Support My Blog

Friday, June 7, 2013

POKOK ARA JEJAWI

POKOK ARA JEJAWI (Ficus microcapra) atau Pokok Pokok Jejawi merupakan jenis pokok tropika dari keluarga Moraceae yang mudah kita jumpa di kawasan hutan dan taman-taman bunga di Malaysia. Pokok Ara Jejawi menupakan tumbuhan dari kumpulan Ficus iaitu dalam subgenus Urostigma. Kumpulan ini saya dapati adalah subgenus bagi kebanyakan spesies pokok ara tropika dengan sifat pertumbuhan yang pelik. Kalau kita melihat pokok ara, Ia adalah pokok besar yang mula tumbuh sebagai biji benih yang tumbuh di atas pokok lain (atau binaan seperti bangunan atau jambatan) terutama binaan konkrit. Ramai tahu yang anakbenih ara boleh disebarkan oleh haiwan seperti burung yang makan benih ara dan mereka akan meninggalkan biji benihnya. Paling unik saya dapati adalah bahagian akarnya yang akan melilit turun dari batang pokok asal atau dari pokok 'host' sehingga ia mencari tanah di bawah. Apabila akar ini mencecah tanah kita akan lihat akar pokok ara dengan cepat membesar dan mejadi keras seperti batang pokok. Lagi unik permandangan diperdu pokok ara apabila akar pokok ara ini akan melintas sesama sendiri dan ia bercantum semula seakan membentuk satu jaringan di sekeliling pokok. Pokok Ara bersaing dengan pokok lain bagi mendapatkan cahaya, air dan galian dan akarnya menghalang pokok host membesar. Akhirnya pokok 'host' mati dan menjadi reput dimana ini akan seterusnya meninggalkan pokok Ara berdiri tegak seperti pokok yang lain. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok ara untuk bacaan anda.


Satu lagi ciri-ciri luar biasa bagi Pokok Ara Jejawi adalah keupayaannya menghasilkan akar udara (adventitious root) dari dahannya. Ciri-ciri akar udara yang keluar daripada dahan dan berjuntai turun kebawah sehingga panjangnya mencecah tanah menjadikan batang utama pokok tersebut tidak kelihatan lagi (Lihat foto sebelah). Apa yang terjadi akhirnya pokok membesar dan akarnya akan menyebabkan sebatang pokok menjadi kawasan luas dengan akar dibahagian bawahnya yang berselirat. Terdapat beberapa Pokok Ara Jejawi yang ditanam di Taman Bunga Tanjung Emas, Muar yang berumur beratus-ratus tahun dimana kanopinya sangat luas menghampiri suku ekar sepokok. Dibawah pokok ini memang agak redup dengan permandangan yang sesuai untuk berehat di kuala sungai dengan permandangan Selat Melaka yang menarik.


Sebagaimana ahli lain dalam genus ini, Pokok Ara Jejawi saya lihat mempunyai bentuk daun lonjong dengan susunan daun adalah bersilang (alternate). Daun ini berwarna hijau pekat untuk daun tua dan hijau kekuningan pada bahagian pucuk. Ukuran daun sekitar 10-14 cm panjang dan 4 - 6 cm lebar dengan urat daun yang jelas kelihatan (Lihat foto sebelah). Bunganya adalah kecil yang tebit dari bahagian hujung ranting atau pucuk dan ia didebungakan oleh serangga. Buah ara adalah agak unik yang dipanggil sebagai buah "Sikonium' yang berbentuk seperti bawang terbentuk daripada bunga. Bahagian dalam dari buah  ini adalah lompang atau kosong yang mana ia akan dilapis oleh biji-biji kecil yang berwarna merah. Buah ini saya dapati mempunyai satu lubang kecil yang dipanggil sebagai "ostiol"  pada hujungnya. Ia berfungsi sebagai penyekat serangga untuk mendebungakan buah ara. 


Pokok Ara Jejawi ini juga sesuai untuk di tanam dalam pasu untuk dijadikan 'tanaman bonsai' kerana ia mempunyai daun kecil, bentuk dahan menarik serta akar pokok yang amat berselirat  disukai oleh peminat bonsai (Kita lihat foto sebelah). Industri membuat bonsai daripada tumbuhan ini amat popular semenjak beribu tahun dahulu dengan sejarah dan teknologi yang maju di negara China. Pemilihan spesis dan anak benih yang tepat penting ketika peringkat awal menjaga bonsai pokok ara. Di Malaysia kalau kita meminati pokok bonsai, boleh berkunjung ke nurseri yang membuat pokok bonsai dan jangan terkejut apabila terdapat sepokok bonsai kecil yang dijual dengan harga lebih RM 10,000 sepokok. Memelihara pokok bonsai perlukan kesabaran, kesenian, pengamatan teliti dan kreativiti kerana ia merupakan satu cabang seni yang unik dan bernilai tinggi. Pokok bonsai juga melambangkan status seseorang tersebut dalam masyarakat dan menaikan kesenian bonsai.


Beberapa kajian melaporkan bahawa Pokok Ara Jejawi juga merupakan sumber yang baik untuk bahan Flavanoid dan Polifenol. Buah ara juga mengandungi bahan antioksida yang sesuai mampu meningkatkan kadar antioksidan pada mereka yang mengambilnya terutama binatangternakan. Pokok Ara juga mengandungi kandungan bahan serabut (Fiber) yang agak banyak berbanding buah-buahan yang lain sama ada ia telah dikeringkan atau pun buah segar. Mungkin ramai diantara kita yang pernah makan buah ara. Saya memang tidak pernah makan buah ini setakat ini. Diharap artikel ini dapat memberikan ilmu berguna kepada pembaca blog saya. InsyAllah!.  Wasallam....

POKOK ARA...LAMA HIDUPNYA...
IA MEMBESAR...KANOPI LUASNYA...
POKOK BERHANTU...TAKUTNYA...
JADI HIASAN... DI TAMAN BUNGA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Precint 11,
Putrajaya
Malaysia
(30 JamadilAkhir 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...