Support My Blog

Sunday, May 29, 2016

PENGESYORAN VARIETI TUMBUHAN

Pendaftaran dan Pengesyoran Varieti Tumbuhan bagi tumbuhan adalah bertujuan untuk mendaftar kepelbagaian varieti yang komersil di Malaysia dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia (DOA). Varieti-varieti tumbuhan ini tidak dilindungi sebagai varieti baru kerana ia adalah varieti-varieti yang diketahui umum (common knowledge). Aktiviti dan proses Pendaftaran ini telah dilaksanakan oleh Bahagian Komoditi, Jabatan Pertanian sejak tahun 1930'an dan kini dipanggil Bahagian Hortikultur selepas penstrukturan semula Jabatan Pertanian pada tahun 2003. Melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perancang dan Dasar Kementerian Pertanian Bil. 5/94 (JPPKPBil5/94) yang bersidang pada 13 Julai 1994, mesyuarat telah memutuskan bahawa Jabatan Pertanian diiktiraf oleh Kementerian Pertanian sebagai agensi pelaksana aktiviti pendaftaran dan pengesyoran kultivar dan varieti. Walau bagaimanapun, aktiviti ini tertangguh seketika berikutan penstrukturan semula jabatan dan penyediaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004. Berikutan desakan dari petani bagi mendaftarkan varieti mereka, Jabatan Pertanian mengambil keputusan agar aktiviti Pendaftaran Varieti Tumbuhan Bagi Pendaftaran Varieti Kebangsaan dilaksanakan. Oleh yang demikian, pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengarahkan supaya Jawatankuasa Pendaftaran dan Pengesyoran Kultivar Tanaman Jabatan Pertanian (JPKTJP) diaktifkan semula bagi membolehkan Jabatan Pertanian dapat memainkan peranan dalam perkara-perkara berkaitan dengan pendaftaran dan pengesyoran kultivar atau varieti tanaman. Sehubungan dengan itu, aktiviti ini dipertanggung jawabkan kepada Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman, Seksyen Pendaftaran Perlindungan Varieti Tumbuhan (PVP), Seksyen 4(1)(g), Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 menyatakan bahawa penyimpanan rekod, selain daripada varieti baru yang diberi perlindungan, juga perlu dijalankan. Objektif Pendaftaran Varieti Kebangsaan adalah seperti untuk (a) merekod inventori sumber genetik yang terdapat di dalam negara; (b) memberi pengiktirafan kepada pemilik varieti; (c) sebagai rujukan rasmi negara dan pengenalpastian varieti; dan (d) sebagai sumber asas varieti. Skop Pendaftaran ini terbuka untuk semua komoditi tanaman di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti buah-buahan; sayur-sayuran; tanaman kontan; tanaman bijirin; tanaman industri (kelapa, kopi, teh dan sebagainya); herba dan tanaman ubatan; cendawan; dan juga tanaman bunga dan hiasan. Artikel malam ini saya tulis semula dan paparkan dalam "Anim Agro Technology" laporan akhbar tempatan yang bertajuk 'DOA agensi yang melaksana pengesyoran varieti tumbuhan' untuk tujuan mengukuhkan aktiviti ini.

Aktiviti pengesyoran tanaman oleh Jabatan Pertanian telah membuka ruang dan peluang kepada petani menceburi bidang perniagaan. Pada tahun 1994, Jabatan Pertanian (DOA) telah merangka Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan dan dikuatkuasakan selepas pewartaan pada tahun 2008. Di bawah akta itu, pembiak baka akan mendapat hak dengan pengiktirafan dan perlindungan di atas sumbangan yang telah dilakukan. Tindakan itu seterusnya dapat merangsang petani, masyarakat terutamanya peribumi untuk terus meningkatkan pelaburan dalam pembangunan varieti baharu. Sehingga kini, sebanyak 66 varieti baharu tumbuhan telah didaftarkan. DOA telah diiktiraf sebagai agensi pelaksanaan pendaftaran dan pengesyoran varieti tumbuhan. Aktiviti pendaftaran itu telah dimulakan sejak tahun 1930-an bagi memastikan semua jenis tumbuhan direkod dengan baik dan dinilai sebelum sesuatu varieti tersebut disyorkan. Tujuan pendaftaran itu ialah merekod inventori sumber genetik yang terdapat dalam negara, mengiktiraf pemilik varieti, sebagai rujukan rasmi negara dan pengenal pasti varieti serta sebagai sumber asas.

'Musang King' merupakan satu nama yang semakin disebut-sebut dikalangan peminat durian. Durian ini telah dipromosikan untuk pasaran eksport terutama ke China kerana kualitinya yang memenuhi untuk pasaran eksport dan juga pasaan domestik. DURIAN Varieti Raja Kunyit (Durio ziberthinus Linn.) atau juga dipanggil Durian 'Musang King' telah didaftarkan dengan daftar D197 dalam senarai pendaftaran varieti tanaman Jabatan Pertanian. Durian ini merupakan varieti yang sangat popular dengan banyak di tanam di kawasan Kelantan, Pahang (Daerah Raub), Johor dan juga Perak. Varieti ini telah didaftarkan oleh Encik Wee Chong Beng dari Tanah Merah , Kelantan pada 9 Disember 1993. Semasa didaftarkan nama varieti asal durian ini adalah 'Raja Kunyit' berdasarkan pencirian durian ini yang berbentuk bulat bujur, kulit berwarna hijau muda, isi berwarna sangat kuning, isi tebal, rasa lemak, sangat manis dan sedikit rasa pahit. Masyarakat biasa atau orang tempatan di Malaysia lebih kenal varieti ini dengan panggilan Klon D197. Durian ini mendapat permintaan yang tinggi dilakangan petani untuk penanaman semenjak didaftarkan dan merupakan varieti durian yang popular. Pada masa ini kawasan di Bentong , Pahang merupakan kawasan pengeluaran utama durian ini dengan jenama 'Durian Musang King'. Harga durian ini merupakan antara varieti yang paling mahal dan stabil sepanjang tahun. Penulis dapati pada purata harga runcit durian Musang King adalah tinggi diantara RM 15.00 - RM40.00 sekilogram yang dijual digerai tepi jalan sekitar Raub dan Bentong. Berbanding dengan durian D24 dan D168 purata harga varieti durian tersebut adalah sekitar RM2.50 - RM5.00 sekilogram sahaja. 

Durian Munthong di Bangkok
Semua varieti yang didaftarkan kini direkod di dalam Buku Senarai Varieti Tanaman yang Didaftarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Pada masa in itelah banyak varieti yang telah didaftarkan dan beberapa varieti buah-buahan serta tanaman jangkapendek termasuk sayuran telah disyorkan. Proses pendaftaran varieti tumbuhan ini menggunakan borang DK-1 dengan percuma. Pemohon hanya perlu mengisikan borang tersebut dan dihantar kepada Jabatan Pertanian Putrajaya. Borang ini mudah didownload daripada website Jabatan Pertanian. Pegawai Teknikal dan Penyiasat akan mendaftarkan permohonan dan membuat siasatan selanjutnya. Apabila permohonan pendaftaran varieti biasa (common knowledge) diluluskan maka nombor pendaftaran varieti akan berikan bersama sijil perakuan pendaftaran. Bagi varieti yang didaftar dibawah Akta PVP 2004 akan diproses mengikut peraturan. Pengesyoran Varieti tanaman juga merupakan satu aktiviti berfungsi mengenal pasti varieti yang mempunyai sesuatu kelebihan dan berpotensi untuk ditanam secara komersial. Varieti bernilai komersial haruslah telah mempunyai keistimewaan seperti cita rasa baik, pengeluaran hasil tinggi, diterima baik oleh pengguna serta berdaya maju. Sebelum mengesyorkan sesuatu tanaman, kajian kes bagi sesuatu varieti perlu dilakukan mengikut kriteria-kriteria penilaian yang telah ditentukan oleh DOA. Penilaian untuk tujuan Pengesyoran dilaksanakan melalui kajian kes, berdasarkan data-data primer dan sekunder yang diperoleh daripada kebun pemilik varieti, verifikasi rekod dan maklumat yang disediakan oleh pembiak, petak ujian verifikasi tempatan (LVT) yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian atau agensi penyelidikan. Penilaian dibuat berdasarkan kepada data-data dan maklum balas yang telah diperoleh daripada LVT yang dijalankan di pelbagai lokasi yang ditetapkan serta ladang komersial yang sedia ada. Penilaian dan kelulusan akan dibentangkan di dalam Jawatankuasa Teknikal Pengesyoran Varieti Tanaman dan seterusnya dihebahkan di laman web DOA. Sehingga kini sebanyak 47 varieti buah-buahan daripada 12 jenis yang disyorkan. Semuga anda faham akan tulisan ini. Wasallam!.
Mr Jason yang mendaftar Jambu Air E6
DAFTAR VARIETI ....PROSES BIASA....
JABATAN PERTANIAN... IA PERCUMA...
KENALPASTI ... CIRI VARIETI APA....
BACA ARTIKEL... RASA NAK CUBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat DUS Nasional, Serdang,
Selangor, Malaysia.
(26 RabiulAwal 1437H)
Jason

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...