Support My Blog

Friday, May 20, 2016

KUASA PERTANIAN NEGARA

KEDAULATAN MAKANAN (Food sovereignty) merupakan satu dasar yang diperkenalkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia YB Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.  Kedaulatan makanan dimaksudkan dengan merujuk kepada keupayaan negara menghasilkan makanan sendiri dan kebergantungan terhadap bekalan makanan import iaitu merupakan dasar strategik penting buat negara seperti Malaysia. Dasar ini penting kerana sekiranya Malaysia terlalu bergantung kepada bekalan makanan import maka negara akan bergantung kepada belas ihsan negara luar yang boleh mendatangkan kesan terutamanya daripada segi geopolitik. Dasar ini bukan setakat kita bergantung kepada belas ihsan mereka tetapi akan memberi kesan terhadap pembayaran kerana jika kita kurang eksport dan lebih import ia akan beri kesan kepada nilai mata wang kita, malah mata wang jatuh yang diimport jadi lebih mahal. Ini kerana kalau negara kita bergantung kepada import untuk input penghasilan makanan seperti baja, racun, makanan ternakan, mesin dan peralatan ini sebabkan kita bergantung kepada negara luar, kalau apa-apa berlaku daripada segi geopolitik dan sebagainya akan jadikan negara kita lemah. Oleh itu adalah penting untuk kerajaan terus‎ menggalakkan rakyatnya menceburi bidang pertanian bagi menambah penghasilan makanan dalam negara dan mengurangkan kebergantungan terhadap makanan import. Beliau berkata, inisiatif bantuan dalam bidang pertanian seperti baja dan subsidi perlu diteruskan kerajaan bagi memastikan kos penghasilan makanan itu dapat dikawal dan tidak terlampau tinggi sehingga menyebabkan bidang pertanian tidak menguntungkan. Apa yang terjadi ialah apabila kos menghasilkan makanan dalam negara itu lebih tinggi daripada kos untuk import daripada luar, ramai yang cenderung memilih import dan lama kelamaan tiada orang hendak bertani hasilkan makanan dalam negara. Memberikan contoh pengimportan daging lembu dari negara luar atas faktor harga yang lebih murah berbanding menternak sendiri, beliau berkata ia akan melemahkan keupayaan negara dalam menghasilkan daging lembu. Justeru, katanya bagi meningkatkan keupayaan negara menghasilan daging lembu serta memenuhi 50 peratus permintaan rakyat, ia memerlukan pelaburan yang amat besar antara RM4 bilion dan RM5 bilion. Artikel dalam "Anim Agro Technology" kali ini menyentuh mengenai penjelasan oleh YB Menteri mengenai perkara ini seperti ditulis dalam rencana oleh akhbar tempatan Mingguan Malaysia untuk pengetahuan umum.

YB Menteri menyatakan 'Senjata diplomasi dan kekuatan negara' yang dapat disimpulkan tentang kepentingan dasar kedaulatan makanan negara dalam wawancara Mingguan Malaysia dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semasa beliau membuat kunjungan muhibah ke pejabat Kumpulan Utusan di Kuala Lumpur, Rabu lalu. Dalam wawancara yang berlangsung kira-kira 45 minit itu, YB Menteri Ahmad Shabery menjelaskan bahawa dasar tersebut adalah lebih besar daripada keselamatan makanan negara yang diperkenalkan pada 2008. Kedaulatan makanan negara bukan sahaja bagi menjamin bekalan negara mencukupi tetapi mengurangkan kebergantungan kepada import dan menjadi negara yang boleh menjadikan hasil pertanian sebagai senjata dalam rundingan perdagangan dengan negara-negara lain. Beliau turut menyentuh tentang soal-soal lain termasuk memelihara sumber makanan negara, peranan orang tengah dan kesan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ke atas industri pertanian negara terutama beras.

MINGGUAN: Dahulu rakyat didedahkan dengan dasar mengenai keselamatan makanan negara, tapi baru-baru ini, Datuk Seri dan Kementerian guna istilah “kedaulatan makanan”. Apa bezanya?

AHMAD SHABERY: Keselamatan makanan lebih kepada apa yang berlaku pada 2008 kerana ada krisis makanan di mana kita terdesak sekejap apabila harga makanan dunia naik dan ada banyak negara yang mengeksport beras tetapi menghentikan eksport. Kita pun tersentak pada waktu tersebut. Antara strategi dibuat ialah tanam padi, bangunkan jelapang-jelapang baharu termasuk di Sabah, Sarawak, Pahang dan Terengganu supaya kita dapat mengeluarkan beras untuk negara kita. Sekarang, saya bercakap tentang kedaulatan makanan yang merupakan satu perkara lebih besar daripada keselamatan makanan. Yang disebut kedaulatan makanan ialah persoalan-persoalan apakah negara kita ini cukup makanan sekiranya orang tidak memberi makanan mereka kepada kita. Yang keduanya, kalaupun kita ada makanan yang kita hasilkan, sejauh mana kita tidak bergantung kepada makanan dari negara lain?. Sebagai contohnya, sekarang ini, antara keluaran makanan yang kita kira mencukupi misalnya ayam dan telur ayam. Tetapi lebih 80 peratus jagung ayam terpaksa diimport dari Sepanyol, Brazil dan sebagainya. Walaupun harga barang ini murah sekarang ini, tetapi katakan kalau mereka hentikan bekalan, apa yang akan terjadi kepada industri ayam kita? Sebab itu, saya katakan, kita kena fikir dari sekarang bagaimana untuk bersedia berhadapan dan membangunkan industri yang membolehkan kita tanam jagung sendiri. Kita bimbang kebergantungan kita kepada import akan menyebabkan kita bergantung kepada orang lain dan soal kedaulatan makanan tidak ada.


MINGGUAN: Negara sering menghadapi masalah bekalan ikan, sedangkan kawasan perairan kita amat luas. Kenapa keadaan ini boleh berlaku?

AHMAD SHABERY: Satu perkara yang saya tekankan juga dalam soal memelihara kedaulatan makanan ini, ialah bagaimana memelihara sumber yang ada pada kita supaya tidak jatuh kepada orang lain. Contoh yang saya katakan, laut kita adalah sumber makanan yang paling besar. Saya percaya ada orang cemburu melihat keluasan laut yang kita ada. Jaraknya lebih 3,000 kilometer. Kita anggap itu perkara yang biasa tetapi negara seperti China yang ada rakyat sebanyak 1.4 bilion, mereka hendak makanan laut tetapi ruang laut mereka tidak sebesar kita. Tetapi sejauh manakah kita menggunakan sumber yang ada pada kita ini untuk pastikan ia untuk kita dan kita boleh guna untuk kekuatan diplomasi dan sebagainya. Pada hari ini, saya lihat apabila kita mengeluarkan banyak lesen laut dalam dan sebagainya, tetapi tidak banyak hasil tangkapan ikan ini dibawa ke Malaysia. Saya akan bincangkan perkara ini dengan Jabatan Perikanan dari segi lesen dan sebagainya. Bagi saya ini cukup merugikan. Kalau kita benarkan ada usahasama antara syarikat minyak Petronas dengan Shell misalnya, Shell datang cari gali dan keluarkan minyak kita, ada meter untuk menyukat berapa tong minyak yang dikeluarkan. Kita boleh kenakan cukai, minta royalti, dividen dan sebagainya berdasarkan pada meter yang boleh diaudit. Tetapi ikan kita, mana meter hendak periksa berapa tan ikan yang kita keluarkan? Tidak ada. Lesen nelayan yang kita berikan sebenarnya adalah lesen untuk orang merompak harta kita dan keluarkan daripada negara kita.

MINGGUAN: Malaysia merupakan pengeksport bahan makanan tertentu dan ia dilihat dapat mengurang kebergantungan kepada import bahan makanan dari negara lain. Bagaimana kedudukan imbangan perdagangan berkaitan agro makanan?

AHMAD SHABERY: Sekarang ini bil import, kita defisit sebanyak RM17 bilion. Eksport kita sebanyak RM25.6 bilion manakala import kita sebanyak RM42.6 bilion. Maknanya, kita terlalu banyak mengimport daripada mengeksport. Bagi saya, itu tidak bagus. Bila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap tentang menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi, konsep ini bukan sekadar berapa banyak gaji. Apa makna gaji RM10,000 tetapi nilai ringgit kita kecil. Sekarang orang bercakap pasal indeks iPhone. Di Australia, harga iPhone 1,000 dolar tetapi kita hampir RM4,000. Kalau nilai mata wang kita kukuh, saya hendak suatu hari nanti kita boleh beli iPhone dengan harga RM1,000 kerana ini barang import. Sebab itu, penting untuk kita meningkatkan nilai mata wang kita dan nilai wang kita hanya akan kukuh sekiranya eksport lebih daripada import. Sekiranya, import lebih banyak daripada eksport, maka nilai mata wang kita jatuh. Dahulu, kita kukuh kerana kita eksport minyak. Sekarang harga minyak jatuh dan kita tidak dapat keuntungan daripada tukaran mata wang. Kalau kita terus mengimport makanan juga, nilai mata wang kita akan terus jatuh dan akhirnya konsep pendapatan tinggi yang kita hasratkan tidak akan tercapai. Sebab itu saya katakan kalau ditanya apa kejayaan yang diharapkan oleh kami dalam masa antara dua dan tiga tahun ini, jawapan saya mudah sahaja iaitu bagaimana untuk membaiki imbangan perdagangan yang berkaitan dengan bil makanan kita.

MINGGUAN: Apakah langkah yang akal diambil oleh kerajaan bagi mengimbangi defisit perdagangan agro makanan ini, sekali gus meningkatkan kembali nilai mata wang negara?

AHMAD SHABERY: Apa yang saya hendak buat pada masa ini ialah menyediakan pemikiran, perancangan dan sebagainya, bagaimana untuk kita mengimbangi perkara ini. Orang nampak mudah tetapi sebenarnya susah kerana semua pihak kena berfikir. Kita mesti keluarkan bahan makanan yang boleh dieksport dan mematuhi semua syarat eksport. Dari segi perikanan kita, jangan ambil ikan yang kecil. Ia bukan sahaja menyebabkan orang lain tidak dapat ikan, malah apabila komuniti antarabangsa melihat Malaysia menangkap ikan secara berlebihan, mereka akan kenakan sekatan ke atas kita dan kita tidak boleh eksport barang lain. Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) apabila bina jeti pendaratan ikan, apakah boleh eksport ikan? Tempat hendak buat pembungkusan di mana? Kalau saya pergi ke Cold Storage, saya boleh beli ikan salmon yang segar iaitu baru tiga hari. Tangkap di sana, siang buang insang, bungkus dan hantar guna penerbangan Emirates dua hari sampai di sini. Ini yang perlu dibangunkan supaya dia berfikir apabila buat jeti, jeti yang boleh eksport. Mana lapangan terbang terdekat supaya tidak jauh dari tempat ikan mendarat. Ini yang perlu dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan sebagainya.

MINGGUAN: Apakah defisit import ini berlaku kerana bahan makanan kita menghadapi masalah untuk menembusi pasaran luar?

AHMAD SHABERY: Macam kita buat tanaman nangka, tetapi tidak boleh masuk ke China kerana dikenakan pelbagai syarat dan susah untuk kita mendapatkan kebenaran. Kita import banyak ayam dari China iaitu kira-kira 63 peratus. Kalau hendak luluskan ayam dari China masuk ke sini, tolong rundingkan dengan China supaya ikan, nangka dan nanas kita boleh dipasarkan di sana. AS menggunakan kuasa rundingan apabila meminta Jepun mengambil beras AS. Kalau tidak silap saya, Jepun mengimport beras AS sebanyak 600,000 tan metrik setahun dan Jepun tidak boleh jual balik. Jepun ambil kerana kalau tidak sukar untuk kereta keluaran Jepun masuk ke AS. Semua rundingan dibuat oleh Jabatan Pertanian AS. Jadi, ini juga perkara yang saya katakan, bolehkah Kementerian saya memperkukuh bahagian antarabangsa dan sebagainya. Mesti ada kepakaran dan personaliti yang membolehkan negara menjadikan pertanian sebagai satu kekuatan. AS merupakan negara pengeksport beras kelima terbesar dunia. Sepatutnya AS tidak tanam padi sebab rakyatnya tidak makan nasi tetapi mereka melihat ia sebagai salah satu kekuatan negara mereka. Di AS ada banyak gandum, beras dan jagung kerana mereka melihat ini adalah kedaulatan dan juga kekuasaan. Kalau saya kata kita buat dasar tanam gandum di Malaysia, semua orang akan kata saya gila. Apabila kita sebut kedaulatan makanan, ini adalah senjata diplomasi dan soal kekuatan rakyat negara kita dan dikaitkan dengan kekuatan ekonomi kita melalui pertanian.

MINGGUAN: Kalau kita lihat negara maju seperti AS banyak membantu memberikan subsidi yang tinggi kepada golongan petani. Apakah Malaysia akan ada rancangan ke arah itu?

AHMAD SHABERY: Kita pun sudah bagi subsidi yang tinggi. Ia lebih 70 peratus daripada kos. Ia tidak termasuk infrastruktur pengairan. Misalnya, pelaburan kita dalam pengairan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sampai RM2 bilion. Kalau beli sahaja beras dari Thailand, lebih murah daripada guna peruntukan untuk infrastruktur. Tetapi atas prinsip kedaulatan tadi, kita buat. Cuma saya hendak sebut, dahulu keghairahan kita hendak menuju beras kita mesti 100 peratus tahap sara diri. Ini saya minta kawan-kawan cuba tengok balik. Bagi saya kalau hendak keluar beras jenis yang sama tidak perlu 100 peratus. Sebab macam manapun, mesti ada lebih kurang 20 peratus rakyat kita tidak makan beras kita. Sebab itu, saya minta dikaji supaya semua jelapang yang baharu tadi tidak perlu tanam beras yang sama tetapi jenis yang boleh kita eksport seperti beras merah, beras Bario, beras wangi dan beras Basmati. Teknologi sudah ada, cuma dasar sahaja yang perlu kita lihat balik.

MINGGUAN: Bagaimana Datuk Seri melihat peranan orang tengah dan kartel barangan makanan dalam mempengaruhi harga barangan pertanian negara ini?

AHMAD SHABERY: Ia bergatung kepada keadaan. Sama ada orang tengah itu bersifat monopsoni atau monopoli.
Misalnya, pengusaha rumpai laut di Semporna, Sabah, harga rumpai laut setelah dikeringkan ialah RM2.80 sekilogram tetapi apabila sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, harga benda yang sama tetapi cuma pembungkusan yang lebih cantik sudah cecah RM333 sekilogram. Tetapi ada juga ketika orang diperlukan. Saya katakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga orang tengah. Agensi itu memainkan peranan untuk memastikan ada pembeli terakhir yang membantu orang bawah mendapatkan pasaran mereka. Sebab kalau hendak suruh petani kita keluar untuk jual barang kita ke Dubai, saya tidak fikir semua petani kita boleh buat begitu tanpa ada orang tengah. Ada orang tengah yang tidak baik yang perlu kita lawan dan kita bangunkan beberapa pilihan. Seperti zaman sekarang orang pergi kepada jualan dalam talian menerusi Internet. Alibaba.com misalnya, adalah orang tengah tetapi banyak membantu orang memasarkan barang secara langsung kepada orang lain. Tetapi itu pun memerlukan suatu sistem di mana agensi-agensi tertentu yang boleh membantu.

MINGGUAN: Apabila Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dilaksanakan, cukai import beras dari AS akan dimansuhkan. Apakah ini akan menyebabkan industri beras negara kita akan lumpuh dan kita terpaksa bergantung kepada bekalan beras dari AS yang lebih murah?

AHMAD SHABERY: Dari segi perspektif pertanian, saya tidak bimbang sangat kerana saya rasa TPPA akan membuka ruang kepada pasaran yang lebih besar untuk barang kita. Selepas ini, negara-negara dalam TPPA akan hapuskan tarif. Dahulu, kita hendak masuk sana kena ada tarif tetapi sekarang tidak ada. Cuma dalam masa yang sama kita perlu bina rangkaian untuk sampai ke sana. Dahulu orang bimbang apakah beras AS akan bertanding dengan beras kita dan habislah kita kerana mereka pengeluar beras. Saya tengok sebahagian besar beras AS adalah beras Jepun iaitu jenis Japonica. Beras tempatan adalah jenis Indica. Jadi, saya tidak lihat ia adalah pesaing utama kepada beras kita. Tetapi halangan-halangan yang bersifat bukan tarif seperti memenuhi tuntutan keselamatan makanan dan amalan pertanian baik, ini mesti kita buat untuk barang makanan kita memasuki negara lain. 

MINGGUAN: Sebelum ini Kementerian bercadang menghapuskan jualan beras bersubsidi Super Tempatan (ST15). Apakah mekanismanya sudah ada?

AHMAD SHABERY: Kita akan mulakan beberapa tinjauan perintis. Macam manapun, saya akan tertakluk kepada persetujuan Kabinet. Bagi saya, bantuan kepada golongan sasar itu penting. Saya selalu bercakap, negara yang baik adalah negara yang tidak membenarkan ada rakyat yang miskin sehingga tidak boleh makan. Sudah pun ada pendekatan macam ini. Misalnya, golongan nelayan dapat bantuan RM300 sebulan supaya tidak ada lagi nelayan dalam negara kita, waktu tengkujuh dan ombak besar, kami terpaksa pinjam beras. Dengan RM300 itu, mereka boleh beli 12 kampit beras 10 kilogram. Tidak ada orang makan 12 kampit beras sebulan. Cuma kita akan kenal pasti lagi dalam kalangan orang yang betul-betul miskin di bawah paras RM850 di bawah senarai e-Kasih yang ada, kita menjangkakan lebih kurang 200,000 orang. Cuma sistem bagaimana kita hendak beri kepada orang ini untuk pastikan mereka beli beras. Ada sistem baucar dan dalam talian. Kita kreditkan dalam telefon dan dia pergi ke tempat tertentu yang mudah diakses termasuk di rumah panjang. Saya telah lihat dari segi implikasi kewangan dan akan bentang kepada Kabinet. Kita akan buat projek perintis dan semoga ia dijadikan satu sistem baharu. Jadi, kita kena cari pendekatan yang boleh beri satu nilai tertentu yang memberi pilihan kepada penerima untuk makan beras Basmati, beras wangi atau sekurang-kurangnya ST5 dan ST10. Pada waktu harga beras mahal sangat, tidak mengapa kita makan beras hancur. Tetapi sekarang harga beras sudah jatuh, kenapa hendak suruh orang makan beras hancur lagi. Orang miskin di Thailand makan beras Siam dan orang miskin di Vietnam makan beras Vietnam, beras wangi lagi. Kenapa orang miskin di Malaysia kena makan beras hancur?. Pada awal tahun, saya akan bawa perkara ini kepada Kabinet dan pada masa yang sama kita akan uji sistem ini. Kita akan lihat reaksi orang ramai. Pada tahun hadapan, tidak ada lagi beras ST15 dan kalau ada pun cuma baki yang lama.
Sumber: http://m.utusan.com.my/rencana/kuasa-pertanian-negara-1.173269

KEDAULATAN MAKANAN... APA DIA...
KURANGKAN IMPORT...ITU CARANYA...
TAMBAH PENGELUARAN...DINEGARA...
ARTIKEL MINGGUAN... ADA CERITA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana,
Jalan Istana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka, 
Malaysia.
(13 Syaaban 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...