Support My Blog

Monday, November 18, 2013

POKOK KELAT PAYA

POKOK KELAT PAYA (Eugenia papilose) adalah sejenis tumbuhan renek yang kini menjadi pilihan kepada ahli landskap iaitu satu kumpulan dengan pokok jambu. Ada juga yang mengatakan pokok kelat paya ini adalah daripada jenis Syngium campanulatum. Tumbuhan ini adalah natif dikawasan Asia terutamanya Asia Tenggara dan merupakan jenis renek (Shrubs). Ia terdapat didalam hutan di Malaysia dan negara-negara jiran yang lain dengan semulajadi terutama diatas tanah yang subur. Kalau kita google akan mendapati nama pokok kelat paya ini bermacam-macam dan mengelirukan. Tanaman yang mudah dijaga dan kini sangat popular sebagai tanaman landskap menghiasi dibanyak lokasi strategik. Pembekal anakbenih kelat paya juga mampu senyum kerana banyaknya permintaan untuk benih pokok tersebut akibat banyak lokasi kawasan perumahan baru, premis atau kompleks perniagaan dan taman landskap yang dibina dibandar-bandar utama di negara kita. Artikel petang ini saya meulis dalam "Anim Agriculture Technology" mengenai penanaman pokok kelat paya yang kini menjadi sangat popular dikalangan mereka yang terlibat dalam industri landskap. Saya bangga kerana artikel ini adalah merupakan tulisan yang ke 1,999 dalam siri penulisan artikel  yang saya telah diterbitkan.


Pokok Kelat Paya merupakan pokok renek dan tumbuh menegak dengan dahan yang banyak cabang. Pokok ini mempunyai bentuk yang merimbun dan kedudukan daun yang sangat padat. Daunya mempunyai beberapa peringkat warna iaitu warna hijau tua (daun matang), Hijau Muda (Daun Muda) dan Ungu Kemerahan (Pucuk Daun) yang menjadikan ianya aman cantik dan menarik (Lihat foto sebelah). Jumlah daun yang banyak ini membolehkan ianya sangat sesuai untuki dijadikan tanaman pagar atau deretan tanaman yang sangat cantik apabila ditanam. Daun yang bersaiz kecil sekitar 10  - 15 cm panjang dan 4-7 cm lebar ini mudah dipotong untuk dijadikan permukaan deretan tanaman yang mudah dibentuk. Pokok ini juga boleh ditanam secara individu disepanjang lokasi yang menarik sebagai tanaman hiasan. Batangnya terdiri daripada kayu yang keras dan liat untuk patah walau pun ditiup angin kuat. Pokok ini jarang menghasilkan bunga dan buah.


Penanamanan pokok kelat paya mula dipopularkan sekitar tahun 1990'an secara aktif terutama dilokasi baru yang perlukan tanaman landskap seperti didalam kawasan Majis Kerajaan Tempatan (Kawasan Perbandaran), Tanaman Pagar, di sepanjang tepi jalanraya dan kawasan taman rekreasi serta kompleks pejabat atau gedung perniagaan. Pokok kelat paya juga ditanam dikeliling kawasan hotel-hotel, pejabat-pejabat kerajaan serta kawasan umum yang lain. Kebanyakannya berfungsi sebagai tanaman untuk hiasan dan juga sebagai 'Tanaman Pagar' dikeliling kawasan premis dan kompoun pejabat. Tanaman kelat paya mudah ditanam dan diselenggara kerana daun tua yang gugur tidak berterabur, mudah dipotong dan sesuai dibentuk pada paras yang dikehendakki. Pembajaan tumbuhan ini juga hanya perlukan baja NPK 15:15:15 iaitu untuk menghasilkan daun yang subur walau pun kebanyakan pokok yang ditanam ditepi jalanraya jarang dibaja. Tumbuhan ini juga tidak dimakan oleh haiwan peliharaan seperti kambing dan lembu menjadikan ia amat sesuai untuk dijadikan tanaman pagar. 


Tumbuhan ini mudah ditanam dengan menggunakan anakbenih dari polibeg yang disediakan oleh pengusaha nurseri. Harga anakbenih bergantung kepada saiz dan jenis kelat paya daripada harga serendah RM 6.00 sepokok sehingga lebih RM100.00 sepokok. Pokok besar yang dijual dinurseri landskap memang agak mahal. Sediakan lubang penanaman dan diisikan dengan baja asas seperti MOP dan baja organik yang digaul dahulu. Jarak penanaman bergantung sama ada untuk tanaman pagar tanaman hiasan yang jarang-jarang atau ikut kesesuaian (Lihat foto sebelah) atau untuk tanamaan pagar (sangat rapat). Jalankan penyiraman dan penjagaan selepas ditanam. Pokok ini mudah tumbuh dan boleh dikatakan tidak ada serangga perosak atau penyakit serius menyerang. Apa yang penting dalam tanaman landskap kelat paya adalah kekerapan menjalankan cantasan (Pruning). Lakukan aktiviti cantasan pembentukkan dan cantasan penyelenggaraan mengikut kesesuaian landskap. Semuga artikel kelat paya ini memberikan sedikit info yang berguna kepada pembaca blog "Anim Agro Technology". Wasallam!   


Deretan pokok kelat paya ditepi jalanraya.
POHON HIASAN....KELAT PAYA...
BENIH DITANAM... PERLU DIJAGA...
DAUN CANTIK... BEBERAPA WARNA...
MENJADI HIASAN... BAIKI SUASANA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kompleks Pertanian Jubli Perak
Sultan Haji Ahmad Shah,
Indera Mahkota, Kuantan,
Pahang, Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...