Support My Blog

Friday, November 29, 2013

LEBAH - JARAK MENCARI MAKAN

LEBAH MADU (Apis cerana Fabr) merupakan sejenis serangga yang mampu menghasilkan madu dan produk perlebahan yang lain seperti LILIN, ROYAL JELLY, PROPOLIS, DEBUNGA dan sebagainya. Industri ternakan lebah madu di Malaysia masih ditahap kecil-kecilan dan tidak banyak berkembang semenjak 25 tahun dahulu kerana industri ini kurang mendapat perhatian pengusaha lebah madu. Walau pun permintaan madu lebah terus meningkat saban tahun, kajian saya mendapati pengeluaran madu lebah tempatan tidak bertambah malahan boleh saya katakan sebagai semakin menurun akibat banyak faktor. Pengeluaran madu lebah diantara 8 - 10 metrik tan setahun sedangkan kadar permintaaan jauh lebih tinggi lagi. Antaranya faktur adalah disebabkan oleh bilangan penternak yang semakin kurang, faktur persekitaran yang tidak sesuai untuk penternakan lebah (Asap, pencemaran udara, penebangan hutan), kekurangan teknologi penternakan komersil, Amat kurang spesis lebah yang produktif serta kurangnya insentif dalam sektor ini. Bagaimana pun tekanan paling hebat adalah kerana ujudnya madu tiruan (Hampir 60% bekalan madu lebah dipasaran) yang jauh lebih murah harganya dan mudah diperolehi. Pengurusan ternakan dan teknologi sedia ada juga tidak banyak membantu penternak lebah untuk mendapatkan pulangan optima. Kekurangan sumber makanan  lebah madu dan bunga bermusim tidak berterusan, gangguan musuh dan penyakit serta kurang spesis lebah madu yang baik terus menjauhkan penternak lebah untuk tidak aktif dalam industri ini. Artikel malam ini saya berupaya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai bagaimana lebah madu mencari makanan nektar dari bunga dan jarak penerbangan lebah madu daripada beberapa pemerhatian yang saya buat dan laporan kajian yang dijalankan di Indonesia dan Malaysia untuk rujukkan. 


Pemerhatian saya dibeberapa projek penternakan lebah madu di seluruh negara mendapati, lokasi penternakan lebah madu kebanyakkan berada dikawasan kebun kelapa, kebun belimbing, kawasan dusun bercampur, sekitar hutan gelam, ladang nenas, kawasan rumput israel, kebun jagung dan beberapa kawasan tumbuhan berbunga lagi. Penternakan lebah madu lazimnya bergantung kepada sumber makanan seperti nektar, debunga dan air. Koloni lebah akan mendapatkan sumber NEKTAR atau manisan dari bunga dan juga debunga untuk dijadikan sumber makanan. Lebah pekerja akan mengunjungi setiap kuntum bunga dikawasan yang ada berdekatan untuk menyedut nektar dan membawa balik kesarangnya atau haif. Ketika memasukki kuntum bunga, bahagian kaki lebah sering melekat debunga untuk juga dibawa balik kedalam sarang sebagai sumber keperluan. Keadaan cuaca panas dan terang (tidak hujan) membolehkan lebah pekerja sangat aktif terbang pergi dan balik daripada haif untuk mengunjungi banyak bunga beberapa kali dalam satu hari. Kerajinan lebah memang tidak dapat dinafikan lagi dalam menjalankan tugas.


Lazimnya beberapa ekor 'lebah peninjau' akan membuat tinjauan dimana lokasi bunga atau sumber makanan. Mereka akan balik kehaif dan membuat 'Tarian Lebah" atau bahasa teknikalnya 'Bee Dancing' yang yang amat unik pergerakannya. Lebah peninjau akan mengegarkan abdomennya dengan beberapa bentuk gerakan dan ianya diikuti oleh lebah-lebah pekerja lain yang menunjukkan lokasi kedudukan bunga (Lihat foto sebelah). Bentuk tarian ini ada beberapa bentuk bergantung kepada kedudukan haif dengan lokasi sumber makanan, jarak dan arah matahari sebagai panduan. Itu sebabnya lebah akan mampu mencari lokasi dan jarak antara keduanya dengan tepat. Lagi banyak sumber makanan dikawasan penternakan lebah akan lebih banyak lebah pekerja yang akan datang mengunjungi setiap kuntum bunga yang sedang mekar. Keupayaan aktiviti ini melibatkan beribu-ribu ekor lebah dari beberapa haif lebah disekitar kawasan penternakan. Setiap kuntum bunga akan dikunjungi berulangkali oleh beberapa ekor lebah sehingga petang hari. Berapa jauhkah lebah madu boleh terbang untuk mereka mencari makanan?.


Saya membaca beberapa kajian dan juga memerhatikan mengenai aktiviti lebah madu mencari makanan. Tujuan pemerhatian ini adalah untuk mengetahui seberapa jauh jarak lebah madu mampu mencari makan (foraging distance) oleh spesis lebah keran (Apis cerana) dan pola kegiatan lebah pekerja untuk ke luar dari sarangnya (Haif) bagi mencari makanan. Lebah akan mengunjungi beberapa jenis bunga yang ada nektar terdiri dari beberapa jenis tumbuhan yang ada sebagai sumber makanan. Apa yang dilakukan adalah dengan kaedah pemerhatian dimana lebah pekerja akan di tandakan dengan pewarna. Lebah-lebah ini lazimnya akan terbang mengunjungi bunga pada setiap plot yang mana penelitian akan dijalankan. Jarak pemerhatian ada 6 variasi jarak untuk kajian iaitu pada jarak 100m, 250m, 400m, 550m, 700m dan 850 meter dari sarang atau haif. Setiap lebah madu yang ke luar sarang dihitung atau dikira pada setiap jarak masa 30 minit. Ia dilakukan selama 4 hari berturut turut dari jam 8.00 pagi sampai jam 5 petang pada hari dimana cuaca baik dan tidak hujan. Setiap pengamatan memerlukan waktu satu minit berapa ekor lebah yang keluar dari haif. Catitkan jumlah berapa ekor lebah yang keluar dan balik kesarangnya dan dikutip data mengenainya. Kerja ini memang amat meletihkan kalau kurang sabar.


Sementara itu satu laporan dari Indonesia yang saya buat perbandingan mendapati, mereka menjalankan kajian dengan mempastikan bahawa plot pemerhatian yang dipilih secara sistematik mengikut kaedah lingkaran dari Dobzansky dan Wright. Kaedah ini menentukan  sebanyak 30 dan 42 plot untuk setiap lokasi dengan diulang masing-masing 4 dan 3 kali. Hasil dari kajian agak tidak jauh berbeza dengan yang kita jalankan di Malaysia. Beberapa penemuan kajian adalah boleh dirumuskan seperti perbincangan berikut. PERTAMA adalah temuan dimana pola (trend) bagi kegiatan Lebah Keran Apis cerana  yang keluar dari sarang mencari makanan adalah cenderung keluar masuk (Aktif) dengan waktu puncak. Ini direkodkan dimana kegiatan pada waktu pagi daripada pukul 10.00 pagi dan aktiviti akan menurun sampai minimum pada pukul 1.30 tengahari. Kemudian menjelang waktu petang hari didapati aktiviti memuncak lagi diantara pukul  2.30 - 3.00 petang. Trend ini kemudian menurun kembali sehingga pukul 6.00 petang dimana selepas jam ini tidak ada lagi lebah pekerja yang keluar dari sarang. KEDUA temuan kajian yang didapati menunjukkan jarak paling Optima (Paling tinggi polulasi) lebah keran mencari makan  adalah pada jarak 400 m hingga 550 m dari haif. KETIGA dari hasil temuan mengenai beberapa jenis tumbuhan atau spesies tumbuhan yang disukai untuk dikunjungi lebah keran sebagai sumber makanannya adalah Jenis Calliandra calothyrsus Meissn., Jagung (Zea mays L.), Hyptis pectinata Poir., Persea americana dill. , Borreria alata Schum., Borreria laevis Griseb dan akhirnya ikut turutan ialah Coreopsis qrandiflora Nutt. Semuga tulisan ini dapat memberikan ilmu mengenai penternakan lebah madu yang berguna kepada anda. Wasallam!


Haif lebah yang dibuat kajian.
LEBAH TERBANG...BERAPA JAUHNYA...
MENCARI NEKTAR...KUNJUNGI BUNGA...
TARIAN LEBAH..MEMANG AMAT UNIKNYA..
MENGHASILKAN MADU...KUTIP HASILNYA...

By,
M Anem,
Senior Apiarist,
Projek Ternakan Lebah,
Kg Air Baloi, Pontian,
Johor, Malaysia.
(18 Muharam 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...