Support My Blog

Wednesday, May 10, 2017

KAWAL RUMPUT SAMBAU DENGAN KULAT

RUMPUT SAMBAU (Eleusine indica) merupakan sejenis rumput tahunan yang berasal daripada famili Gramineae. Rekod awal menunjukkan spesies ini mungkin natif di negara seperti China, India, Jepun, Malaysia dan Tahiti. Nama tempatan spesies ini berbeza-beza mengikut negara. Di Malaysia rumput ini dikenali sebagai Rumput Sambau, Rumput Kaki Angsa atau Rumput Gelang Sambau. Setiap perdu rumput ini hebatnya dilaporkan dapat menghasilkan kira-kira 50,000 - 135,000 biji dalam satu musim di kawasan penanaman padi bukit tinggi (Soerjani et al. 1987) yang mana ia membuktikan ia sejenis rumput yang memang cepat membiak. Rumput ini tumbuh di kawasan pertanian terutama dikawasan kebun dan tanaman. Rumput ini dapat tumbuh dengan baik di kawasan lapang seperti tanah yang terbiar, kawasan pertanian, dan kawasan di tepi jalan. Mengenali marfologi rumput ini, ia mempunyai batang yang lembut, licin, liat dan bercabang dengan mana ia mempunyai tahap ketinggian sebanyak 5-60 cm. Daunnya yang berwarna hijau kebiruan, berkilat dan rimbun di pangkal, lamina daunnya berukuran antara 5-20 cm panjangnya dan sempit, mempunyai bulu halus bertaburan di permukaan atas dan bawah daun, Dilihat perantaraan daun dan upih daun berambut halus pada bahagian pinggir. Jambak bunga terdiri daripada satu hingga enam spika. Anak spika tersusun dalam dua barisan dan terlekat berselang-seli pada satu paksi, dwiseks, stigma berbulu dan berwarna ungu dimana terdapat 3-5 floret yang dilindungi oleh kelopak sekam yang berwarna putih malap. Biji berwarna perang kemerahan atau hitam, berbentuk oblong-ovat dan berbatas (Soerjani et al. 1987; Ahmad 1988). Di ladang getah dan kelapa sawit juga ia mampu tumbuh dengan baik diperingkat awal penanaman dimana ada banyak cahaya matahari (Sila anda lihat foto diatas). Dalam pada itu di Malaysia seperti dilaporkan oleh MPOB, Rumput sambau (Eleusine indica) adalah rumpai yang memberi banyak masalah kepada industri sawit dan tanaman buah-buahan di Malaysia dan disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 rumpai yang paling teruk di dunia. Rumput ini bersaing dengan pokok kelapa sawit untuk mendapatkan cahaya, air, ruang, dan nutrien. Cara paling efektif untuk mengawal rumput sambau ialah melalui kawalan menggunakan racun rumpai. Masalah rumput ini bertambah buruk apabila terdapat kes dimana rumput ini didapati resistan terhadap semburan racun rumpai. Kes pertama dimana dilaporkan rumput E. indica rintang terhadap semburan Glyphosate dilaporkan berlaku di Teluk Intan pada 1998 apabila Glyphosate didapati gagal untuk memberikan kawalan yang sepatutnya. Dalam pada itu penulis blog juga ada merujuk kepada kertas teknikal yang dibentang dalam Simposium Biosekuriti Tumbuhan 2017 atas tajuk kertas oleh pakar di MPOB dinyatakan dimana tanaman kelapa sawit merupakan tanaman yang memberikan hasil yang paling tinggi dari segi pengeluaran per tan/hektar. Pada tahun 2016 terdapat sebanyak 44 negara penanam kelapa sawit bersaing di seluruh dunia. Terdapat juga laporkan ada sebanyak 691 jenis serangga perosak, penyakit dan rumpai dilaporkan berkaitan dengan spesis pokok palma. Lazimnya racun rumpai sering digunakan secara meluas dalam industri kelapa sawit dan pertanian bertujuan untuk membersihkan tanah sisa, laluan dan jalan air, membunuh pokok sebelum penebangan dan membasmi spesies rumpai yang tidak diingini di kawasan tanaman. Ianya adalah bertujuan untuk memaksimumkan cahaya, air dan nutrien untuk pertumbuhan tanaman. Pemilihan pelbagai racun oleh penanam kelapa sawit akan berdasarkan pelbagai kriteria, termasuk juga untuk kegunaan ke atas flora rumpai dominan, keberkesanan kos dan dasar tumbuhan. Rencana subuh sempena cuti Hari Pekerja 1 Mei 2017 ini saya teurs menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis kulat Phoma herbarum sebagai agen kawalan biologi rumput sambau.

Rumput sambau (Eluesine indica) adalah rumpai yang memberi banyak masalah kepada industri sawit dan tanaman buah-buahan di Malaysia dimana ia disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 rumpai yang paling teruk di dunia. Rumput E. indica bersaing dengan pokok kelapa sawit untuk mendapatkan cahaya, air, ruang dan juga nutrien. Cara paling efektif untuk mengawal rumput sambau ialah melalui kaedah kawalan menggunakan racun rumpai. Masalah rumput ini bertambah buruk apabila terdapat kes dimana E. indica didapati resistan terhadap semburan racun rumpai. Kes pertama E. indica rintang terhadap semburan glyphosate dilaporkan berlaku di Teluk Intan pada 1998 apabila glyphosate didapati gagal untuk ianya memberikan kawalan yang sepatutnya. Kaedah kawalan rumput alternatif kini adalah dengan penggunaan agen mikrob sebagai agen kawalan biologi yang mesra alam dan mampan. Dalam satu kenyataan bahan rujukkan telah dinyatakan "Therefore, an alternative method need to be sought, using microbes as biological control, which is more environmentally friendly and sustainable". Contoh kejayaan agen kawalan biologi bagi tujuan mengawal rumpai dimana Kulat Karah Puccinia spegazzinii dengan Mikania micrantha (atau Rumput Selaput Tunggul) iaitu ia pertama kali telah digunakan di India pada tahun 2005 (Ellison et al. 2008). Rumput selaput tunggul ini berjaya dikawal dengan kaedah ini (Sila lihat foto disebelah). Pada tahun 2016 di negara Taiwan, China, Papua New Guinea, Fiji dan Vanuatu ianya telah digunakan dimana mampu untuk mengurangkan biomass lebih daripada 60%. Belum banyak hasil kajian mengenai perkara ini dibincang oleh saintis tempatan.


Kulat Phoma sp. mempunyai potensi asal sebagai agen kawalan biologi rumpai. Daripada laporan kajian beberapa saintis seluruh dunia melaporkan kulat ini mampu untuk mengawal jenis rumput seperti Taraxacum officinale Weber (Sila lihat foto disebelah) iaitu di kawasan rumput turf dan juga mengawal 'poke weed' (Li et al., 2011; Neumann and Boland, 2002; Venkatasubbaiah et al., 1992). Jenis kulat Phoma macrostoma pula didapati boleh untuk menjangkiti banyak tumbuhan dikot (dicot) tetapi tidak pada tumbuhan monokot apabila kajian dibuat pada 94 spesis daripada 34 famili tumbuhan (Bailey, 2011). Mekanisma jangkitan kulat Phoma adalah dimana apabila rumpai yang terkena jangkitan kulat jenis Phoma spp. maka kesannya adalah ia akan mengalami simptom nekrosis dimana daun rumpai terjangkit akan berubah warna daripada hijau kepada warna kuning dan akhirnya menjadi putih (photobleaching). Simptom ini tidak dikesan pada tumbuhan monokot daripada hasil penyelidikan (Bailey and Derby, 2001). Kaedah dan tatacara untuk mendapatkan agen kawalan biologi yang berkesan untuk mengawal rumpai sasaran mempunyai ‘host range’ yang terhad dan tidak memberi kesan kepada jenis tanaman atau tumbuhan manfaat. Penulis blog anim agro technology berharap akan ada saintis tempatan yang menjalankan kajian ini dengan bercirikan tempatan mengebai perkara ini.

Dimakmal kajian memengenai proses untuk pemencilan dilakukan daripada daun rumput sambau yang terkena penyakit. Sebanyak 63 kulat dapat dipencilkan daripada daun rumput sambau yang berpenyakit (di sekitar kawasan nurseri kelapa sawit, Bandar Baru Bangi , Selangor). Kaedah digunakan adalah dengan 'Detached leaf assay’ dimana berdasarkan ujikaji makmal yang dilakukan, 2 jenis kulat berpotensi untuk di jadikan sebagai agen kawalan biologi. Proses ujian untuk pengenalpastian yang dibuat, kulat-kulat tersebut telah dikenalpasti sebagai Cochliobolus sativus dan jenis kulat Phoma herbarum. Kedua-dua kulat tersebut di dapati dapat mengkoloni daun rumput sambau apabila ujian kepatogenan di lakukan secara in vitro. Formulasi agen kawalan biologi berasaskan serbuk Phoma herbarum telah dibangunkan oleh dengan menginokulasikan kulat Phoma ke dalam media yang mengandungi jagung halus (saiz 0.1- 0.2 cm), 1% kanji, 1% sukrosa dan air 30% (yang mengandungi 0.01% tween 20 dan 0.1% gliserol). Selepas 14 hari pengeraman pada suhu bilik, sebanyak 106 spora per ml Phoma herbarum terbabit diambil melalui teknik penapisan untuk digunakan bagi ujian di peringkat nurseri dan lapangan. Berdasarkan ujian yang dilakukan di tapak semaian, kesan-kesan dari penggunaan formulasi agen kawalan biologi kulat Phoma herbarum ke atas rumput sambau menunjukkan 90% dari pada rumput sambau yang dirawat dengan Phoma herbarum mati 28 hari selepas rawatan. Menurut aktiviti pemerhatian yang dilakukan, kesan agen kawalan biologi tersebut adalah kelihatan selepas 14 hari aplikasi dilakukan dan terus meningkat dengan ketara pada 21 hari dan 28 hari selepas eksperimen dilakukan.

Berdasarkan ujian di peringkat nurseri didapati kulat Phoma herbarum telah menunjukkan potensi yang berkesan sebagai agen biologi untuk mengawal rumput sambau dengan tahap kadar keberkesanan 90% manakala kajian di peringkat lapangan menunjukkan 80% kematian rumput sambau. Selain itu, rumusan formulasi kulat Phoma herbarum juga murah untuk dihasilkan, berdaya maju dan berkesan dalam usaha untuk mengendalikan sasaran rumpai dalam jangka masa tertentu dimana ianya menggambarkan kulat tersebut sebagai satu agen kawalan biologi yang ideal. Menerusi kajian kawalan biologi racun rumpai ini maka produk yang bakal terus akan dibangunkan akan dapat digunakan untuk mengawal rumput sambau yang terdapat di ladang-ladang sawit sekaligus mengurangkan kadar penggunaan racun kimia di ladang kelapa sawit dan mengelakkan daripada berlaku kadar rintangan yang baru terhadap racun kimia. Bagaimana pun belum ada produk ini dihasilkan secara komersil pada masa ini dan laporan ini hanya permerhatian awal yang dilakukan oleh sekumpulan saintis di negara kita. Semuga rencana ini memberi sedikit info kepada pembaca semua. Wasallam!!!.

RUMPUT SAMBAU... MUDAH TUMBUHNYA...
DILADANG SAWIT... DIRACUN AMALANNYA...
DIBUAT KAJIAN... KULAT PHOMA DICUBA...
KALAU BERJAYA... HEBAT KESANNYA....

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Latihan Darul Iman Training Center (DITC),
Telok Kalong, Kemaman, 
Terengganu,Malaysia.
(6 Syaaban 1428H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...