Support My Blog

Monday, September 30, 2019

KG TAMBATUON - PADI ORGANIK

KAMPUNG TAMBATUON di Daerah Kota Belud, Sabah merupakan sebuah kampong tradisional yang mana penduduk tempatan disini menggabungkan tanaman padi organik, agrotourism dan eco-tourism yang menarik penulis blog dapat kunjungi. Lawatan ke kampong ini diaturkan oleh Pengarah Projek IADA Kota Belud yang mana projek ini termasuk dalam salah satu lokasi yang berada didalam kawasan projek iaitu tanaman padi merupakan salah satu sasaran utama. Lokasi kampung ini yang berada dikaki Gunung Nongkok iaitu sebelah puncak gunung Kinabalu mendapat air bersih dan jernih yang mengalir pada sungai yang banyak dasarnya batu gunung membuatkan satu panorama keindahan alam semulajadi amat mengkagumkan (Sila lihat foto diatas). Penulis sempat lihat sekitar 15 orang pelancong luar negara (Mat Salleh) menuruni gunung melalui jambatan gantung dalam hujan lebat menuju ke penginapan di kampong tersebut selapas menjalankan aktiviti mendaki gunung tersebut sejak jam 4 pagi lagi. Apa lagi dikiri kanan sungai tersebut ditanam dengan pokok padi organik (tanpa gunakan racun kimia) dimana kepada masyarakat tempatan di kampong ini mereka menjadikan tanaman padi dan beras sebagai penghasilan utama dan sumber ekonomi. Walau penulis tiba di kampong ini disambut dengan hujan amat lebat hampir satu jam tetapi akhirnya dapat juga masuk kawasan sawah selepas hujan tersebut untuk melihat sendiri dengan dekat akan bagaimana suburnya pertumbuhan 'padi tahun' ini ditanam dan dijaga dengan baik. Menurut nfo yang diberi oleh Pengarah IADA, Pn Salma kalau tidak hujan maka sessi fotografi akan dapat dilihat satu post yang indah diatas sawah dimana berlatarbelakangkan gunung Nongkok dan di belakangnya puncak Gunung Kinabalu disamping sungai dengan air jernih dan sawah padi yang menghijau seakan sebuah potret atau lukisan. Bagaimana pun penulis blog berpuas hati kekampong ini walau pun dibelakang gunung nongkok ini tidak kelihatan puncak gunung Kinabalu. Artikel malam ini dalam blog ''Anim Agro Technology'' saya kongsi info mengenai keunikan akan Kampong Tambotuon  sebagai satu lokasi berbaloi untuk dikunjungi dan beriadah.


Tanaman Padi Unik di Sabah atau dipanggil 'Speciality Rice' hanya dapat dirasai dengan pergi ke lokasi seperti di kampung ini. Terdapat lebih dari 850 varieti padi unik di Sabah yang ditanam (asalnya didakwa terdapat lebih 1,200 jenis akan tetapi dikatakan sebahagiannya telah pupus) dimana ini menjadikan ia semakin unik dan tiada di Semenanjung Malaysia. Padi ini ditanam dalam dua keadaan iaitu yang ditanam didalam Sawah Berair dan juga ditanam dikawasan Tanah Daratan (Padi Bukit) untuk dijadikan bahan makanan sara diri masyarakat tempatan. Perayaan Pesta Keamatan isejarahnya memang berkait dengan 'semangat padi' di negeri ini yang sememangnya nasi menjadi makanan asasi penduduk dikawasan kampong seperti di Kg Tambatuon ini sejak beratus tahun dahulu. Penanaman padi ini dilakukan oleh orang kampong dimana mereka akan menggunakan varieti tertentu yang disimpan benihnya sejak turun temurun dan ada berbagai ciri yang berbeza. Kebanyakan varieti padi unik ini mengambil masa sehingga 6 bulan dan merupakan spesis padi tahunan yang berbeza dengan varieti padi moden seperti MR220CL, MR273 dan sebagainya. Lokasi kawasan sawah yang batasnya dibuat mengikut kontour tanah tidak mempunyai bentuk sama dimana air bersih dari kawasan gunung mengalir diantara petak sawah yang bertingkat. Jenis padi yang popular ditanam di Kg Tambotuon ini adalah Padi Warna Keladi yang mana nasinya memang bukan berwarna putih seperti beras biasa akan tetapi berwarna coklat. Ia ditanam dengan menyemai benih dalam tapak semaian dahulu dan kerja-kerja penyediaan tanah sawah dilakukan secara manual dengan alatan mudah ditarik kerbau. Bagaimana pun kini aktiviti kerja membajak tanah sudah menggunakan jentera dua roda dikawasan tertentu. Tanaman padi sudah berumur 4 bulan semasa lawatan penulis blog dimana akan dituai dalam bulan November. Penulis blog periksa rumpun padi dimana dilihat amat subur pertumbuhannnya (Sila lihat foto disebelah). Mempunyai perdu yang besar dan anak yang sihat dimana program penjagaan dan pembajaan dijalankan dengan teratur. 



Menurut seorang pesawah dikampung ini iaitu En Sanuel (39 tahun) yang mengiringi penulis blog ke sawah dinyatakan tahun ini dijangka mereka akan mendapat hasil tuaian baik berdasarkan kepada pertumbuhan padi (Sila lihat foto disebelah). Beliau yang juga ada menanam 2.5 ekar padi warna keladi memang mempastikan amalan cara penanaman organik dilakukan olehnya dan juga penduduk kampung lain. Tidak ada penggunaan bahan kimia di sawah mereka dimana kawalan rumpai dilakukan dengan mencabut diperingkat awal penanaman. Beliau membuat baja organik cecair sendiri dan akan disembut kepada padi mengikut jadual disusun dan umur pokok. Beliau juga mendakwa memang teknik penanaman padi di kampung ini sepenuhnya organik sejak turun temurun. Mereka akan sentiasa berpakat sebelum menanam untuk tentukan jadual penanaman setiap tahun dan menyusun jadual secara bermuafakat. Sistem agihan air daripada sungai dipastikan mencukupi untuk semua petak sawah dan mengaalir setiap masa (menjadikan pokok subur) apabila air bersih mengalir dipetak sawah. Kini biasanya petani akan mengadakan gotong-royong bagi kerja membersihkan taliair (kinolian) sebanyak dua kali dalam setahununtuk melancarkan pengaliran air sungai ke sawah. Aliran kinolian boleh dikawal oleh petani daripada mengairi sawah masing-masing tetapi individu berkenaan juga harus meminta kebenaran daripada petani yang lain agar tiada perselisihan faham antara mereka. Pemantauan dipetak sawah organik ini sentiasan dilakukan kerap untuk mereka mempastikan tanaman sentiasa subur dan tidak diserang perosak dan penyakit.  


Tanaman padi unik di kampung ini penulis dapati membolehkan penduduk kampong mendapat jaminan bekalan beras setiap masa. Penuaian dilakukan dengan memotong tangkai padi atau menyabitnya sebelum dileraikan menggunakan alat membanting ataiu pelerai lain. Padi ini akan dikeringkan dengan cara menjemurnya dibawah sinaran panas matahari sbelum dibungkus atau disimpan didalam tempat simpanan padi (Kepok). Dalam pada itu umumnya aktiviti harian semua penduduk dikampong ini adalah bertani. Orang-orang Dusun adalahkaum yang sangat rajin dan memenuhi masa lapang dengan bersawah, menanam tembakau atau sigup dan buah-buahan. Kaum Dusun disini juga menanam tanaman yang semakin mendapat tempat dalam pasaran ekonomi dan tinggi nilai komersialnya. Mungkin ramai yang mengakui kehebatan cara penanaman padi tradisional yang semakin kekurangan walau banyak kemudahan namun masih boleh menghasilkan padi dengan kualitiyang sangat baik malahan tahan lama. Kini telah ada petani tradisional yang mampu mengusahakan sawah padi lebih daripada satu kawasan tanah sahaja. Kini cara penanaman padi tradisional sangat efektif dikampung ini tanpa sebarang pengaruh dari luar. Kehidupan penduduk kampung ini juga sangat makmur kerana semua penduduk mematuhi peraturan yang ada walaupun mungkin mereka tidak mendapat didikan formal yang sempurna, mereka dapat mendisiplinkan diri dengan sifat tolak ansur serta mematuhi ajaran nenek moyang mereka. Hasil beras warna yang disimpan kini semakin unik di kampung ini khususnya dan di Sabah umumnya (Sila lihat foto disebelah). Beras warna jenis keladi ini adalah jenis beras organik yang menyihatkan.


Apabila beras ini dimasak penulis blog mendapati ia tetap memberikan kualiti nasi yang amat menarik warnanya (Sila lihat foto disebelah). Nasi yang berwarna coklat ini memang enak dimakan begitu sahaja atau dimakan dengan macam-macam lauk. Bagaimana pun dikalangan penduduk dan orang kampung sesuai dimakan dengan ikan masin sahaja atau pun sayuran ulaman. Nasi ini adalah lembut dimana apabila diambil baunya memang ada sedikit macam bau keladi rebus. Dipercayai kaya dengan zat galian, bahan mineral dan karbohiderat, beras warna organik ini memang kaya dengan bahan Anti Oksidan. Bahan seperti antioksidan ini memang menyebabkan pemakannya akan lebih bertenaga dan awet muda. Penulis blog dapat nikmati nasi beras keladi ini dimana memang boleh dijadikan lebih enak jika ada kaedah memasak kulinari yang khusus. Memang berbaloi mkan nasi dari beras warna ini.


Dikampong ini juga aktiviti eco-tourism dan agrotourism memang sangat aktif. Terdapat laluan terbaik untuk kepuncak gunung Nongkok yang memberikan pendaki gunung ini satu kepuasan apabila mereka berada dipuncaknya. Mereka perlu melalui lorong jalan dikaki gunung dan beberapa jambatan gantung untukkepuncaknya. Penulis blog sempat melalui jambatan gantung yang unik ini menghubungkan antara dua kampung sepanjang sungai (Sila lihat foto disebalah). Jambatan Gantung yang berharga diantara RM50 - RM60 ribu ini adalah infra perhubungan yang penting disediakan oleh pihak kerajaan. Mereka akan memikul hasil padi melalui jambatan gantung ini serta banyak kegunaan lain jambatan gantung yang tahan sekitar 5-7 tahun ini. Pembinaan jambatan gantung ini merentang sungai membolehkan laluan air sungai tidak terganggu dan amat menjaga kelestarian sungai dan persekitarannya. Kepada mereka yang belum pernah melalui jambatan gantung yang juga merupakan kenuikan di kampung ini boleh berkunjung kesini.


Selain itu terdapat tarikan paling unik di Kg Tambatuon ini iaitu 'bermanja' dengan ikan kelah yang di tagal. Hanya dengan menyeberangi jambatan gantung maka kita boleh melihat bagaimana ikan-ikan yang akan menghampiri anda sebaik sahaja kita mendekati dengan lubuk ikan ini dengan membawa makanan palet ikan. Dalam pada itu dijelaskan dimana Sistem Tagal adalah satu kaedah pengurusan biosfera yang popular yang juga dikenali sebagai bombon yang bermaksud 'jangan' dalam bahasa Kadazandusun. Melalui sistem ini maka penggunaan sumber semulajadi atau kawasan tertentu dihadkan bagi tujuan untuk pemuliharaan dan bagi memastikan kewujudan sumber tersebut secara berterusan. Pada hari ini, komuniti Kg. Tambatuan telah mengambil inisiatif mengintegrasikan sistem tagal sebagai sebuah produk pelancongan. Ini juga merupakan salah satu pendekatan dalam utilitarian sumber semulajadi tempatan. Kedudukan sistem tagal dalam industri pelancongan adalah sebagai satu produk pelancongan yang telah menyumbang kepada pengurusan persekitaran yang lebih cekap, penyumbang pembangunan ekonomi dan juga pembangunan sosial komuniti di kampung ini. Ikan besar dan kecil menghampiri kaki pelancong dan mengigit manja sambil memakan umpan yang diberikan (Sila lihat foto disebelah). Bagi pelancong aktiviti ini memang memberikan satu fasa keseronokkan yang sukar didapati dimana-mana. Semuga anda mendapat info terbaik melalui anim agro technology kali ini. Wasallam !!...
KG TAMBATUON... JAUHNYA KESANA...
MENANAM PADI... JENIS BERWARNA...
TANAMAN ORGANIK... ENAK RASANYA...
TEMPAT PELANCONG... BERGEMBIRA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 906, Klagan Hotel,
Kota Kinabalu, Sabah,
Malaysia.
(26 Muharam 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...