Support My Blog

Saturday, March 4, 2017

PERIA - TEKNOLOGI TANAMAN (Part 3)

TANAMAN PERIA (Momordica charantia) kini merupakan sejenis tanaman menjalar dari keluarga Cucurbitaceae yang ditanam oleh petani untuk pasaran domestik dimana ada sebahagian kecil di eksport ke Singapura. Keluasan tanaman peria di Malaysia sekitar 850 hektar pada tahun 2012 dan meningkat kepada seluar 1,455 pada tahun 2016 (Sumber: Laporan Statistik Jabatan Pertanian). Negeri Johor juga dilapor merupakan pengeluar utama peria di Malaysia diikuti dengan Perak, Pahang dan Selangor. Peria adalah sejenis tanaman yang menjalar dan memerlukan para atau kayu sokongan untuk tanaman peria menghasilkan bunga dan buah. Peria memerlukan cuaca panas dengan suhu antara 20-35 celsius dan kawasan dengan sinaran matahari cukup. Tanah dengan pH5.5-6.5 sesuai untuk  dan mempunyai sistem saliran baik. Terdapat banyak varieti peria yang ada dipasaran tetapi yang banyak ditanam adalah jenis peria tempatan dan peria katak (Sila baca artikel mengenai peria katak - (Sila Klik disini). Benih peria dijual dalam bungkusan kertas atau dalam tin dengan pelbagai jenama dan nombor untuk ditanam. Penanaman peria dahulu adalah dilakukan secara komersil dan konvensional tetapi penulis blog dapati kini telah semakin ramai petani telah menanam peria dengan kaedah fertigasi. Di Negeri Pahang penulis dapati ramai petani dalam kawasan prjek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang menukar sistem tanaman peria kepada kaedah Fertigasi Gantung. Anda boleh membaca tulisan saya mengenai gertigasi gantung dan sistem fertigasi penanaman peria yang lain dalam tulisan sebelum ini. Artikel pagi ini sambil melihat air panas di FELDA Hotspring Resort, Sungkai, Perak saya teruskan menulis dalam "Anim Agro Technology" satu tajuk mengenai teknologi tanaman peria berdasarkan buku dan pengalaman penulis untuk rujukkan anda.


Peria yang dijaga dengan baik akan mula menghasilkan buah dalam tempoh 8-9 minggu selepas ditanam. Buah peria yang masak lazimnya akan kelihatan berwarna hijau muda dan berkilat dengan kulit yang mempunyai lekuk agak cetek. Buah peria boleh dipetik menggunakan pisau tajam dan dimasukkan kedalam bakul plastik atau bakul buloh. Buah yang dipetik perlu di gredkan mengikut kualiti seperti saiz, kecacatan fizikal, warna dan juga tahap kematangan. Buah yang elok akan dimasukkan kedalam bakul plastik dengan dilapik kertas surat khabar setiap lapisan untuk mengelakkan kecederaan. Bagi buah peria yang dibalut dengan kertas suratkhabar perlu dibuang pembalut tersebut. Peria tersebut perlu dihantar dengan segera ke pusat pengumpulan atau pun pemborong sayur untuk dihantar kepasar untuk jualan. Buah peria yang berkualiti mampu bertahan segar sehingga 5-7 hari jika dijaga dengan baik. Bagaimana pun jika ditanam dengan sistem fertigasi gantung didapati penuaian peria adalah lebih cepat 1-2 minggu berbanding dengan kaedah penanaman peria secara konvensional. Penelitian penulis juga mendapati potensi hasil jika peria ditanam secara fertigasi gantung adalah 15-25% lebih tinggi. Kualiti buah peria juga lebih baik tetapi kos permulaan untuk menanam sayur dengan kaedah ini agak tinggi bagi penyediaan infrastruktur para dan sistem penyaluran air baja kedalam polibeg. 


Kos Pengeluaran tanaman peria bergantung kepada sama ada kawasan penanaman adalah kawasan sedia ada atau pun kawasan baru. Analisis cashflow yang saya buat pada tahun 2010 menunjukkan jumlah kos pengeluaran tanaman peria dikawasan tanah mineral di Tangkak , Ledang, Johor oleh Encik Murad adalah sebanyak RM 7,902.00 sehektar. Kos tersebut meliputi sebanyak RM 2.782.00 untuk kos bahan input, RM 3,305.00 untuk upah tenaga kerja dikebun dan juga sebanyak RM 1,815.00 untuk kos pelbagai dan kos tetap. Dengan anggarah penghasilan peria sebanyak 15,000 sehektar maka jika harga ladang purata yang diterima pada harga RM0.75 sekilogram, maka jumlah pendapatan kasar ladang sebanyak RM 11,250.00 sehektar semusim. Ini menjadikan pendapatan bersih ladang diterima sebanyak RM 3,347.00 sehektar semusim. Ia agak berbeza dengan anggaran kos pengeluaran dan pendapatan bagi tanaman peria dengan Sistem Fertigasi Gantung dikawasan TKPM. Didapati untuk jangkamasa panjang kaedah tanaman peria secara fertigasi gantung adalah lebuh menguntungkan. Analisa kewangan menunjukkan bahawa anggaran pulangan bagi setiap ringgit yang dilaburkan sebanyak RM 1.43 - positif atau menguntungkan. Harga pulang modal sekilogram pula adalah sebanyak RM 0.52 sekilogram. Peria merupakan sejenis sayuran buah yang mempunyai rasa pahit kerana ada bahan Charantin yang juga baik untuk kesihatan. Lazimnya buah peria segar dimakan sebagai ulam segar dengan nasi atau dimasak sebagai sayuran. Sayur peria digoreng dengan telur , ramuan bawang atau dimasak lemak merupakan antara sajian yang sering kita jumpa. Peria panjang tempatan agak berbeza dengan peria katak dari segi rasa, warna kulit, saiz dan tahap kepahitan. Peria katak lazimnya ditanam untuk harga pasaran lebih tinggi sehingga mencapai RM 2.00 sekilogram. Permintaan untuk tanaman peria katak semakin meningkat terutama kepercayaan untuk mengatasi masaalah diabetik dan sebagainya. Semuga 3 artikel iaitu Part 1, Part 2 dan Part 3 mengenai peria ini boleh menambah ilmu pengatahuan anda semua yang membaca dalam anim agro technology kali ini.  Wasallam!...
MENANAM SAYUR ... JENIS PERIA...
HASIL DITUAI...DIGREDKAN SEMULA...
DIMAKAN SEGAR... ULAM PAHITNYA....
BANYAK KHASIAT... SIHATKAN MINDA...


By,
M Anem,
Room 222, FELDA Residence Hotspring,
Sungkai, Perak,
Malaysia.
(2 JamadilAkhir 1434H) 

Kemaskini pada 3 Mac 2017.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...