Support My Blog

Monday, March 13, 2017

PENYAKIT TANAMAN NENAS - SEPINTAS LALU

Penyakit TANAMAN NENAS (Ananas comosus) merupakan satu ancaman kepada penanam nenas jika tidak diketahui debgan baik oleh mereka. Ini kerana s
erangan beberapa penyakit antara faktor yang mengekang perkembangan industri nanas di negara ini dan perlu dikawal. Nanas adalah tanaman industri yang penting di Malaysia untuk pasaran domestik dan pasaran eksport. Malaysia kini tersenarai dalam 11 negara pengeksport nanas segar utama dunia untuk nenas segar dan nenas kaleng. Daripada laporan portal rasmi LPNM dinyatakan terdapat seluas 17,114 hektar kawasan nanas yang mana se,uas 14,700 hektar berjaya menghasilkan buah nenas pada tahun 2015 dengan jumlah pengeluaran sebanyak 452,018 metrik tan (Sila rujuk rajah Jadual 1 dibawah). Negeri Johor masih masih merupakan pengeluar utama buah nenas segar di Malaysia dengan keluasan yang berhasil sebanyak 9,675 hektar yang menghasilkan sebanyak 329,954 metrik tan buah nenas. Ia diikuti dengan negeri Sarawak, Sabah, Kedah dan Pahang. Rekod tersebut didapati semua negari di Malaysia ada menanam nanas kecuali WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya dan WP Labuan sahaja yang dilaporkan tiada menanam nanas. Ini bermakna tanaman nanas merupakan jenis tanaman yang mudah diusahakan jika ada kawasan sesuai, petani yang berminat dan mendapat galakkan daripada pihak kerajaan melalui beberapa agensi dan jabatan serta pihak swasta. Kini nenas MD2 (AC9) telah mula menjadi varieti nenas yang sangat popular ditanam kerana kualitinya yang baik diterima untuk pasaran domestik dan pasaran eksport. Varieti nenas lain yang ditanam seperti Nenas Morris (AC1), Nenas Gandul (AC3), Nenas N36 (AC8) dan beberapa lagi. Penulis blog ada menyatakan mengenai beberapa varieti nenas yang didaftarkan di Jabatan Pertanian Malaysia dalam artikel sebelum ini untuk dirujuk (Sila klik disini). Penulis blog juga menulis artikel mengenai nenas lebih daripada 250 artikel sebelum ini untuk dijadikan bahan bacaan. Dalam industri penanaman nenas, isu mengenai bekalan benih nenas (terutama nenas MD2) serta isu amalan agronomi seperti pembajaan, bubuh hormon dan serangan penyakit adalah perkara yang penting dalam menentukan kualiti buah nenas yang dihasilkan. Ini kerana pada saya serangan beberapa penyakit ke atas tanaman itu antara faktor yang mengekang perkembangan industri nanas di negara ini. Artikel subuh Selasa ini jam 5.30 pagi saya menulis rencana dalam "Anim Agro Technology" mengenai sepintas lalu beberapa jenis penyakit tanaman nenas untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.



Antara penyakit utama tanaman nanas di Malaysia adalah apa yang dikenali sebagai Reput Teras Bakteria (bacterial heart rot) dan Penyakit Buah Hantu (fruit collapse). Kedua-dua penyakit nenas ini mampu menyebabkan penanam nenas kehilangan pendapatan yang teruk jika penyakit ini menyerang dengan kadar yang serius. Penyakit reput teras bakteria ini adalah disebabkan oleh sejenis bakteria dikenali sebagai Erwinia chrysanthemi (nama ini sinonim dengan Dickeya spp.). Penyakit yang disebabkan oleh bakteria ini juga dilaporkan menyerang pada tanaman nangka terutama varieti Nangka Tekam Yellow (J33) yang dilaporkan di beberapa projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Pahang seperti di TKPM Ulu Sungai, Raub, Pahang (2013) dan terkini mula menyerang pokok nangka di TKPM Kota Perdana, Pekan, Pahang (2017). Ada pendapat menyatakan tanaman nenas memang tidak disyorkan ditanam bersama dengan tanaman nangka untuk mengelakkan serangan bakteria ini kerana ia merupakan patogen yang sama. Kawalan untuk penyekit yang berpunca daripada bakteria ini perlukan satu Standard of Procedure (SOP) khusus dimana ianya termasuk menghalang sebarang pengeluaran hasil buah untuk elakkan berlakunya penyebarannya kelokasi lain. Pada masa ini penggunaan beberapa bahan kimia seperti bahan chloride mampu mengatasi masaalah ini dan juga penggunaan teknologi TEM (Technologi Effektif Microbiology). Bagaimana pun banyak kajian seterusnya perlu dijalankan mengenai isu serangan penyekit reput teras bakteria nenas dengan penyakit reput buah nangka dikawasan tanaman intergrasi antara keduanya.



Penyakit
 Reput Teras Nenas adalah berpunca sejenis kulat Phytophthora (Phytophthora heart rot) yang mana ianya disebabkan oleh kulat iaitu Phytophthora spp. dan terkini dikenalpasti patogen tersebut dikenalpasti juga sebagai Ervinia chrysanthemi. Penyakit reput teras bakteria dan penyakit buah hantu boleh menjangkiti pada semua peringkat pertumbuhan nanas daripada anak semaian, vegetatif hingga kepada peringkat buah. Namun lazimnya pokok yang berumur empat hingga lapan bulan adalah lebih rentan (susceptible) kepada jangkitan bakteria ini. Kedua jenis penyakit ini sebenarnya agak sukar dikesan pada peringkat awal serangan sehingga simptom kelah dapat dilihat. Antara simptom jangkitan penyakit reput teras kulat Phytophthora menyebabkan reput basah dengan sempadan nyata antara tisu rosak dan sihat pada bahagian pangkal daun nanas. Jangkitan bakteria ini pada tanaman nanas di ladang sukar dikesan dengan mata kasar kerana ia tidak menunjukkan simptom jangkitan serangan sehingga perumah itu menjadi lemah ataupun apabila buah nanas telah masak. Antara beberapa faktor yang menggalakkan lagi akan penyebaran penyakit reput teras bakteria ialah melalui angin, air hujan dan serangga perosak seperti semut serta serangga seperti kumbang. Selain itu dilaporkan bakteria ini juga boleh hidup pada rumpai dan sisa tanaman yang dibiarkan serta tidak dibersihkan di ladang nanas.


Daripada tinjauan mendapati penyakit reput teras kulat akan menyerang semua peringkat umur tanaman nanas (Sila lihat foto disebelah)Pokok nanas berumur tiga hingga empat bulan lebih rentan kepada jangkitan penyakit kulat ini. Serangan kulat ini bermula daripada akar dan seterusnya merebak ke batang serta daun. Jangkitan kulat patogen lebih mudah berlaku di ladang yang mempunyai saliran kurang baik dan pada suhu persekitaran yang rendah. Kulat boleh disebarkan melalui air, peralatan pertanian dan masuk ke dalam pokok serta menjangkiti tisu melalui luka dan bukaan liang stoma. Terdapat juga penyakit-penyakit lain yang boleh menyerang tanaman nanas terutamanya pada peringkat buah seperti fruitlet core rot, interfruitlet corking leathery pocket yang disebabkan oleh kulat Penicillium funiculosum. Seterusnya terdapat beberapa penyakit lain yang menyerang tanaman nenas seperti jenis penyakit butt rot, black rot, white leaf spot dan Thielaviopsis soft rot pula disebabkan oleh kulat Thielaviopsis paradoxa serta penyakit Culvularia fruit rot oleh kulat Curvularia eragrostidis. Pengurusan penyakit dan perosak tanaman nanas yang efisien adalah melalui pendekatan pengurusan perosak bersepadu (PPB) yang menitikberatkan amalan pertanian serta pengurusan ladang nenas dengan baik yang perlu dilaksanakan daripada peringkat sebelum dan awal penanaman sehinggalah ke peringkat pasca tuai. Amalan seperti pengurusan perosak bersepadu memberi penekanan kepada gabungan semua teknik kawalan bersesuaian yang mesra alam dengan mengambil kira faktor ekologi, biologi dan amalan agronomi iaitu sains pertanian yang berkaitan dengan pengelolaan tanah untuk menghasilkan tanaman.


Sebelum penanaman sebaiknya buat pemilihan kawasan penanaman yang sesuai seperti saliran yang baik dan kawasan yang tidak terlalu lembap. Kejadian penyakit reput teras bakteria lebih tinggi di kawasan tanah mineral berbanding tanah gambut. Sebaiknya juga penanam nenas menggunakan bahan tanaman daripada sulur atau benih tanaman yang bebas daripada penyakit dengan mendapatkan benih nenas yang telah menerima sijil pengesahan dalam Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) daripada Jabatan Pertanian. Benih yang tidak menerima sijil pengesahan ini mendedahkan kepada beberapa serangan penyakit dalam penanaman nenas.  Semasa penanaman sebaiknya dijalankan amalan sanitasi ladang dan amalan pertanian baik. Pokok yang telah dijangkiti mesti dibuang dan dimusnahkan segera untuk mengelakkan jangkitan merebak ke pokok yang sihat. Penggunaan semua peralatan ladang perlu dibasmi kuman menggunakan larutan disinfektan seperti clorox untuk mencegah jangkitan dan sebaran penyakit melalui kecederaan fizikal (luka). Penanam nenas juga digalakkan untuk mengamalkan sistem penggiliran tanaman. ini kerana amalan tanaman giliran adalah alternatif yang terbaik untuk memastikan sumber inokulum patogen tumbuhan ini dapat dikurangkan di ladang. Laksanakan sentiasa pemantauan penyakit perlu dijalankan dengan kerap secara berkala untuk mengesan penyakit pada peringkat awal dan seterusnya tindakan pengurusan penyakit dapat diambil dengan cepat dan berkesan. Semuga penulisan rencana dalam anim agro technology subuh ini memberi info kepada pembaca semua. Wasallam!!!...
MENANAM NENAS... PELBAGAI CARA...
NEGERI JOHOR... PENGELUAR UTAMA...
SERANGAN PENYAKIT... PERLU DIJAGA...
MENBACA ARTIKEL... DAPAT IDEANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Kg Padang Permai,
Jalan Sg Lembing, Kuantan,
Pahang, Malaysia.
(9 JamadilAkhir 1438H).
Kemaskini pada 22 Jamadil awal 1444H
Bersamaan 22 Disember 2022.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...