Support My Blog

Friday, November 1, 2019

ANALISA EKONOMI - BUAH-BUAHAN TERPILIH

HARGA KOMODITI UTAMA GETAH DAN KELAPA SAWIT terus menekan ramai pekebun kecil dan beberapa pihak lain sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Terdapat pihak tertentu dari kerajaan yang mencadangkan pelbagai aktiviti kepada pekebun kecil malahan pihak estet dan GLC seperti FELDA, RISDA dan FELCRA dengan berbagai cadangan untuk membolehkan mereka yang terjejas dengan harga komoditi rendah ini untuk menambah pendapatan. Antara yang pernah kita dengar adalah saranan menanam buluh, menanam tanaman makanan (nenas, sayuran, buah-buahan), menternak haiwan ternakan, menternak ikan. memproses industri asas tani dan sebagainya. Bagaimana pun sehingga kini belum ada tanda-tanda jelas bila harga komoditi sawit dan getah ini akan meningkat seterusnya mengurangkan kos sara hidup mereka. Komoditi ini dinegara kita merupakan tanaman yang paling ramai libatkan petani dan pihak perladangan dimana harga yang rendah telah menjejaskan pendapatan mereka. Anda boleh membaca beberapa tanaman makanan, tanaman campuran (Mixed farming), Pertanian Bersepadu (Intergrated farming), Projek Industri Asas Tani dan sebabaginya disebut didalam meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah dan kelapa sawit (Sila klik disini) dan (Sila klik Disini). Sejauh mana kejayaan program-program ini masih didalam pemerhatian lagi kerana ia masih diperingkat awal perlaksanaan. Bagaimanakah perbandingan analisa ekonomi komoditi tanaman di negara kita untuk dibuat perbandingan kepada usaha meingkatkan pendapatan petani. Artikel subuh ini dalam "Anim Agro Technology'' saya akan cuba untuk mengupas beberapa perkara mengenai data analisa ekonomi pendapatan bagi buah-buahan terpilih untuk dijadikan bahan rujukkan anda semua.


Tanaman Durian (Durio zibethinus) merupakan antara buah-buahan yang semakin diminati petani apabila harga komoditi tersebut sangat baik. Perkara ini berlaku kerana buah-buah durian premium yang ditanam telah berhasil dan berkualiti untuk pasaran tempatan dan pasaran ekspot. Pasaran eksport durian yang terbaharu adalah ke China dimana ini telah membuka mata ramai petani utuk menanamnya kerana ruang pasaran luas dan harga lebih baik diberikan. Jangkahayat ekonomi tanaman durian boleh mencecah selama 25 tahun dari segi ekonomik. Dalam pada itu jangkamasa tersebut pihak Jabatan Pertanian Malaysia membuat anggaran kos pengeluarannya iaitu sebanyak RM69,560 dan jumlah pendapatan kasar adalah sebanyak RM639,190. Nilai Kini Bersih (NPV) tanaman durian pada kadar 10% adalah sebanyak RM144,919.01 dimana ia merupakan komoditi yang menguntungkan untuk durian diusahakan. Dalam pada itu analisa Kadar Faedah Kos pada 10% adalah sebanyak RM7.035 bermakna bagi setiap satu ringgit dilaburkan akan memberikan pulangan sebanyak RM7.03. Jika dilakukan analisa sensitiviti sama ada berlaku kadar kenaikan atau penurunan sebanyak 10% didapati tanaman durian masih viable dimana nilai NPV adalah RM125,625, Nilai Kos Faedah (BC Ratio) sebanyak RM5,756.50 dan juga nilai IRR sebanyak 40.9% iaitu semuanya positif dan berdaya maju. Analisa ekonomi diatas mungkin berlainan untuk durian premium Musang King (D197) kerana harga durian tersebut berkali ganda mahalnya daripada durian biasa dipasaran masakini. Analisa diatas hanya mengambil kira harga purata durian klon sekitar RM5.00 sekilogram sedangkan harga durian Musang King mencecah 2.5 - 3 kali ganda harga tersebut.


Tanaman Nanas (Ananas comosus) pula telah menjadi tanaman penting di Malaysia terutama dengan nanas varieti MD2 yang berkualiti sesuai untuk pasaran domestik dan pasaran eksport. Pada masa ini keluasan tanaman nanas di Malaysia adalah seluas  13,400 hektar pada tahun 2018 dengan nilai pengeluaran sebanyak RM610 juta melibatkan seramai 3,000 orang pengusaha nanas. Kalau tanaman durian bagi analisa diatas saya gunakan hektar tetapi untuk nanas saya gunakan unit EKAR seperti amalan oleh petani nanas di Malaysia. Dalam satu (1) Ekar Nanas MD2 (0.4 hektar) memang boleh menjana kadar pendapatan sebanyak RM164 Ribu. Dalam pada itu mungkin ada yang berkata sama ada betul ke tanam nanas MD2 satu ekar boleh mendapat pendapatan sehingga RM164 Ribu. Ramai mereka tidak percaya juga dengan angka diatas. Ianya berubah 360 darjah setelah penulis blog pernah buat temubual dengan beberapa penanam nanas MD2 diseluruh negara. Dalam pada itu sebenarnya menanam nanas MD2 tidak susah dan tidak senang juga. Tanah seluas 1 ekar ada seluas 43,560 kaki persegi. Jika batas dibuat sepanjang 25 kaki, lebar batas pula 2 kaki dan jarak antara batas 3 kaki. Sifir ini boleh digunakan iaitu (25’ + 2’) x (2’ + 3’) = 27’ x 5’ dimana sebanyak 135 kaki persegi (luas kuadrat batas = luas kawasan yang akan bertanam termasuk lorong). Ini akan menjadikan satu ekar tanah akan dapat 322 batas. Jumlah benih untuk 1 ekar dengan jarak tanaman 1.5 kaki antara baris dan 1 kaki antara pokok maka satu batas kita dapat tanam 2 baris dan satu baris ada 24 pokok berjumlah semuanya sebanyak 15,456 pokok. Aruhan pembungaan nanas MD2 boleh dilakukan 7 - 8 bulan dimana tuaian boleh dilakukan 13-14 bulan kemudian. Aruhan ini penting sebab hendak bagi pokok nanas kita tu berbunga dan berbuah secara serentak atau kita nak jadualkan bila patut ianya berbuah. Pokok nanas memang tanaman yang boleh diatur bila masanya untuk menuai hasil. 


Daripada sebanyak 15,456 pokok dan lazimnya hanya 85% daripada pokok nanas tersebut hidup dan berbuah serta boleh jual maka jumlah boleh dituai (15,456 pokok x 0.85) adalah sebanyak 13, 137 biji buah. Purata berat sebiji buah antara 1.5 - 2.5 kg dan jika dapat jual sebiji nanas MD2 dengan harga RM5 maka pendapatan kasar (13,137 biji x RM5) atau sebanyak RM65,685.00 (Hasil Buah). Menanam nanas MD2 bukan sahaja memberikan hasil daripada buahnya akan tetapi ia mampu menghasilkan benih (Sulur Nanas) untuk dijadikan benih yang sangat tinggi permintaanya dipasaran masa kini. Negera memerlukan benih nanas MD2 Sulur dan tidak mengiktiraf penggunaan benih nanas MD Kultur Tisu (TC). Ini kerana nanas MD2 adalah jenis nanas hibrid dimana benih nanas MD2 daripada TC akan menjadi pelbagai ciri buah dan pokoknya kerana berlaku variasi atau dipanggil 'Somalclonal Variation'. Hanya sulur daripada pokok induk MD2 yang ada sijil Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) Jabatan Pertanian sahaja boleh dijual benihnya dan dijamin kualitinya. Biasanya pokok induk tu boleh hasilkan 5 -10 sulur bergantung kepada keadaan pokok dan pengurusannya. Jika diambil sepokok nanas induk hasilkan 5 sulur maka sebanyak (13,137 pokok x 5 sulur) akan menjadi sebanyak 65,685 sulur. Harga pasaran sulur MD2 masa kini diantara RM1.50 - RM2.50 satu sulur. Jika ambil harga biasa RM1.50 satu sulur maka pendapatan daripada sulur benih sebanyak (65,685 sulur x RM 1.50) iaitu berjumlah RM98,527.50. Soalan ditanya yang mana lebih untung sama ada menjual buah atau menjual benih sudah terjawab. Sebagai kesimpulan penanaman nanas MD2 perlukan sebanyak 15,456 pokok nanas dan boleh dituai sebanyak 13,137 biji buah. Hasil jualan buah sebanyak  RM65,685.00 dan hasil jualan sukur benih sebanyak  RM98,527.50 menjadikan seekar nanas MD2 semusim mampu menjana pendapatan sebanyak  RM164,212.50 hasil keseluruhan. Setakat ini tanaman nanas MD2  merupakan antara pelaburan terbaik di Malaysia kalau semua berjalan dengan baik.
Tanaman Kelapa (Cocos nucifera) merupakan antara jenis tanaman yang digalakkan di Malaysia kerana tahap keperluannya memang singnifikan untuk dijadikan bahan makanan dan produk lain berkaitan kelapa. Kelapa MATAG ditanam dengan jarak tanaman 8.1 meter x 8.1 meter untuk memberikan kepadatan tanaman 178 pokok sehektar. Kelapa Matag mempunyai jangkahayat ekonomik selama 20 tahun untuk menghasilkan sebanyak 344,000 biji dalam tempoh tersebut. Ini bermakna jika harga ladang biji kelapa dijual dengan purata harga RM0.60 maka angggaran pendapatan hasil ladang kelapa Matag adalah sebanyak RM206,400 untuk 20 tahun. Pendapatan jualan buah kelapa Matag bermula pada tahun ke 4 dengan anggaran sebanyak 6,000 biji setahun bernilai RM3,600. Ia akan terus meningkat sehingga mencapai hasil puncak pada tahun ke 10 dengan sebanyak 24,000 buah kelapa dituai dan bernilai sebanyak RM 14,400 setahun atau sekitar RM1,200 sebulan. Hasil kelapa Matag mula menurun pada tahun ke 18 sebanyak 20,000 biji sehektar sehingga ditebang semula pada tahun ke 20 mengikut cashflow tanaman kelapa Matag. Kos pengeluaran dengan mengambil kira kos pembangunan seperti penyediaan infrastruktur ladang terutamanya parit ladang dan membaris sekitar RM4,344. Kos bahan input penanaman kelapa Matag adalah sebanyak RM 26,634 termasuk pembelian benih tanaman, kapor, baja NPK (Komponen terbanyak untuk kos pengeluaran) dan juga racun rumpai. Apabila dikira kos tenaga kerja aktiviti penanaman kelapa Matag dianggarkan sebanyak RM 44,300 dengan kos memetik hasil merupakan 80% daripada jumlah. Apabila dijumlahkan semuanya, Jumlah Kos Pengeluaran tanaman kelapa Matag adalah sebanyak RM75,278 sehektar untuk 20 tahun atau purata sebanyak RM3,764 sebulan.


Analisa kewangan tanaman kelapa matag adalah dengan mencari atau kira Jumlah Pendapatan Bersih Ladang iaitu menolak jumlah pendapatan kasar ladang iaitu sebanyak (RM206,400) dengan jumlah kos pengeluaran ladang (RM75,278) dengan nilai sebanyak RM 131,112 sehektar untuk 20 tahun atau purata sekitar RM1,093 sebulan. Cashflow tanaman kelapa Matag menunjukkan Nilai Kini Bersih (NPV@10%) adalah RM33,068 dimana ia menunjukkan nilai positif bermakna projek penanaman kelapa Matag adalah berdayamaju. Nilai Kadar Pulangan Dalam (Internal Rate of Return -IRR) pula sebanyak 27.9% iaitu suatu nilai tinggi. Kadar B/C Ratio pula adalag 1.74 bermakna setiap RM1.00 dibelanjakan akan memberikan pulangan pelaburan sebanyak RM1.74. Ini bermakna penanaman kelapa in sesuai dijalankan. Harga jualan kelapa digunakan dalam cashflow Jabatan Pertanian iai adalah RM0.60 sebiji. Tinjauan penulis pada April 2015 mendapati harga kelapa tua mencecah RM1.00 sebiji diladang dan kelapa muda sehingga RM1.50 sebiji diladang. Petani yang mempunyai kelapa Matag lebih suka menjual kelapa mudak kerana ia lebih menguntungkan dari menjual kelapa tua. Semuga artikel ini menjadi panduan semua pembaca blog anim agro technology sebagai bahan rujukkan yang berguna.

POKOK DITANAM... TUNGGU HASILNYA..
PILIH YANG SENANG..TINGGI UNTUNGNYA...
ANALISA EKONOMI... PANDUAN SAHAJA...
DAPAT INFO... DIJADIKAN PANDUANNYA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya, 
Malaysia.
(12 Zulhijjah 1440H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...