Support My Blog

Saturday, September 2, 2017

PEMILIHAN BENIH NANAS

PEMILIHAN  BENIH NANAS merupakan satu aspek penting dalam industri penanaman nanas. Nanas (Ananas comosus) merupakan sejenis tanaman buah tropika yang penting di negara kita semenjak tahun 1900 lagi sebagai komoditi eksport yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). LPNM melaporkan penanaman nanas fizikal di Malaysia adalah seluas 15,774 hektar dengan keluasan dituai sekitar 13,148 hektar yang telah menghasilkan buah sebanyak 391,714 metrik tan buah nanas dengan nilai pengeluaran pada tahun 2016 sekitar RM515.248 juta (Sumber: Laporan statistik LPNM, 2017). Industri nanas perlukan benih yang banyak dengan kadar keperluan benih adalah 17,000 sulur seekar (atau 42,000 sulur benih sehektar) setiap kali penanaman. Jika dikira dengan sifir mudah pada keluasan tanaman maka sebanyak 662.5 juta pokok nanas ditanam pada tahun 2016 secara berperingkat. Jika penanaman dijalankan secara berperingkat-peringkat untuk selama 12 - 14 bulan bagi nenas Moris dan MD2 serta beberapa varieti lain maka keperluan benih nanas dalam negara sekitar 50 - 55 juta sebulan. Tanaman nanas perlukan masa diantara 12-13 bulan bagi nenas Moris (Kumpulan Queen), sekitar 14 -15 bulan bagi nenas MD2 (Hibrid kacukan Smooth Cayene dan 5 varieti lain) dan sekitar 16-18 bulan bagi nanas Gandul (bagi kumpulan Spanish). Pemilihan benih nanas amat penting dalam penanaman nanas kerana hanya benih yang baik mampu menghasilkan buah yang berkualiti. Penanam nanas lazimnya akan menggunakan benihnya sendiri dalam kesinambungan penanaman nanas semenjak dahulu lagi. Bagaimana pun jika ada varieti nanas baru maka pihak kerajaan dan swasta akan mendapatkannya daripada sumber benih yang ditentusahkan. LPNM merupakan salah satu pihak yang mengedarkan benih nanas baru selain daripada Jabatan Pertanian dan instutusi lain. Bagaimana pun ada yang membeli benih nanas daripada pihak swasta secara langsung terutama bagi syarikat-syarikat yang ada modal dan tanah yang luas. Artikel malam Jumaat sempena cuti raya Aidiladha 1438H ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pentingnya pemilihan benih nanas untuk mendapatkan pokok nanas yang sihat seterusnya mampu menghasilkan buah nanas berkualiti.


Punca utama benih nanas masa kini adalah dari SULUR TANAH (Ground Suckers), SULUR UDARA (Aerial Suckers) dan JAMBUL (Crown) daripada pokok induk yang dikenalpasti sesuai untuk dijadikan benih nanas (Sila lihat rajah disebelah). Penulis yang terlibat dengan penyediaan standard benih nanas di SIRIM agak mahir dengan spesifikasi dalam menentukan kualiti benih nanas yang sesuai untuk di tanam di negara kita. Bergantung kepada vaaritti dan amalan agronomi dikebun maka jumlah sulur tanah dn sulur udara yang dihasilkan setiap pokok adalah berbeza-beza. Bagaimana pun untuk beberapa varieti nanas yang popular ditanam biasanya jumlah sulur tanah dikeluarkan sekitar 4-6 sulur sepokok. Jambul pula kebanyakan buah nanas mempunyai satu jambul sihat yang sesuai untuk dijadikan benih tanaman manakala jika ada banyak jambul pada buah nanas ia kurang sesuai dijadikan benih tanaman. Sulut tanah akan keluar diantara 3 - 6 bulan setelah buah nanas dikutip hasilnya dan daun-daun pokok nanas dicantas dengan parang. Bagi beberapa jenis nanas seperti nanas moris dan beberapa lagi sulur tanah ini keluar sebelum pokok matang dan boleh dijadikan anak benih tetapi perlu memilih sulur yang betul.


Penggunaan benih nanas kultur tisu (Tissue culture pineapple seedling) memang tidak disyorkan. Walau pun teknologi makmal mampu menghasilkan benih kultur tisu nanas dengan baik tetapi ia tidak digalakkan untuk ditanam atau dijual kepada petani kerana masaalah SOMAKLONAL (Somaclonal problems). Bagi pengeluar benih nanas kultur tisu mereka beria-ia untuk menjual benih mereka dan mendakwa tidak ada masaalah dengan benih ini. Apa pun pemerhatian penulis dibanyak lokasi petani yang menanam benih nanas kultur tisu mendapati kes-kes somaklonal memang nyata berlaku seperti di Stesyen LPNM Alor Bukit, Projek Nanas Gemas, Projek Nanas Kg Padang Pan, Bau dan banyak lokasi lain. Peratus kes-kes somaklonal ini tidak menentu tetapi serandah 5% dan ada sehingga lebih 25% dibeberapa lokasi. Penelitian dijalankan pada bahagian DAUN (berduri penoh, ada anthocyanin, tekstur berlainan dari pokok induk), BUAH NANAS (bentuk yang berlainan, mutan) dan juga ISI BUAH NANAS (Kandungan asid citrik, tahap kemanisan Brix) dan beberapa ciri lain. Jika 5% pokok yang ditanam menggunakan kultur tisu ada masaalah somaklonal, berapakah akan berlaku varian pokok yang tidak dikehendakki ini untuk pusingan kedua dan seterusnya jika tidak dapat dikawal dari awal penanaman. Kalau sehektar ada 42,000 pokok ditanam dan setiap pokok ada 5 sulur maka sebanyak 210,000 sulur akan dihasilkan dan jika 5% menjadi somaklonal maka sebanyak 10,500 sulur tidak sesuai untuk dijadikan benih dalam penanaman akan datang. Jika ia ditanam juga maka gandaan pokok yang ada varian somaklonal akan berganda jumlahnya. Kiraan ini tidak memasukan benih daripada sulur udara dan jambul.


Dalam penulis menilai isu ini, beberapa pendekatan tentang pemilihan benih nanas perlu dilakukan. Pertama sekali pengusaha perlu mendapatkan anak benih (sulur atau crown) daripada pembekal yang disahkan telah ada Sijil Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) daripada pihak Jabatan Pertanian. Ini kerana ladang nanas yang telah ada SPBT telah menjalani pemeriksaan khusus oleh pakar di Bahagian BKKT dalam menentusahkan benih tersebut sesuai untuk dijadikan bahan tanaman. Mereka mempunyai SOP untuk menilai pokok induk tersebut boleh diambil benihnya untuk ditanam. Pemeriksaan dilakukan pada semua pokok yang ada dikebun semasa berbuah terutama untuk varieti hibrid MD2 dimana bentuk buahnya akan menjadi bukti utama. Ramai penanam nanas yang tertipu membeli sulur nanas dan jambul nanas yang didakwa tulin sebaliknya apabila ditanam ia bukanlah nanas MD2 yang sebenar. LPNM ada memberikan bantuan benih MD2 kepada peserta yang lulus dengan sistem pawah iaitu bagi setiap satu unit benih diberikan maka petani perlu pulangkan sebanyak 2 sulur. Sifat seperti 'ingin cepat dapat benih' telah menyebabkan ada pekebun yang telah ditipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab mengenai perkara ini.


Kini penulis mengesyorkan setiap kelompok, syarikat swasta dan individu yang menanam nanas agar mengadalah 'Ladang Benih Nenas' sendiri. Lazimnya penulis dapati penanam nanas yang lama dalam 'dunia penanaman nanas' akan mengambil benih daripada plot yang telah diambil buahnya tanpa membuat pemeriksaan teliti. Mereka tidak menandakan pokok nanas yang mudah diserang penyakit, pokok mutant, pokok buah patah tengkok, pokok bantut, pokok hasilkan buah kecik dan sebagainya dikebun. Sepetutnya pokok seperti ini perlu dimusnahkan semasa dibuat pemeriksaan ladang atau semasa menuai hasil. Pokok ini boleh dicabut terus dan dimusnahkan (ramai pekebun kerja ini susah tapi tiada dapat duit) atau boleh ditandakan dengan mencantas daun nanas separuh (yang lainnya dibuang semua) atau ditandakan dengan cat warna menandakan benihnya tidak akan digunakan kelak. Jika oa dapat dilakukan maka hanya benih nanas berkualiti akan diambil untuk pusingan penanaman akan datang. Kaedah lain adalah dengan ambil benih yang sihat sahaja dan dikumpul dan ditana dalam plot 'ladang benih' yang khusus ditempat berasingan dengan plot pengeluaran buah komersil. Aktiviti pemeriksaan ladang benih ini boleh dilakukan dengan lebih baik bagi menghasilkan anakbenih berkualiti. Semuga dimasa akan datang lebih ramai penanam nanas yang mempunyai ladang benih nanas sendiri. Wasallam!!.
LADANG NANAS...BENIH BANYAKNYA...
PERLU DIPILIH..BERKUALITI SAHAJA...
KULTUR TISU...ELAKKAN MENGGUNA...
LADANG BENIH ... PERLUKAN DISEDIA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Ladang Nanas Kg Mawang,
Serian, Sarawak,
Malaysia.
(9 Dzulhijjah 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...