Support My Blog

Thursday, September 10, 2020

PENYAKIT DARAH PISANG - LAPORAN KAJIAN

PENYAKIT DARAH PISANG atau kadang kala simptomnya menyerupai Penyakit Moko Pisang dimana serangan ini merupakan satu jenis penyakit yang mengancam industri tanaman pisang di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Buah pisang merupakan salah satu makanan asas di kebanyakan negara membangun dengan penghasilan tahunan melebihi 130 juta metrik tan setahun. Menurut laporan FAO, pisang dikategorikan sebagai tanaman makanan keempat terpenting di dunia. Di Malaysia pula dari tinjauan penulis blog dimana pokok pisang ditanam untuk pasaran domestik dan eksport sejak lama dahulu. Buah pisang adalah tanaman dari jenis buah-buahan yang kedua besar ditanam meliputi kawasan seluas lebiih dari 26,000 hektar dengan jumlah penghasilan buah sebanyak 530,000 tan setahun. Lima puluh peratus (50%) daripada tanaman pisang yang ditanam di negara ini ialah pisang Berangan dan pisang Cavendish manakala selebihnya adalah kultivar pisang yang lain seperti Pisang Mas, Rastali, Raja, Awak, Abu, Nipah, Nangka dan Tanduk. Sebahagian besar pokok pisang ditanam untuk memenuhi keperluan tempatan oleh pekebun kecil dan hanya 12% daripada keseluruhan pengeluaran pisang negara dieksport terutamanya ke Singapura, Brunei, Hong Kong dan negara Timur Tengah. Walau bagaimanapun dilaporkan dimana kadar pengeluaran buah pisang di Malaysia mengalami penyusutan mendadak apabila serangan Penyakit Moko termasuk penyakit darah pisang ini merebak bermula tahun 2006 (Masa itu saya bertugas di Daerah Muar). Kajian awal mendapati diantara penyebab lainnya adalah serangan penyakit darah pisang. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis lagi didalam hotel mengenai penyakit darah pisang untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.

Apa pun dilaporkan dimana penyakit darah pisang ini berkait rapat dan mempunyai banyak persamaan dari segi simptom dengan penyakit Moko dan Bugtok, namun patogennya berbeza dan telah dikenal pasti sebagai bakterium penyakit darah [Blood Disease Bacterium (BDB). Patogen BDB ini wujud sepanjang tahun di dalam tanah dan boleh disebarkan melalui bahagian pokok yang terkena jangkitan, serangga, air atau tanah yang tercemar. Penyakit ini dijangka dapat merebak sehingga jauhnya 25 km/tahun. Pemahaman mengenai kevirulenan BDB penting untuk petani menangani masalah ini pada masa hadapan. Selain itu masaalah oleh penyakit ini juga akibat daripada  kurangnya maklumat yang ada mengenai mekanisma atau molekul dalam interaksi host-patogen khususnya yang ada berkait dengan penyakit darah pisang ini. Kajian adalah perlu dalam menganalisa dari segi bioinformatik ke atas genom BDB dimana ini akan dapat menambah pengetahuan baru dari segi penemuan gen-gen virulen penting yang terlibat dalam kepatogenan BDB ke atas pisang. Maklumat ini seterusnya dilihat akan bagaimana mekanisme serangan patogen ini. Perkara ini dipercayai akan juga dapat membantu saintis atau lebih ramai lagi para penyelidik memahami lebih lanjut mengenai kekuatan dan kelemahan bakteria ini menerusi penjujukan genom BDB dan analisis bioinformatik. 

Apa pun selain itu didapati isu ini perlukan analisis domain dan motif yang terdapat pada jujukan gen boleh memberi satu gambaran fungsi sesuatu gen virulen itu. Kesemua ini, secara tidak langsung dapat memberi maklumat mengenai mekanisme dan cara untuk menghalang pertumbuhan bakteria, sekali gus mengelak jangkitannya terhadap pokok pisang. Bakteria penyebab penyakit darah pisang Penyakit darah pisang adalah disebabkan oleh serangan patogen bakterium penyakit darah. Dari segi epidemiologi dan simptom jangkitan, ia menyerupai agen penyebab penyakit Moko iaitu patogen Ralstonia solanacearum. Kedua-dua patogen ini berkait rapat dan berada pada kumpulan famili yang sama. Bakteria ini berbentuk rod, gram negatif, mempunyai saiz lebih kurang 0.5 x 1.0 - 1.5 µm dan mempunyai flagela. Patogen ini dilaporkan mempunyai kadar pertumbuhan yang lambat jika dibandingkan dengan bakteria lain. Apabila dibiakkan di atas piring medium Triphenyl Tetrazolium Chloride (TZC) maka ia akan muncul sebagai koloni yang berwarna putih dan kemerahan di bahagian tengahnya (Sila lihat foto disebelah). Ia juga termasuk dalam kumpulan Phlotype 4 spesies kompleks Ralstonia yang meletakkannya dalam kumpulan bakteria yang berasal dari rantau Asia/Indonesia.

Patogen ini menyerang kebanyakan varieti pisang makan goreng (cooking banana variety) seperti pisang Abu, Nipah, Tanduk dan Awak. Namun, kadangkala ia juga akan menyerang pisang yang dimakan terus ketika masak seperti pisang Berangan. Bakterium penyakit darah pisang pada asalnya dinamakan sebagai Pseudomonas celebensis oleh Gaumann pada tahun 1923. Selepas kehadiran penyakit ini di Kepulauan Jawa, siasatan selanjutnya mengenai penyakit ini menunjukkan ia sebenarnya berbeza dengan bakteria penyebab penyakit Moko iaitu Ralstonia solanacearum. Pengeluaran pisang di Malaysia telah mengalami pengurangan yang signifikan akibat penyakit layu bakteria ini. Kajian terkini yang dilakukan oleh Jabatan Pertanian Negeri Johor mendapati sebanyak 60.7% daripada 3,212 hektar ladang pisang di Johor telah dijangkiti serangan patogen ini. Perkataan ‘darah’ yang digunakan adalah kerana adanya titisan pekat berwarna merah kecoklatan yang keluar daripada tisu vaskular bahagian batang pokok pisang yang terinfeksi apabila dipotong dan juga pada bahagian pokok yang terluka.

Pisang merupakan antara enam buah-buahan utama dalam Projek ‘Entry Point’ NKEA untuk program penghasilan buahbuahan. Antara masalah utama tanaman pisang di Malaysia adalah penyakit layu bakteria atau kini dikenali sebagai penyakit darah pisang yang disebabkan oleh bakteria yang dikenali sebagai bakterium penyakit darah atau blood disease bacterium (BDB). Simptom penyakit darah ini ialah daun yang layu, tisu vaskular dan bahagian dalam buah menjadi kehitaman dan akhirnya akan mereput. Sehingga kini, masih tiada lagi pokok pisang yang didapati tahan terhadap penyakit ini. Malah epidemiologi patogen unik ini masih banyak yang tidak diketahui dan perlu dipelajari dengan lebih mendalam. Kepatogenan BDB bergantung kepada tindak balas gen hipersensitiviti dan kepatogenan (hrp) yang dikenali sebagai gen efektor. Penyelidikan berterusan patogen bakteria BDB perlu diteruskan untuk memanfaatkan sepenuhnya genom BDB. Ini membolehkan kajian untuk lebih memahami kevirulenan dan kepatogenan bakteria BDB. Maklumat dan pengetahuan yang dikumpul dapat membantu dalam menyediakan pelan strategik dan pendekatan integrasi untuk mengatasi penyakit darah pisang dan membantu dalam membangunkan varieti pisang yang tahan rintang terhadap penyakit ini. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...

MENANAM PISANG... AMBIL BUAHNYA...
PENYAKIT DARAH PISANG.... APA DIA...
KALAU DIBIAR... SANGAT MERBAHAYA...
MEMBACA ARTIKEL... DAPAT ILMUNYA...

By,
M Anim,
Senior Agronomist,
Room 221, Hotel Lagenda Inn,
Jalan Long Jaafar, Taiping,
Perak, Malaysia.
(18 Zulhijjah 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...