun rumpai dan racun serangga organik yang pertama telah disintesiskan dalam tahun 1900. Kemudian dalam tahun 1939 saintis bernama Paul Muller mendapati sebatian DDT mempunyai sifat sebagai racun serangga. Selepas Perang Dunia Kedua berakhir didapati lebih banyak sebatian racun perosak organik disintesiskan untuk berbagai-bagai kegunaan. Sebatian hidrokarbon berklorin pula mula dihasilkan secara komersil. Pada masa ini terdapat hampir 1 000 jenis perawis aktif racun perosak yang dirumuskan dalam lebih 40 000 jenis jenama secara komersil.


Sebagai seorang Ahli Agronomist memang penting untuk mengetahui asas didalam ilmu mengenai Racun Makhluk Perosak ini. Dari universiti dulu dinyatakan dimana jenis racun perosak dikelaskan kepada sasaran musuh atau perosak yang hendak dikawal. Sasaran kumpulan perosak dikelaspan kepada Jenis Racun Alga (Algaecide) untuk kawal Algae, Jenis Racun Burung (Avicide) untuk mengawal burung, Jenis Racun Bakteria (Bacteriacide) bagi mengawal untuk bakteria, Jenis Racun Kulat (Fungicide) bagi tujuan untuk mengawal masaalah kulat dan Oomycete, Jenis Racun Serangga (Insecticide) bertujuan mengawal serangga, Jenis
Racun Kutu (Miticide atau Acaricide) untuk mengawal jenis kutu, Jenis Racun Moluska (Molluscicide) bagi mengawal siput, Jenis Racun Kulat (Nematicide) bagi mengawal cacing nematod, Jenis Racun Roden (Rodenticide) bagi mengawal haiwan tikun dan juga Jenis Racun Virus (Rodenticide) bagi mengawal masaalah virus. Kesemua jenis racun ini merupakan bahan dikawal dari peringkat awal iaitu pengilangan, pengedaran dan sehingga penjualannya serta penggunaanya. Terdapat beberapa kelas racun perosak dalam istilah Inggeris yang berakhir dengan "cide", yang berasal daripada perkataan Latin bermaksud "untuk membunuh". Misalnya racun serangga (insecticide) yang digunakan untuk membunuh serangga, racun rumpai (herbicide) untuk mengawal rumpai, racun kulat (fungicide) untuk membunuh kulat patogen dan racun bakteria (bactericide) untuk membunuh bakteria.


Dalam negara kita Malaysia, kesemua perkara mengenai racun adalah dibawah akta khusus iaitu ada didalam Akta Racun Makhluk Perosak 1974 dimana racun perosak ditakrifkan sebagai sebarang bahan yang digunakan untuk mengawal atau pun penyebaran atau untuk membunuh perosak-perosak seperti kulat patogen, serangga, haiwan dan rumpai. Berdasarkan definasi yang tercatat dalam akta ini memang ternyata racun perosak dikelaskan dalam racun yang mempunyai kepentingan dari segi ekonomi dan kesihatan. Aspek teknikal mengaitkan dimana selain daripada bahan-bahan tersebut terdapat juga sebatian-sebatian kimia yang tidak mempunyai akhiran 'cide' tetapi masih tergolong di dalam racun perosak. Contohnya sebatian-sebatian itu ialah seperti bahan pengontang, peluruh daun, pengatur tumbesaran, bahan pengusir dan bahan penyahjangkitan. Kebanyakan bahan tersebut tidak membunuh perosak. Dinegara kita dimestikan dimana setiap racun perosak mempunyai tiga jenis nama iaitu Nama biasa, Nama dagangan dan Nama kimia. Nama dagangan ialah nama sesuatu keluaran racun perosak yang diberikan sendiri oleh pihak pengeluar atau pengilang. Terdapat beberapa racun perosak yang mempunyai perawis aktif yang sama tetapi mempunyai nama dagangan yang berbeza-beza bergantung kepada pengeluar. Contohnya racun Parakuat iaitu nama biasa mempunyai pelbagai nama dagangan seperti Gramoxone® (keluaran I.C.I), Harquat® (Crop Protection), OZA 276 (Rachuta) dan berbagai-bagai lagi nama lain. Terdapat juga syarikat pengeluar yang sama menggunakan nama dagangan yang berbeza disebabkan perbezaan kandungan dalam perumusan tersebut. Nama biasa ialah nama perawis aktif sesuatu perumusan. Misalnya parakuat, malation dan kaptan ialah nama biasa bagi perawis aktif sesuatu perumusan. Bahan inilah yang memberi kesan ke atas rumpai, serangga atau kulat yang hendak dikawal. Nama biasa sesuatu bahan diberikan secara rasmi oleh badan atau pertubuhan yang disahkan oleh Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO) atau Institut Pemiawaian British (BSI). Biasanya nama biasa racun rumpai diberikan oleh Persatuan Sains Rumpai Amerika (PSRA), racun serangga oleh Persatuan Entomologi Amerika (ESA) dan racun kulat oleh Persatuan Fitopatologi Amerika (PFA). Penggunaan nama biasa bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan akibat perbezaan nama dagangan dan mengelakkan daripada penonjolan hasil sesuatu pengilang atau pengeluar.


Dalam pada itu Nama kimia sesuatu molekul racun adalah berasaskan prinsip-prinsip yang ditentukan oleh Perkhidmatan Abstrak Bahan Kimia yang dianggap sebagai piawai di seluruh dunia. Nama kimia ini biasanya ditulis di bawah formula struktur sesuatu sebatian. Sekiranya ia tidak diketahui, maka formula molekul yang hanya mengandungi bilangan atom sahaja ditulis. Formulasi racun makhluk perosak adalah berkait dengan racun perosak dimana ia tidak digunakan dalam bentuk bahan kimia tetapi sebaliknya sebatian kimia tersebut perlu diproseskan terlebih dahulu oleh pengilang sebelum boleh digunakan. Pengeluar kelazimannya akan memproses sesuatu sebatian tersebut dengan cara mencampurkan dengan bahan-bahan lain seperti pengemulsi, pelarut atau agen pembasah tertentu. Proses tersebut dikenali sebagai perumusan. Racun perosak boleh digunakan dengan hanya mengikut cara-cara yang diberikan pengeluar. Biasanya pengguna hanya perlu mencairkan racun tersebut atau boleh juga digunakan terus bergantung kepada jenis perumusan. Faedah-faedah lain yang boleh didapati daripada perumusan itu seperti untuk meningkatkan fitotoksik racun rumpai, membolehkannya lama disimpan dan tidak cepat rosak akibat perubahan cuaca dan masa serta mudah diurus oleh pengguna.


Sesuatu racun perosak boleh didapati dalam beberapa bentuk perumusan yang berbeza iaitu sama ada dalam bentuk emulsi pekat, serbuk atau granul. Walaupun begitu, keadaan ini jarang terdapat dalam pasaran kerana kebanyakan racun perosak akan ada dalam satu bentuk sahaja. Sekiranya terdapat beberapa bentuk perumusan bagi satu jenis racun perosak, maka pengguna mempunyai peluang untuk memilih perumusan yang lebih berkesan bagi sesuatu perosak. Pemilihan boleh dibuat berasaskan keberkesanan dalam mengawal perosak dan kesesuaian alat penyembur. Selain daripada itu faktor-faktor lain seperti masalah hanyutan dan kesan kecedaraan ke atas bahagian-bahagian yang dikawal juga mempengaruihi pemilihan sesuatu bentuk perumusan. Kesan sampingan racun makhluk perosak  sering didebatkan dimana-mana. Kadar penggunaan yang sangat tinggi untuk racun perosak menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai kerana terdapat bukti bahawa ia telah menimbulkan berbagai-bagai kesan buruk ke atas alam sekitar dan manusia sendiri. Terdapat pelbagai kesan dalam mereka menggunakan racun perosak.


Kerintangan akibat penggunaan racun sering menjadi topik hangat. Ini kerana salah satu daripada kesan yang ditimbulkan oleh racun perosak ialah kewujudan kesan kerintangan perosak terhadap bahan yang digunakan. Ini bermakna perosak akan lali terhadap racun yang digunakan. Keadaan ini selalunya wujud akibat penggunaan satu jenis racun sahaja secara berterusan. Akibat daripada wujudnya daya rintangan itu maka perbelanjaan untuk mengawal perosak makin meningkat. Jenis racun terpaksa ditukar bagi mengelakkan wujudnya kerintangan di kalangan perosak. Keadaan ini sudah tentu akan menyebabkan kerugian kepada petani kerana perbelanjaan yang lebih besar diperlukan untuk mengawal perosak. Kerintangan perosak bukanlah suatu perkara baru kerana ia telah dikesan berlaku beberapa dekad yang lalu. Keupayaan perosak mewujudkan daya rintangan telah mula dikesan sejak 1908. Kajian oleh Quadraspidiotus perniciosus didapati mewujudkan daya rintangan terhadap sulfur. Kemudiannya kerintangan "codling moth" terhadap plumbum arsenat mula dikesan dalam tahun 1928. Kecederaan kepada tanaman Penggunaan racun perosak boleh menyebabkan kecederaan kepada tanaman sekiranya racun tersebut tidak digunakan dengan cermat. Racun rumpai sering menyebabkan kecederaan pada tanaman berbanding dengan racun perosak yang lain. Ini mungkin kerana fungsinya untuk membunuh tumbuh-tumbuhan sedangkan racun-racun lain pula digunakan untuk membunuh perosak yang mempunyai sifat-sifat fisiologi yang berbeza dengan tumbuhan.


Kesan kecederaan racun ke atas tanaman dapat dilihat daripada perubahan-perubahan yang berlaku pada bentuk, warna daun dan pertumbuhan pokok. Bagaimanapun ujud perubahan fizikal yang berlaku akibat racun tersebut agak sukar untuk dibezakan dengan kesan yang disebabkan oleh kekurangan nutrien. Racun yang terkena atau diserap oleh tumbuh-tumbuhan boleh menyebabkan daun menjadi kerinting dan kadang-kadang terdapat tompok-tompok kuning di atas permukaan daun. Terdapat juga tanaman yang terencat pertumbuhannya akibat sisa racun di dalam tanah. Kesan-kesan fitotoksik ini jelas kelihatan terutama pada benih tanaman. Glisofat dan amitrol mengurangi ketinggian pokok, panjang daun dan berat basah pucuk[4]. Kesan fitotoksik pada peringkat awal pertumbuhan akan mempengaruhi penghasilan tanaman. Pada peringkat sel pula, racun perosak boleh mempengaruhi pelbagai proses. Misalnya glifosat dalam tisu jagung dan kapas boleh merencatkan pengangkutan auksin, iaitu hormon yang penting dalam proses pembahagian dan pembesaran sel. Kajian oleh saintis di Jepun iaitu Tymoko mendapati bahawa glisofat pada kepekatan 5 mm boleh mengurangkan sintesis protein, RNA dan lipid pada sel daun kacang soya. Apa yang penting adalah sentiasa amalkan keselamatan semasa pengendalian racun perosak. Terdapat banyak kes yang dilaporkan mengenai orang terminum racun perosak atas sebab-sebab kecuaian. Ramai di antara mangsa maut akibat lambat mendapat rawatan. Kemalangan yang berlaku mungkin dapat dielakkan sekiranya para pengguna mengambil langkah-langkah keselamatan. Setiap pengguna wajib mengetahui cara-cara mengendalikan racun perosak, bermula dari pembelian sehinggalah kepada cara-cara membuang bekas-bekas isian racun perosak. Pengetahuan ini penting agar dapat mengelakkan sebarang kejadian yang tak diingini berlaku berkenaan racun perosak.


Pihak majikan perlu memberi penerangan kepada para pekerja mereka tentang bahaya racun perosak. Bagi memastikan segala peraturan diikuti oleh para pekerja, maka majikan perlu menyediakan pakaian dan alat yang sesuai kepada setiap pekerja serta meminta mereka menggunakan pakaian dan alat tersebut ketika mengendalikan racun perosak. Kebanyakan pekerja tidak mengetahui teknik mencampur atau menyembur racun perosak mengikut kaedah-kaedah yang disyorkan. Oleh yang demikian majikan perlulah memberi tunjuk dan panduan kepada para pekerja mereka agar kemalangan dapat dielakkan. Sebelum membeli sesuatu racun perosak, maka pengguna mestilah memastikan apakah jenis perosak yang hendak dikawal. Racun perlulah dipilih sesuai dengan perosak yang ingin dituju dengan membaca label yang terlekat pada botol racun atau bungkusan racun perosak. Mengangkut racun perosak jika berlaku kemalangan dimana berlakunya ketika mengangkut bahan-bahan kimia toksik. Oleh sebab itu amatlah perlu bagi para pekerja yang bertanggungjawab mengangkut racun tersebut mengambil langkah-langkah keselamatan supaya kemalangan dapat dihindari. Antara yang perlu dilakukan adalah sekiranya racun yang diangkut itu merupakan serbuk maka kertas pembalutnya perlulah dilindungi daripada terdedah kepada hujan atau air. Elakkan kertas tersebut daripada terkoyak ketika kerja-kerja pemunggahan dilakukan. Bagi formulasi dalam bentuk cecair, bekas-bekasnya perlu ditutup rapat; elok jika racun tersebut dibiarkan dalam bekas asal. Ini akan dapat mengelakkan lelehan racun yang mencemar bekas tersebut. Elakkan mengangkut dalam bekas kaca kerana bekas-bekas itu mudah pecah. Jika perlu juga, hendaklah langkah-langkah keselamatan yang lebih ketat perlulah diambil. Bekas-bekas racun yang telah dimasukkan ke dalam kenderaan perlu disusun supaya ia tidak menggelongsor dan boleh mengakibatkan bekas bocor. Bekas-bekas boleh diangkut dengan mengisinya dalam kotak atau plastik. Jangan mengangkut racun rumpai dengan racun perosak lain, makanan haiwan atau baja. Dikhuatiri ia akan tercampur dan mencemarkan bahan-bahan tersebut yang boleh membawa kepada kejadian yang tak diingini nanti. Memang amat dilarang sama sekali kanak-kanak turut serta bersama-sama pengendalian racun kerana mereka mudah terdedah dengan bahaya racun perosak yang seterusnya boleh membawa kepada kecederaan ataupun lebih teruk kematian. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
APAKAH RACUN... ADAKAH MERBAHAYA...
BANYAK JENIS...LAIN FORMULASINYA....
ADA JENIS DEBU...CECAIR MUDAH DIGUNA..
AMALKAN KESELAMATAN...JAGA SENTIASA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Bukit Beruang, Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(13 Zulhijjah 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...