Support My Blog

Friday, March 17, 2017

MENANAM LOBAK MERAH DI RUMAH

LOBAK MERAH (Daucus carota) merupakan sejenis tanaman umbisi yang amat sesuai ditanam sendiri dirumah. Tanaman lain yang mungkin sesuai ditanam dikawasan keliling rumah untuk mengurangkan duit belanja dapur seperti pandan, kunyit, serai, cili padi, daun kari, halia, lengkuas, daun bawang, batang saderi, cekur dan beberapa lagi. Lobak merah di negara ini hanya ditanam dikawasan tanah tinggi dan amat kurang ditanam dikawasan tanah rendah. Negara mengimport banyak lobak merah segar dari luar negara untuk kegunaan segar dan proses. Lobak merah sering dimakan sebagai sayuran atau ramuan dalam menu rojak tetapi ia juga popular dijadikan jus untuk diminum. Kita seing juga jumpa makanan lobak merah dalam mee goreng, sayur campur dan sebagainya. Khasiat Lobak Merah yang mana ia merupakan sayur umbisi yang mempunyai banyak khasiat memang telah dibuktikan. Lobak merah dilaporkan mengandungi tinggi bahan Beta Carotene, Vitamin B dan Vitamin C, Alpha Carotene, Kalsium dan Potasium . Ia juga didakwa amat baik untuk menguatkan sistem pertahanan badan untuk melawan peyakit. Selain itu juga meningkatkan pertumbuhan sel-sel- baru dan membuang toksik dalam badan.  Minuman jus lobak merah boleh dijadikan sebagai amalan dimana ia adalah bagus untuk membaiki keadaan kulit. Lobak merah didakwa berupaya mengurangkan kes-kes masalah sakit jantung, diarrhea dan juga mengatasi serangan selsema iaitu dengan membentuk antibodi dalam badan. Walau pun penanaman lobak merah dinegara kita terutama disekeliling rumah jarang dilakukan, ia masih boleh dijadikan tanaman hobi. Artikel subuh ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai perihal menanam lobak merah sebagai stu panduan dan rujukkan.

Cara menanam sendiri lobak merah di rumah boleh dilakukan dengan sedikit ilmu pengetahuan tetapu kemahuan dan minat yang tinggi. Cara menanam sendiri lobak merah di rumah bermula daripada penyediaan tanah, menyemai biji benih, menyiram, merumput, jaga dari serangan penyakit dan sehinggalah kepada menuai. Sebenarnya terdapat beberapa jenis warna lobak merah seperti Lobak merah kuning, lobak merah berwarna putih, lobak merah ungu, lobak merah crimson dan lobak merah bulat. Sebagai persiapan untuk menanam lobak merah dirumah perlukan beberapa bahan yang diperlukan iaitu satu beg bekas plastik beras saiz 10kg yang boleh dibeli daripada kedai pertanian atau kedai runcit. Seterusnya perlu disediakan tanah iaitu 2 bahagian tanah loam atau tanah gambut atau tanah hitam yang dijual dinurseri. Bahan lain yang diperlukan adalah satu bahagian baja kompos, organan, tinja binatang yang dah reput atau baja organan komersil yang dijual dikedai (tahi ayam proses). Bahan lain sebaiknya disediakan satu bahagian pasir sungai untuk digaul menjadi media tanaman. Ada juga disyorkan agar anda membeli media tanaman iaitu peatmoss dan cocopeat yang murah dan sedia digunakan. Bahan lain adalah semestinya benih lobak merah (anggaran 10 - 15 biji). Sediakan alatan seperti pisau untuk menebuk plastik dan juga alatan penyembur air untuk menyiram tanaman. Pasu boleh juga digunakan selain daripada plastik sama ada ia pasu plastik atau pasu biasa.

Langkah-langkah dan cara menanam sendiri lobak merah di rumah dimulakan dengan terbalikkan plastik penanaman seperti daripada bahan plastik bungkusan beras 10kg tersebut dan kemudian ditebuk dengan pisau jangan terlalu besar dan jangan pula terlalu kecil supaya air mudah mengalir keluar. Hujung plastik beras 10kg tersebut dilipat 2 hingga 3 kali dan perlu diingat jangan lipat lebih nanti polibag beras anda terlalu pendek.  Kemudian dicampurkan 2 bahagian tanah lom, satu bahagian kompos dan 1 bahagian pasir sungai ke dalam satu bekas dan gaul merata. Setelah itu masukkan campuran media tanaman itu ke dalam palstik beras yang telah ditebuk tadi. Pastikan tinggi tanah harus melebihi satu kaki. Ini kerana lobak merah memerlukan tanah yang dalam untuk ianya menjadi umbisi. Jika tanah atau media tanaman sdikit makan kesannya adalah nanti isi lobak akan terbantut menjadi kerdil sahaja jika sekiranya tanah tidak dalam. Kemudian gaulkan benih lobak dengan tanah dan tabur di atas tanah polibag beras tadi atau pasu. Antara alasan mengapa benih lobak perlu digaul bersama dengan tanah adalah untuk menjarakkan benih lobak di antara satu sama lain. Taburkan sedikit tanah di atas benih tersebut dan elakkan meletak lapisan tanah terlalu tebal  dimana ia adalah bertujuan agar benih lobak tidak diganggu oleh semut dan siput. Dapatkan benih lobak merah yang cergas dan baru daripada kedai pertanian yang terdekat. 

Setelah membubuh benih maka sebaiknya ia perlu disiram dengan air secukupnya dan letakkan ditempat terkena pancaran cahaya matahari tetapi tidak melebihi 3 jam. Lobak merah memerlukan haba atau sinaran matahari sederhana untuk ianya bercambah namun terik matahari yang melampau akan mematikan cambahan benih lobak. Benih lobak akan bercambah selepas 1 minggu hingga 3 minggu mengikut suhu di tempat anda. Namun lobak yang di tanam dalam polibag beras ini hanya mengambil masa 4 hari sahaja untuk bercambah dan ia diletakkan di tempat teduh. Terdapat beberapa panduan cara menanam sendiri lobak merah di rumah yang harus diambil kira semasa menanam benih lobak hingga penjagaan dan penuaian. Panduan tersebut adalah sebaiknya jangan letakkan baja kimia atau baja organik terlalu banyak ke dalam polibag beras kerana ia akan hanya merimbunkan pokoknya tetapi tidak akan berisi sebaliknya menyebabkan isinya kecil terbantut dan akan bercabang. Menanam lobak merah juga perlu mengelakkan daripada meletakkan polibag beras yang disemai benih lobak pada sinaran matahari terik yang melampau kerana ia akan mengeringkan tanah pada polibag beras dan benih tidak akan bercambah. Sebaiknya proses penyiraman dalam polibag beras itu dengan air agar lembab dan tidak kering. Jika sekiranya cuba meletakkan di tempat terkena matahari maka pastikan polibag beras tidak terkena kesan hujan lebat kerana hujan lebat akan mengeluarkan benih lobak dari polibag dan juga mampu memusnahkan percambahan benih. Seterusnya cabut anak pokok lobak sekiranya terlalu rapat dan benih pokok lobak yang dicabut bolehlah di tanam di tempat lain. Lazimnya lobak merah yang telah matang dapat dituai selepas 8 minggu disemai. Daun lobak juga didapati enak dimasak kepada mereka yang minat memakannya. Setelah anda membaca tulisan dalam blog anim agro technology ini bolehlah mencuba sendiri. Wasallam!!!...
LOBAK MERAH... MUDAH TANAMNYA...
PLASTIK BERAS...IA SESUAI DIGUNA...
BENIH DISEMAI... DISIRAM DIJAGA...
LEPAS 8 MINGGU... MENUAILAH KITA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(30 RabiulAwal 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...