Support My Blog

Friday, September 8, 2017

BAHAYA RACUN SERANGGA - ANDA TAHU?

RACUN SERANGGA (Pesticide) merupakan sejenis bahan yang digunakan untuk mengawal, mengurangkan atau pun untuk membunuh serangga. Racun serangga ialah racun makhluk perosak yang digunakan terhadap serangga. Ia banyak digunakan dalam bidang pertanian, perubatan, industri dan ada digunakan dalam rumah. Istilah 'pesticide' ini termasuklah racun untuk membunuh telur dan larva seranga. Penggunaan racun serangga dipercayai telah berjaya meningkatkan hasil pertanian dalam abad ke-20. Penulis blog mendapati dimana racun serangga telah lama digunakan walaupun tarikh yang tepat agak sukar ditentukan. Mungkin sebelum tahun 1945 dimana kadar penggunaan racun serangga masih rendah tetapi selepas tamatnya Perang Dunia Kedua dilaporkan dimana kadar penggunaan racun serangga mulai meningkat dengan pesatnya. Pada peringkat awal penggunaan racun serangga ia terdiri daripada bahan-bahan kimia yang agak ringkas seperti arsenik, sulfur, nikotin, piretoid, rotenon dan minyak petroleum. Namun selepas tahun 1945 dilaporkan lebih banyak racun serangga daripada sebatian organik mula disentisiskan dan diperkenalkan kepada pengguna. Hampir kesemua racun serangga memiliki potensi untuk mengubah sistem ekologi secara besar; kebanyakannya beracun pada manusia; dan yang lain terkumpul dalam jaringan makanan. Kita dalam rumah terdedah dengan penggunaan pelbagai jenis racun serangga dan paling selalu adalah racun aerosol yang disembur untuk membunuh lipas, nyamok, semut, lalat dan sebagainya. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penggunaan racun serangga dan juga bahaya racun serangga jika tidak digunakan dengan betul.


Pada penulis blog mendapati dimana tanpa disedari kita dapati pelbagai jenis racun makhluk perosak tersimpan di rumah. Racun seperti Baygon Aerosol sering disimpan dalam rumah begitu juga dengan beberapa jenama racun aerosol yang lain (Sila lihat foto disebelah). Racun serangga kini bukan sahaja digunakan di rumah tetapi juga di kebun dan ladang untuk tujuan perlindungan tanaman di samping bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan pengeluaran hasil tanaman. Apa yang penting adalah kaedah penggunaan, penyimpanan dan kawalannya harus dititik beratkan terutamanya daripada kanak-kanak yang sering menjadi mangsa. Racun makhluk perosak boleh dikelaskan kepada beberapa kumpulan iaitu racun serangga, kulat, tikus, rumpai, racun biologi bagi mengawal serangga, racun fumigasi dan racun nematoda. Pada penulis blog mendapati biasanya di rumah racun makhluk perosak yang disimpan di rumah terdiri daripada racun serangga (insecticide) dan racun tikus (rodenticide). Juga didapati kebanyakan racun makhluk perosak tidak sahaja toksik terhadap organisma sasaran tetapi juga terhadap manusia dan haiwan peliharaan.

Dalam menjaga keselamatan daripada kesan akibat racun serangga sebaiknya pengguna perlu berhati-hati ketika mengguna atau menyimpannya. Faktor utama yang perlu diberikan perhatian adalah cara racun tersebut memasuki tubuh manusia. Lazimnya racun makhluk perosak boleh memasuki badan manusia menerusi mulut, kulit dan saluran pernafasan. Antara gejala keracunan yang berlaku akibat pendedahan sekali terhadap racun disebut keracunan akut. Keracunan kronik pula disebabkan kerana pendedahan berulang kali atau penyerapan racun pada kadar yang sedikit dalam jangkamasa yang lama. Jenis racun serangga yang sering digunakan di rumah terdapat di dalam pelbagai bentuk seperti bentuk Semburan (Spray), Lingkaran (Coil) dan juga bentuk Kepingan (Pieces) yang terdiri daripada racun serangga piretroid. Di dakwa dimana racun jenis ini juga mempunyai taraf ketoksikan yang rendah terhadap manusia yang boleh dinyahkan daripada tubuh melalui proses penguraian dan perkumuhan dan tidak begitu berbahaya kepada manusia. Walaupun racun serangga piretroid tidak merbahaya tetapi ia mempunyai dos-dos tertentu yang boleh menyebabkan keracunan dan kematian bergantung kepada cara ia memasuki tubuh manusia terutamanya melalui mulut.

Tanda-tanda ada keracunan ialah mual atau muntah serta cirit-birit. ia juga menyebabkan kerosakan sistem saraf pusat dan boleh mengakibatkan sawan, koma dan sesak nafas (Sila lihat foto disebelah). Bantuan kecemasan dilakukan supaya pesakit tersebut muntah dan mengeluarkan semula bahan racun. Selalunya racun piretroid dihasilkan daripada sebatian semulajadi piretrum yang diperolehi daripada ekstrak bunga kekwa (chrysanthemum). Sebatian piretrum ini mengandungi beberapa jenis bahan aktif piritrin. Bahan aktif ini kemudiannya dicampurkan dalam proses penyulingan minyak. Proses penyulingan ini menghasilkan hidrokarbon yang boleh menyebabkan radang paru-paru jika terhidu. Apa yang dirujuk menyatakan dimana paru-paru merupakan organ utama serangan racun ini. Pesakit asma yang terhidu racun ini boleh mengalami lelah serta merta. Jika kerap kali terhidu racun ini boleh menyebabkan bahagian saluran atas pernafasan gatal-gatal, radang kerongkong, rinitis dan berlaku gerakbalas hipersensitiviti. Mangsa yang keracunan melalui saluran pernafasan, hendaklah segera dibawa ke tempat lapang dan diberi bantuan pernafasan. Jika terkena kulit ataupun mata, ia boleh memedihkan serta lazimnya akan menyebabkan gatal-gatal. Dalam kes ini sebaiknya bahagian badan perlu dicuci dengan air bersih yang banyak bersama cucian sabun. Bagi mata yang terkena racun, cuci dengan air bersih selama 10-15 minit. Pakaian yang terkena racun haruslah dibasuh sebelum dipakai semula.

Racun serangga ada yang didalam bentuk biji terutamanya ubat gegat mengandungi bahan kimia dekenali dengan nama Naftalin dan Paradiklorobenzin (Sila anda lihat foto disebelah). Bahan kimia ini juga terdapat dalam bilik ar iaitu pewangi tandas (toilet bowl deodorizers). Kedua-dua bahan kimia tersebut mengeluarkan bau yang kuat dan susah untuk menghilangkannya. Sekarang naftalin kurang digunakan dan digantikan dengan paradiklorobenzin yang lebih rendah kesan toksiknya. Kedua-dua bahan kimia ini boleh menyebabkan kegagalan sistem penghadaman dan sistem saraf pusat. Bagi pesakit yang seringa mengalami kekurangan enzim glukos-6-fosfat dihidrogenase maka bahan naftalin boleh menyebabkan hemolisis (gangguan sel darah). Setiap biji ubat gegat mengandungi 250-500 mg naftalin dan boleh menyebabkan hemolisis. Tanda seperti 'Sawan' atau gelugut boleh berlaku jika termakan sekitar dos 1-2 gram naftalin (bersamaan 4-8 biji ubat gegat). Secara perbandingan paradiklorobenzin kurang toksik daripada naftalin. Walau bagaimanapun jika termakan lebih daripada 20g boleh menyebabkan toksik bagi orang dewasa. Paras keracunan paradiklorobenzin ialah di antara 500-5000 mg/kg. Ada laporan mengatakan bahawa keracunan serius yang terjadi pada haiwan menyebabkan tremor dan nekrosis hati. Biasanya apabila keracunan ini berlaku kita boleh dapat mengetahui daripada kesan bau ubat gegat tersebut pada mulut dan muntah mangsa. Walau bagaimanapun sukar untuk kita bezakan antara naftalin dan paradiklorobenzin dari segi bau dan warna.

Apabila berlaku keracunan melalui mulut, jika mangsa tersebut tidak muntah haruslah diikhtiarkan muntah misalnya dengan memasukkan jari ke dalam kerongkong. Jika tidak dilakukan dengan segera dikhuatiri sawan terjadi. Bawa mangsa segera ke hospital agar rawatan perubatan selanjutnya dapat diberikan. Lazimnya kedua-dua bahan kimia tersebut jika terkena atau tersentuh pada mata boleh menyebabkan radang dan kemerahan mata. Naftalin boleh mencederakan kornea dan penglihatan menjadi kabur. Rawatan awal ialah dengan mencuci mata dengan air bersih selama 15 minit. Jika radang berlanjutan dan masih sakit, harus segera berjumpa doktor bagi rawatan seterusnya. Sentuhan dengan kulit boleh menyebabkan melecur, tetapi gejala ini jarang berlaku. Basuh dengan air yang banyak bersama cucian sabun sekiranya terkena pada kulit. Soalan: Saya ingin bertanya tentang kesan ubat nyamuk kepada pernafasan kita. Ini adalah kerana sebagai manusia kita sering digigit nyamuk pada waktu malam. Apakah kesan ke atas manusia jika terhidu asap atau bau-bauan dari lingkaran nyamuk yang dibakar?. Lazimnya kaes dimana terhidu asap dari lingkaran atau bauan dari kepingan ubat nyamuk tidak begitu membahayakan kepada kesihatan. Racun yang terdapat dalam asap ataupun bauan tersebut mudah diserap ke saluran usus dan kemudiannya akan dikeluarkan daripada tubuh kita melalui proses penguraian dan perkumuhan. Bagaimana pun asap atau bauan itu mungkin menjadi alahan kepada pesakit asma. Mereka yang sensitif (alahan) terhadap asap boleh menyebabkan bersin, batuk, nafas menjadi cetek dan sakit di bahagian dada.  Semuga tulisan ini meberi info terbaik kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Semuga pembaca dapat info berguna untuk kehidupan harian. Wasallam!!!..
RACUN SERANGGA...BANYAK JENAMA...
ADA AEROSOL... BENTUK BUTIR JUGA....
SEMASA MENGGUNA...PERLU WASPADA....
JIKA TERKENA RACUN...RAWATAN SEGERA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Persimpangan Air Keroh, Bangdar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(13 Zulhijjah 1438H)
Posted Frpm Hotel Dorsett,
Putrajaya

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...