Support My Blog

Saturday, October 8, 2016

DURIAN BELANDA - 3 CARA PENDEBUNGAAN

PENDEBUNGAAN POKOK DURIAN BELANDA (Annona muricata) merupakan isu utama dalam menentukan jumlah penghasilan buah. Durian belanda (soursop) merupakan sejenis buah-buahan dari keluarga Annonaceae yang sama dengan buah seperti Nona Seri Kaya, Nona Kapri, Atemoya, Cherimoya dan beberapa jenis lagi. Tanaman ini dipercayai natif dari kawasan di Amerika Tengah dan tidak banyak yang ditanam secara komersil di Malaysia seperti buah-buahan lain (Sila klik disini - untuk artikel berkaitan durian belanda). Durian belanda memerlukan kawasan tanah yang subur dengan kadar kecerunan antara 0 - 15 darjah, mempunyai sistem saliran baik (ia tidak tahan air banyak) dan pH tanah diantara pH5.0 - 5.5 dengan kedalaman tanah melebihi 1 meter. Dari segi hujan pula saya dapati tahap keperluannya adalah SEDERHANA sepanjang tahun dan hujan berlebihan akan menganggu proses pendebungaan. Pokok durian belanda juga akan terjejas hasilnya jika kurang air atau kemarau agak panjang. Di Malaysia terdapat 3 varieti durian belanda yang telah lama didaftarkan iaitu DB1, DB2 dan DB3. Kesemua varieti ini akan mengeluarkan hasil selepas 3 tahun penanaman pada pokok yang dijaga dengan baik dikebun. Antara isu penting dalam tanaman durian belanda adalah masaalah pendebungaan yang sering menjadi masaalah kepada ramai petani tempatan. Bunga durian belanda mempunyai masaalah pendebungaan yang agak serius terutama jika ditanam dikawasan yang sentiasa lembab, kurang tiupan angin, pokok kurang subur, jumlah pokok sedikit, jarak tanaman berjauhan atau pun kekurangan serangga agen pendebunga. Bunga durian belanda (Lihat foto diatas) merupakan bunga yang mempunyai kelopak berwarna hijau muda dengan stigma dan anthers berada didalamnya. Dalam beberapa rujukkan yang saya buat, terdapat beberapa fasa kematangan bunga durian belanda yang berbeza-beza antara Bunga Betina (stigma) dan Bunga Jantan (menghasilkan debunga). Masa matang atau masa kesediaan stigma durian belanda beberapa varieti tempatan didapati terbuka untuk stigma menerima debunga lazimnya pada waktu petang sekitar jam 3.00 - 5.00 petang (waktu paling reseptif). Waktu awal pagi atau lewat petang juga ada beberapa kuntuk bunga dalam pokok yang sama atau varieti lain terbuka dan sesuai menerima debunga. Bagaimana pun masa kematangan debunga (pollen) pada anthers didapati banyak berlaku pada lewat petang atau malam hari (sekitar jam 8.00 - 9.00 malam) dimana ianya boleh gugur dan jatuh kepada stigma. Umumnya semut, kerengga, rama-rama dan agen pendebunga lain adalah kurang aktif pada malam hari. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai 3 kaedah pendebungaan durian belanda yang berlaku atau boleh dilakukan dikebun durian belanda untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.

(1) PENDEBUNGAAN SEMULAJADI
Proses pendebungaan semulajadi bunga durian belanda berlaku dengan bantuan angin, serangga dan beberapa faktur lain. Kajian penulis daripada beberapa lokasi penanaman durian belanda mendapati peratus kejayaan hanya sekitar 6% sahaja. Kajian menunjukkan cara ini menghasilkan purata berat buah kurang dari 5 kg sebiji dengan penghasilan diantara 3-5 biji sepokok setahun. Ini kerana bunga durian belanda tidak mempunyai bau, warna, nektar yang akan menarik serangga untuk menghampirinya dan membantu proses pendebungaan. Kehadiran serangga seperti semut dan kerengga lazimnya akan ada selepas stigma sudaj tiak reseptif untuk menerma debunga (Sila lihat foto disebelah). Pokok muda, ditanam jarang atau jauh jarak antara pokok dan pokok yang rendah (cantasan berlebihan) juga menyebabkan proses tiupan angin tidak berapa efektif untuk membantu didalam proses pendebungaan semulajadi. Masa bunga betina yang reseptif pada petang hari dan bunga jantan yang keluar dimalam hari menyebabkan kurang serangga yang akktif pada waktu tersebut. Ini menjadikan proses pendebunggaan secara semulajadi amat rendah. Ada beberapa petani yang penulis pernah jumpa mengadu bahawa dikebunnya boleh dikatakan tidak berbuah kerana tidak berlaku proses pendebungaan secara semulajadi masa dulu. Keadaan ini lebih serius jika hanya terdapat beberapa pokok durian belanda ditanam dikawasan keliling rumah yang kurang subur dan tidak dijaga. Tinjauan penulis mendapati purata pendapatan bago setiap pokok yang menjalani pendebungaan semulajadi hanya RM75.00 sepokok setahun sahaja. Kiraan analisa pendapatan ini  berasaskan kepada hasil 5 biji x 1.5 kg x RM10.00/kg untuk kiraan sepokok setahun. 


(2) PENDEBUNGAAN BERBANTU
Teknik Pendebungaan Berbantu Pokok Durian Belanda (Assisted Pollination) merupakan kaedah terawal yang telah diperkenalkan kepada penanam durian belanda. Kaedah pendebungaan ini dimulakan dengan mengutip debunga jantan durian belanda dan disapu kepada stigma bunga betina menggunakan berus lukisan pada setiap bunga yang reseptif. Setelah menyapu berus yang ada debunga maka perlu dipatahkan satu kelopak untuk menandakan bung tersebut telah didebungakan. Kadar kejayaan kaedah ini sekitar 40%. Kos peralatan untuk teknik ini menelan belanja sebanyak RM135.00 untuk membeli tangga aluminium, bekas debunga, berus lukisan, pisau, gunting dan sebagainya. Keupayaan seseorang untuk melalukan pendebungaan berbantu ini sekitar 30 kuntum bunga dalam masa satu jam. Antara kelemahan cara ini adalah keupayaan untuk melakukan pendebungaan dengan ketinggian terhad sahaja mengikut ketinggian tangga dan bunga yang tinggi tidak mampu dilakukan. Apa yang menyeronokan petani adalah apabila teknik ini mampu menghasilkan saiz buah yang purata beratnya sekitar 2.5 kg sebiji. Purata bilangan buah durian belanda yang boleh dihasilkan sebanyak 15 - 20biji sepokok setahun.  Analisa yang penulis kira dimana kaedah ini mampu memberikan pendapatan sebanyak RM500.00 sepokok setahun berdasarkan kepada asas kiraan 20 biji x 2.5 kg x RM10.00 sekilogram. Cara pendebungaan ini memerlukan pekerja mahir untuk melalukannya agar mencapai peratus kejayaan yang tinggi.


(3) TEKNIK GEGARAN 
Teknik gegaran (shaking) bunga durian belanda merupakan satu kaedah terkini yang amat mengkagumkan. Daripada inovasi yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian Negeri Johor dilaporkan teknik ini mampu memberikan peratus kejayaan sehingga 90% dikebun. Mereka mencipta alat yang dinamakan 'Muricata Shaker' yang dibuat dengan harga RM50.00 satu unit dan berjaya menggunakan teknologi ini dibeberapa kebun durian belanda komersil. Ketinggian yang mampu dicapai oleh alat ini melebihi 5 meter (25 kaki) dengan pemegang boleh laras. Teknik gegaran ini perlu dijalankan dari jam 8.00 - 10.00 malam dimana pada waktu tersebut bunga betina dan debunga dalam keadaan reseptif untuk pendebungaan. Alat ini akan diletakkan pada dahan pokok yang berbunga dan di gonchang (gegar) selama beberapa saat lamanya untuk membolehkan debunga jantan jatuh kepada bunga betina. Keupayaan mengguna alatan ini mampu mendebungakan sebanyak 75 kuntum bunga dalam masa satu jam. Hasil buah durian belanda yang dicapai purata beratnya 2.5 kg sebiji dengan sebanyak 40 - 50 biji mampu dihasilkan sepokok setahun. Ia mempu menghasilkan bentuk buah yang sekata simiteri dan dijual sehingga menghasilkan pendapatan sekitar RM 1,250.00 sepokok setahun. Asas kiraan adalah untuk 50 biji x 2.5 kg sebiji x RM10.00 satu kilogram. Kalau anda mempunyai 100 pokok bermakna pendapatan kasar dari ladang menggunakan teknik gegaran dengan syarat penjagaan pokok adalah baik mencapai RM125,000 setahun. Teknologi terkini iaitu Teknik Gegaran untuk proses pendebungaan pokok durian belanda adalah yang terbaik dilakukan oleh semua pemilik kebun durian belanda. Kekangan yang mungkin dihadapi adalah waktu melakukannya pada malam hari, gangguan cuaca, dahan yang rosak atau patah jika salah mengendalikan alatan dan buah yang kecil jika pokok tiada baja dan sistem pengairan.

Pada masa ini kesemua 3 teknik pendebungaan durian belanda telah saya terangkan. Penulis percaya pokok durian belanda akan menjadi satu tanaman yang menarik ramai usahawan untuk menceburinya. Beberapa usahwan kini menebang kelapa sawit, getah dan tanaman buah-buahan lain dan menukar tanaman kepada durian belanda yang ada potensi besar untuk menjana keuntungan. Buah durian belanda yang berkhasiat mampu merawat masaalah kanser, gout dan beberapa masaalah kesihatan lain. Semuga anda mendapat ilmu yang berguna untuk dijadikan bahan rujukkan. Penulis mengucapkan terimakasih kepada beberapa pakar tanaman durian belanda di Jabatan Pertanian dan petani yang memberikan info ini kepada penulis. Wasallam!!!.
DURIAN BELANDA... KELUARKAN BUNGA...
PERLU DIGEGAR... TEKNIK KINI BERJAYA...
HASIL TINGGI... PETANI PALING GEMBIRA...
ARTIKEL DITULIS... RUJUKKAN SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kebun Tanaman Durian Belanda,
(Maran, Bera, Melaka, Johor dll),
Pahang, Malaysia.
(27 Zulhijjah 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...