Support My Blog

Saturday, September 3, 2022

INDUSTRI UBI-UBIAN - BAGAIMANA (Part 2)

TANAMAN UBI-UBIAN
(Tubers) merupakan sejenis tanaman yang lazimnya berada dalam tanah dan mengalami perubahan ukuran dan bentuk (pembengkakan) sebagai akibat daripada perubahan fungsinya. Lazimnua bahagian organ yang akan membentuk umbi terutama adalah batang, akar atau pun dari modifikasinya. Hanya sedikit jenis tumbuhan yang membentuk umbi dengan melibatkan daunnya. Kehebatan kebanyakan ubi-ubian adalah disebabkan ia kaya dengan Karbohiderat. Pada penulis blog ini dapati dimana tanaman umbi-umbian merupakan salah satu jenis tanaman yang sering dijadikan bahan makanan penting sejak zaman dahuu oleh masyarakat khususnya di kawasan pendalaman dan desa sebagai pengganti kepada beras. Kepentingan tanaman umbi-umbian yang lazim diketahui masyarakat di Malaysia memang terhad kepada tanaman umbisi seperti Ubi kayu (Cassava atau tapioca), Keledek (Sweet potato) dan jenis Keladi (yam). Sebenarnya kentang (Solanum tuberosum) merupakan tanaman ubi-ubian yang paling dikomersilkan diseluruh dunia. Ada banyak tanaman ubi-ubian yang lain seperti sengkuang, ubi kemili, porang, ganyong dan banyak lagi. Pada penulis blog mendapati dimana industri tanaman ubi-ubian di Malaysia terdiri daripada tiga jenis ubian utama iaitu ubi kayu, ubi keledek dan ubi keladi yang mendapat bantuan dan ada teknologinya. Selain dimakan segar hasil setiap jenis ubian ini diguna secara meluas dalam industri makanan. Diantara kegunaan ubi-ubian yang dikenalpasti termasuk dalam industri makanan adalah seperti penambah perisa (monosodium glutamate), pemanis, kertas, tekstil dan tepung yang dihasilkan menggunakan kanji yang diekstrak daripada ubi kayu. Dalam pada itu dilaporkan dimana hasil pelet ubi kayu pula boleh digunakan dalam menghasilkan produk inovasi seperti makanan haiwan ternakan. Ubi keledek pula adalah merupakan tanaman ubian yang banyak digunakan dalam masakan serta dibuat snek makanan ringan. Penulis blog sempat meninjau usahawantani En Badri yang menanam Keledek Oren di Kg Changkat Tualang, Gopeng, Perak berkeluasan 30 ekar (Sila lihat foto diatas). Keledek oren ini dihasilkan untuk pasaran domestik dengan artikel tersebut boleh diakses pada patan berikut (Sila klik disini). Daun ubi keledek juga sering digunakan sebagai makanan segar, diproses dan boleh dijadikan makanan ternakan oleh penternak. Terdapat juga beberapa negara membangun yang lain seperti Kenya dan Nigeria yang menggunakan ubi kayu dan ubi keledek ini sebagai sumber hidrokarbon etanol. Artikel pada pagi Jumaat ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan info mengenai bagaimana status tanaman ubi-ubian dunia dan di Malaysia untyk dijadikan bahan rujukkan semua.

Mengenai status tanaman ubi-ubian di Malaysia dalam senario p
erdagangan antarabangsa tidak banyak maklumat yang dilaporkan. Rekod pada tahun 2018 menunjukkan dimana nilai dagangan eksport ubi keledek Malaysia dilihat ada meningkat pada kadar pertumbuhan 1.4% kepada RM1.828 juta (USD408,000) berbanding dengan RM1.807 juta (USD403,400) jika dibanding dengan tahun 2017. Manakala pertumbuhan tahunan terkumpul CAGR mengalami nilai penguncupan sebanyak -6.04% setahun bagi tempoh 2013 - 2018. Destinasi utama pasaran eksport ubi keledek Malaysia ialah Singapura dengan nilai dagangan sebanyak USD371 ribu atau pun sebanyak 90% daripada jumlah eksport ubi-ubian daripada keseluruhan. Jika hendak dibandingkan dengan nilai import ubi keledek pada tahun 2018 yang dilihat meningkat sedikit pada kadar pertumbuhan 2.0% dengan nilai USD7.8 juta berbanding dengan USD7.6 juta pada tahun 2017. Bagi tempoh 2013 - 2018 pula purata pertumbuhan tahunan terkumpul, CAGR adalah sebanyak 7.92%. Negara Vietnam merupakan negara pengeksport utama keledek ke Malaysia dengan nilai dagangan RM19.27 (USD4.3) juta dengan sumbangan sebanyak 55.3% diikuti oleh Indonesia dengan nilai RM7.17 ( USD1.6 juta) iaitu sebanyak 21.7% dan ia diikuti dengan negara Thailand sebanyak RM4.03 juta (USD0.9 juta) (11.6%). Banyak faktor yang menyebabkan tanaman keledek tidak berkembang di Malaysia antaranya kekurangan tenaga pekerja, tanah yang kurang subur (kebanyakan tanaman keledek di Perak berada dikawasan bekas tanah lombong) dan kos pengeluaran yang agak tinggi berbanding dnegan pulangan.

Dalam pada itu tanaman ubi kayu pula menunjukkan jumlah ekasport dari 
Malaysia menunjukkan trend yang tidak menentu bagi tempoh 2013 - 2018. Nilai eksport telah meningkat daripada sekitar RM4.03 juta (USD893,200) pada tahun 2013 kepada RM4.93 juta (USD1.1 juta) pada tahun 2016 dan menurun kepada sebanyak RM3.85 juta (USD859,400) pada tahun 2018. Purata kadar pertumbuhan tahunan terkumpul CAGR bagi tempoh 2013 - 2018 bagi eksport ubi kayu Malaysia juga menunjukkan penguncupan sebanyak -0.77%. Jepun dan Singapura merupakan pasaran terbesar ubi kayu Malaysia dengan syer eksport masing-masing ialah 58% (RM2.24 juta atau RM1.36 juta atau USD501 ribu untuk Jepun) dan 35% (USD303.0 ribu untuk Singapura). Pada tempoh yang sama data menunjukkan meskipun import ubi kayu meningkat secara mendadak daripada RM67.21 (USD1.5 juta) pada tahun 2013 kepada RM14.34 juta (USD3.2 juta) pada tahun 2018 iaitu dengan kadar peningkatan sebanyak 108% namun purata kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) yang dicatatkan bagi tempoh 2013 - 2018 adalah sebanyak 15.75% sahaja. Thailand merupakan negara pengeksport utama ubi kayu di rantau ini dengan jumlah nilai dagangan sebanyak RM8.07 juta (USD1.8 juta) iaitu sekitar 57%. Penulis blog juga pernah membuat tinjauan teknologi kawasan tanaman ubikayu di Thailand dimana jenis ubi kayu untuk dijadikan produk makanan dan biodiesel antara yang paling popular ditanam dan diusahakan. Terdapat banyak kilang memproses produk daripada ubi kayu di Thailand yang mana ini telah pun ianya menjadikan industri tanaman ubikayu berjaya dikomersilkan. Makluma mengebai jumlah eksport dan import keladi tidak ada maklumat untuk dirujuk. Ini kemungkinan keladi masih dalam peringkat kurang dikomersilkan untuk mendapatkan data.

Dalam pada itu berkait dengan kadar p
ermintaan ubian meningkat di pasaran tempatan telah dibangunkan teknologi produk makanan dan minuman untuk kesihatan dan fungsian berasaskan ubian. Terkini dilaporkan melalui inovasi produk bijrin sarapan berasaskan ubi keledek ungu (varieti Anggun) telah pun ianya menghasilkan bijirin bernutrisi yang mengandungi antosianin. Antosianin merupakan sejenis antioksida yang terdapat dalam pigmen ungu ubi keledek, didapati sangat berkesan untuk mencegah dan mengurangkan risiko penyakit kronik seperti kanser. Berdasarkan kajian penerimaan pengguna terhadap produk sarapan bernutrisi dengan antosianin dimana majoriti pengguna (98%) menerima produk tersebut berdasarkan keseluruhan atribut produk (aroma, warna, rupa, rasa bijirin dengan susu, rasa bijirin dengan bahan lain dan rasa bijirin sahaja). Dapatan kajian ini berguna kepada usahawan dan pemain industri dalam menggariskan strategi pemasaran bagi produk makanan dan minuman berasakan ubian. Selain itu, inovasi produk makanan berasaskan ubi keledek ungu yang telah dibangunkan termasuk crisp, smoothies, aiskrim, bubur bervitamin, komposit bar dan kandi bertenaga tinggi juga mencatatkan penerimaan yang baik dalam kalangan pengguna.

Mengenai pembangunan teknologi tanaman ubi-ubian di Malaysia dimana MARDI Telong dijadikan pusat penyelidikan tanaman ubi-ubian yang masih berjalan. Akhbar lokal  utusan.com melaporkan dimana 
MARDI Telong, di Bachok, Kelantan dinaik taraf sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Ubi-Ubian (COE) MARDI sebagai usaha membangunkan sektor pertanian industri hiliran terutama yang berasaskan keledek. Pihak MAFI mendakwa dimana ada penarafan baharu ini adalah penghargaan kepada pakar dan penyelidik yang merealisasikan MARDI sebagai gedung ilmu kepada petani. MARDI Telong mengumpulkan sebanyak 40 jenis ubi keledek dari dalam dan luar negara.  Komponen varieti keledek adalah bahan utama penyelidikan bagi melihat potensi selain dijadikan induk bagi program pembakaan.  Selain kajian tanaman, MARDI Telong juga dilihat berjaya menghasilkan penyelidikan bagi penghasilan produk hiliran dalam membangunkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sekali gus mampu melahirkan usahawan baharu. Dia derkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian COE, Pelancaran Varieti Baharu, Produk Hiliran dan Manual Teknologi Ubi Keledek di MARDI Telong dan turut mereka memperkenalkan ubi keledek jenis baharu yang dikenali sebagai Keledek Lembayung. Penyelidikan berasaskan ubi-ubian bagi membantu peningkatan pengeluaran dan ekonomi petani menerusi strategi baharu mempromosikan makanan berkhasiat sejak empat tahun lalu. Ubi baka baharu ini berupaya menjadi bahan utama bagi penghasilan kek cawan dan aiskrim. Baka ini boleh diusahakan sebagai anak benih yang memuatkan 30,000 anak benih untuk satu hektar. Apa pun dinyatakan setakat ini, lebih 3,000 petani di Kelantan, Perak dan Johor mula mengusahakan baka keledek itu.  Selaras dengan peningkatan industri makanan dan minuman, industri ubian (ubi kayu dan ubi keledek) mampu serta berpotensi untuk berkembang pada masa akan datang. Ini dapat dilihat daripada trend import yang semakin jumlahnya meningkat menunjukkan tahap kebergantungan kepada bekalan ubian import semakin tinggi bagi memenuhi permintaan industri makanan terutamanya dalam industri pemprosesan snek makanan ringan yang semakin mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pengguna Malaysia. Pembangunan teknologi makanan berasaskan ubian juga sangat penting bagi memenuhi keperluan pasaran semasa. Selain itu, tanaman ini juga boleh dijadikan sebahagian daripada usaha untuk mempelbagaikan pengeluaran industri asas tani yang turut menjadi agenda nasional. Secara tidak langsung, ini membuka peluang kepada petani meningkatkan ekonomi serta mengkomersialkan produk-produk daripada tanaman ubian ini. Artikel ini ditulis dalam dua segmen iaitu Part 1 dan Part 2 yang perlu dibaca bersama. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!.
TANAMAN UBI-UBIAN...KINI  DIBICARA...
UBI KAYU, KELEDEK... KELADI PUN ADA...
MAKLUMAT PENTING...RUJUKKAN SEMUA...
MENAMBAH ILMU... RASA SUKACITA JUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(19 Jamadilawal 1443H).
Kemaskini pada September 2022.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...