Support My Blog

Wednesday, October 12, 2016

FERTIGASI BANTAL - SATU INOVASI

FERTIGASI BANTAL?.   Mungkin bunyinya agak pelik kepada mereka yang terlibat dalam penanaman sayuran secara fertigasi. Bagaimana pun anda mungkin setuju dengan terminologi yang penulis berikan jika melihat foto diatas. Inovasi fertigasi bantal adalah kelihatan seperti sebuah bantal hitam (saiznya memang sama dengan bantal tidur dirumah) dan disusun diatas batas yang berasaskan plastik silvershine seakan sebuah tilam tidur. Penulis yang mulanya melihat agak lain kaedah penanaman sayuran ini mendapati ada seluas 4 hektar kawasan kebun sayur ini semuanya ditanam dengan peria (Momordica charantia) menggunakan teknik ini yang menjadikannya sebagai satu teknologi penanaman fertigasi yang baru. Mungkin anda biasa dengan Fertigasi Tertutup, Fertigasi Terbuka, Fertigasi NFT, Fertigasi Rakyat, Fertigasi Gantung dan beberapa jenis penanaman secara fertigasi ini. Bagaimana pun penulis dimaklumkan oleh petani yang membuat fertigasi cara ini iaitu En Wong, dimana kaedah penanaman cara fertigasi bantal menjadi kegemarannya kerana beberapa faktor. Antaranya adalah penghasilan yang tinggi dan keseragaman buah yang amat baik. Buah peria yang dihasilkan juga berkualiti, bersaiz besar dan pokok tahan lama berbanding dengan kaedah fertigasi kaedah konvensional. Ini kerana akar pokok peria mampu untuk mengambil nutrien air baja dalam bantal dan juga jauh masuk kedalam tanah dibawah bantal tersebut. Penelitian penulis mendapati purata hasil yang diperolehi oleh petani ini yang menggunakan sistem fertigasi bantal amat tinggi. Dengan harga baik diperolehi mampu menjamin pendapatan lumayan kepada pengusaha ini. Artikel subuh ini saya terus menulis dalam "Anim Agro Technology" bagaimana kaedah penanaman cara fertigasi bantal ini.


Keperluan asas sistem fertigasi ini hampir sama dengan sistem fertigasi lain kecuali bahagian pangkal pokok yang mana petani akan menggunakan beg plastik saiz besar dibentuk seperti bantal. Plastik besar ini diisikan dengan media tanaman daripada campuran cocopeat dengan tanah dan diikat sehingga membentuk bantal. Ia akan diletakkan diatas batas tanaman yang telah dipasangkan lapisan plastik silvershine (Sila lihat foto disebelah). Apa yang penting adalah kedudukkan bantal tersebut diletakkan ditengah-tengah batas tanaman dengan jaran antara 1.0m - 1.5 meter bergantung kepada kedudukan dan kecerunan batas tanaman. Bantal ini diletakkan betul-betul dibawah jajaran tiang junjung yang seterusnya dipasang dengan jaring atau pukat. Pukat ini adalah buatan China yang kos adak rendah berbanding dengan pukat daripada negara jiran atau buatan tempatan. Setiap lubang penanaman akan diletakkan dua anakbenih yang mana sulur pautnya akan naik melalui pukat dan seterusnya memenuhi ruang para trellis dalam masa 2.00 - 2.5 bulan. Didapati setiap lubang penanaman disediakan paip kecil yang membekalkan air baja diletakkan ditengah-tengah bantal. Permukaan atas bantal dibuat lubang-lubang kecil bersaiz 0.5 cm untuk membolehkan air hujan masuk kedalam tanah dan untuk pengudaraan. Lubang penanaman dibahagian atas bantal membolehkan air baja masuk, pembajaan baja organik (mereka gunakan PCD - Processed chicken dung) sebagai menambah kesuburan tanah.


Fertigasi bantal ini memerlukan kos awal agak tinggi untuk menyediakan infra sistem fertigasi dengan 10 buah tangki untuk membuat air baja dan disalurkan kepada semua bantal. Baja air Set A dan Set B dibuat sendiri oleh petani dimana baja asas dibeli daripada Cameroon Highlands. Katanya baja dari kawasan CH ini berkualiti dan harga berpatutan berbanding dengan pembekal lain. Terdapat 8 buah tangki air dengan kapasiti 1,000 gelen disambungkan dengan sistem fertigasi. Baja fertigasi selalunya dibancuh menggunakan air daripada kolam besar yang jaraknya 180 meter dari pondok bancuhan baja fertigasi. Dua buah pam air petrol jenama Robin digunakan untuk menghantar larutan air baja keseluruhan kebun. Lazimnya air baja akan dihantar duakali sehari iaitu waktu pagi dan waktu petang. Setiap kali pam di hidupkan untuk selama 1.5-2.0 jam mencukupi untuk keseluruhan kawasan. Pemeriksaan pada setiap bantal diakukan setiap masa untuk mempastikan semua bantal akan menerima karutan air baja. Ini mermasuk memeriksa jika ada emitter yang tersumbat atau terputus. Pokok peria akan gagal tumbuh dengan baik jika berlaku gangguan pada sistem pembajaadan pengairan ini. Penelitian penulis dikebunini mendapati pertumbuhan pokok adalah seragam dan subur.

Kawalan musuh dan penyakit dilakukan dengan kaedah semburan racun kimia. Pemeriksaan dibeberapa kuntum bunga mendapati tiada seekor pun kutu thrips yang ujud dikawasan kebun. En Wong juga ada menyatakan semburan racun serangga dilakukan mengikut jadual. Kehadiran Lalat Buah (Daucus spp) juga hampir tiada dikebun ini. Lalat buah dikawal dengan beberapa kaedah seperti memasang perangkap feromon, membuang buah-buah yang gugur ditanah dan membuat semburan racun kimia. Kesemua putik peria tidak dibungkus dan memang tidak dirosakkan oleh lalat buah. Pernah mereka dahulu membalut buah peria dan ianya memerlukan kos yang tinggi dan masa lama untuk menyiapkannya. Selain daripada itu sanitasi atau kebersihan kawasan kebun dijaga dengan baik dimana kawalan rumpai dilakukan secara berjadual. Memetik buah peria dilakukan sejak awal pagi lagi dan dikumpulkan di pondok pusat pengumpulan hasil untuk digredkan mengikut saiz dan kualiti. Lazimnya dgredkan kepada dua dred iaitu Gred A dan Gred B. Gred A adalah buah yang besar dan disukai oleh kaum China sementara Gred B yang kecil sedikit disukai oleh kaum lain termasuk Melayu. Sayur ini akan dihantar ke Pasar Borong Selayang sebelum jam 12.00 tengahari. Menurut petani penanaman peria menggunakan teknologi fertigasi bantal amat memuaskan dan juga lebih menguntungkan jika harga ladang mencecah RM1.80 - RM2.00 sekilogram seperti semasa penulis membuat tinjauan dan temubual. Semuga tulisan ini memberikan info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!...
FERTIGASI BANTAL... TELAH DICUBA...
PLASTIK BESAR... DIISIKAN MEDIA...
DUA POKOK DITANAM...AIR DIBAJA...
HASIL LUMAYAN...PETANI GEMBIRA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Lot 4 dan Lot 5,
TKPM Pulau Manis,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(8 Muharram 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...