Support My Blog

Saturday, October 29, 2016

KHASIAT HERBA - CEKUR MANIS

CEKUR MANIS (Sauropus androgynus) atau PUCUK MANIS merupakan sejenis tumbuhan yang diambil bahagian pucuknya untuk dijadikan sayuran yang enak. Tumbuhan ini juga mempunyai beberapa nama lain iaitu Asin-asin dan banyak tumbuh liar dikawasan negara tropika terutama Asia Tenggara termasuk Malaysia. Penulis ada menulis artikel mengenai tumbuhan ini sebelum ini (Sila klik disini) untuk rujukkan dan pautan. Pokok cekur manis ini adalah jenis renek berbatang lurus, tegak dan boleh mencapai ketinggian kira-kira 3 meter. Penulis ada beberapa pokok cekur manis dikawasan rumah semasa bertugas di Muar dan Melaka dan mendapati dibahagian atas pucuk pula berkayu lembut, berwarna hijau dan mudah terkulai apabila panas. Ia juga mempunyai batang tidak mudah bercabang kecuali bila dicantas (Sila lihat foto diatas).Terdapat ranting-ranting lateral yang pendek dan agak panjang jika mempunyai air dan baja yang mencukupi. Terdapat beberapa varieti cekur manis yang penulis ketahui iaitu Cekur Manis Tempatan, Cekur Manis Sabah (Sabah sweet shoots) dan Cekur Manis Sarawak. Bagaimana pun varieti Cekur Manis Sabah merupakan yang terbaik dari segi kualiti dan kemanisannya. Apakah dia khasiat cekur manis atau pucuk mani ini?. Cekur Manis didakwa mampu mengurangkan panas badan, pening-pening kepala, penyakit jantung dimana ia mengandungi bahan dikenali sebagai provitamin A dan Karetinoid. Ia juga didakwa mampu mengatasi masaalah tekanan darah rendah dari bahan seperti vitamin B dan Vitamin K padanya. Selain daripada dimasak tumis atau digoreng dengan belacan, pucuk manis sering juga dimasak lemak. Bagaimana pun ia merupakan sayuran yang sering dihidangkan atau dijual direstoren makanan tradisional sewaktu makan tengahari. Artikel subuh ini saya meulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai khasiat tanaman cekur manis atau pucuk manis yang ada mengkelaskannya sebagai sejenis herba utuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.


Mengenal pokok cekur manis memang mudah kepada mereka yang pernah menanam, memetik dan memakannya. Ia merupakan sejenis pokok renek yang berbatang lurus, tegak dan mencapai ketinggian kira-kira 3 meter. Selalunya dibahagian atas pula berkayu lembut, berwarna hijau dan mudah terkulai. Ia juga mempunyai batang yang tidak mudah bercabang kecuali bila dicantas.Terdapat ranting-ranting lateral yang pendek dan daunnya tumbuh secara berselang-seli hingga ke hujung. Daunnya berbentuk bujur atau oblong dan bersaiz 2-5 cm diameter dengan 1-2 cm lebar berwarna hijau tua. Bagaimana pun ada beberapa varieti yang mempunyai warna keputihan berbintik pada daunnya. Apa yang penulis suka adalah pokok cekur manis matang mengeluarkan buah dimana ada biji didalamnya. Buahnya berbentuk globos dan berukuran 1.5 cm diameter, berpangsa tiga dan berwarna putih kemerahan (Sila lihat foto disebelah)Tumbuhan yang popular sebagai sayuran di Malaysia ini boleh mencapai ketinggian hingga 8 meter jika tidak dicantas. Namun untuk mengekalkan kesuburan dan memastikan penuaian yang berterusan ia perlu dicantas selalu hingga mencapai ketinggian 1-2 meter. Ia membiak melalui dua kaedah biasa iatu biji benih dan keratan batang namun benih yang dihasilkan melalui keratan batang lebih bermutu. Ia mempunyai daun yang berwarna hijau gelap dan tersusun rapi di kiri dan kanan tangkai. Buahnya berwarna putih ketika muda dan akan berubah menjadi merah samar atau coklat ketika matang. Daunnya yang masih muda sedap dijadikan sayuran seperti dijadikan masak lemak, sup dan digoreng bersama udang kering. Pucuknya yang masih muda begitu rangup dan mempunyai rasa seakan-akan asparagus.Selain dari dijadikan sayuran ia juga boleh dijadikan pewarna makanan sama seperti daun pandan dan warna yang dihasilkan oleh daun cekur manis lebih gelap dari warna yang dihasilkan oleh daun pandan. Ia juga selalu dicampur dengan perahan daun pandan untuk mendapatkan warna yang lebih gelap.Keistimewaan tumbuhan ini ialah walaupun telah dimasak warna hijau gelapnya tetap kekal. Bunga dan buahnya juga sedap dijadikan sayuran. 


Daunnya mengandungi banyak provitamin A karetinoid, terutamanya daunnya yang baru dipetik dan masih segar.Ia juga didapati mengandungi vitamin B, Vitamin C, protein dan mineral. Kandungan nutriennya semakin tinggi jika daunnya semakin tua.Tumbuhan ini tumbuh dengan lebih subur dikawasan yang agak redup, ia boleh bertoleransi terhadap tanah yang mempunyai kandungan asid yang tinggi (masam kelat) dan boleh tumbuh dikawasan tanah liat. Dalam pada itu pemerhatian penulis mendapati ada sejenis serangga perosak utama tumbuhan ini. Serangga tersebut ialah sejenis kumbang dikenali dengan Adoretus sinicus. Kumbang ini akan memakan bahagian pucuk dan daun muda yang menjadikan ia rosak. Penelitian mendapati tidak ada serangan penyakit yang menyerang tanaman cekur manis dikenalpasti. Penggunaan baja organik dengan sedikit baja kimia amat sesuai diberikan kepada tanaman ini. Lebih banyak baja organik diberikan maka rasa pucuk manis akan lebih baik lagi tahap kemanisannya (Sila lihat foto disebelah). Pada penulis yang melawat beberapa kebun tanaman pucuk manis disekitar Tangkak, Muar dan Melaka dulu memang suka petik pucuk manis varieti Sabah Shoot dan meratah terus dikebun setelah dibasuh kerana ianya enak dan manis.


Khasiat cekur atau pucuk manis ini juga agak jarang diperkatakan. Cekur manis merupakan salah satu daripada beberapa tumbuhan yang memiliki vitamin K. Daun pokok cekur manis adalah popular sebagai sayuran di Malaysia. Pokok cekur manis ini boleh mencapai ketinggian sehingga 8 meter jika tidak dicantas tetapi petani yang ada penanaman komersil pokok ini dicantas setinggi lebihkurang 1 meter dari paras tanah. Namun untuk mengekalkan kesuburan dan memastikan penuaian yang berterusan ia perlu dicantas selalu dan dibaja dan ada sistem pengair konsistent. Daun pokok cekur manis terutamanya daun segar mengandungi banyak provitamin A karetinoid, terutamanya daunnya yang baru dipetik dan masih segar. Selain itu ia juga kaya dengan kandungan vitamin B, C protein dan galian. Kandungan zatnya semakin tinggi dalam daun yang matang. Ia dikatakan boleh merawat panas badan, tekanan darah rendah, wanita yang baru bersalin, pengeluaran susu ibu yang kurang, sistem pembuangan air kecil bermasalah, pening-pening, penyakit jantung dan saluran darah (cardiovaskular).


Penanaman cekur manis dan pembiakan serta penanaman cekur manis mudah dilakukan oleh petani yang telah pun berpengalaman atau mereka yang baru mencubanya. Ini kerana cekur manis mudah dibiakkan melalui sistem keratan batang yang berkayu keras. Keratan batang sepanjang 20-25 cm boleh ditanam terus kebatas atau dibiakkan di dalam polibag yang diisi media tanah campuran dan diletak di tapak semaian. Batas disiapkan dengan ukuran lebar satu meter dan panjang batas bersesuaian dengan kawasan penanaman. Cekur manis memerlukan tanah yang subur, gembur dan mempunyai bahan organaik yang tinggi. Jarak tanaman yang sesuai ialah 50-100 sm antara pokok dan 100-120 sm antara barisan tanaman. Tanaman selalu dibuat satu barisan sahaja kerana ia akan bercabang banyak bila selalu melakukan cantasan. Pokok boleh bertahan sehingga 8-10 tahun jika penjagaan sempurna. Bagaimana pun perlu disediakan sistem pengairan sempurna. Pengairan amat perlu pada peringkat awal penanaman sehingga penuaian hasil dilakukan, tanaman perlu disiram sekurangnya sehari sekali, kaedah pengairan secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis atau titis. Pengawalan rumpai mesti dilakukan bagi memastikan tanaman hidup subur. Rumpai di atas batas dibuang secara manual dan antara lorong tanaman rumpai boleh dikawal dengan menggunakan racun rumpai yang disyorkan. Pastikan semasa penyemburan racun ia tidak mengenai tanaman. Pembajaan cekur manis perlu dilakukan dengan baja seperti baja NPK iaitu120 kg N:60 kg P2O5:60 kg K2O setiap hektar tetapi ia bergantung pada keadaan tanah di sesuatu kawasan. Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 boleh digunakan dengan kadar 80-100 gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20 cm dari rumpun pokok serta dikambus. Pembajaan dibuat setiap bulan dan diselangkan dengan bahan sistem tahi ayam atau kompos dengan kadar satu hingga kg/meter persegi. Baja foliar bagi semburan daun boleh digunakan bagi tujuan mempercepatkan pertumbuhan daun bekalan bergantung pada pasaran. 


Pemangkasan boleh dilakukan beberapa peringat dan tujuan. Ini kerana tanaman cekur manis memerlukan pemangkasan bagi memastikan pokok tidak terlalu tinggi dan menyukarkan aktiviti penuaian hasil. Penulis dapati paras ketinggian yang disyorkan ialah antara 1.0 -1.2 meter. Pokok perlu dicantas bagi mengawai ketinggian dan menggalakkan pertumbuhan tunas atau pucuk baru. Cantasan sebaiknya boleh dijalankan dengan menggunakan pisau tajam, scateurs dan alatan lain yang sesuai. Pemangkasan juga disamakan dengan mematahkan dengan tangan mana-mana dahan atau batang yang tidak dikehendakki. Kawalan perosak pada tanaman ini kurang dilakukan kerana cekur manis jarang diserang perosak di peringkat awal penanaman sama ada serangan koya atau hama. Jika terdapat banyak serangan serangga sebaiknya pada pokok boleh dicantas secara keseluruhan bagi mengurangkan perosak mengikut paras ketinggian yang dikehendaki. Pokok yang subur akan sentiasa mengeluarkan pucuk dan dahan baru. Kerja menuai pucuk manis mudah dilakukan dimana pucuk muda boleh dituai setiap hari dengan memotong kira 20-25 cm daripada pucuk. Pucuk di susun dan ditimbang antara 300-400 g dan kemudian diikat atau dimasukkan di dalam bakul plastik atau kotak kertas yang di lubangkan bagi tujuan perpeluhan dan dijual di pasaran. Harga ladang sekilogram pucuk cekur manis muda sekitar RM10.00 - RM12.00 tetapi bagi keratan cekur manis daun tua harganya cuma RM4.00 - RM6.00 sekilogram. Bagaimana pun jualan cekur manis ini yang diikat sekitar RM2.00 - RM3.00 seikat dipasar tani bergantung kepada lokaliti. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!!!..

CEKUR MANIS... PUCUK MANIS SAMA...
BERWARNA HIJAU... MUDAH TANAMNYA...
PUCUK MUDA DIIKAT... MANIS RASANYA...
MENULIS ARTIKEL... PENGALAMAN DI JANA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Cekur Manis,
Kg Ubai, Kuantan,
Pahang, Malaysia.
(22 Muharam 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...