Support My Blog

Wednesday, September 28, 2022

RACUN MAKHLUK PEROSAK - APA DIA?

RACUN MAKHLUK PEROSAK (Pesticide) atau Racun Kimia merupakan sejenis racun perosak yang ditakrifkan sebagai sebarang bahan atau sebatian bertujuan untuk mengawal, mencegah, memusnah, melemah, menghalau, melegakan atau mengurangkan jumlah populasi makhluk perosak sama ada tanaman atau ternakan dan alam sekitar. Ramai diantara kita kurang faham mengenai racun kimia ini. Kalau dirumah kita sering didedahkan dengan Racun Aerosol untuk tujuan membunuh nyamok, lipas dan serangga kecil lain. Racun perosak kini mungkin terdapat dalam bentuk bahan kimia, agen biologi (seperti virus atau bakteria), anti-mikrob, bahan penyah-jangkit atau alatan digunakan terhadap apa-apa jenis makhluk perosak. Daalam pembelajaran mengenai serangga (Entimologi) dikatakan bahawa makhluk perosak (pests) termasuklah serangga, patogen tumbuhan, rumpai, moluska, burung, mamalia, ikan, nematod dan mikrob yang merosakkan benda, menyebarkan penyakit atau menjadi vektor untuk penyakit. Walaupun ada kebaikan dalam menggunakan racun perosak, ia tetap ada keburukannya seperti potensi keracunan terhadap manusia dan haiwan lain. Racun perosak boleh dikategorikan kepada empat peganti kimia iaitu racun rumpai, racun kulat, racun serangga dan racun bakteria. Artikel malam ini saya menulis maklumat teknikal dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai racun makhluk perosak yang asas untuk semua pembaca fahami.

Racun perosak telah lama digunakan iaitu sejak dari zaman dulu walau pun masa itu bahan kimia yang digunakan adalah dalam bentuk ringkas. Bahan asas Sulfur telah digunakan untuk mengawal serangga sejak dulu tetapi kini dengan perkembangan teknologi, berbagai jenis racun kimia dicipta secara besar-besaran untuk mengawal perosak dan seterusnya mampu meningkatkan produktiviti pertanian. Racun sekarang adalah lebih spesifik dan mempunyai tahap toksik yang kurang merbahaya kepada manusia. Kajian penulis mendapati kini terdapat beberapa jenis racun kimia terdiri daripada Racun Algae (Algaecide) yang mengawal masaalah Algae, Racun Burung (Avicide) untuk kawal burung, Racun Bakteria (Bacteriacide) mengawal bakteria, Racun Kulat (Fungicide) untuk kawalan masaalah Kulat.  Selain itu terdapat juga Racun Serangga (Insecticide) yang mengawal serangga, Racun Kutu (Miticide/Acaricide) bagi kawalan masaalah Kutu, Racun Moluska (Molluscicide) bagi kawalan siput, Racun Nematod (Nematicide) yang mengawal cacing nematod dan Racun Roden (Rodenticide) yang membunuh tikus. Terdapat beberapa jenis racun baru lagi yang merupakan produk berasaskan organik yang lebih mesra alam dipromosikan oleh pihak tertentu.

Di Malaysia telah mempunyai sistem kawalan mengenai pembuatan, pengerdaran, penjualan, penyimpanan, perlabelan, penggunaan dan yang dilakukan. Dalam Akta Racun Makhluk Perosak 1974, racun perosak ditakrifkan sebagai sebarang bahan yang digunakan untuk mengawal penyebaran atau untuk membunuh perosak-perosak seperti kulat patogen, serangga, haiwan dan rumpai. Anda boleh baca akta tersebut yang saya tulis sebelum ini  (Sila klik disini). Berdasarkan definasi yang tercatat dalam akta ini, ternyata racun perosak dikelaskan dalam racun yang mempunyai kepentingan dari segi ekonomi dan kesihatan. Terdapat beberapa kelas racun perosak dalam istilah Inggeris yang berakhir dengan "cide", yang berasal daripada perkataan Latin bermaksud "untuk membunuh". Misalnya racun serangga (insecticide) yang digunakan untuk membunuh serangga, racun rumpai (herbicide) untuk mengawal rumpai, racun kulat (fungicide) untuk membunuh kulat patogendan racun bakteria (bactericide) untuk membunuh bakteria. Selain daripada bahan-bahan tersebut terdapat juga sebatian-sebatian kimia yang tidak mempunyai akhiran cide tetapi masih tergolong di dalam racun perosak. 

Kalau kita hendak membeli racun kimia, perlu fahami asas mengenai racun. Lazimnya semua racun perosak mesti mempunyai tiga jenis nama iaitu nama biasa, nama dagangan dan nama kimia. Kaedah ini dinyatakan dengan jelas didalam peraturan yang ditetapkan oleh akta. Contohnya racun sebelah adalah 'LINDANE' sebagai nama dagangan iaitu jenama sesuatu keluaran racun perosak yang diberikan sendiri oleh pihak pengeluar atau pengilang. Terdapat beberapa racun perosak yang mempunyai perawis aktif yang sama tetapi mempunyai nama dagangan yang berbeza-beza bergantung kepada pengeluar. Paling mudah untuk dijadikan contoh adalah racun paraquat iaitu nama biasa mempunyai pelbagai nama dagangan seperti Gramoxone® (keluaran I.C.I), Harquat® (Crop Protection), OZA 276 (Rachuta) dan berbagai-bagai lagi nama lain. Terdapat juga syarikat pengeluar yang sama menggunakan nama dagangan yang berbeza disebabkan perbezaan kandungan dalam perumusan tersebut. Nama kimia sesuatu molekul racun adalah berasaskan prinsip-prinsip yang ditentukan oleh Perkhidmatan Abstrak Bahan Kimia yang dianggap sebagai piawai di seluruh dunia. Nama kimia ini biasanya ditulis di bawah formula struktur sesuatu sebatian. Sekiranya ia tidak diketahui, maka formula molekul yang hanya mengandungi bilangan atom sahaja ditulis. 

Setiap racun perosak boleh diformulasi dan didapati dalam beberapa bentuk perumusan yang berbeza iaitu sama ada dalam bentuk emulsi pekat, serbuk atau granul. Racun Furadan 3G (Sila lihat foto sebelah) adalah racun popular yang mempunyai bentuk butiran (Granules). Racun Furadan juga contohnya merupakan racun paling popular diguna kalangan penanam tebu dan sayuran bagi mengawal ulat batang yang berkesan. Bagaimana pun racun ini adalah jenis sistemik yang mempunyai PHI agak lama. Kajian saya mendapati jenis rumusan CECAIR merupakan antara yang paling popular dan banyak dijual dipasaran kerana ia mudah digunakan, dibotolkan dan praktikal. Petani perlu membuat pilihan yang dibuat berasaskan keberkesanan dalam mengawal perosak dan kesesuaian alat penyembur. Kadar penggunaan yang sangat tinggi untuk racun perosak menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai kerana terdapat bukti bahawa ia telah menimbulkan berbagai-bagai kesan buruk ke atas alam sekitar dan manusia sendiri. Terdapat pelbagai kesan dalam tindakan penggunaan racun perosak seperti kesan kewujudan bagi kerintangan perosak terhadap bahan yang digunakan. Ini bermakna perosak lali (immune) terhadap racun yang sering digunakan. Keadaan ini selalunya wujud akibat penggunaan satu jenis racun sahaja secara berterusan. Akibat daripada wujudnya daya rintangan itu maka perbelanjaan untuk mengawal perosak makin meningkat. Jenis racun terpaksa ditukar bagi mengelakkan wujudnya kerintangan di kalangan perosak. Keadaan ini sudah tentu akan menyebabkan kerugian kepada petani kerana perbelanjaan yang lebih besar diperlukan untuk mengawal perosak.

Penggunaan racun perosak boleh menyebabkan kecederaan kepada tanaman sekiranya racun tersebut tidak digunakan dengan cermat. Racun rumpai sering menyebabkan kecederaan pada tanaman berbanding dengan racun perosak yang lain. Ini mungkin kerana fungsinya untuk membunuh tumbuh-tumbuhan sedangkan racun-racun lain pula digunakan untuk membunuh perosak yang mempunyai sifat-sifat fisiologi yang berbeza dengan tumbuhan. Kesan kecederaan racun ke atas tanaman dapat dilihat daripada perubahan-perubahan yang berlaku pada bentuk, warna daun dan pertumbuhan pokok. Bagaimanapun perubahan fizikal yang berlaku akibat racun tersebut agak sukar untuk dibezakan dengan kesan yang disebabkan oleh kekurangan nutrien. Racun yang terkena atau diserap oleh tumbuh-tumbuhan boleh menyebabkan daun menjadi kerinting dan kadang-kadang terdapat tompok-tompok kuning di atas permukaan daun. Terdapat juga tanaman yang terencat pertumbuhannya akibat sisa racun di dalam tanah. Kesan-kesan fitotoksik ini jelas kelihatan terutama pada benih tanaman. Terdapat banyak kes yang dilaporkan mengenai orang terminum racun perosak atas sebab-sebab kecuaian. Ramai di antara mangsa maut akibat lambat mendapat rawatan. Kemalangan yang berlaku mungkin dapat dielakkan sekiranya para pengguna mengambil langkah-langkah keselamatan. Setiap pengguna wajib mengetahui cara-cara mengendalikan racun perosak, bermula dari pembelian sehinggalah kepada cara-cara membuang bekas-bekas isian racun perosak. Pengetahuan ini penting agar dapat mengelakkan sebarang kejadian yang tak diingini berlaku berkenaan racun perosak. Peranan racun makhluk perosak dalam sektor pertanian amat signifikan untuk mempastikan produktiviti, kualiti dan pendapatan petani mendapat pulangan berpatutan. Wasallam!....
RACUN PEROSAK...IA MERBAHAYA...
BANYAK JENIS...FORMULASI ADA...
EFEKTIF...MENGAWAL SERANGGA...
PATOGEN LAIN.. DIBASMI JUGA....

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kedai Racun Nong Sang,
Jalan Mersing-Endau,
Mersing, Johor,
Malaysia.
(29 Rabiulawal 1435H).
Kemaskini pada 28 Safar 1444H.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...