Support My Blog

Thursday, May 25, 2017

KAEDAH BETUL KITAR SEMULA JERAMI PADI

JERAMI PADI merupakan hasil sampingan bahan pertanian yang berbentuk batang, daun dan tangkai tanaman padi setelah biji-bijian dipisahkan selepas menuai padi (Oryza sativa). Dari segi sejarah sebelum zaman perindustrian lagi dahulu jerami kering padi digunakan secara meluas oleh petani untuk dijadikan bahan api, alas lantai atau katil tidur, penyapu, makanan ternakan, kompos dan bahan binaan ringan seperti bumbung rumah. Di banyak negara pertanian dimana tanaman padi adalah menjadi tanaman utama petani tempatan jerami padi menjadi subjek penting dalam dunia kehidupan mereka. Sebagai contoh daripada kajian yang dijalankan di Indonesia, berat jerami adalah lebih kurang 1.4 kali daripada hasil tuaian biji padi. Ini bermakna daripada 5 tan per hektar hasil tuaian maka sebanyak 7.5 tan jerami dihasilkan. Kajian makmal menunjukkan dimana kandungan unsur yang terdapat dalam jerami adalah 0.5 - 0.8% Nitrogen (N), 0.07-0.12% Fosforus (P), 1.2-1.7% kalium (K), 0.05-0.10% Sulfur (S) dan 4-7% adalah silika (Si). Ini bermaksud dalam 7.5 tan jerami mengandungi 37.5-60 kilogram (kg) N, 5.25-9kg P, 90-127.5kg K, 3.75-7.5kg S dan 300-525kg Si. Bagaimana pun di Malaysia penulis blog dapati di antara kaedah pengurusan jerami padi adalah melalui pembakaran terbuka bagi menghapuskan jerami dengan cepat dan murah (Sila lihat foto dibawah). Pada masa yang sama kaedah ini didapati berupaya membunuh patogen tanah dan akan dapat merencatkan percambahan benih rumpai serta padi angin. Bagaimana pun kaedah ini melalui pembakaran terbuka menyebabkan pencemaran alam sekitar kerana hasil pembakaran mengandungi unsur K yang tinggi iaitu sebanyak 8.2 peratus dan kaedah ini akan seterusnya menjejaskan kadar percambahan benih padi. Artikel subuh ini saya menulis lagi di dalam "Anim Agro Technology" mengenai kaedah pengurusan jerami padi untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca. 


Kaedah lain adalah secara mengumpul dan mengeluarkan jerami untuk dijadikan makanan ternakan atau kompos. Kini kaedah ini dapat menghapuskan jerami dengan cepat tetapi akan menyebabkan kehilangan unsur-unsur penting seperti N, P, K, S, Si, Ca dan Mg. Jerami juga ada yang dibiarkan mereput di dalam sawah yang boleh menimbulkan masalah pereputan jerami dalam tanah dan membebaskan gas berasid atau beracun yang akan merosakkan tanah serta akar pokok padi. Selain itu akan berlaku proses penguraian yang tidak lengkap akan meninggalkan sisa dan ini boleh menyebabkan struktur tanah menjadi lemah serta lama-kelamaan tidak dapat menyokong berat mesin dan jentera. Nisbah karbon (C) ke atas nitrogen (N) jerami padi ialah 48 manakala sekam padi sebanyak 171. Nisbah C/N yang sesuai untuk tanaman adalah antara 25–30. Diantara kebaikan atau manfaat diperolehi adalah dimana bagi tanaman padi selalunya nisbah C/N yang lebih rendah iaitu lapan hingga 10 diperlukan kerana sawah terendam pada tempoh yang agak lama. Maka jerami padi tidak sepatutnya dibakar, dibawa keluar atau dibiar mereput di dalam sawah tetapi perlu diurus dengan baik melalui proses kitar semula dan seterusnya diguna balik untuk manfaat tanaman padi. 


Diantara kaedah yang diamalkan di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian, Perak adalah kaedah kitar semula jerami padi dengan bahan-bahan mentah iaitu jerami, dedak, mikrob penguraian (nisbah 1,000:40:0.2) yang digaul rata sambil ianya disembur dengan lautan mikrob aktif. Campuran bahan-bahan kemudian dilonggokkan pada ketinggian sekurang-kurangnya 1.5 hingga dua meter. Longgokan dialih dua kali dengan selang tujuh hari sekali. Proses alihan diperlukan untuk membekal oksigen kepada mikrob di samping menggaul rata bahan-bahan mentah untuk memudahkan penguraian. Proses penguraian jerami padi dikawal pada kelembapan 55 hingga 65 peratus dengan suhu di antara 65 hingga 75 darjah Celsius dalam tempoh 21 hari. Bahan-bahan mentah ini boleh diubah suai mengikut kedapatan sisa organik tempatan bagi mengurangkan kos. Hasil penguraian jerami padi akan menghasilkan kompos dan diguna pada kadar dua tan per hektar untuk mengembalikan sebahagian nutrien yang penting pada tanaman padi seperti N,P K, Ca, Mg, S dan Si. Hasil penggunaan kompos itu dapat mengatasi masalah padi angin iaitu kandungan mikrob dalam hasil penguraian mampu merangsang percambahan biji benih rumpai dan padi angin yang terdapat dalam tanah. Oleh itu, rumpai dan padi angin yang bercambah seterusnya dibuang melalui pembajakan atau meracun sebelum proses penanaman dimulakan. Melalui pemerhatian Jabatan Pertanian, kaedah ini dapat mengurangkan rumpai dan padi angin sehingga 80 peratus sekiranya digunakan berterusan dalam tiga hingga empat musim di samping ia dapat membekal nutrien penting kepada pokok padi. Kitar semula jerami padi kini telah menjadi tumpuan kajian negara pengeluar padi utama dunia. Ini kerana ia dapat membekalkan nutrien pada tanaman padi dalam konteks penjimatan kos baja dan menyelesaikan masalah yang disebabkan pereputan jerami dalam kawasan padi. Aktiviti ini adalah sangat penting dalam pengurusan kelestarian tanaman padi.


Bagaimana pun di MADA, dilakukan proses kitaran semula sisa buangan tanaman padi khususnya jerami padi dimana aktiviti ini mampu menangani masalah pencemaran dan gangguan ekologi. Usaha tersebut lebih bermakna jika jerami padi dikumpulkan dengan menggunakan mekanisme moden untuk penghasilan makanan ternakan, produk kraf tangan, bahan utama dalam penghasilan baja kompos dan sumber pelet bahan bakar. Kini ada penghasilan produk hiliran dan industri bahan bakar daripada jerami padi adalah alternatif baharu untuk pesawah mengurangkan masalah pembakaran terbuka. Memang subjek mengenai potensi sisa buangan dari jerami padi adalah penting dibincangkan. Pemprosesan sisa buangan pertanian daripada industri padi seperti jerami berpotensi untuk berkembang memandangkan pengeluaran sisa buangan daripada industri padi di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dianggarkan mencecah sehingga 300,000 tan. Pembangunan aktiviti hiliran kerajaan dan swasta dalam perkara ini dapat membantu menambah pendapatan petani dan penduduk sekitarnya. Di Malaysia aktiviti pemprosesan kelapa sawit menghasilkan lebih 100 juta tan metrik sisa buangan setiap tahun tetapi ianya akan terus berkembang. Dalam pada itu berlaku pembuangan gula daripada tebu pula menghasilkan lebih daripada sejuta tan metrik hampas setahun. Ini bermakna kitar semula bahan buangan mampu mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar yang semakin meruncingkan. Kini menerusi projek-projek baru dan kajian daripada pelbagai pihak, bahan buangan pertanian boleh dijadikan sebagai bahan asas bagi menghasilkan suatu komposisi yang setanding dari segi ciri-ciri mekanikalnya dengan bahan yang sedia ada di pasaran. Dianggarkan bahawa Malaysia menjana sehingga 80 juta tan sisa buangan setiap tahun daripada ladang kelapa sawit yang sebahagian besarnya adalah tandan kosong kelapa sawit, pelepah, tempurung dan dedak isirung sawit. Aktiviti memproses dengan betul jerami padi akan menghasilkan faedah yang menguntungkan. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
JERAMI PADI... BANYAK GUNANYA....
SELALU DIBAKAR...ASAP BANYAKNYA...
DIBUAT KOMPOS... DIGUNA SEMULA...
PENGURUSAN BETUL..UNTUNG SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 601, The Pure Hotel,
Sungai Petani,
Kedah, Malaysia.
(29 Syaaban 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...