Support My Blog

Saturday, July 20, 2019

BENIH NANAS MD2 TC - APA ISUNYA

BENIH NANAS MD2 (Ananas commosus) merupakan satu fenomena yang unik dimana semenjak benih nanas hibrid ini diperkenalkan di Malaysia sekitar tahun 2010 ia terus jadi perbincangan dikalangan pemain industri nanas premium ini. Bermula dengan kemasukkan benih nanas hibrid MD2 ini daripada Filipina yang tidak berapa jelas oleh beberapa pemain-pemain industri terutama di Johor sehingga kepada ia menjadi satu program utama kerajaan melalui LPNM didalam pembangunan nanas negara. Kemasukkan sulur nanas MD2 ini ke Johor dilakukan oleh beberapa syarikat penanam nanas yang mendapati nanas premium MD2 ini mendapat permintaan baik dunia dan apabila dipasarkan dalam negara juga menjadi 'boom' kerana kualitinya. Nanas MD2 merupakan nanas premium yang buahnya manis, tidak lidas, rangup, berjus dengan warna keemasan serta tahan lama disimpan selepas penuaian. Pada peringkat awal penanaman di Johor oleh beberapa syarikat didapati nanas MD2 mendapat permintaan domestik dari petani yang drastik memuncak apa lagi dengan kempen penanaman nanas premium MD2 oleh pihak LPNM secara agressif. Benih tersebut pada peringkat awal dijual diantara RM4  - RM5 satu sulur dimana sepokok mampu menghasilkan purata 5 sulur. Kemudian harga sulur nanas MD2 ini mula menurun kepada RM3.00 dan stabil pada harga RM2 satu sulur beberapa tahun kemudian. Bagimana pun semasa artikel ini ditulis purata harga sulur nanas MD2 sekitar RM1.50 - RM200 satu sulur diladang bergantung kepada kualiti dan kuantiti belian. Kekurangan benih nanas MD2 dan harga yang mahal ini juga menyebabkan beberapa syarikat Kultur Tisu (Tissue Culture Lab) mengambil peluang untuk mengeluarkan benih nanas MD2 Kultur Tisu (Benih TC) iaitu secara 'mass production' menggunakan sulur, jambul atau bahagian lain nanas MD2. Benih TC ini didakwa dijual dengan lebih murah dan ianya senang didapati. Pengalaman penulis blog pada tahun 2015 yang menyediakan Standard SIRIM untuk piawaian benih nanas masa itu dilaporkan ada 6 syarikat yang telah menuediakan lebih daripada 6 juta benih TC untuk dijual. Bagaimana pun pihak Kementerian Pertanian, Jabatan Pertanian dan LPNM tidak mengiktiraf benih tersebut sebagai benih MD sesuai untuk ditanam. Isu utama adalah kerana kejadian 'Somaclonal Variation' yang berlaku dimana benih TC ini akan menghasilkan pokok yang tidak seragam dan buah yang berbagai cirinya. Dilaporkan dimana benih TC MD2 ini akan menghasilkan daun berduri (Ciri asal daun nanas MD2 tidak berduri), Buah yang bentuknya tidak selinder (Tappered Fruit), Kemanisan isii buah yang tidak sekata (Atas dan bawah berbeza), Isi buah masam dan beberapa ciri-ciri asas buah nanas MD2 yang unik berlainan. Bagaimana pun beberapa syarikat swasta yang besar dan ingin segera menanam nanas MD2 telah menggunakan benih TC ini akibat kekurangan bekalan benih sulur. Ladang mereka bagaimana pun telah dikenalpasti oleh pihak LPNM melalui rekod dan pemantauan. Pada penulis blog aktiviti penggunaan benih nanas MD2 TC perlu diawasi atau dihalang kerana dalam jangkamasa panjang ia boleh menjejaskan industri nanas negara. Artikel subuh pagi Jumaat ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya kongsi info dan pengalaman mengenai benih nanas MD2 dari segi sejarah, keperluan gunakan benih yang betul dan kenapa dilarang daripada menggunakan benih nanas TC untuk rujukkan semua. 

Sebenarnya penggunaan Benih Tisu Kultur Bagi Varieti Nanas MD2 di Malaysia perlu diteliti dan dikuatkuasakan larangan untuk digunakan petani dan ditanam oleh ramai pekebun kecil nanas atau syarikat besar atau estet nanas. Perkara ini  berhubung dengan perkara berlaku pada benih nanas TC dari penelitian banyak  pihak seperti (1) Kualiti benih dan buah hasil daripada sumber benih nanas MD2 tisu kultur (2) Tahap Kestabilan benih nanas tisu kultur MD2 sebagai sumber benih bagi industri tanaman nanas di Malaysia. Benih TC ini disediakan menggunakan meristem sulur nanas yang dipotong-poting halus didalam makmak dan dimasukkan dalam balang kaca yang mengandungi media agar-agar (Sila lihat foto disebelah). Ia kemuidan akan menghasilkan 'callus' dan seterusnya membesar sehingga menjadi 'plantlet'. Bergantung kepada sumber induk benih M2, kepakaran pekerja, kepekatan media agar-agar digunakan, suhu dalam makmal, sanitasi makmal dan beberapa prosedur dilaporkan semua ini akan menyumbang kepada masaalah 'somaclonal variation' kelak. Plant let yang dikeluarkan daripada balang perlu di alihhkan (transplant) kedalam polibeg kecil untuk tumbesaran beberapa bulan sebelum dipindahkan sekali lagi kepada polibeg yang lebih besar sebelum mencapai saiz piawaian SIRIM setinggi 30 cm (1 kaki). Keseluruhan proses ini mengambil masa antara 5 - 8 bulan sebelum benih TC ini sedia untuk ditanam diladang. Selalunya syarikat pembekal akan kempen benih TC ini murah akan tetapi ia adalah hanya 'plantlet' yang baru keluar dari makmal yang memang beberapa puloh sen sahaja dan perlu disemai beberapa peringkat lagi. Bagaimana pun beberapa syarikat pengeluar benih nanas MD2 TC ini mendakwa mereka mempunyai teknologi terkini yang tiada atau minimum kejadian 'somaclonal variation'. Malahan mereka menghantar benih TC ke makmal swasta dan menyatakan bahawa DNA antara benih sulur dengan benih TC tiada perbezaan. Isunya adalah benih TC adalah cenderung kepada 'somaclonal variation'. Kajian lanjut mengenai ini masih menjadi keperluan dan juga perdebatan diantara saintis dan syarikat biotechnology.


Merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengenai isu benih nanas Sulur MD2 dengan Benih Nanas MD2 Kultur Tisu telah diperjelaskan. Ini apabila pihak kementerian pada 9 Ogos 2018 telah mengambil ketetapan berkaitan penggunaan benih tisu kultur nanas MD2 seperti berikut : (a) Membangunkan SOP Pembiakan tisu kultur yang diperakui dan SOP tersebut perlu dipatuhi oleh pemain industri; (b) Menetapkan syarat utama bekalan benih nanas kepada pihak kerajaan iaitu tidak membenarkan benih hibrid yang dihasilkan dari Teknologi tisu kultur (TC) dan hendaklah mempunyai Sijil Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian; (c) Arahan untuk tidak membenarkan benih dan sulur daripada sumber tisu kultur hanya digunakan dalam perolehan kerajaan. Perkara ini akan terpakai sehingga teknologi tisu kultur telah dibuktikan stabil. Sehingga keputusan itu dinyatakan bahawa hanya benih sulur sahaja yang dibenarkan bagi projek-projek di bawah kerajaan. Pada penulis blog ketetapan ini sepatutnya digunapakai untuk penanam nanas MD2 yang lain walau pun menggunakan duit syarikat, duit sendiri atau duit daripada pinjaman bank. Ini kerana risiko penggunaan benih MD2 TC amat serius dimasa akan datang terhadap pasaran nanas premium ini.


Dalam pada itu dilaporkan dalam media dimana Jabatan Pertanian juga melalui Surat Ketetapan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia pada 5 September 2018 telah menetapkan dimana (a) Di bawah Skim Pengesahan Bahan Tanaman memperakukan pengesahan pokok induk dan bahan tanaman nanas MD2 yang dibiak secara sulur sahaja. (b) Pengesahan benih MD2 yang dibiak secara tisu kultur hanya akan dilaksanakan sehingga teknologi tisu kultur nanas dibuktikan stabil.(c) Tiada halangan berhubung akan ketetapan tidak membenarkan perolehan kerajaan dengan menggunakan sumber benih tisu kultur. Sebagai maklumat tambahan penulis blog juga perlu nyatakan dimana Nanas MD2 merupakan hasil kacukan daripada dua (2) varieti nanas induk PRI Hibrid 58 -1184 dan induk PRI Hibrid 59-443 yang mana komposisi hibrid tersebut terdiri daripada 5 keluarga iaitu Smooth Cayenne 17, Smoothb Guatemala 6, Pernmbuco 4. Ruby 4 dan Queen 1. Teknologi tisu kultur ke atas varieti MD2 boleh menyebabkan berlakunya variasi somaklonal dan kadar ketidakstabilan genetic yang tinggi.


Perkara somaclonal variation ini berlaku kerana hibrid MD2 terhasil dari kacukan pelbagai jenis induk dari keluarga yang berbeza-beza. Penghasilan benih nanas yang berkualiti dan seragam adalah langkah awal untuk meningkatkan pengeluaran buah nanas. Variasi somaklonal ditakrif sebagai variasi genetik genotipik berlaku tumbuhan yang dibiak secara klonal melalui kaedah “in-vitro”. Variasi somaklonal terjadi disebabkan mutasi yang berlaku daripada proses tisu kultur itu sendiri (Sato et al. 2011) 3. Variasi berlaku secara spontan dan bersifat sementara disebabkan faktor epigenetik atau kesan fisiologi atau kekal disebabkan faktor genetik. Peringkat in-vitro adalah peringkat terpenting dalam penghasilan benih nanas melalui teknik tisu kultur. Ini kerana mutasi boleh berlaku semasa proses pengkulturan dan ini disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya meristem luka, pendedahan kepada proses pensterilan, penggunaan tisu yang tidak lengkap (potoplast), ketidakstabilan bahan media yang digunakan (hormone), proses fotosintesis, keadaan pengcahayaan, kelembapan dan transpirasi (Joyce et al. 2003). Y.K Chan dan P.F. Lam (2002), MARDI dalam laporan kajian berkaitan 'Field Performance of TissueCultures Josapine Pineapple' mendapati berlaku variasi somaklonal berlaku pada daun sekitar 14.7% pokok berduri, jumlah pokok kurang subur dan saiz buah yang kecil dan tidak ekonomik. Selain itu dilaporkan dimana berlaku variasi yang tinggi pada ciri-ciri buah sepeti pada jambul ringan, empulur kecil dan peningkatan jumlah pepejal larut. Sebagai kesimpulan penggunaan benih nanas hibrid MD dengan TC memang tidak digalakkan langsung. Disyorkan agar penanam nanas premium menggunakan BENIH SULUR sahaja untuk mempastikan kualiti nanas sebenaar. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
BENIH NANAS MD2... ADA ISUNYA...
GUNA SULUR... PASTI BERJAYA....
JANGAN GUNA BENIH TC.. BAHAYA...
SELEPAS MEMBACA... FAHAM SEMUA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(16 Zulkaedah 1440H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...