Menanam CILI FERTIGASI merupakan satu aktiviti dalam usaha penanaman sayur yang semakin popular di kalangan petani masa kini. Teknologi menanam cili besar atau cili padi kini dilakukan menggunakan sistem fertigasi kerana ia lebih mudah diuruskan dan menjamin pulangan lebih baik jika dibandingkan dengan cara penanaman cili secara konvensional diatas tanah. Walau pun kos untuk memulakan sistem tanaman cili secara fertigasi ini agak tinggi pada permulaannya tetapi ia dikatakan lebih menguntungkan untuk jangkamasa panjang. Bagaimana pun asasnya seseorang yang ingin menukar sistem tanaman cili secara konvensional atau yang baru mula menanam cili secara fertigasi perlu mendapatkan kemahiran melalui kursus atau amali diladang daripada orang lain dahulu. Ini kerana ada beberapa ilmu asas mengenai tanaman secara fertigasi semestinya dipelajari dahulu terutama dalam bancuhan baja, aliran air baja, kawalan air, titisan dan menjaga amalan agronomi tanaman. Sistem tanaman cili fertigasi boleh dilakukan dengan cara Fertigasi Terbuka (Open fertigation) atau Sistem Fertigasi dibawah Struktur Pelindung Hujan (SPH). Bagaimana pun bergantung kepada kemahiran sesorang usahawan cili, pemilihan sistem tanaman cili ini dipengaruhi oleh faktur pengalaman, modal yang ada, varieti, kesesuaian kawasan tanaman dan sebagainya. Beberapa teknik asas sistem tanaman fertigasi adalah serupa tetapi ada petua atau tips yang mungkin tidak diberitahu semasa berkursus atau membuat amali sebenar. Pada penulis yang sering memberi khidmat nasihat teknikal mengenai tanaman cili memberikan beberapa tips untuk menanam cili fertigasi. Malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" artikel ke 3,788 berkaitan dengan tips menanam cili fertigasi dan kaitannya dengan penanaman jagung sebagai satu tips sahaja.
Daripada data yang penulis perolehi daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Jabatan Pertanian dinyatakan penghasilan cili pada 2015 adalah sebanyak 46,500 mt. Meneliti maklumat pengimportan cili pula dilaporkan sebanyak 51,500 mt menjadikan negara masih perlu meningkatkan pengeluaran cili untuk mengimbangan perimbangan perdagangan (BOT - Balance of trade). Cili Segar diimport daripada beberapa negara seperti dari Thailand, Vietnam dan China untuk pasaran domestik. Pendekatan penanaman cili secara fertigasi dikatakan mampu untuk mengimbangi kadar pengimportan cili jika dilakukan dengan terancang dan sistematik. Jabatan Pertanian memantau penanaman cili secara fertigasi untuk peningkatan pengeluaran cili. Jika satu pokok cili yang ditanam diatas tanah secara konvensional mampu menghasilkan purata 2.0 kg cili besar sepokok, maklumat dari beberapa projek cili fertigasi dilaporkan di TKPM mampu menghasilkan diantara 2.5 - 3.0 kg sepokok. Malahan kini dengan beberapa pengubahasuaian teknologi ia didakwa mampu mencecah hasil sehingga 4 kg sepokok. Ini kerana penanaman cili secara fertigasi mampu dan dapat menghasilkan buah lebih cepat, bersaiz besar, kerap berbunga dan menghasilkan buah yang seragam. Jangkamasa menuai juga lebih lama terutama pokok cili fertigasi yang dijaga dengan baik. Kalau cara menanam cili dikawasan keliling rumah melalui pertanian bandar dan program bumi hijau dirasakan pengeluaran cili umumnya akan meningkat dan pengimportan akan berkurangan dan juga terus menurun. Ini membantu negara mengurangkan kadar bil import dari jumlah semua sebanyak RM18.4 juta pada tahun 2014 iaitu satu defisit perdagangan dalam sektor makanan. Kejatuhan nilai matawang Ringgit Malaysia pada 2015 berbanding dengan mata wang lain didunia juga telah menyumbang bertambahnya nilai defisit ini.
Penanaman cili besar dan juga cili padi memerlukan pendekatan Amalan Pertanian Baik (MyGAP). Penulis yang memeriksa dan meninjau beberapa projek penanaman cili fertigasi disekitar Daerah Kuantan, Bera, Rompin dan Raub mendapati ramai petani menanam cili secara fertigasi umumnya dengan Teknik Fertigasi Gantung (Hanged Fertigation). Ramai juga dikalangan mereka yang kini penulis anggap sebagai 'pakar' dalam menanam cili dengan Teknik Fertigasi Terbuka (Tanpa struktur Pelindung Hujan - SPH). Ada dikalangan usahawan ini amat mahir dengan teknologi penanaman cili sehingga mampu mereka memberikan hasil cili yang berkualiti. Amalan MyGAP seperti disarankan telah diamalkan oleh ramai usahawan cili fertigasi hasil bimbingan pegawai-pegawai teknikal di Jabatan Pertanian. Bagaimana pun dalam beberapa tinjauan penulis mendapati ada petani yang menanam jagung (Zea mays) berhampiran dengan tanaman cili fertigasi. Dinasehatkan agar petani segera memusnahkan pokok jagung kerana dikhuatiri ia akan menjadi perumah kepada serangga perosak (terutamanya jenis aphids) dan beberapa jenis kulat lain yang akan menyerang cili kelak (Sila anda lihat foto disebelah). Pokok jagung yang mulai kering merupakan perumah yang baik untuk pembiakan dan perebakan beberapa patogen yang boleh berpindah kepada tanaman cili yang baru mula berhasil atau sedang berhasil. Setakat ini beberapa peserta TKPM yang ingin menanam jagung perlu merujuk dengan jadual penanaman cili diprojek-projek TKPM atau Projek Kelompok yang lain. Penulis nasehatkan agar elakkan menanam cili fertigasi berhampiran dengan tanaman jagung untuk kurangkan risiko. Semuga coretan kali ini memberikan info berguna kepada anda semua. Wasallam!.
TANAM CILI... CARA FERTIGASI...
POLIBEG DISUSUN... BERDIRI...
ELAKKAN JAGUNG...HAMPIRI...
ADA PATOGEN..PERLU HINDARI...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Chendor, Sg Baging,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(23 JamadilAwal 1437H)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.