Support My Blog

Monday, November 4, 2013

VARIETI - DURIAN (Part 4)

DURIAN (Durio zibethinus) merupakan sejenis buah-buahan tropika yang sangat popular di Asia khususnya di Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand, Indonesia dan juga negara jiran. Buah durian ini hanya dikenali oleh orang-orang barat semenjak zaman kolonial Belanda sekitar tahun 1912 dimana, walau pun ada diantara mereka yang mengatakan bau durian itu busuk (Skunk of the orchard) tetapi durian mempunyai rasa sangat sedap (Morstesen and Bullard ,1964). Sehingga kini pun, buah durian dihalang untuk dibawa masuk kedalam bilik hotel kerana baunya yang kuat akan menganggu penghuni hotel yang lain akibat edaran udara di dalam sistem berhawa dingin. Saya dapati kebanyakan hotel di Malaysia, Indonesia dan Thailand membuat peraturan dan papantanda menghalang buah durian dan Manggis untuk dibawa masuk kedalam bilik penginapan. Durian akan menyebabkan ada bau durian yang kuat dalam hotel sementara getah manggis boleh sebabkan warna hitam yang merosakan cadar tilam atau langsir dalam hotel. Artikel subuh Ahad ini saya bertenaga untuk menulis dalam 'Anim Agro Technology" mengenai senarai varieti durian yang ujud dinegara kita untuk bacaan anda berdasarkan kepada buku rujukan yang saya buat kajian.


Durian merupakan tumbuhan natif dari kawasan di Malaysia dan juga Thailand tetapi kini telah disebarkan ke kawasan lain seperti di Sri Lanka, Selatan India, Myanmar, Vietnam, Filipina, New Guinea dan kini telahb banyak di tanam di Australia Utara. Di Malaysia sahaja terdapat seluas 104,655 hektar tanaman durian dilaporkan oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2011 dengan penghasilan sebanyak 300.47 juta metrik tan yang bernilai RM 1.40 billion. Terdapat banyak spesis durian dan jenis yang popular ditanam adalah Durio ziberthinus Murr. . Antara spesis lain yang boleh dijumpai dibeberapa lokaliti seperti di Borneo, Indonesia dan Thailand adalah seperti durian dinamakan sebagai Lai (Durio kutejensis), Keratongan Durio oxleyanus (Hairy durian), Tabelak (Durio graveolens - Red Durian) dan Lahong (Durio dulcis - Durian berbau kuat). Spesis tersebut adalah spesis yang jarang kita jumpa. Durian dalam pengkelasan adalah dibawah Order Malvales iaitu dalam Keluarga Bombaceae. Keluarga Bombaceae mempunyai 200 spesis dimana genus Durio mempunyai 28 spesis yang mana 19 spesis daripadanya terdapat di kepulauan Borneo. Banyak tu! . Daripada 19 spesis tersebut, didapati sebanyak 14 spesis terdapat di Sabah dan 16 spesis di Sarawak (Abang Mokhtar, 1991). Adakah spesis-spesis durian natif ini telah diambil orang lain dan digunakan untuk program pembiakbaka oleh negara mereka?.

Pokok durian besar iaitu tingginya mencapai 35 - 45m tetapi pokok durian yang dibiakkan secara tampang bersaiz sederhana iaitu 10 -15m tinggi. Kebanyakkan pokok yang berasal daripada biji mempunyai banir di pangkalnya. Daun durian jenis mudah dan berbentuk bujur panjang,iaitu 6 -12cm panjang dan 2- 4cm lebar. Tangkainya bersinus dan panjangnya kira-kira 1cm. Permukaan daun berwarna hijau tua berkilat dan permukaan bawahnya berwarna keemasan. Bunga dikeluarkan dalam jambak, setiap jambak mengandungi 40-50 kuntum bunga. Kudup bunga berbentuk bulat dan ditutupi epikaliks. Kelopak bunganya lima, berbentuk sesudu dan berwarna putih kekuningan. Salut bunganya bercuping 4-6 dan bercantum dipangkal. Stamennya banyak berbentuk berkas dan benang sarinya panjang ( 3-5cm ). Dihujungnya terdapat stigma yang bulat berwarna jingga. Buah durian besar iaitu bergaris pusat 18-20cm dan bentuk bulat atau bujur panjang. Kulitnya tebal dan berduri tajam. Warna kulit hijau atau hijau kekuningan. Tangkai berbentuk silinder kira-kira 3-6cm panjang. Buah mempunyai lima pangsa di mana setiap pangsa mengandungi 1-6 ulas isi. Isinya berwarna putih kuning atau kuning keemasan. Tekstur, aroma, rasa dan ketebalan isinya juga berbeza-beza bergantung pada varieti. Bijinya bujur panjang dan berwarna perang muda hingga coklat.

JADUAL 1: VARIETI DURIAN DARI D147 HINGGA D171

Durian Tok Litok (D169)
Jadual 1 diatas menunjukkan 25 varieti durian (Dari D147 hingga D171) yang telah didaftarkan di negara kita yang boleh dibuat rujukkan. Pendaftaran varieti durian pada tahun 1986 adalah D147 (Durian Paya Lintah Kuning) dari Perak dan varieti ke 100 iaitu D171 (Durian Sg. Sut) yang telah didaftarkan pada 1989. Varieti durian D134 (Bertanda tm) mungkin telah pupus akibat bencana alam, perang dunia ke 2 dan juga akibat serangan perosak dan penyakit. Dalam siri varieti durian kali ini agak banyak juga varieti yang popular dan dikomersilkan oleh petani. Antaranya adalah varieti agak popular seperti Varieti Kan Yau (D158 - Sangat popular di Thailand untuk Ekspot), Durian MonThong (D119 - sangat popular di Thailand), Varieti Durian Hor Lor (D163) dan juga Varieti Durian Tok Litok (D169). Foto diatas sekali adalah varieti Kan Yau di Pasar ThallatThai, Bangkok yang saya lawat tahun 2012 lepas. Negara Thailand merupakan pengekspot terbesar durian segar dan durian proses didunia (Sila baca artikel berkaitan - Sila klik disini). Durian varieti Tok Litok (D169) telah saya makan di Stesyen Pertanian Tangkak beberapa tahun dulu dimana rasanya memang sedap dengan aroma yang sederhana kuat. Sila rujuk artikel ini Part 1,2,3 dan 5 untuk maklumat lanjut. Wasallam!

VARIETI DURIAN.. ADUH BANYAKNYA...
DARI D1 HINGGA D199... JUMLAHNYA...
ADA YANG PUPUS... APA SEBABNYA...
PILIH YANG DISYORKAN... ADA BENIHNYA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Ladang Tepositori Durian,
Serdang, Selangor,
Malaysia.
(15 Ramadan 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...